Thursday, November 23, 2006

Sebuah lagi Istana Negara?


Saya di sini sebenarnya ingin menarik perhatian pihak yang berwajib khususnya kerajaan sendiri serta beberapa badan yang berkaitan agar menimbangkan kembali projek pembinaan Istana Negara yang baru seperti diumumkan oleh Menteri Kerja Raya baru-baru ini.
Bukanlah niat di hati untuk menderhaka kepada Raja mahu pun Sultan yang menjadi lambang kedaulatan bangsa dan negara, tetapi saya ingin merayu di sini supaya projek tersebut difikirkan semula demi kepentingan rakyat jelata yang menjadi pemangkin kemajuan negara yang tercinta ini. Saya berasa sungguh sedih dan sayu apabila mendengar pengumuman projek tersebut di televisyen. Saya berasa marah, sedih, kesal, terkejut dan pelbagai perasaan lain bercampur baur. Mengapa kita perlu membazirkan wang yang sebenarnya datang dari titik peluh rakyat yang membayar cukai? Apakah memang satu keperluan untuk kita membina sebuah lagi Istana Negara? Ia dibina atas titik peluh rakyat dan apakah ia juga boleh mendatangkan faedah kepada rakyat jelata?
Bulan Ramadhan baru sahaja berlalu dan rasanya masih segar lagi dalam ingatan paparan hari demi hari derita kemiskinan dan kesengsaraan rakyat oleh media. Seorang demi seorang. Keluarga demi keluarga. Semuanya hidup dengan penuh kedhaifan, menantikan bantuan dan belas simpati pihak berwajib untuk turut bersama menyambut kedatangan Syawal. Bukan sahaja bangsa Melayu, bahkan ramai lagi bangsa lain yang masih lagi hidup dalam keadaan yang menyedihkan di negara yang memiliki bangunan berkembar tertinggi di dunia, lapangan terbang serba canggih, litar F1 dan pelbagai monument lagi. Jadi apabila wang yang sebegitu banyak kita peruntukkan hanya untuk membina sebuah lagi monument yang pasti bukan semua rakyat dapat menyentuhnya, ia sememangnya begitu menyayat hati. Kemiskinan masih lagi belum dapat kita hapuskan dan mereka yang tidak dilabel sebagai orang miskin itu juga bukan kesemuanya hidup dalam keselesaan.
Banyak ruang lain yang memerlukan pemulihan dan wang sebegitu banyak. Sehingga ke tahun 2006 , para pelajar sekolah masih ada yang perlu membayar yuran persekolahan dan juga buku teks. Bukankah sesuatu yang bijak sekiranya wang sebanyak itu diperuntukkan bagi menyediakan buku teks secara percuma kepada semua pelajar sekolah di seluruh negara? Atau pun menyediakan prasarana pendidikan yang lebih baik untuk mereka kerana mereka adalah pelaburan yang berkesan demi memastikan halatuju negara pada masa depan. Atau pun meningkatkan lagi kemudahan kesihatan kepada para penduduk di luar bandar? Pembinaan sebuah istana yang besar dan gah dilihat hanya bertujuan untuk bermegah kononnya kita adalah berkemampuan sedangkan pada dasarnya kita masih punyai banyak lagi kekurangan yang perlu untuk diperbaiki. Mengapa tidak kita baik pulih sahaja Istana Negara yang sedia ada dan jika alas an pembinaan kerana ia tidak mempunyai balairong seri, saya pasti masih wujud lagi ruang di dalam kawasan yang luas sekarang untuk pembinaan bangunan baru. Bukankah kita dapat berjimat dan memanfaatkan wang rakyat kepada perkara lain?
Lagi pun Istana Negara bukanlah digunakan sepanjang masa kerana bukan saban waktu ia dikunjungi tetamu rasmi dan mesyuarat Raja-Raja juga tidak diadakan setiap hari jadi memadailah dengan apa yang ada sekarang. Jika ia tidak memadai, berbelanjalah untuk pemulihannya, saya pasti 26 juta rakyat akan menyokong. Barang yang lama jika dipelihara dengan baik sudah pasti akan dihargai. Lihat sahaja contoh Istana Buckingham yang telah dibina sejak 1703 dan melalui pelbagai proses pemulihan, perluasan serta penambahan sehingga menjadi tarikan seperti yang kita lihat pada hari ini. Kita juga boleh menjadikannya sebagai satu contoh. Ia masih kekal menjadi daya tarikan sehingga ke hari ini. Ia masih lagi digunakan secara rasmi dan tidak rasmi sehingga ke hari ini.
Apa perlunya kita membazir sedangkan banyak lagi kekurangan yang perlu kita perbaiki. Dalam masa yang sama juga kita berjaya untuk memelihara satu lagi cebisan “warna hijau” di tengah pembangunan ibu kota Kuala Lumpur yang semakin hari sudah semakin botak. Janganlah kerana mahu bermegah, anak cucu kita pada masa depan tidak lagi dapat melihat hutan hijau di Kuala Lumpur ini. Berfikirlah dengan bijak dan jangan mengikut perasaan. Mungkin apa yang pahit dikatakan rakyat marhaen seperti saya ini ada sedikit faedahnya untuk negara yang tercinta ini.