Monday, September 16, 2013

Rumah Tahi Lembu



Satu hari, ada orang ajak gua keluar. Pegi kampung orang. Jumpa orang dan bagi orang mesin penapis air. Dan makan kat rumah orang.

Gua dengan makanan, berpisah tiada. Kalau nak berperang pun boleh pasal makanan, tapi biar yang kena dengan selera.

Untuk merasa keluar pegi kampong orang, di sini, bukan lah satu benda yang mudah. Atau satu benda yang normal. Jarang-jarang sekali dapat merasa melihat dunia luar.

Dunia yang ada hanya lah tembok pemisah setinggi rumah dua tingkat. Bunyi hon lori aje yang lu dengar, tapi badan lorinya lu tak nampak. Kadang-kadang bunyi kapal pun ada gua rasa. Itu halusinasi gua lah.

Hari itu gua pergi kampong orang. Dua kampong gua pergi. Bukan main suka lagi diorang ni dapat penapis air. Ini bukan penapis air jenis yang lu orang beli kat luar shopping mall lepas tu bayar tiap-tiap bulan, ini penapis air jenis tapis air sungai boleh tadah satu kampong untuk minum.

Bekalan air bersih memang sesuatu yang luar biasa di sini. Sesuatu yang jarang atau bukan benda biasa. Bukan semua rumah boleh dapat dan bukan semua orang boleh merasa. Seperti juga bekalan elektrik, yang setahu gua masih dicatu.

Selepas habis majlis, pung pang pung pang pakcik tu cakap “jom kita makan”

Masa tu gua masih baru lagi di Iraq, gua jatuh hati betul dengan makanan diorang ni namanya “mefatah”.
Nasi, sekali dengan kismis. Atas dia ada tabur benda macam bihun tapi pendek-pendek.

Dan atas nasi itu yang paling menghuru-harakan dunia, kambing satu peha. Dan ini jenis dulang makan berdua atau bertiga.

Maka berbondong-bondong lah orang kampong, dengan gua sekali menuju ke rumah pakcik tu, yang juga syeikh kat kampong tu. Kira macam ketua kampong lah.

Rumah syeikh, dia aka nada satu tempat lepak, namanya “Mudhif”. Lebih kurang macam balai lah, faham balai? Bukan balai polis, balai ni macam wakaf tapi besar lagi. Jadik “Mudhif” pakcik ni, diperbuat daripada sejenis tanaman macam tebu, atau macam buluh, dan design dia sungguh lah style, sungguh lah architectural nya.

Maka masuk lah kami beramai-ramai ke dalam “Mudhif” ini yang ada pulak di hujungnya minbar serta gambar Sayyidina Hussein.

Tapi masa mula-mula sampai tu gua dah rasa lain macam. Hidung gua macam dah start buat perangai menghidu sana menghidu ke sini.

Siap hidang semua, kami pun mula makan. Gua duduk satu dulang dengan seorang bodyguard Brits. Taktik juga ni sebenarnya, sebab gua syak dia ni tak berapa suka sangat dengan makanan Arab jadi gua boleh champion lah.

 Ada “mefatah” dan ada juga “masquf”. Tukar Tiub cakap dengan gua masa dia di Iraq dulu pun dia suka makan “masquf” ni, antara makanan yang famous jugak. Ikan air tawar, diorang grill dengan rempah apa benda entah, potong butterfly lepas tu hiding macam tu aje. Sekali dengan lemon. Gua tak boleh blah sangat dengan ikan air tawar ni, jodoh gua lebih kuat kepada kambing.

Kambing dia memang power, tarik aje daging tercabut terus daripada tulang. Gua tak tahu diorang masak pakai dapur jenis apa ni, lembut macam tak ingat. Nasib gua bertambah baik apabila, gua tengok mamat Brits ni dia lebih attack “masquf” daripada “mefatah”.

Cuma, hidung gua ni masih lagi tak berhenti menghidu. Gua macam mengesan satu macam bau, yang agak mengganggu konsentrasi gua nak habiskan satu peha kambing. Gua makan kambing tapi gua rasa bagaikan berada dalam kandang lembu. Apakah semua pakcik-pakcik Arab ni jenis bangsa tak mandi dan busuk macam lembu? Atau mereka ini jelmaan lembu sebenarnya?

Slow-slow aje gua tanya boss Corporate Affairs yang ajak gua datang situ. Dia ni dah lepak dua tahun jugak kot.

“Apasal bau tahi lembu kuat sangat hah? Sebelah “Mudhif” ni ada kandang lembu ke?”

Brader ni berhenti menyuap sekejap, sambar air coke tipu, dan minum.

“Rumah diorang ni, semua buat daripada tanah, blok-blok tanah tu diorang dah campur dengan tahi lembu sekali untuk kasi melekat kuat, tahan hujan panas”

Gua slow-slow pandang mamat Brits tu. Dia masih laju menyuap ikan. Sambil-sambil bilas dengan air coke tipu.

Gua bangun pandang dia dan cakap gua dah kenyang. Padahal kambing satu peha tak berapa nak luak lagi. Pakcik sebelah gua pun macam tak berapa nak bagi aje gua bangun. Takpe lah, banyak hari lain lagi gua boleh makan “mefetah”.

Orang lain macam relaks aje, mungkin hidung diorang tersumbat, atau deria bau mengalami kecacatan.

Balik tu dalam kereta gua berfikir, cemana diorang hidup dari kecik sampai besar dalam rumah tahi lembu tu.

Cemana diorang makan diorang tidur diorang masak, borak dan macam-macam cemana lagi.


Ahhhh…gua punya tekak betul-betul kembang.

Tuesday, July 02, 2013

Welcome To Iraq




Dulu semasa zaman belajar, kami faham perangai Arab yang sangat sukar dijangka. Undang-undang atau peraturan yang dibuat pada waktu pagi boleh berubah pada ketika matahari belum pun sempat terpacak atas kepala. Selain daripada bersepakat untuk memiliki bau kaki yang sama, bangsa Arab juga sepakat untuk mempunyai perangai yang serupa dalam membuat peraturan. Selebihnya mereka akan berkonflik sampai berperang.

Tapi kepada para pelajar, semua itu dianggap sebagai cabaran lah kononnya. Ini lah dia cabaran orang menuntut ilmu, kata mereka yang kepalanya berkopiah putih. Nabi dulu cabarannya lebih besar. Period.

Sebenarnya tujuan mereka adalah serupa, iaitu untuk mendapatkan “sesuatu”. Gua rasa mereka yang hidup di Mesir sudah biasa dengan ini semua. Dan sebagai “the mother of the civilization” bangsa Mesir menjadi pelopor kepada perangai buruk ini.

Tapi kepada para pelajar, apa sangat lah yang boleh mereka berikan sebagai “sesuatu”. Nak makan pun mak ayah bagi. Kalau nasib baik sikit mewah dengan duit biasiswa. Daripada bagi ke Arab, baik simpan beli hi-fi kat Mekah, sebagai contoh. Lain lah orang bijak menyimpan macam gua, menabung untuk beli seluar bundle, sebagai contoh jugak.

Lain cerita nya apabila terlibat dengan bangsa Arab ini ketika gua sudah bekerja. Kali ini perangai bodoh itu tetap sama, cuma kali ini mereka tidak akan berganjak tanpa mendapat sesuatu. Lebih kurang empat lima kali ulang untuk dapatkan student visa, akhirnya mesti lepas jugak – kalau zaman belajar dulu lah. Tapi hari ini kalau lu ulang enam puluh lima kali pun, selagi tak dapat diorang akan buat bodoh.

Di Libya dulu, gua dengan hati yang penuh kesangsian terpaksa menterjemah satu frasa yang gua rasa macam mimpi aje gua dengar.

Ceritanya begini – dalam satu meeting antara boss gua dengan Datuk Bandar, boss gua mengadu pasal tuntutan kewangan yang dah hampir setahun belum dapat lagi. Padahal projek dah siap, dah award projek lain, yang dah jugak nak hampir siap. Semua paper work dah bagi, tapi macam-macam alasan buat nak tangguh payment. Nak betulkan font lah, nak betulkan nama projek lah, dah translate dah certified suruh amend lagi dan sebagainya.

Jadi dalam meeting tu, Datuk Bandar yang gagah perkasa ini tanpa segan silu cakap dengan gua suruh cakap dengan boss gua – cakap dengan dia pasal payment ni macam yang aku sebut tu, dah ready kereta tu nanti aku sign, Hyundai Azera, kaler hijau yer.

Gua yang sangat genius ini rasa macam budak darjah satu baru pandai mengira. Bingung. Dia buat lawak atau dia memang serius. Dia ulang sekali lagi suruh gua cakap dan sebaik gua bagitahu boss gua pun mengangguk cakap dia dah arrange itu semua.

Gua tak tahu lah kalau boss gua pun boleh kencing Arab tu sebab setahu gua tak pernah ada pulak gua Nampak kereta Hyundai Azera kaler hijau, tapi gua confirm payment dah release apabila anak Abang Besar campur tangan. Itu dulu.

Sekarang gua sudah di Iraq. The Cradle of the Civilization. Owh gua sangat sibuk sehingga belum sempat menulis di sini memberitahu pengembaraan Blues Orang Jelebu kini sudah singgah di tempat baru. Gua sudah tiga bulan di tanahair Saddam Hussein ini. Sayangnya ketika gua di sini Iraq sudah tidak punyai pemimpin yang karismatik lagi, tidak seperti ketika gua di Libya dulu.

Iraq pun tidak banyak bezanya. Datang lah seribu orang pemimpin pun, datanglah bala tentera seribu buah negara sekali pun bangsa Arab ini akan tetap sama.

Dua minggu lepas cakap suruh buat macam ini, submit dan lulus. Gua buat macam yang dicakap, ikut betul-betul, hari ini gua pegi dia suruh buat lain pulak. Tambah benda lain pulak.

Mungkin betul sebab dua minggu adalah tempoh yang lama. Dakwat SPR pun tak boleh kekal sampai dua minggu, ini pulak bangsa Arab. Dua minggu itu macam-macam boleh jadi.

Maka hari ini, gua keluar pukul enam pagi, naik kereta ke Basra selama lima jam yang penuh menyeksakan, sesat barat mencari opis, menjejak tanah cuma tak sampai setengah jam, dan selepas itu naik kereta semula selama lima jam – hanya untuk diberitahu yang gua kena buat style lain paper work ni, dan tambah benda baru. Itu belum campur tak boleh berhenti makan, kena kencing tepi padang pasir sambil bodyguard cover belakang gua, plus bullet proof vest yang beratnya sepuluh kilo gua terpaksa pakai selama sepuluh jam.

Welcome to Iraq.