Thursday, September 10, 2009

Entah Apasal Gua Tiba-Tiba Sentimental Sangat


Benda yang paling gua suka sepanjang bulan Ramadhan ialah murtabak. Dulu di pekan Kuala Klawang hanya ada seorang sahaja penjual murtabak. Masa tu konsep pasar Ramadhan belum lagi muncul kerana Majlis Daerah Jelebu hanya sibuk menganjurkan pertandingan bolasepak dan menguruskan Dewan Besar untuk majlis-majlis kerajaan.

Penjual murtabak ini akan parking stall murtabaknya di depan sebuah kedai pakaian di tengah-tengah pekan. Murtabak hanya akan dijual pada bulan Ramadhan dan pada masa lain dia hanyalah penjual apam balik dan kuih bugis. Harga murtabak pada ketika itu ialah RM1.80 sekeping. Saiz besar dan padat dengan inti daging bukan kedekut macam penjual murtabak hari ini.

Setiap petang, arwah abah gua akan ke pekan. Beli sekeping murtabak untuk gua. Jika tahun itu bulan Ramadhan ada 30 hari, maka 30 keping murtabak akan menjadi mangsa gua setiap hari berbuka. Ini kerana jika kami berbuka di rumah nenek gua sekalipun, bekalan murtabak sekeping memang tetap kena bawa. Arwah abah gua akan tetap ke pekan, dan menariknya, pakcik penjual murtabak itu akan dengan sendirinya sudah siap sedia dengan sekeping murtabak. Arwah abah gua cuma perlu berhenti dan terus bagi duit dua ringgit sambil penjual murtabak itu memulangkan baki 20 sen di dalam plastic murtabaknya.

Ada satu hari tu, gua ke pekan dengan arwah abah gua. Raya sudah semakin dekat. Arwah abah gua sudah janji nak belikan gua seluar jeans. Kami pergi ke kedai pakaian, tempat penjual murtabak tu parking stall murtabaknya. Dia nampak kami masuk dan gua sedang pilih-pilih seluar jeans. Budak umur 11 tahun, dapat beli seluar jeans Puma untuk hari raya, memanglah excited. Lepas siap beli kami terus keluar jumpa dengan pakcik murtabak tu.

“Kalau abah adik belanja seluar, hari ni pakcik belanja murtabak pulak”

Gua senyum sambil ambil plastic murtabak dan ucap terima kasih. Berbuka murtabak free gua hari tu. Balik rumah senyum sampai bersambung dengan telinga. Lepas makan murtabak gua terus test seluar jeans Puma. Antara hari-hari menjelang raya yang paling bahagia dalam kehidupan kanak-kanak gua.

Hubungan dagang dua hala antara arwah abah gua dan penjual murtabak itu berterusan sehinggalah gua masuk asrama. Ketika hujung minggu gua pulang bercuti, arwah abah gua akan terus dengan tugasnya membelikan gua murtabak. Pakcik penjual murtabak juga hanya akan menyediakan murtabak jika arwah abah gua datang ke stallnya, yang sudah pun berpindah secara berkelompok di pasar Ramadhan. Di situ juga sudah ada 3-4 orang lain yang cuba-cuba untuk menjual murtabak.

Satu hari, dalam bulan Ramadhan, arwah abah gua teringin nak makan murtabak. Pakcik penjual murtabak tu terus tanya arwah abah gua.

“Apasal adik dah lama tak datang beli murtabak?”

Dia seperti terkejut apabila arwah abah gua beritahu yang gua ketika itu sudah pun belajar di Jordan. Mungkin dia ingat gua sudah tidak lagi suka makan murtabak, atau sudah bertemu dengan murtabak yang lebih sedap.

Dalam hidup ini, kadangkala kita kerap menyesali sesuatu. Kita rasa terkilan. Kita rasa tidak kesampaian. Ada hajat yang gagal dipenuhi. Selebihnya kita akan berpuas hati dengan kehidupan yang kita nikmati.

Ketika Ramadhan ini, sesudah berusia 32 tahun gua juga merasai perasaan terkilan itu. Gua juga rasa ada ketikanya banyak hajat gua yang tidak kesampaian. Ada sesuatu yang gua terima tapi tidak dapat gua kembalikan. Sekarang gua sudah pandai buat murtabak sendiri dan gua sudah ada kemampuan untuk beli seluar jeans sendiri. Gua sudah pandai buat murtabak untuk orang lain dan gua juga sudah ada kemampuan untuk membelikan orang lain pakaian.

Tapi pakcik penjual murtabak itu sudah tidak lagi berniaga. Stall murtabaknya sudah menjadi stall apam balik dan kuih bugis sahaja. Air tangan generasi keduanya tidak menyentap selera gua. Lagi pun gua sudah pandai buat murtabak sendiri.

Arwah abah gua pulak sudah lebih 7 tahun meninggal dunia. Sejak pulang dari Jordan pada 2001 dan bekerja, gua hanya mampu sekali membelikan arwah abah gua pakaian raya. Ketika Aidilfitri terakhirnya tahun 2002. Juga murtabak, yang hanya sekadar beberapa kali gua belikan ketika pulang ke kampung tapi bukan buatan gua sendiri. “Hutang” murtabak gua dan seluar jeans dengan arwah abah gua tidak akan selesai sampai bila-bila. Itu sahaja yang gua terkilan.

Tuesday, September 08, 2009

Satu Malam Sebelum Raya

Ada satu malam sebelum raya tu, beberapa tahun yang lepas gua terpaksa memandu ke Seremban. Ke stesen keretapi menjemput bapa sedara gua yang pulang dari KL. Dia mahu ambil “feel” pulang ke kampung pada malam raya dan gua pulak terpaksa mengorbankan satu malam paling istimewa yang hanya muncul setahun sekali.

Di kampung gua, setiap malam raya masjid kami akan mengadakan takbir dari rumah ke rumah. Kami akan dibahagikan kepada 3 kumpulan dan setiap kumpulan akan bergerak ke tiga kawasan berlainan. Kumpulan gua ialah di bahagian tengah kerana rumah gua terletak di bahagian tengah kampung dan kebiasaannya kami akan mengikut kumpulan mengikut kawasan rumah.

Selepas Isyak kami akan bergerak bermula sekitar jam 9 malam dan kebiasaannya akan berakhir sekitar jam 12 malam. Satu ketika dulu kami pulang hampir jam 2 pagi, tapi lewat ini banyak rumah yang tidak lagi berpenghuni. Bahkan ada tuan rumah yang tidak mahu rumahnya turut serta. Mungkin sukar untuk menyediakan hidangan atau mereka kini sudah ada televisyen satellite dan lebih senang bermesra dengan Azwan Ali dalam rancangan ucapan malam raya berbanding bertemu saudara sekampung yang ada antaranya pulang setahun sekali.

Bagi kanak-kanak, takbir malam raya itu adalah peluang awal untuk mengumpul duit raya. Dulu masa gua budak-budak, satu malam takbir itu boleh collect hampir RM20. Walaupun duit syiling 50 sen tapi bila esoknya lu pegi pekan main video game, duit berat lu masih tetap laku. Mungkin ada sebiji dua rumah yang anaknya ada rezeki lebih, kami akan dapat duit takde bunyi. Budak-budak akan tanpa malu buka sampul dan “uihhhh singgiittt woiii”. Tapi duit bukan sekadar untuk budak-budak sahaja kerana orang dewasa pun dapat jugak. Dan jenaka mereka lebih keras sedikit terutama ketika berdoa kerana ketika itulah tuan rumah akan keluar memberikan “sedekahnya”. Jika tuan rumah sedikit lewat maka ada yang akan berbunyi “aminn kuat-kuat sikit bebudak sekarang harga getah tengah naik niiii” atau pun “mana tuan rumah ni, tengah pecahkan tabung ke?”

Tapi duit itu bukan agenda utama, walaupun bagi budak-budak ia satu kemestian. Selain makanan yang memang sudah standard pagi raya, kami sebenarnya mahu bermesra secara berkumpulan. Dan peluang seperti ini hanya akan datang sekali sahaja setahun. Ketika inilah kami boleh bergurau secara santai, ketika inilah kami boleh bertemu menantu-menantu baru yang masih lagi malu, ketika inilah kami bertemu anak-anak yang dulu di rumah tapi kini sudah boleh bersama bapanya walaupun separuh jalan, ketika inilah juga kami mendapat peluang bersalaman dengan warga tua yang sudah tidak mampu lagi ke masjid, lelaki atau pun wanita, dan inilah juga peluang mudah untuk berziarah kerana keesokan harinya kami akan sibuk berhari raya bersama keluarga.

Oh Tuhan! Tolonglah kekalkan nikmat ini untuk kami semua. Bagi gua, itulah satu-satunya kemeriahan hari raya untuk mereka yang sudah dewasa di kampung kami. Kerana hari raya itu keseronokannnya untuk budak-budak tetapi malam raya itu adalah milik semua orang dewasa, yang jika dirampas ia boleh menyebabkan suasana hambar sepanjang perjalanan dalam kereta dari Seremban ke Jelebu.