Thursday, August 18, 2016

September 2013 ke August 2016


Lama betul. Puncanya adalah kerana blogspot sudah ditelan Google. Kemudian kerana kurang cerdik dengan sistem yang baru, blog ini gua daftarkan ke satu e mail lain, yang tidak punyai kaitan.

Rasa mahu bertanya itu ada, tapi rasa malu itu lebih banyak kerana melihat kepada tempoh hiatus yang sangat panjang.

Ada ketikanya sedang bersendirian di dalam kabin gua diterjah pelbagai idea untuk menulis, tapi gua benci dengan ketiadaan pentas yang sesuai. Persetankan dengan pelbagai medium moden yang muncul, gua lahir melalu blogspot dan mata gua menjadi bersinar mengadap pentas ini.

Tempoh hiatus yang lama ini juga seusia dengan tuntutan untuk menyiapkan Lima Jam ke Basra, yang sudah gua rencanakan sejak September 2013. Rumah Tahi Lembu konon akan menjadi sebahagian isi untuk memperkenalkan Iraq yang suatu ketika dulu tidak pernah muncul dalam mimpi hidup gua untuk datang bertamu.

Tapi itulah, keselesaan itu memang benar-benar membunuh. Untuk gua keselesaan menyebabkan minat gua menulis seakan mati ditikam dan ditanam jauh ke kerak bumi. Keselesaan menyebabkan masa gua dibanjiri dengan kerja yang tidak punya penghujung. Keselesaan menyebabkan gua rasa tidak mengapa dengan arus penulisan baru yang muncul dengan pelbagai ritma.

Dalam tempoh hiatus ini juga gua sudah mengumpul banyak cerita yang tujuan utamanya ialah untuk diberikan kepada Lima Jam ke Basra, yang kini gua rasa sudah mencapai lebih 3 tahun untuk ke Basra.

Puluhan ribu kilometre perjalanan sudah gua tempuh dalam hiatus ini, ratusan cerita sudah tertanam lama di benak. Kali ini gua akan kembali semula. Blues Orang Jelebu bukan buku yang pertama dan terakhir.

Bismillah.