Wednesday, December 28, 2011

Dalam Hidup Ini

Dalam hidup ini, gua sudah melalui 5 jenis pekerjaan yang berbeza. Langsung sebenarnya tiada sebarang kaitan yang secara langsung tidak boleh untuk membina sebuah karier apatah lagi untuk menjadi seorang boss.

Selepas “ditumbuk” keluar sekolah kerana “menumbuk” seorang ustaz yang jeles dengan kekacakan gua ini, gua telah ke Kuala Lumpur untuk belajar kelas Bahasa Inggeris. Sambil-sambil itu gua telah terpikat dengan satu iklan kerja di Sungei Wang Plaza, menjadi seorang bartender. Menjadi bartender, pada usia 18 tahun, tinggal pulak dengan mentor gua Encik Karl Marx, bukanlah satu yang mudah untuk dihadapi. Selain daripada menimba ilmu Bahasa Inggeris dan ilmu-ilmu socialism, communism dan Marxism, waktu-waktu senggang juga dipenuhi dengan pelbagai ilmu songsang, khurafat dan tahyul. Melihat “kesengsaraan” yang gua hadapi, mak gua dengan pantas menyelamatkan keadaan. Entah macamana dan entah bagaimana ia berlaku, tiba-tiba gua sudah tamat belajar segala ilmu di Kuala Lumpur dan pulang semula ke Jelebu, menjadi seorang guru Pendidikan Islam a.k.a ustaz.

Drastically change! Sama ada gua berlakon atau pun gua ikhlas masa tu gua pun sudah lupa. Tapi bertahun jugak lah gua nak menghilangkan imej guru Pendidikan Islam a.k.a ustaz tu daripada tubuh badan gua. Kadang-kadang rasa nak pakai topeng jugak apabila ada budak-budak jumpa gua melepak di stesen bus dengan rambut panjang tegur gua “Assalamualaikum, ustaz!”

Itu cerita tahun 1995. Lama dah berakhir. Anak-anak murid gua antaranya ialah sepupu gua sendiri, yang bulan lepas sudah pun berkahwin. Pakcik tukang kebun sekolah pun raya haji itu hari dah tak kenal masa duduk marhaban sebelah gua walaupun dulu selalu jadi member borak minum teh tarik kat kantin sekolah.

Pekerjaan ketiga, atau karier ketiga, yang agak lama jugak gua ceburi ialah bidang broadcasting. Walaupun masuk atas tiket boleh berbahasa Arab dan kerjanya menterjemah berita, ia langsung tidak menggunakan kemampuan kertas segulung yang gua ada apatah lagi untuk membina karier ke peringkat yang lebih tinggi. Selepas hampir lapan tahun, gua pun beralih arah untuk mengejar sesuatu yang lebih “grand” tak lain tak bukan Dollar Amerika. Kerja lapan tahun memang enjoi, relaks dan tiada tekanan tapi kalau takde peningkatan langsung pun payah jugak.

Akhirnya gua membawa diri ke Afrika Utara. Mengejar Dollar Amerika dan kebebasan. Mahu selalu naik kapal terbang. Mahu bekerja tanpa sebarang tekanan. Mahu membina karier dan mencari cabaran baru dalam hidup. Pffftttt.

Memang, gua dapat semua yang gua mahu. Memang gua sangat gembira, rasa sangat tenang walaupun berjauhan dari keluarga.Karier keempat ialah - Best job in the world!

Tapi panas bukanlah sampai ke petang, hujan memang rajin turun pada musim sejuk. Tapi Arab Spring sebenarnya tak ikut rule langsung. Tiba-tiba hujan dan gua kena balik Malaya. Menganggur dan merempat semula pada ketika gua punya life maintenance cost untuk sebulan bersamaan dengan gaji tiga orang guru DG41.

Selepas tiga bulan gua dapat juga kerja kelima dalam hidup ini. Kerja yang dah lama jugak gua try sebenarnya tapi baru kali ini “mendapat”. Kerja yang mulanya gua rasa agak best tapi rupa-rupanya payah nak mampos! Kerja yang gua rasa agak boleh untuk membina karier tapi rupa-rupanya membawa gua nun jauh ke bawah semula. Kerja yang memperkenalkan gua dengan perkataan “stress”, yang mencuri sebahagian besar masa gua dengan family dan kerja yang menyebabkan gua tak pernah berniat langsung untuk menyebut “I love my job”.

Gua dah ada blog kalau tak silap sejak 2006 dan gua dah ada akaun Facebook 8 hari selepas dilancarkan oleh Mark Zuckerberg. Gua jugak adalah antara subscriber awal untuk portal Malaysiakini dan sering menghantar artikel untuk pelbagai portal kiri dan kanan.

Gua tak pernah menipu apabila menulis. Sepanjang gua menulis apa yang gua luahkan adalah apa yang berlaku dan segala bentuk keikhlasan hati nurani gua yang suci murni ini.

Tapi kali ini, berikan gua peluang, izinkan gua untuk menipu sekali sahaja dalam penulisan, dan ia tidak akan berlaku lagi selepas ini.

“I love my job!”

Kerana dengan kerja ini, gua langsung tidak ada masa untuk menulis, untuk bersosial dalam Facebook, untuk membaca berita-berita orang Melayu ultras dan bukan ultras, PERKASA dan Rozita Che Wan, apatah lagi untuk pergi bersosial di masjid solat berjemaah selari dengan title gua sebagai bekas guru Pendidikan Islam a.k.a ustaz. Pffttt.