Sunday, April 18, 2010

Apa Akan Jadi Jika Gua Masuk UMNO

Dua hari lepas gua balik ke Malaya dulu, arwah abah gua sudah bawak gua pegi pejabat Ahli Parlimen Jelebu. Gua rasa orang gila aje yang tak kenal siapa Ahli Parlimen Jelebu. Bagi manusia umur boleh mengundilah, faham?

Gua pun tak tahu mana arwah abah gua dapat borang tu. Tapi yang pentingnya sebelum pegi, gua kena ambik gambar passport dulu untuk tampal di muka depan borang. Gua pun tak tahu macamana borang itu boleh wujud, tapi ia adalah borang maklumat diri untuk lepasan ijazah. Tujuannya ialah untuk menggunakan saluran Ahli Parlimen bagi mendapatkan peluang pekerjaan.

Baru dua hari balik Malaya, gua memang belum ada mood untuk gunting rambut. Jadi gua sudah boleh agak isu rambut akan menjadi usul yang dibahaskan dalam Parlimen, errr…pejabat Ahli Parlimen. Dia cakap dengan gua “apo lak ghoman eh hah dah macam pak sedagho eh si Karl Marx tu…” Karl Marx tu gua tambah untuk nampak lebih antarabangsa. Dia cakap dengan gua suruh potong rambut lepas ni. Gua angguk sambil cakap dalam hati “gua belum kerja takde duit nak pegi potong rambut”.

Gua desperate kah? Ahli Parlimen tu cakap dengan gua, masa tu Jabatan Penerangan sudah bukak secretariat baru, Jabatan Hal Ehwal Khas. Gua belum ‘into’ lagi dengan nama-nama jabatan ni, maka gua angguk sahaja lah. Dia cakap lagi dengan gua yang jabatan tu memang perlukan graduan Timur Tengah. Kira jadi “suara Islam” dalam kerajaan lah. Kena bagi ceramah dan penerangan kepada masyarakat tentang Islam dan bla bla bla. Woooo! Patut pun dia suruh gua gunting rambut. Jadi ustaz lah tu kalau tak salah gua.

Arwah abah gua sewaktu sessi memperkenalkan gua tu, dah tak intro nama gua lagi, terus aje kasitau yang anak dia sudah balik dari Jordan. Gua syak memang sudah wujud konspirasi peringkat tertinggi antara mak gua, abah gua, atuk gua dan Ahli Parlimen Jelebu itu, sebelum gua beli tiket balik ke Malaya lagi. Sebab gua tahu diorang semua memang rapat. Dan Ahli Parlimen Jelebu itu pulak, bila gua nak blah terus tepuk-tepuk bahu gua sambil cakap “nanti minggu depan datang sini lagi kita bawak kenal-kenal dengan “pemuda” pulak, boleh aktif sikit nanti senang nak jadi pelapis”. Lu tahu apa yang gua bayangkan masa tu? Seluar hitam baju putih masuk dalam lengan pendek dengan songkok. Plus kasut kulit hitam. Sambil nyanyi lagu UMNO.

Mak dan abah gua memang bertindak tepat. Mereka mahukan yang terbaik sahaja untuk anak mereka. Macam gua mahukan benda yang sama untuk anak-anak gua jugak. Cuma cara mereka berfikir mungkin berbeza. Lagi pun gua baru balik kampung dua hari. Segala fahaman komunisme, socialism, Marxism, Leninisme, punkrock, Syiah, Islam progresif, Wahabi, Ahli Sunnah, Salafi Jihadi, Osama Ben Laden dan cara-cara membaca Al Quran dengan betul, masih belum sempat dibincangkan. Gua lebih serius menikmati masakan mak gua masa tu. Apa barang socialism kalau nak compare dengan telur itik masak lemak dan ikan sembilang goreng berlada kan?

Mak dan abah gua mungkin tak tahu, Karl Marx selalu hantar e mail pada gua masa gua di Jordan dan gua mempunyai pandangan yang lebih terbuka akibat pengaruh tulisan-tulisan Karl Marx yang sampai ke otak gua masa tu. Mak dan abah gua mungkin tidak tahu itu sudah melanggar artikel 5.1 perlembagaan punkrock seDunia. Gua sudah potong jalan. Ambik jalan mudah. Tak mahu usaha lebih. Tak mahu bikin peluang sendiri. Tak mahu bersaing. Lebih teruk lagi, gua mungkin terpaksa angguk pada semua perkara. Atau lebih hina lagi, gua akan terpaksa mendaftar menjadi ahli UMNO, seminggu selepas itu. Itu adalah bencana. Disaster kata orang Jelebu. Climax kata orang Jerantut.

Cukup seminggu di kampung gua pergi ziarah Karl Marx di Kamunting. Gua singgah di KL untuk interview jadi trainee journalist. Kemudian gua cuba nasib untuk satu interview lain. Tanpa perlu tandatangan Ahli Parlimen Jelebu. Atau pun nombor keahlian UMNO. Gua dapat dan gua rasa puas. Sekurang-kurangnya gua boleh bagi duit pada mak dan abah gua. Dengan usaha sendiri tanpa bantuan orang lain. Gua tidak perlu membodek untuk mendapatkan sesuatu. Gua tidak perlu berbohong kepada sesuatu yang betul. Sekurang-kurangnya gua boleh jimat duit daripada bayar ke tukang gunting. Sekurang-kurangnya gua tidak menutup peluang orang lain, kerana jika gua berjaya disebabkan “kabel” Ahli Parlimen Jelebu, pasti ada orang lain yang lebih layak telah dinafikan peluangnya. Itu hakikat.

Kadang-kadang, hari ini gua terfikir, apa akan jadi jika gua sekadar bersetuju untuk memuaskan hati mak dan abah gua pada ketika itu? Tapi gua tidak pernah menyesal. Kerana jika gua terima, mungkin hari ini gua sedang memakai baju putih seluar hitam dan songkok, sambil menyanyi lagu UMNO di Hulu Selangor. Dan dompet tebal dengan hasil projek gerombolan. Sambil gua tengok bini Hishamuddin Hussein tidak bertudung, tapi gua takut untuk menegur bahawa itu salah kerana bimbangkan periuk nasi gua tergugat. Period.