Monday, December 31, 2012

Setahun Sudah Berlalu



Sudah lewat setahun gua tidak menulis. Setepatnya, sudah satu tahun 3 hari, kalau dilihat pada tarikh terakhir blog ini dikemaskini.

Tapi itu tidak bermakna gua tidak pernah ambil tahu dengan dunia sekeliling. Itu tidak bermakna gua tidak ambil pusing dengan kebijaksanaan Shahrizat Jalil mencari kekayaan untuk diwarisi anak cucunya. Tidak menulis jugak tidak bermakna gua sudah lupa bahawa Isa Samad itu bukanlah bekas seorang peninju tetapi orang mungkin lupa atau tidak tahu bahawa selain mengepalai kumpulan penyamun Felda, Isa Samad juga adalah presiden persatuan tinju kebangsaan. Itu adalah maklumat yang gua ada ketika kali terakhir gua menulis – mungkin sudah digantikan Zed Zaidi atau pun Yusuf Haslam, lu orang tolong kasitahu.

Gua juga masih ingat dan tahu bahawa Ibrahim Ali dan Hassan Ali itu bukanlah adik beradik seperti Azwan Ali dan Azmin Ali – walaupun Ibrahim dan Hassan lebih kerap seirama dalam menipu warga Malaya berbanding kekerapan Azwan dan Azmin dikaitkan dalam satu berita pada satu masa.

Kali terakhir gua menulis dahulu rasanya, Pak Samad masih lagi segar dengan perjuangan pemansuhan bahasa Inggerisnya dalam pengajaran Sains dan Matematik – dan kini Pak Samad lebih sinonim dengan Bersih-nya.

Setahun yang lepas juga rasanya KERAjaan usai perjuangan pemansuhan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris itu, telah dengan mudahnya menukar silibus dan keduanya kembali diajar dalam bahasa ibunda. Walaupun Firaun – yang bahasa ibundanya – sebenarnya bukanlah bahasa Melayu seringkali menulis dalam kenyanyukannya tentang kepentingan bahasa Inggeris untuk bersaing dengan dunia luar. Kalau belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu – anak-anak kita akan ketinggalan, katanya.

Dua hari lepas, gua menghadiri majlis orientasi untuk Al-Batoul yang akan memasuki darjah satu. Kalau dulu, orientasi bagi gua dan warga yang seusia dengan gua ialah “ragging”. Tempoh seminggu untuk menghadapi minggu orientasi dan kemudiannya dikenali sebagai minggu suaikenal adalah satu perjalanan yang sangat panjang – seringkali dipenuhi dengan sepak terajang, maki hamun dan dendam kesumat. Itu budaya di sekolah gua belajar – sekolah lu orang mungkin lebih bertamadun.

Tapi hari ini budak seawal tujuh tahun sudah terpaksa mengharungi hari orientasi. Pergilah ke sekolah mana sekali pun, ia sudah menjadi agenda. Atau mungkin sekolah rendah gua di kampung terkecuali dalam trend ini. Maklumlah, jumlah keseluruhan murid sekolah kami cuma 108 orang.

Hari orientasi yang anak gua lalui – juga adalah satu perjalanan yang cukup panjang untuk gua, sebagai seorang ayah. Ini kerana gua terpaksa mendengar pelbagai jenis benda baru – yang anak gua terpaksa lalui sebagai seorang murid. Bukan sesuatu yang asing sebenarnya tetapi pelbagai jenis program yang disingkatkan – yang terpaksa ditelan untuk tempoh masa tiga jam – atas nama penambahbaikan system pendidikan – sebenarnya adalah satu penyeksaan – kepada bapa dan juga kepada murid itu sendiri.

Sebenarnya budaya kita di Malaya ini sangat mudah. Setiap orang yang berada di atas sana, mahu memperkenalkan sesuatu yang menjadi trademark kepada eranya. Baghal ini dikenali dengan program itu, dan lahabau itu pula dikenali dengan system ini. Panjang umur baghal dan lahabau itu, maka panjanglah usia program dan system itu. Dan panjang juga lah rezeki macai-macai tukang tulis tukang cetak tukang ceramah dan tukang penyebar propaganda sekalian. Pendek umur si baghal dan penyamun itu, maka pendek jugak lah rezeki macai-macai tukang tulis tukang cetak tukang ceramah dan tukang penyebar propaganda sekalian. Kalau tidak percaya pergi tanya Abdullah Mat Zin dan program Islam Hadhari-nya. Demi kelangsungan poket sendiri – hari ini khabarnya Abdullah Mat Zin menjaja “wasatiyyah” pula seiring dengan trend semua para pengampu sekalian. Kesian Pak Lah dan Islam Hadhari-nya, kini Cuma tinggal sejarah. Baju Islam Hadhari pun gua dah tak pernah Nampak orang pakai. Hari ini kotak kondom pun kalau boleh nak dicop dengan satu Malaya.

Kembali dengan program penambahbaikan di sekolah tadi – sebenarnya bukanlah satu benda baru. Ia cuma nama baru untuk idea lama demi menunjukkan yang si polan bergelar Menteri Pendidikan itu melakukan perubahan untuk pendidikan. Untuk memajukan system pendidikan, katanya.

Tapi sedar atau tidak, anak-anak kita setiap ketika menjadi tikus putih yang nasibnya akan ditentukan oleh keberhasilan system atau program itu sendiri. Kini tidak ada lagi penilaian melalui peperiksaan, dan jika kelak ia tidak dilihat berkesan, anak-anak kita akan kembali dengan peperiksaan. Program hari ini ialah menambah waktu belajar bahasa Inggeris dengan alasan untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris – juga penambahan waktu Bahasa Melayu – dan jika Firaun satu hari nanti cucunya kelihatan gagal dalam Sains dan Matematik, semua ini akan dirombak semula. Gua pasti juga sekiranya Menteri Pendidikan itu bertukar – atau jika Anwar Ibrahim bernasib baik KERAjaan itu bertukar – maka pasti juga system pendidikan itu bertukar.

Datanglah UMNO atau PKR sekali pun, PAS mahu pun DAP – kesemuanya adalah parti politik yang memperjuangkan kelangsungan politik masing-masing. Agenda pendidikan dan perubahan, mungkin dilihat penting bagi mengukuhkan sokongan tapi nasib system pendidikan itu sendiri dan tikus-tikus putihnya, bukanlah keutamaan.

Sistem pendidikan kita bukanlah gagal. Apa yang gagal ialah perlaksanaan. Terlalu banyak perubahan bukan bermakna kamu itu sebuah Negara maju yang memajukan pendidikan. Perubahan pada nama tapi bukan pada isi juga adalah satu penipuan.

Mereka yang mengaut keuntungan ialah tukang-tukang cetak dan tukang-tukang edar. Mereka yang susah ialah tukang-tukang ajar iaitu cikgu – yang setiap kali system pendidikan itu bertukar mereka juga terpaksa bertukar “tune”. Dan mereka yang menjadi mangsa – ialah anak-anak warga Malaya sendiri. Mereka sesat dalam kerakusan para penguasa yang mencari nama dan mencipta sejarah mereka sendiri.

Selamat Tahun Baru 2013.

7 comments:

ayobkelubi said...

aku akan lalui benda ni tahun depan. yang pasti akan jadi sangat-sangat menjengkelkan mendengar "perubahan" kononnya.

Anonymous said...

terbaik

babazahra' said...

ayob,
silap2 tahun depan anak lu masuk sekolah diorang tukar lagi sekali

Anonymous said...

J'ai besoin de processus étape par étape. . Sommes-nous tous d'hébergement de sites Joomla compatible? Comment pouvez-vous dire si elles ne sont pas et faire?.

Unknown said...

selamat tahun baru

Wak Arjun said...

As-Salam Baba. Maaf. Tak perasan lu dah kembali. Like you've never left. Terbaek. Mantop. Teruskan.
Aku sentiasa doakan lu sejahtera agar dapat terus menulis. Fakta. Bukan auta.


Anonymous said...

teruskan menulis bro...