Saturday, October 08, 2016

Dari Bolzano ke Kampung Kandek


Tiga hari lepas gua berbual dengan seorang kawan berkaitan rumah yang dibinanya di kampung. Nun jauh di pedalaman Sarawak. Berborak pasal pelan, berborak pasal rekabentuk dan juga kontraktornya. Walaupun jauh di pedalaman, tapi harga rumah yang dibina boleh tahan juga harganya, walaupun rumah yang diminta cuma jenis biasa-biasa sahaja. Bukan banglo dua tingkat pun.

Gua tanya kenapa tak mahu buat rumah kayu, dan seperti biasa jawapan yang sering kita dengar, kayu terlalu mahal. Dia bukan orang pertama yang gua ajukan soalan itu, bahkan sudah gua dengar puluhan kali sebelum ini. Entah kenapa kita punya hutan belantara yang luas tapi tidak lagi dapat menikmati keindahan memiliki rumah kayu. Maka jadilah mereka yang punyai rumah kayu itu, sebagai manusia yang memang betul-betul punyai duit lebih, walaupun mungkin tidak sebanyak duit-duit yang di dalam almari itu.

Musim sejuk yang lepas, kembara berkereta gua sekeluarga membawa kami ke Bolzano, Italy. Ia adalah destinasi ke-6 daripada keseluruhan 12 destinasi. Ia tidak dirancang dan gua sendiri tidak pernah berkhayal untuk ke Bolzano. Ia menjadi pilihan sehari sebelum perjalanan untuk mendapatkan sebuah destinasi bagi mengurangkan keletihan memandu. Kami berehat selama tiga hari di Bolzano. 

Bolzano ialah sebahagian daripada Dolomites, rangkaian pergunungan di timur laut Italy yang membentuk banjaran Alps (Southern Lime Alps). Secara tepatnya ia di dalam wilayah South Tyrol, yang bersempadan dengan Austria, lalu hampir 30% penduduknya berbahasa German. Bahkan papan tanda jalan dan segala maklumat pelancongan juga dwi-bahasa. Nampaknya pilhan kami tidak silap. Bolzano berada di ranking pertama di Italy sebagai tempat kehidupan berkualiti.

Rumah-rumah kayu masih mendominasi kawasan luar bandar, yang menjadi pilihan tempat tinggal kami. 150 meter daripada tempat kami menginap terdapat sebuah kilang kayu yang sederhana besar, dengan longgokan kayu balak di tepi jalan. Gua sempat berbual dengan seorang wanita ketika mengisi minyak kereta, katanya kilang tersebut membekalkan kayu untuk kegunaan wilayah Bolzano sahaja. Ia juga terkawal kerana mahukan sumber yang berkekalan dan mereka juga seperti kebanyakan negara Eropah yang lain, proaktif dalam sistem tanam semula hutan. Lebih menarik, kilang kayu tersebut dimiliki oleh Coldiretti, sebuah pertubuhan peladang yang dominan di Italy.

Bolzano adalah salah satu daripada wilayah yang menyertai Alpine Convention yang bertujuan untuk mewujudkan pembangunan luar bandar yang berkekalan untuk kawasan sekitar banjaran Alps. Dengan undang-undang kawalan pembalakan dan sistem tanam semula hutan, penduduknya masih terus dapat menikmati sumber kayu, dan dalam masa yang sama tetap menghirup udara yang nyaman daripada belantara hijau di banjaran Alps milik mereka.

Di tepi-tepi jalan, gua dapat melihat penduduk yang mengumpulkan kayu-kayu yang ditebang di dalam hutan dan dimuatkan ke dalam kereta untuk kegunaan sendiri di rumah. Sekitar musim sejuk, kadar penggunaan kayu juga meningkat tetapi dengan kawalan yang teliti dan integriti yang tinggi, kawasan hutan yang dikhaskan sahaja boleh ditebang dan diambil kayunya, dan mereka tidak berdepan masalah hutan yang botak diceroboh secara haram atau pun bekalan yang berkurangan. 

Gua teringat semula perjalanan ke Kampung Kandek, di Dabong, Kelantan bersama dengan Dapur Jalanan KL bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir pada January 2015. Gua yang pertama kali ke Kelantan memang teruja dengan kehijauan hutan belantara negeri Cik Siti Wan Kembang. Memasuki Gua Musang melepasi Merapoh pada awal pagi, bersarapan dengan udara yang nyaman merupakan pengalaman yang masih segar dalam kepala. Namun sesudah meninggalkan bandar Gua Musang menuju ke Dabong, gua mula melalui kawasan hutan yang botak ditarah. Hutan sudah hilang serinya, udara juga sudah tidak nyaman lagi.

Segala yang didengar selama ini berkenaan pembalakan yang tidak terkawal sudah terbentang di depan mata. Memasuki kawasan Dabong dan menuju ke Kampung Kandek, air dan tanah yang berwarna merah meliputi pemandangan sepanjang jalan. Air yang melimpah menenggelamkan rumah-rumah kayu yang uzur itu semuanya air berlumpur berwarna merah. Bukti hutan di atas sana sudah terang dan tidak lagi mampu menampan ketibaan hujan yang lebat. Memasuki Kampung Kandek, gua melihat sendiri bagaimana manusia menderita nun jauh di pedalaman akibat kerakusan dan tamak haloba mereka yang berkuasa.

Cerita sebegini bukan sahaja di Kelantan, ia juga berlaku di Pahang, ia juga berlaku di Negeri Sembilan, Perak, Sabah, Sarawak dan pelbagai tempat lagi yang mungkin kita tidak pernah terfikir. Imej satelit yang tersebar dua tiga hari lepas memaparkan hutan belantara yang botak di negara kita, yang hanya menunggu masa untuk membawa tibanya penderitaan kepada kita yang terus bersetuju dan akur ini. Kalau bukan untuk generasi kita, kesannya akan menimpa generasi yang akan datang. Itu pasti.

Tiada integriti, kerana tamak dan rakus untuk mengaut segala kekayaan menyebabkan mereka yang berkuasa dengan semudahnya melupakan kesan hari kemudian. Kononnya menanam semula hutan adalah sekadar modal berlabun untuk menjadi bahan cerita akhbar. Pokok yang ditanam cuma sebelas, hutan yang dtarah ratusan hektar. Apabila dijerkah rakyat, alasannya sumber pendapatan negeri. Apabila ditegur warga, katanya itu Sultan Yang Maha Berkuasa yang punya.

Ya, kitalah bangsa yang kelmarin dulu bercerita tentang Islam, kita bercerita tentang undang-undang Tuhan, kita yang bercerita tentang budi, pekerti dan demokrasi. Kita adalah bangsa yang penuh dengan ketinggian moral dan serban sebesar baldi, dan kita jugalah yang sembahyang mengadap Tuhan siang dan malam sehingga hitam dahi dan buku lali. Tapi sebenarnya kita jugalah yang menghancurkan tanahair sendiri, kita berak dan kita kencing kepada masa depan generasi akan datang, kita pijak dan kita ludah moraliti itu lalu kita tanam jauh ke dalam kerak bumi.

Betul, padang di sebelah sana sentiasa kelihatan hijau. Tapi bercakap pasal moral, letaknya tetap sama dalam akal manusia. Ia bukan timbangan sebuah agama dan ia bukan pengukur satu bangsa. Ia wujud sama rata dalam seluruh urat saraf makhluk yang bergelar manusia.

Untungnya warga Bolzano, kerana moraliti masih lagi wujud dan dihormati kewujudannya. Dengan penghormatan itu sahaja, pelbagai nikmat lain menyusul. Berkekalan dan dinikmati secara sama rata.

Mempunyai rumah kayu bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk mereka, tapi bagi kita, bagi kawan gua yang membina rumah di pedalaman Sarawak sana, yang kampungnya dikelilingi belantara, ia seperti memasang cita-cita mahu menjadi angkasawan, ia mungkin tercapai tapi bukan mudah untuk digapai.

Mengenang balak yang ditebang secara haram, ingatan terpaut pada penduduk Kampung Kandek, entah bagaimanalah nasib mereka sekarang. Pastinya bukan bertuah seperti warga Bolzano.

3 comments:

ayobkelubi said...

Oksigen kt malaysia kalau blh jual, derang kaut juga niiii

radzmi said...

Duit nak simpan dalam almari mesti tebang hutan.... Kalau tak kosong la almari

rakit said...

cerita bro 2016 baru gua baca balik dlm tahun 2018..dan masih lg menunggu yg terbaru seperti tahun2 sebelumnye...