Friday, March 09, 2007

Keindahan Tidur



Pernah satu ketika dahulu dalam tahun 1996, gua terpaksa tidur dalam sebuah bilik kosong (abandoned room) dengan hanya beralaskan suratkhabar dan berbantalkan beg. Puncanya kenapa gua terpaksa menginap di bilik itu, biarlah ia menjadi rahsia gua sahaja, tetapi ia memang satu pengalaman yang agak rumit untuk di akhiri. Ia menjadi satu malam yang sangat panjang. Kebetulan gua turut membawa skateboard, jadi untuk menghilangkan boring kerana sukar untuk tidur, gua bermain skateboard. Di dalam gelap. Entah apa yang kelihatan dalam gelap itu pun gua kurang pasti. Apa yang pasti banyak kali juga gua terlentang dalam gelap sebab terlanggar batu. Gua pun tak pasti bagaimana jika ada yang terdengar bunyi skateboard bergerak dalam gelap sekitar 2 atau 3 pagi? Itu akan gua ceritakan nanti.
Malam itu memang sangat panjang. Nyamuk pula seperti mahu menambahkan lagi penderitaan gua. Rupanya berbaring di atas simen ini memang menyakitkan. Sebab itulah tilam tercipta. Selain untuk keselesaan tidur, tilam juga menjadi pemisah antara simen dan tubuh anda. Kemudian pula wujudnya katil. Ia bagi menjadikan jarak antara tubuh anda dan simen semakin jauh. Bahkan terus tidak berkait. Suratkhabar yang gua jadikan alas hanyalah senaskhah. Ia memang tidak cukup. Mungkin jika ia setebal akhbar yang gua jual setiap 2 bulan kepada pembeli “suratkhabarrr lamaaa” pasti gua lebih selesa. Akhirnya entah jam berapa gua tertidur pun gua kurang pasti. Tapi memang kurang selesa. Sangat tidak selesa. Bangun ketika subuh masih lagi berbaki untuk mengelakkan dilihat orang. Sangat berharga pengalaman itu. Hasilnya, esok gua demam. Belakang gua sakit dan seluruh tubuh gua berasa sangat lemah. Bagaimanakah penderitaan mereka yang dipenjarakan? Mereka yang menjadi mangsa seksaan tirani? Sudahlah tidur tidak bertilam, bilik yang kecil dan disusuli pula dengan penyeksaan. Nampaknya penderitaan gua pada malam itu hanya sebesar kuman, atau mungkin tidak kelihatan jika dibawa ke bawah mikroskop. Bagaimana pula dengan mereka yang tidak berumah? Yang saban malam terpaksa mendiami jambatan tinggal. Mungkin beralas kotak jika untung nasibnya baik dan mungkin hanya berbantal lengan. Nampaknya pengalaman gua malam itu, sudah menjadi sebesar hama.
Sebenarnya pengalaman mengajar manusia menjadi matang. Ia mungkin berguna pada kemudian hari. Ia juga boleh dijadikan pengajaran agar tidak berulang lagi. Dan bagi gua pula, ia boleh dijadika kenangan. Secebis kenangan dalam perjalanan hidup yang panjang.
Kemudian semasa di Eropah, gua juga terpaksa melalui pengalaman yang serupa. Semuanya berkaitan tidur. Ia sangat penting bagi kehidupan gua, dulu kini dan selamanya. Tidur menjadi satu elemen yang sangat penting. Gua terpaksa sekali lagi tidur berbantalkan beg. Mungkin kali ini lebih selesa kerana di Eropah anda tidak akan digigit nyamuk. Syukur. Tetapi kesejukan malam lewat August 1997 itu memang menyeksakan. Malam pertama terpaksa tidur di Zoo Berlin. Menariknya zoo di Eropah ialah konsepnya yang terbuka dan terletak di tengah bandaraya. Zoo Berlin hanya sepelaung dari stesen keretapi U2 U-Bahn Berlin Zoologischer Garten yang mengambil nama sempena nama zoo itu juga. Gua tidak tahu yang taman tempat gua bakal berlabuh itu adalah sebuah zoo, kerana gua sampai ke Berlin sudah jam 9 malam. Tetapi gua dan rakan seperjuangan memang terdengar bunyi gajah ketika melalui kawasan gelap di taman itu. Dan kami juga perasan keunikan nama stesen keretapi tersebut. Tidur di atas bangku taman bukanlah selesa sangat. Walau beg sandang kami besar dan tidur beralas selimut, tetapi suasananya terdedah. Cuaca pula agak sejuk dan kami pula terpaksa tidur mengikut syif demi keselamatan.Apabila bangun keesokan harinya objek pertama yang gua lihat ialah seekor arnab berwarna putih yang sedang mencari makanan di sebalik rimbun bunga. Ketika keluar membeli sarapan barulah gua perasan yang sebenarnya taman itu sebahagian daripada zoo tetapi bukan di dalamnya. Bunyi gajah dan binatang lain pula adalah kerana laluan yang kami ambil sememangnya bersebelahan dengan kandang mereka. Malam esoknya pengalaman yang sama juga mengajar kami untuk menjadi lebih selesa. Sebelum 12 malam, kami akan melelapkan mata dengan sepuasnya terlebih dahulu dan selepas semua premis ditutup kami akan beredar ke bangku yang sama untuk “tidur-tidur ayam”. Pernah juga selepas kembali ke Berlin semula dari Austria, kami membeli tiket wayang. Filemnya ialah Mr Bean. Ia sungguh satu nostalgia. Kami bukan menonton tetapi masuk panggung untuk tidur. Filemnya pula dialihbahasa. Kami tiba-tiba terjaga ketika ayam turkey yang dimasak meletup dalam microwave. Setiap kali menonton adegan itu, gua akan kembali bernostalgia.
Di Prague juga kami pernah tidur merata. Walaupun ia masih seperti di Vienna dan Berlin, tetapi bilangan mereka yang tidur di tepi jalan sangat ramai. Mungkin kerana penguatkuasaan yang kurang tegas atau mungkin kerana Prague lebih terbuka dan banyak dikunjungi oleh Budget Traveller seperti kami. Malam pertama selepas melarikan diri dari hujan di Wenceslas Square, kami tidur di Hlavni Nadrazi, yang merupakan stesen sentral dan terbesar untuk keretapi di Prague. Ia juga mempunyai kedai yang dibuka 24 jam serta penumpang transit yang ramai. Mungkin sekitar sejam sekali akan ada anggota polis yang meronda dan mengejutkan semua orang supaya tidak tidur d atas bangku atau merata tempat di dalam stesen itu. Selepas mereka beredar kami semua akan kembali tidur. Begitulah seterusnya sehinggalah esok, selepas pejabat kembali beroperasi, baru kami mendapatkan bilik. Barulah selesa tidur kami walaupun hanya 2 malam kerana tempat yang terlalu jauh dari pusat bandar dan hostel itu pula adalah bekas sekolah kejururawatan Kristian. Agak menyeramkan lantas kami beredar dan menetap di sebuah hostel di bangunan bersebelahan Hlavni Nadrazi. Punyalah rumit untuk memilih tempat tidur. Sedangkan nun jauh di sudut lain dalam dunia yang sama, ada insane yang terpaksa tidur di bawah jambatan. Bukan kehendaknya dan bukan pula paksaan. Tetapi keputusan tegas kehidupan menentukan bahawa dia perlu untuk menjadikan bawahjambatan atau kolong sebagai tempat tidur. Kenapa kita masih lagi tidak bersyukur?
Vienna juga adalah tempat yang dilarang “bumping” atau tidur bersepah-sepah. Jadi kami terpaksa tidur di dalam taman di Vienna Museum of Fine Art. Agak mencabar kerana malam yang sejuk dan sesekali hujan renyai turun. Kami terpaksa menanti sehingga kawasan muzium itu ditutup barulah kami menyusup masuk dan berehat. 2 malam di sana dan 1 malam yang lain kami berjaga lantas esoknya tertidur di stesen keretapi. Gelagat kami yang tidur seperti tidak sedar diri menyebabkan kami ditahan untuk soal siasat oleh polis di stesen keretapi itu. Sepanjang perjalanan itu, tidur tetap menjadi eleman yang sangat penting untuk gua dan rakan-rakan. Entah kenapa, wang yang dihabiskan untuk mengembara bukanlah sedikit dan bila sudah mengembara, tidur masih lagi dilihat keutamaan. Apabila mendapat tilam yang empuk di Prague kami seperti lupa dunia, tidur sepuas yang boleh, mungkin untuk menggantikan waktu tidur yang hilang. Betapa ruginya.
Semasa di Mekah juga, gua pernah berdepan dengan masalah tidur. Bukan tidak boleh tidur, tetapi gua selalu sangat tidur. Memang sangat merugikan. Gua pernah tertidur sesudah subuh sehingga gua terasa matahari sudah agak perit memancar. Kerana berada di Mekah dan kerana musim haji, memang tiada yang menghirau. Gua juga tidur di tepi sebuah bangunan ketika berjalan kaki dari Mina ke Mekah. Sangat penat menyebabkan gua terpaksa tidur. Gua memang ada bermacam pengalaman tidur. Ada yang indah dan ada yang menyakitkan. Gua pernah tidur di Hentian Nilai, berhampiran Nilai Memorial Park. Jam sudah pukul 2 pagi. Untuk meneruskan perjalanan dengan menaiki motosikal, berseorangan dan kemudian melalui Bukit Tangga, juga berseorangan, membuatkan gua berfikir 2 kali. Sebenarnya gua boleh mengelakkan kesemua itu. Gua tidur di rumah kawan di Pantai Dalam. Kawan itu pula hanya menyewa bilik, dan baru menjadi penghuni selama 2 minggu. Malam itu dia bekerja menjadi pengawal keselamatan kerana menggantikan kawannya yang tidak sihat. Kononnya mahu merasakan juga pengalaman seorang pengawal keselamatan, gua keluar dari bilik sewa kawan gua di Pantai Dalam dan meninggalkan kunci rumah gua serta kunci rumahnya sekali. Bila di tempat kerjanya gua rasa sangat tidak selesa untuk tidur, gua mahu kembali semula ke bilik sewa, tetapi kunci dah tertinggal. Untuk kembali ke Subang, gua juga perlu mempunyai kunci. Gua memang membawa beg sandang kononnya sebagai persediaan untuk pulang ke kampung keesokan harinya. Jadi gua mengambil keputusan mudah untuk terus pulang ke kampung. Jam sudah pukul 12.30 malam. Dan apabila sampai di Hentian Nilai gua berhenti untuk minum. Di situ gua sudah terfikir, jika terus balik gua akan terpaksa lalu di Bukit Tangga. Seorang diri. Pukul 2 atau 3 pagi. Menaiki motosikal. Lantas gua merebahkan badan di atas sebuah meja makan. Terlalu banyak nyamuk dan gua beredar untuk tidur di surau pula. Nasib gua malang apabila surau telah penuh. Bukan gua seorang sahaja yang takut menaiki motosikal bersendirian di waktu malam. Gua pilih untuk tidur di wakaf. Lagi banyak nyamuk dan sekitar 4 pagi hujan pula turun dengan lebat. Mujurlah ada sepasang kekasih yang tidur berhampiran gua, dapatlah juga menjadi teman menanti waktu subuh. Sesudah suuh gua berambus meninggalkan segala memori pahit di situ. Entah berapa liter darah gua sudah disedut nyamuk gua pun tak tahu. Sekarang setiap kali berhenti di situ dan terpandang wakaf yang sama, gua akan kembali bernostalgia.
Pernah juga sekali gua tidur bersendirian di Mafraq. Tidur di rumah orang lain. Beit Freij. Semua ahli rumah pulang ke Malaysia. Siangnya gua baru menghantar 2 dari mereka ke airport. Jadi yang tinggal hanya seorang. Petang itu gua menghabiskan masa bermain skateboard di atas bumbung dengan seorang kawan. Malamnya gua lepak seorang diri bagi menantikan seorang penghuni rumah itu pulang. Malangnya dia menelefon gua dan memberitahu yang dia tersekat di Irbid sebab bas sudah habis. Gua ingatkan dia ada di Mafraq. Waktu itu pulak jam sudah hampir 10malam. Gua mengambil keputusan untuk tidur. Sekitar jam 2 pagi gua terjaga. Gua terdengar bunyi orang bermain skateboard di atas bumbung. Gua tidak bermimpi. Bunyi itu datang dan pergi kerana bumbung itu sangat luas seperti juga rumah tersebut. Gua meninjau ke ruang tamu dan melihat skateboard gua serta milik Acmal masih lagi di tempatnya. Dan waktu yang sama bunyi orang bermain skateboard masih lagi kedengaran. Ada ketikanya ia berpusing dan membuat turning di atas bilik tempat gua tidur itu. Sangat menakutkan. Gua pasti yang gua tidak bermimpi dan gua membuka tingkap untuk mendengar tetapi bunyi itu seperti mempermainkan gua. Ia lantas berhenti. Apabila gua kembali menutup tingkap ia akan berbunyi. Agak lama sekitar sejam bunyi itu mengganggu. Gua memasang kaset bacaan Al Quran. Ia tidak berhenti. Hendak keluar pergi ke rumah orang, lampu di tangga rosak. Tangganya pula banyak dan luas serta tertutup. Akhirnya entah jam berapa gua tertidur. Subuh itu gua terjaga dan kaset masih terpasang. Bukti bahawa gua tidak bermimpi.
Entahlah, gua masih percaya ia bukan mimpi. Dan ia akan terus kekal sebagai satu lagi nostalgia. Ia satu memori gua apabila bercerita mengenai tidur. Ia satu peringkat yang amat penting dalam kehidupan gua dulu kini dan selamanya.
Tidur yang sungguh indah dan tidak dapat digambarkan. Ini kerana kita tertidur dan hanya merasakan nikmatnya seketika sebelum tidur dan seketika selepas jaga. Jam sekarang sudah 2.50 pagi. Gua juga seperti rindukan tilam IKEA yang empuk itu. Indahnya tidur.

No comments: