Dalam opis gua ada seorang member yang masih lagi bujang. Belum berkahwin walau sudah hampir-hampir. Kecewa barangkali, dia terus membujang, tanpa sebarang tanggungjawab. Perempuan adalah liability, katanya. Sama seperti hutang-hutang gua, tambahnya lagi. Gua pun faham. Ramai lagi yang faham. Kerana kami berkongsi penderitaan tentang hutang dan kesempitan hidup walaupun tidak pernah berkongsi melunaskannya.
Mungkin member gua ini tidak akan berkahwin untuk tempoh 10 tahun yang akan datang, atau pun sehingga dia menemui satu telaga emas yang boleh membantunya bebas daripada panggilan-panggilan telefon pihak bank. Oh ya, kami juga di sini turut berkongsi pengalaman cara-cara menjawab panggilan itu. Dan menyamar menjadi individu yang berlainan.
Semasa tempoh hibernisasi dulu juga, gua bertemu dengan seorang kawan lain. Jiran di Jordan. Kini bergelar Profesor Madya pada usia 30 tahun. Ada kereta, rumah, tanah dan simpanan yang sangat mencukupi. Juga pendapatan yang sangat stabil. Selalu ke luar negara. Lelaki yang sangat beruntung. Tapi dia masih belum berkahwin.
Katanya, gua sudah tidak memilih lagi. Kalau hari ini gua jumpa dan gua berkenan, esok pun jadi kahwin. Ciss! Itu memilih lah jugak. Member yang ini masih terlalu banyak spesifikasinya dalam memilih pasangan. Selalu menjadi bahan kutukan. Mahu berkahwin dengan gadis dari Selangor atau Kuala Lumpur. Kalau Selangor pun hanya sekitar Kajang, Bangi dan Shah Alam. Alasannya malas balik kampung yang jauh. Negeri Sembilan masih boleh dipertimbangkan, terutama Seremban. Gadis Jelebu cuba untuk dijauhkan, takut bersaudara dengan gua, katanya. Mesti berpendidikan dan berperwatakan menarik. Syarat yang penting katanya. Maka kami akan mengutuk tanpa henti sebaik syarat-syarat itu dibacakan ke telinga kami. Bosan. Syaratnya tidak pernah berubah sejak 10 tahun yang lepas.
Minggu lepas gua berbual dengan mak gua. Tentang kampung yang sudah lebih sebulan gua tidak jenguk. Mak gua kata, anak kepada dua pupu gua yang tinggal di belakang rumah gua tu sudah bercerai. Sudip yang gua sedang pegang gua lepaskan ke kuali. Biar masak sekali dengan sayur yang sedang gua goreng. Gua tengok muka mak gua. Serius.
Budak tu baru kahwin 6 bulan yang lepas. Ada pakej yang agak lengkap. Cantik dan berbudi bahasa. Guru sekolah rendah. Anak sulung. Dan ada sejarah putus tunang sebelum itu. Berkahwin bulan June dan bercerai pada December, tapi sudah hampir 4 bulan tidak lagi sebumbung. Maknanya mereka hanya berkahwin selama 2 bulan. Sekarang ini sedang sibuk mengira tangga mahkamah.
Dan yang terkini, adik ipar gua sendiri. Yang masih bujang dan berkerjaya, berpelajaran dan berduit. Ingin berkahwin lalu menyampaikan hasrat hatinya kepada ayahanda dan bondanya. Mujur pak mentua gua takde sakit jantung, kalau tidak minggu nie memang gua terpaksa MC balik ke Muar. Adik ipar gua nak kahwin dengan seorang janda beranak 3.
Entah kenapa ye, lewat ini gua banyak sangat mendengar cerita tentang perkahwinan, penceraian dan pencarian jodoh. Rasanya 2 atau 3 minggu lepas,
Abang Neraka juga bercerita tentang jodoh. Bagaimana jika
Abang Neraka berkahwin dengan pilihan ibunya? Hehehe gua ingin menawarkan diri buat persembahan silat depan pelamin. Walau gua tidak tahu bersilat, gua janji akan belajar yang basic untuk persembahan istimewa itu.
Suratkhabar pun ada cerita kahwin juga, dengan wanita Indonesia. Perlu dikaji katanya, sedangkan orang yang bercakap itu tidak mengkaji tentang perkahwinan itu sendiri. Bukankah ia sesuatu yang global? Apakah perkahwinan itu terhad kepada kalangan bangsa yang sama sahaja? Atau kerana yang dikahwini itu wanita Indonesia? Bagaimana pula dengan wanita Melayu yang berkahwin dengan bangsa kulit putih? Ia masih tetap perkahwinan bukan?
Menarikkah cerita tentang perkahwinan dan institusi rumahtangga? Sebenarnya hanya itu sahaja yang mampu gua muntahkan. Hanya cerita seperti itu sahaja yang gua dengar kebelakangan ini. Oleh kerana itulah, gua paksakan juga jari-jari gua menaip. Walaupun hati gua berat untuk berkata “Apa yang lu mau cerita nie, Labu?”