Sudah lewat setahun gua tidak menulis.
Setepatnya, sudah satu tahun 3 hari, kalau dilihat pada tarikh terakhir blog
ini dikemaskini.
Tapi itu tidak bermakna gua tidak pernah ambil
tahu dengan dunia sekeliling. Itu tidak bermakna gua tidak ambil pusing dengan
kebijaksanaan Shahrizat Jalil mencari kekayaan untuk diwarisi anak cucunya.
Tidak menulis jugak tidak bermakna gua sudah lupa bahawa Isa Samad itu bukanlah
bekas seorang peninju tetapi orang mungkin lupa atau tidak tahu bahawa selain
mengepalai kumpulan penyamun Felda, Isa Samad juga adalah presiden persatuan
tinju kebangsaan. Itu adalah maklumat yang gua ada ketika kali terakhir gua
menulis – mungkin sudah digantikan Zed Zaidi atau pun Yusuf Haslam, lu orang
tolong kasitahu.
Gua juga masih ingat dan tahu bahawa Ibrahim
Ali dan Hassan Ali itu bukanlah adik beradik seperti Azwan Ali dan Azmin Ali –
walaupun Ibrahim dan Hassan lebih kerap seirama dalam menipu warga Malaya
berbanding kekerapan Azwan dan Azmin dikaitkan dalam satu berita pada satu
masa.
Kali terakhir gua menulis dahulu rasanya, Pak
Samad masih lagi segar dengan perjuangan pemansuhan bahasa Inggerisnya dalam
pengajaran Sains dan Matematik – dan kini Pak Samad lebih sinonim dengan
Bersih-nya.
Setahun yang lepas juga rasanya KERAjaan usai
perjuangan pemansuhan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris itu,
telah dengan mudahnya menukar silibus dan keduanya kembali diajar dalam bahasa
ibunda. Walaupun Firaun – yang bahasa ibundanya – sebenarnya bukanlah bahasa
Melayu seringkali menulis dalam kenyanyukannya tentang kepentingan bahasa
Inggeris untuk bersaing dengan dunia luar. Kalau belajar Sains dan Matematik
dalam bahasa Melayu – anak-anak kita akan ketinggalan, katanya.
Dua hari lepas, gua menghadiri majlis orientasi
untuk Al-Batoul yang akan memasuki darjah satu. Kalau dulu, orientasi bagi gua
dan warga yang seusia dengan gua ialah “ragging”. Tempoh seminggu untuk
menghadapi minggu orientasi dan kemudiannya dikenali sebagai minggu suaikenal
adalah satu perjalanan yang sangat panjang – seringkali dipenuhi dengan sepak
terajang, maki hamun dan dendam kesumat. Itu budaya di sekolah gua belajar –
sekolah lu orang mungkin lebih bertamadun.
Tapi hari ini budak seawal tujuh tahun sudah terpaksa
mengharungi hari orientasi. Pergilah ke sekolah mana sekali pun, ia sudah
menjadi agenda. Atau mungkin sekolah rendah gua di kampung terkecuali dalam
trend ini. Maklumlah, jumlah keseluruhan murid sekolah kami cuma 108 orang.
Hari orientasi yang anak gua lalui – juga adalah
satu perjalanan yang cukup panjang untuk gua, sebagai seorang ayah. Ini kerana
gua terpaksa mendengar pelbagai jenis benda baru – yang anak gua terpaksa lalui
sebagai seorang murid. Bukan sesuatu yang asing sebenarnya tetapi pelbagai
jenis program yang disingkatkan – yang terpaksa ditelan untuk tempoh masa tiga
jam – atas nama penambahbaikan system pendidikan – sebenarnya adalah satu
penyeksaan – kepada bapa dan juga kepada murid itu sendiri.
Sebenarnya budaya kita di Malaya ini sangat
mudah. Setiap orang yang berada di atas sana, mahu memperkenalkan sesuatu yang
menjadi trademark kepada eranya. Baghal ini dikenali dengan program itu, dan
lahabau itu pula dikenali dengan system ini. Panjang umur baghal dan lahabau
itu, maka panjanglah usia program dan system itu. Dan panjang juga lah rezeki
macai-macai tukang tulis tukang cetak tukang ceramah dan tukang penyebar
propaganda sekalian. Pendek umur si baghal dan penyamun itu, maka pendek jugak
lah rezeki macai-macai tukang tulis tukang cetak tukang ceramah dan tukang
penyebar propaganda sekalian. Kalau tidak percaya pergi tanya Abdullah Mat Zin
dan program Islam Hadhari-nya. Demi kelangsungan poket sendiri – hari ini
khabarnya Abdullah Mat Zin menjaja “wasatiyyah” pula seiring dengan trend semua
para pengampu sekalian. Kesian Pak Lah dan Islam Hadhari-nya, kini Cuma tinggal
sejarah. Baju Islam Hadhari pun gua dah tak pernah Nampak orang pakai. Hari ini
kotak kondom pun kalau boleh nak dicop dengan satu Malaya.
Kembali dengan program penambahbaikan di
sekolah tadi – sebenarnya bukanlah satu benda baru. Ia cuma nama baru untuk
idea lama demi menunjukkan yang si polan bergelar Menteri Pendidikan itu melakukan
perubahan untuk pendidikan. Untuk memajukan system pendidikan, katanya.
Tapi sedar atau tidak, anak-anak kita setiap
ketika menjadi tikus putih yang nasibnya akan ditentukan oleh keberhasilan system
atau program itu sendiri. Kini tidak ada lagi penilaian melalui peperiksaan,
dan jika kelak ia tidak dilihat berkesan, anak-anak kita akan kembali dengan
peperiksaan. Program hari ini ialah menambah waktu belajar bahasa Inggeris
dengan alasan untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris – juga penambahan waktu
Bahasa Melayu – dan jika Firaun satu hari nanti cucunya kelihatan gagal dalam
Sains dan Matematik, semua ini akan dirombak semula. Gua pasti juga sekiranya
Menteri Pendidikan itu bertukar – atau jika Anwar Ibrahim bernasib baik KERAjaan
itu bertukar – maka pasti juga system pendidikan itu bertukar.
Datanglah UMNO atau PKR sekali pun, PAS mahu
pun DAP – kesemuanya adalah parti politik yang memperjuangkan kelangsungan
politik masing-masing. Agenda pendidikan dan perubahan, mungkin dilihat penting
bagi mengukuhkan sokongan tapi nasib system pendidikan itu sendiri dan
tikus-tikus putihnya, bukanlah keutamaan.
Sistem pendidikan kita bukanlah gagal. Apa yang
gagal ialah perlaksanaan. Terlalu banyak perubahan bukan bermakna kamu itu
sebuah Negara maju yang memajukan pendidikan. Perubahan pada nama tapi bukan
pada isi juga adalah satu penipuan.
Mereka yang mengaut keuntungan ialah
tukang-tukang cetak dan tukang-tukang edar. Mereka yang susah ialah
tukang-tukang ajar iaitu cikgu – yang setiap kali system pendidikan itu
bertukar mereka juga terpaksa bertukar “tune”. Dan mereka yang menjadi mangsa –
ialah anak-anak warga Malaya sendiri. Mereka sesat dalam kerakusan para
penguasa yang mencari nama dan mencipta sejarah mereka sendiri.
Selamat Tahun Baru 2013.