Monday, March 31, 2008

Beritahu Gua Apa Rasanya Kahak Itu!

Malam tadi gua menonton Fitna. Kosong, ia rupanya satu filem kosong. Seperti satu bedtime story yang sudah disurahkan ke telinga kita sejak berusia 3 tahun cuma kali ini ia diangkat ke medium yang berbeza. Sudah biasa didengar. Filem seperti ini hanyalah tindakan orang-orang yang sakit. Ia tindakan orang yang takut dengan bayangan mereka sendiri. Ia seperti menepuk air di dalam dulang, kurang-kurang ada yang terpercik ke muka sendiri, paling tidak basah seluar sendiri.

Orang yang kurang matang, mesti akan berkata whoooaahhh, ooohhhhhh, ish ish ish ish! Manakala mereka yang matang pula akan berkata, kesian mereka ini menjadi mangsa kerana mempertahankan agama suci mereka, sedang mereka tidak pernah mengganggu agama kita. Atau kalangan yang sangat matang pula akan berkata, ia tidak menggambarkan keseluruhan agama Islam itu sendiri, mereka mempertahankan agama mereka kerana dalam masa yang sama mereka dizalimi, tanah mereka dijajah, negara mereka bergolak kerana campurtangan barat dan komuniti mereka turut digugat dengan kerja tabsyir ( missionary). Atau yang terlalu matang akan menjawab ringkas, para orientalis mengambil masa berpuluh tahun untuk mengkaji Al Quran dan isinya, beserta ilmu pentafsirannya, aspek bahasanya, balaghah, apa itu nasakh mansukh, asbab nuzul, aqsam Al Quran, amthal Al Quran, gharibil Quran dan mukjizatnya dari pelbagai sudut, kamu dengan hanya menjadi Ahli Parlimen dan berduit untuk membikin filem 15 minit, terus meloncat ke titik rumusan?

Gua menulis setelah menonton dan bukannya menulis sebelum menonton atau tidak langsung menonton.

Sebab itu rasanya lebih seronok menonton politik realiti di BolehLand, yang tiada unsur kekosongan sebab setiap hari semakin ramai ahli-ahli politik terbuang yang mahu menukar karier menjadi blogger, atau menjadi beruk menurut istilah seekor beruk. Atau menjadi manusia yang gagal menurut istilah seorang manusia yang gagal. Ia bukan filem yang kosong. Realiti, setiap hari, bukan 15 minit, ada wataknya, Jawa, India, Melayu yang mungkin berdarah Siam dan boleh jadi juga penderhaka yang tewas.

Politik Malaysia sebuah pementasan realiti. Ketika kenyataannya di dalam akhbar-akhbar propaganda belum lagi menjadi pembungkus nasi lemak atau alas makan kucing atau juga pengelap bontot yang bertahi jika terdesak, sudah keluar pula ritma yang baru. Itu baru politik, baru realiti dan bukannya program realiti yang ada skrip.

2 minggu lepas mereka berkahak, sehingga tidak keluar suara, sehingga habis sudah kain-kain putih pembungkus mayat diconteng untuk melahirkan kemarahan, hari ini mereka kembali menjilat kahak sendiri. Itulah politik, kalau lu tak berani jilat kahak, jangan cuba-cuba batuk sampai nak tercabut anak tekak.

Oh ya, mereka itu juga yang gagal, yang tewas dan mereka itu juga yang menjadi beruk. Akhirnya lah, setelah puas berkahak tadi. Dan mereka semakin berani, untuk turun ke jalanraya, untuk bersorak dan kononnya untuk berdepan polis anti rusuhan yang sememangnya sudah dijangka akan hanya menghantar anggota-anggota pelatihnya pergi mencuba pakaian seragam di bawah terik matahari atau mencuba helmet yang belum pasti lagi muatnya. Apa rasanya kahak itu?

Sebab itu politik BolehLand lebih mengancam daripada Fitna. Geet Wilders hanya meminjam perkataan fitnah, tapi di BolehLand, Firaun dengan tanpa malu terus memfitnah. Sama ada untuk selamatkan tengkuk sendiri, atau anak sendiri atau memastikan namanya tidak terkeluar daripada senarai mereka yang boleh dikebumikan di makan Pahlawan. Itu baru realiti. Bukan fitnah lagi. Bukan sekadar kebusukan selama 15 minit, tapi ini taik yang disimpan selama 21 tahun dan taik yang disimpan selama 50 tahun, lu boleh bayangkan baunya. Ini baru realiti, bukan fitnah lagi.

Tuesday, March 25, 2008

Apabila Tuhan Mula Berurusan Secara Tunai

Selama hampir 7 tahun gua menetap di depan monitor, memerhati, mendengar dan menterjemah berita-berita yang pelbagai, majoritinya politik Timur Tengah, pentas politik Lebanon sangat menarik perhatian. Untuk sesiapa sahaja yang melihatnya.

Ada ketikanya, susur galur politik termasuk sejarah Lebanon itu sendiri terpaksa gua baca untuk memahami apakah yang sebenarnya berlaku hari ini. Untuk pengetahuan orang-orang kampung dan Felda yang belum mengenal internet, sehingga ke hari ini, Lebanon masih belum mempunyai Presiden. Konflik yang panjang.

Politik di Lebanon sangat kompleks. Bukan macam Pertama Complex yang lu boleh redah sampai habis dalam tempoh hanya setengah jam semata-mata mahu mencari kedai mana menjual kasut sukan paling murah, atau mahu mencari handphone bawah air. Lebanon hari ini ada lebih daripada 3 pakatan, dan di dalam setiap pakatan itu pula ada lebih daripada 3 parti. 3 is a magic number.

Syarat paling asas untuk politik Lebanon ialah, Presiden mestilah seorang Kristian Maronite, Perdana Menteri pula seorang Sunni manakala speaker Parlimen seorang penganut Syiah. 3 syarat asas ini (3 is a magic number) secara tidak langsung menjadikan Lebanon negara paling demokrasi di Timur Tengah. Juga politik paling rumit untuk difahami.

Segalanya berpunca daripada era perang saudara dan ketika pendudukan Syria secara simbolik di Lebanon. Ketika di Beirut pada 1997, gua melihat suasana pilihanraya yang agak meriah. Poster dan sepanduk di merata tempat tetapi gambarnya ialah seorang lelaki tua bernama Hafez Al Asad. Syria ketika itu mengadakan proses sambungan penggal pemerintahan baru untuk presidennya, jadi ia kelihatan seperti pilihanraya walaupun hanya seorang calon sahaja yang wajahnya terpampang. Unik.

Hari ini, selepas pengunduran Syria secara fizikal dari Lebanon, juga pembebasan wilayah selatan daripada penjajahan Israel, Lebanon terus bergolak dengan politik yang rumit itu. “Pembunuhan politik” menjadi satu trend selepas ia muncul ketika era perang saudara dan agak kurang popular sekitar 90-an. Lu tak suka dengan mamat tu, esok lu akan lihat dia mati kena bom. Mudah.

Hari ini, Lebanon masih seperti pepatah Arab “Rumah yang tiada ayah”, tidak mempunyai presiden, kerana calonnya ialah individu yang kurang dipersetujui oleh Paderi Maronite, walaupun pada satu ketika sudah dipersetujui oleh majoriti politikus Maronite berpengaruh. Kumpulan pro-Syria yang masih lagi wujud di Lebanon pula mahukan seorang calon lain, bukan dari kalangan tentera. Hezbollah dan Amal pula, mempunyai calon mereka, yang pastinya ditolak oleh pakatan 14 March. Juga ada pengaruh Iran yang mahukan seorang calon, bukan pro-Barat, tetapi ditentang keras oleh Peranchis, yang menjadi penyumbang utama pelaburan dan ekonomi Lebanon. Rumit.

Oleh kerana itulah, gua rasa buat masa ini, juak-juak UMNO dan pendokong semangat ketuanan Melayu wajar membaca buku mengenai politik Lebanon pula. Bukan belajar, sekadar mengambil pedoman kerana ada benda lain yang lebih rumit atas muka bumi ini. Lagi pun setakat Idris Jusoh dengan Ahmad Said, ada ramai lagi orang yang nak jadi MB. Kalau rasa susah, bom aje sesapa yang anda mahu, dari kalangan anda sendiri lah. Bekalan C4 pun masih banyak.

Juga mereka perlu sedikit bermuhasabah. Ini kerana, Tuhan sudah mula berurusan secara tunai. Kita tidak perlu menanti lama lagi. Hanya seminggu selepas lu mengejek dan menghina orang lain, hari ini dunia mentertawakan kamu. Balasan Tuhan lah tu, sebab yang kekal di atas itu hanya satu, dan yang gua pasti ia bukan UMNO, sebab gua yang di bawah ini bersama berjuta lagi rakyat BolehLand, sedang melihat kamu menyembah bumi. Sebab kamu bongkak.

Wednesday, March 19, 2008

Sekarang Apa Sudah Jadi?

“Huh padan muka, kan dah bergaduh”

”Takde kan jadinya Perak ni, bodoh pegi undi Cina”

”Patutnya curah aje petrol pada kereta Cina ni, bakar dengan dia sekali!”

”Api kan aje Sultan tu suruh lantik BN, biar padan muka”

”Anwar ni yang celaka buat berpecah orang Melayu”

”Sampai ke bila tak sudah Perak ni”

Ada banyak lagi dialog-dialog yang seumpama dengannya yang pernah gua dengar tapi gua tak mampu nak ingat dengan terperinci, word by word. Kecuali 6 ayat-ayat pembakar semangat di atas. Maaf ia bukan dituturkan seorang pengikut Klu Klax Klan, bahkan penuturnya juga gua yakin tidak pernah mendengar kewujudan KKK itu. Dia seorang ahli UMNO dan kalau gua pulang ke Muar hari ini, gua ingin pula memaparkan beberapa keratan akhbar bermula Isnin 17th March 2008.

”Krisis pemilihan MB Terengganu dan Perlis”

”Isa Sabu dakwa dapat restu Raja Perlis”

”Isa Sabu angkat sumpah MB, Shahidan tidak hadir”

”Terengganu masih tiada MB”

Shahidan believes Radzi and Azmi behind it

“Mukhriz dibidas”

“Angkat sumpah MB Terengganu ditangguh”

“Siapa MB Terengganu?”

“Ahli Parlimen menolak jawatan dalam cabinet”

Abah, sekarang apa cerita? Sapa yang gaduh-gaduh nak berebut jawatan?

Tuesday, March 18, 2008

Jelebu Kini Ke Pentas Global

Jelebu adalah daerah paling kering di BolehLand. Itu pelajaran pertama untuk kamu semua ketika diperkenalkan dengan Jelebu ketika mengikuti pelajaran Alam dan Manusia atau pun mereka yang sudah berusia sangat tu, ketika belajar Ilmu Alam.

Kini Jelebu akan kembali ke pentas global, mungkin untuk tempoh 4 tahun yang akan datang sekiranya tiada rombakan bakal berlaku dalam cabinet sekarang.

Apa yang Kementerian Luar Negeri boleh berikan kepada warga Jelebu? Louvre dan segala isinya dibawa untuk pameran ke Muzium Adat? Oh ya mungkin ada jawatan kosong bagi mana-mana pejabat di luar negara khususnya di Timur Tengah dan memerlukan seorang jurubahasa.

Tuesday, March 11, 2008

UMNO itu yang memusnahkan ketuanan dan hak orang Melayu

UMNO adalah parti perkauman. UMNO sentiasa memainkan isu perkauman apabila terdesak. Selesai sahaja PRU 12 Ali Rustam terus bersuara, keputusan pilihanraya ini seperti yang berlaku pada 1969, selepas itu beberapa pimpinan lain termasuk Mike Tyson turut bercakap perkara yang sama. Kalau lu berada dalam team pembangkang tetapi dalam masa yang sama lu masih bising tentang hak orang Melayu dan ketuanan orang Melayu maka lu sebenarnya masih mempunyai saki baki bau sabun cucian otak orang Melayu oleh UMNO selama ini.

Ada beberapa kawan termasuk yang di Perak yang hantar text pada gua. Diorang merasa bimbang jika Adun DAP dilantik menjadi MB Perak. ”Bagaimana dengan survival orang Melayu Islam?” tanya kawan gua. ”Anak lu jugak akan struggle untuk survive satu hari nanti sebab tiada UMNO yang boleh menjaga ketuanan orang Melayu Islam lagi.”

Sekarang biar gua bagitahu, siapa yang pijak kepala orang Melayu selama ini? Jika lu sememangnya mahu untuk bercakap pasal ketuanan Melayu lah. Siapa yang hapuskan kuasa Raja-raja Melayu dan siapa yang paling banyak merampas tanah-tanah orang Melayu yang kemudiannya dijual kepada tokey-tokey yang memayungi mereka selama ini? DEB diwujudkan untuk Melayu khususnya tetapi tahukah bagaimana jurang besar antara orang Melayu yang kaya dan miskin boleh terbentuk akibat DEB? Jangan rasa hairan jika selepas ini orang Melayu akan ditakutkan dengan isu survival, kelangsungan hidup, agama dan adat tradisi, kerana UMNO sememangnya mempunyai dasar untuk menakutkan-nakutkan rakyat, khususnya Melayu.

Tahukah mereka bahawa hak orang Melayu itu adalah sesuatu yang sudah termaktub di dalam perlembagaan? Apakah DAP sangat bodoh sehingga sanggup menggadai sokongan orang Melayu seperti Maximus yang telah mengundi dan membawa mereka kembali popular hingga mempunyai satu negeri untuk ditadbir dengan mahu mengubah hak yang telah tertulis itu? Nasib orang Melayu di Pulau Pinang sudah jadi buruk dan merempat pada ketika Barisan Nasional memerintah bahkan ketika seorang Perdana Menteri juga berasal dari sana. Mana dia ketuanan Melayu yang dibela UMNO? Mana dia?

Gua sangat benci dengan isu perkauman, apatah lagi jika ada yang mengomel di blog gua pasal ketuanan Melayu. Gua sangat benci apabila ada yang bercakap tentang perkauman, tentang kelebihan satu bangsa bernama Melayu ke atas bangsa lain di BolehLand ini. Sedangkan hanya sehari Cina tutup kedai masa Chap Goh Meh kita dah menggelabah nak cari bateri kereta. Pergi stesyen minyak orang Melayu, jangan harap nak jumpa. Mereka hanya jual bateri kereta keluaran orang Melayu sahaja. Dasar perkauman sangat jelas di muka mereka bila gua kata bateri itu untuk kereta dari negara Mussolini. Itu belum kira kalau duduk di Tronoh dan kehabisan kicap pada hari Deepavali, mau aje makan nasi renjis dakwat pen sebab kedai Krishnan pun tutup.

Tolonglah berfikir secara matang, dalam hidup ini juga kita saling memerlukan antara satu sama lain. UMNO itu mencanang perpaduan kaum dan menjauhi perkauman pada ketika mereka sendiri adalah parti paling perkauman sekali di BolehLand.

Sudahlah, gua mahu bercuti menghabiskan baki cuti tahunan gua yang tahun lepas punya, ihsan seorang majikan bukan Melayu, yang juga lelaki kedua terkaya di BolehLand. Gua mahu pulang ke Muar dengan hati yang sangat berbunga-bunga, dada yang terbuka agak luas, berjalan gaya pendekar, muka yang sedikit didongakkan semasa di meja makan serta senyuman yang agak manis ketika menyertai perbincangan politik di depan tv selepas makan malam. Gua ada sebab untuk rasa sangat gembira pulang ke Muar. Pergi google Parlimen Bakri dan DUN Sungai Abong, sapa yang punya?

Pak Lah Harus Kekal Sebagai PM

Selesai PRU 12 ini, semakin kuat kedengaran suara yang meminta Pak Lah meletak jawatan. Ia adalah satu fenomena baru, kerana yang meminta untuk meletakkan jawatan itu, asalnya datang dari kalangan mereka yang berada di dalam UMNO sendiri. Orang UMNO sendiri yang mencetuskan permintaan itu. Mereka yang dulunya telur masuk ke dalam seperti kena angin pasang dan hidung yang ditindik subang seperti lembu-lembu pawah kini sudah mula kedengaran bersungut. Cuma sungutan mereka itu masih lagi seperti operator pengeluaran warga Indonesia di Sungei Way yang merungut majikannya membayar gaji murah tetapi dalam masa yang sama tangannya masih lagi bergerak membuat kerja. Mereka masih lagi kurang berani, hanya menyambung-nyambung cakap orang, hanya mengiya-iyakan cakap orang, khususnya dari si tua yang menyesal bersara awal itu.

Gua bukan mahu bercerita tentang UMNO dan pergolakan dalamannya. Pergi jahanam dengan mereka yang saling menuding jari sesama sendiri. Mereka bagai terhidu bau kentut di dalam bilik yang gelap, saling tuduh menuduh. Kita perlu tengok kepada diri kita sendiri. Khusus untuk mereka yang terlibat di dalam perjuangan. Pembangkang, yang sedang tersenyum lebar sekarang ini dan juga pendokong mereka sama ada secara senyap atau pun sangat bising. Mengapa perlu kita menyertai pergolakan dalaman UMNO dan turut sama bersuara meminta Pak Lah meletakkan jawatan? Biar gua terangkan di sini.

Pak Lah dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah antara faktor kemenangan perjuangan pembangkang dalam PRU 12. Pembangkang dibantu oleh kebencian orang UMNO sendiri kepada 2 makhluk itu dalam PRU 12, itu jangan dinafikan. Sekarang sudah nampak?

Biar gua terangkan lagi. Pak Lah ialah satu aset untuk perjuangan pembangkang sebenarnya. UMNO mempunyai pendirian lembu dicucuk hidung. Mereka tidak akan bersuara dengan lebih kuat bagi menukarkan pucuk pimpinan. Mereka bimbang sekiranya pemimpin gagal ditukar pada ketika mereka sudah sangat vokal untuk mencari pengganti, nasib mereka dalam UMNO menjadi sangat buruk. Lihat kepada mereka yang menjadi anggota kumpulan 11 semasa pengharaman UMNO 1988? Berapa kerat yang masih bernyawa? Rais Yatim masih wujud kerana Pak Lah menjadi kepala. Tengku Razaleigh terus menjadi MP kerana orang Gua Musang mahu menjaga hati anak raja. Shahrir Samad pula hanya dilantik menjadi Pengerusi PAC dan tidak lebih daripada itu walaupun beliau lebih ”jantan” daripada MP Sembrong. Lihat nasib Ibrahim Ali yang terpaksa menyewa pogo-stick milik PAS bagi meneruskan kelangsungan hidup sebagai ahli politik.

Pembangkang beruntung kerana Firaun telah tersilap perkiraan ketika menyerahkan kuasa. Dan sekarang kerana kesilapan Firaun itu sendiri pembangkang berjaya menguasai negeri yang tidak pernah diimpikan selama ini. Jadi sekarang pembangkang mahu turut bersama melaungkan seruan supaya Pak Lah berundur? Perjuangan pembangkang masih memerlukan Pak Lah sekurang-kurangnya untuk tempoh sepenggal lagi, sebelum pembangkang boleh memenggal secara total UMNO dan Barisan Nasional.

Jika anda kononnya melaung agar Pak Lah meletakkan jawatan, tahu siapa yang bakal menjadi pengganti? Hirarki politik UMNO menunjukkan calon paling utama sekarang ini bukan Mat Rempit naik RXZ yang tewas di tangan Pak Imam naik kapchai di Parlimen Baling. Juga bukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang terselamat dengan undi pari-pari dari kayangan di Rembau. Timbalan Presiden UMNO ialah Najib Razak a.k.a Najib Mongolia. Adakah anda bersedia melihat Najib menjadi PM? Fikir dahulu sebelum buang!

Gua masih yakin sedikit sebanyak Najib memainkan peranan agar Pak Lah dimalukan di dalam PRU 12. Najib sangat berharap agar menjelang pemilihan UMNO pada September ini, akan ada suara-suara operator pengeluaran warga Indonesia di Sungei Way yang tersasul mencalonkan beliau untuk jawatan Presiden UMNO. Nasib buah kelapa dicampak ke laut mungkin boleh tumbuh menjadi pulau atau jika tidak Najib akan segera menggosok perutnya sambil mengingatkan ahli UMNO supaya terus setia dengan kepimpinan Pak Lah. Itu juga wayang.

Kelemahan Pak Lah akan terus menjadi aset yang amat berharga untuk pembangkang. Lu mahu Pak Lah diganti? Maka Najib Razak akan menjadi satu bencana besar untuk pembangkang. Najib mempunyai pakej yang sangat lengkap untuk menjadi seperti Mahafiraun malahan lebih zalim daripada Firaun. Najib ada asas politik dan tapak yang sangat kuat dan kukuh. Najib ada penyokong akar umbi yang sangat kukuh selain undi pos tentera dan warga Kemboja di Pekan yang akan menjamin dia tidak akan goyang. Dia adalah Menteri Pertahanan dan dia juga seperti menguasai agensi keselamatan yang lain. Jangan lupa, dia adalah anak didik Firaun yang paling berjaya.

Jika Najib menjadi PM maka para pemimpin pembangkang perlu bersedia untuk meninggalkan anak dan isteri untuk menjadi penghuni KemTa di Kemunting. Jika Najib menjadi PM maka pembangkang perlu bersedia menerima kekalahan yang sangat teruk dalam PRU yang akan datang. Jika Najib menjadi PM pembangkang perlu bersedia untuk dipijak, dihina dan dimalukan sama ada secara fizikal atau pun mental. Jika Najib menjadi PM kita juga perlu bersedia mendengar kes Altuntaya lenyap dibawa angin. Dan jika Najib yang menjadi PM, bersedialah rakyat BolehLand semua untuk menerima dalam waktu yang sama seorang Perdana Menteri wanita berambut setinggi 5 inci yang tamak dan rakus.

Fikir dahulu sebelum buang wahai kawan-kawan. Jangan kerana mahu lari dari mulut buaya yang suka tidur, kita terpaksa terjun ke dalam mulut raksasa yang ganas dan pasangannya yang tidak berhati perut serta sombong.

Monday, March 10, 2008

PRU 12 adalah satu wayang yang agak berjaya

Gua ada beberapa teori tentang PRU 12. Mungkin kalangan pembangkang tidak begitu bersetuju dengan teori ini, tetapi gua masih berpegang dengan kepercayaan bahawa pilihanraya di BolehLand masih lagi satu penipuan, wayang yang telah dirancang. Namun kebangkitan suara rakyat memang tidak dapat dinafikan.

Ketika kali pertama mendapat berita kemenangan Dr. Lo’ Lo’ dia Titiwangsa, air mata orang jantan gua tiba-tiba mengalir deras. Ketika bercakap di dalam telefon dengan seorang kawan gua sangat sebak. Gua melihat dengan mata sendiri kegigihan kempen di Titiwangsa ini dan tenaga kerjanya yang tidak mengenal erti tewas. Tahniah.

Dan apabila Nurul Izzah dimasyhurkan secara rasmi sebagai MP Lembah Pantai, gua sudah tidak segan lagi untuk menangis. Gua tahu sesuatu yang agak luar biasa bakal berlaku. Alangkah indahnya jika apa yang kami di UBU lakukan pada 2004 ketika membantu Sanusi Osman berkempen di Lembah Pantai berulang kembali pada 2008? Ketika itu teater jalanan persembahan anak-anak muda UBU mendapat sambutan box office. Nyanyian lagu ”Suara Rakyat” dan ”UMNO Baru” sudah mampu diingati oleh audiens. Namun kemanisan itu berakhir dengan kekalahan Sanusi Osman. Ia sangat indah jika kali ini kami berkempen dan Nurul Izzah berjaya memalukan seorang menteri wanita yang kononnya sudah 12 tahun di Lembah Pantai dan berasa bangga dengan pencapaian itu sedang rakyat yang hidup melarat di kawasannya sentiasa berstatistik tinggi dan tidak terusik.

PRU 12 ialah mengenai kebangkitan rakyat. Mereka sudah punyai kesedaran. Rakyat mempunyai akses kepada maklumat alternatif lebih daripada apa yang mereka perolehi pada tahun 1999. Kehilangan laman web reformasi seperti Mahazalim dan Mahafiraun telah digantikan dengan beribu-ribu suara protes anak muda, yang mampu berfikir secara matang dan rasional untuk mengetahui kebobrokan kerajaan Barisan Nasional dan para pemimpin korupnya. Rakyat bencikan seorang pemimpin yang kaki tidur atau pun pemimpin yang bersubahat meniduri orang lain. Sampai ke Ulam Bator. Rakyat golongan menengah juga sudah tidak menyembunyikan lagi kemarahan mereka walaupun sebelum ini golongan menengah tidak dinafikan masih simpati dengan UMNO khusus untuk keselamatan periuk nasi mereka. Kebangkitan suara rakyat adalah faktor pertama.

Berikutnya pula ialah kemarahan ahli UMNO sendiri dengan kelembapan, kelemahan, ”ketiduran”, ”kelembuan kecucukan kehidungan keseorangan kemenantuan” Pak Lah dan orang sangat-sangat yang teramat sangat bencikan Khairy Jamaluddin. Kalau tidak percaya tanya 10 rakyat marhaen gua yakin 9.5 akan bencikan Khairy Jamaluddin. Ia rakyat sangat bencikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan juga bapa mertuanya. Apatah lagi mereka yang di dalam UMNO. Hidung mereka sudah ditindik subang, bukan yang dipakai oleh Bollocks dari Kuala Pilah tetapi yang ditindikkan pegawai veterinar kepada lembu ternakan. Mereka terpaksa mengikut arah tali yang dipasang. Tetapi masanya sudah sampai bagi mereka, kaki kita perlu sedikit melawan. Maka inilah kesannya. Protes senyap mereka menyebabkan 4 negeri tergadai. Itu faktor kedua.

Pemilihan calon pula menjadi faktor ketiga. Orang UMNO khususnya marah dengan kuasa veto seorang Presiden kuat tidur yang memilih calon mengikut kehendak air liur basinya yang meleleh dan menitik. Juga kehendak menantunya. Gua mahu letak Pak Bedul, si Najib mahu letak Wak Leman, tiba-tiba Khairy muncul suruh letak Pak Aziz. Nah ambik engkau! Disuruhnya pengerusi masjid jadi calon, terduduk orang tua tu dengan anak bekas mufti. Kemarahan seperti inilah juga menyebabkan protes senyap menjadi faktor Barisan Nasional dan UMNO dimalukan.

Seterusnya HINDRAF. Jangan sesiapa menafikan faktor ini. Gua menyokong HINDRAF bukan sebab gua terpaksa tidak menyunting berita-berita HINDRAF yang disiarkan oleh Al Jazeera satu ketika dahulu atau pun kerana majikan gua ialah lelaki kedua terkaya di Malaysia. Gua sokong kerana simpati selagi mana mereka menuntut hak mereka sebagai rakyat yang turut sama membantu membangunkan negara ini. Gua simpati kerana mereka memang hidup menderita di bawah telapak kaki seorang lelaki yang pernah menjadi pembaca berita di RTM seterusnya membina kubu teguh berdindingkan 10 juta tan bitumen dan tar di Sungei Siput. Tapi sebab HINDRAF juga kubu teguh itu runtuh. Rupanya tar dan bitumen yang dipakai JKR tidak bermutu. Warnanya sahaja yang hitam, patut pun jalanraya selalu berlubang. HINDRAF menjadi faktor kekalahan BN di kawasan yang ramai pengundi India. Tahniah macha kerana turun ke jalanraya dengan beraninya dan membantu memalukan BN dalam PRU 12.

Orang Cina menjadi faktor seterusnya. Mereka sudah tidak lagi takut dengan kemungkinan lesen-lesen perniagaan tidak dikeluarkan. Ini kerana sejak 1973 BN ditubuhkan, lesen berniaga masih juga payah diperolehi. Jika mereka kaya sebab berniaga, mereka terpaksa payung orang UMNO semasa pemilihan. Jika tak percaya tanya Rais Yatim. Dan juga mak gua sendiri yang jadi perwakilan Wanita UMNO Jelebu. Oleh kerana macam sudah malas nak keluar duit atau mungkin mereka marah sebab banyak habis duit, ambik kau sekali. Gerakan tewas semua kerusi yang mereka tandingi manakala MCA pula terselamat sebab berlindung di bawah songkok-songkok tinggi orang Melayu Johor.

Faktor lain yang membawa kepada kekalahan teruk BN ialah Anwar Ibrahim. Ya Encik Shahrul Fadli yang hantar sms pada gua kutuk-kutuk sebab gua suka Anwar, memang gua suka tapi bukan sebagai pasangan tidur. Gua suka dengan karisma dan pidatonya. Lu tidak akan jumpa seorang manusia lain di BolehLand yang seperti Anwar Ibrahim. Maksud gua dari sudut karisma dan pidatonya. Maaf, bukan kerana Anwar ada anak-anak gadis yang boleh tahan, tetapi lihatlah, Anwar seperti bertanding di 222 kerusi Parlimen dalam PRU 12 walaupun dia sebenarnya tidak boleh bertanding walau satu kerusi pun. Anwar membantu kempen anaknya yang memang boleh tahan itu dan berjaya menarik audiens seramai 30 ribu orang. Tiada bayaran untuk hadir atau pun Mawi menyanyi. Ikhlas datang. Kalau tidak percaya tanya audiens yang berhujan di Batu dan Lembah Pantai.

Anwar menjadi faktor yang sangat penting menyebabkan BN malu besar. Bukan kalah besar sebab mereka masih lagi berkuasa tetapi malu besar. Semua penganalisis yang bercakap di Awani, Bernama TV, TV3 dab RTM1 malu untuk menyebut nama Anwar sebagai faktor ”kemaluan” BN kecuali Shamsul Amri yang terlepas sebut. Itu pun mungkin sebab mereka ”sekawanan”. Yang lain ”malu-malu anak khinzir yang berjalan tunduk” untuk menyebut nama Anwar Ibrahim sebagai faktor kemenangan besar pembangkang dalam PRU 12. Anwar berkempen di seluruh BolehLand dalam tempoh 13 hari sehinggakan turut terlajak ke seberang Tambak. Dia terlupa yang persempadanan semula SPR yang tujuannya meneruskan legasi pemimpin BN dalam pilihanraya hanya setakat Tambak Johor sahaja.

Faktor berikutnya yang gua rasa agak logik ialah kesilapan strategi. BN melalui agen mereka iaitu SPR telah tersilap langkah. Gua masih percaya PRU 12 adalah wayang. SPR tetap mahu memastikan kemenangan BN. PRU tetap berat sebelah dan SPR tetap tidak adil. Mereka salah strategi. Mereka tidak mahu Terengganu jatuh lagi. Sebab itu ramai yang pergi melancong tengok masjid terapung di Terengganu pada hari mengundi. Mak gua pun pandai fikir secara logik. Apa kejadahnya diorang pergi melancong hari orang mengundi. Ini PRU, apa kat tempat mereka tak buat pilihanraya ke? Lainlah kalau yang datang itu orang Kemboja seperti di Pekan. Kalau tidak percaya tanya Jonah dan Najib Razak.

Ia teori semut menghurung gula. Semut semua ke Terengganu dan Kelantan. Ini untuk menjaga maruah. Khairy mahu dapatkan Kelantan. Dia yang poyo-poyo dengan ”Pade Doh”. Tapi dia silap, orang Kelantan tidak bodoh macam dia, walaupun bukan semua orang Kelantan pergi Oxford. Bila semua bertumpu ke 2 negeri ini, mereka terlupa ada berapa buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu? Di tambah dengan faktor-faktor yang di atas sebelum ini tadi dan juga kealpaan mereka untuk menipu di negeri-negeri lain serta keyakinan mereka tetap menang di semua negeri, mereka pun menerima ”kemaluan” yang sangat besar sekali. Padan muko kau!

Faktor terakhir dalam teori gua pula ialah Najib Razak. Haha Najib tergelak dalam perut dia yang lebih besar sikit daripada perut gua. Perut gua besar sebab gua sudah tidak bermain football lagi dan malas bersenam, tapi perut Najib besar sebab dia banyak simpan duit komisyen kat dalamnya. Hahaha Najib gelak lagi di dalam perutnya. Teori gua yang terakhir ialah, ini semua perancangan Najib. Dia mahu memalukan si tua yang kuat tidur dan menantunya yang gelojoh. Tidak mengapa sejarah BN tertulis agak sedikit buruk, janji tapak kaki Najib terus kukuh. Ketika semua majoriti BN merosot termasuk di bawah-bawah songkok orang Johor, Jonah hanya dapat 9 ribu undi di Pekan manakala Najib dapat lebih 30 ribu, walaupun dengan bantuan tentera dan rakyat Kemboja. Najib punyai segalanya. Najib anak didik Firaun. Najib adalah air mani Firaun yang masih lagi tertinggal di dalam UMNO selain air mani Firaun yang agak kurang potensi untuk disenyawakan di Jerlun itu. Najib perlu terus kekal. Dan inilah caranya. Najib menguasai tentera. Politik Najib dan Firaun tidak banyak beza. Alahai, sedangkan cop pasport Altantuya pun boleh hilang, inikan pulak sekadar mengatur pilihanraya. Unit Tindakan Khas pun boleh kita ”kudakan” apatah lagi SPR. Maka BN malu sebab Najib merancang untuk memalukan BN.

Sekarang apa macam? Bulan depan rakyat Selangor mungkin tidak perlu lagi bayar bil air jika tidak sampai hadnya. Sebab itu janji pembangkang. Tapi jangan jadi keldai, minyak tidak akan turun. Jika Chandra Muzaffar atau Khoo Kay Kim bercakap pembangkang perlu menunaikan janji mereka supaya turunkan harga minyak, maka bersaksikan lah di dunia dan akhirat bahawa mereka berdua itu bodoh, lembap dan dungu. Minyak ialah komoditi. Boleh turunkan harga minyak tetapi dengan syarat, biarkan Penang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan keluar dari BolehLand dulu. Oh ya, KL sekali.

Apa pun tahniah pembangkang. Berjaya pembangkang hasil usaha keras. Tahniah Tian Chua dan Dr. Lo’ Lo’, juga Kak Wan dan anaknya yang masih lagi boleh tahan. Juga rakyat Kelantan. Pak Khalid di Shah Alam dan Dr. Nasir di Kota Damansara. Tahniah juga untuk Teresa dan Po Kuan, juga rakyat Penang kecuali kakak gua yang masih terus memangkah BN Sabtu lepas di Sungai Dua. Tahniah orang Perak dan Kedah. Mereka berjaya sebab mereka gigih dan tidak mengenal erti tewas atau dimalukan. Dan tahniah Najib, strategi anda berjaya.

Gua tetap tidak akan mengundi dan gua masih percaya pilihanraya adalah satu penipuan.

Friday, March 07, 2008

Undi Gua Untuk Perkhidmatan Bas


Calon paling berani mati dalam sejarah pilihanraya BolehLand. Walaupun gua sudah mendaftar sebagai calon 3 bulan sebelum hari penamaan calon, cuma sehari sebelum hari "membuang" undi gua berkempen. Ini kerana gua sudah sangat yakin untuk mencapai kemenangan. Rais Yatim sudah memasuki usia menopause untuk menjadi MP di daerah yang usianya sudah 100 kali menopause.

Gua tidak mempunyai manifesto yang panjang lebar seperti bakal MP Batu Gajah atau pun MP Sembrong , cuma rakyat Jelebu akan mendapat satu perkhidmatan yang paling bermanfaat untuk mereka selepas menderita selama lebih 10 tahun. Bas. Gua akan menjadi sangat vokal di Dewan "Orang Belasah Duit" Rakyat bagi mendapatkan perkhidmatan bas. Gua tahu setiap Ahad, orang nak pegi pasar minggu di Klawang pun payah. Bukan semua orang ada kereta dan bukan semua orang anaknya "yang berkereta di Kuala Lumpur" tu balik menjenguk mak bapak mereka setiap minggu.

Nak bayar bil api dan air mesti kena pegi Klawang. Mak Teh Bedah atau pun Dukun Tapa tidak menggunakan streamyx di rumah mereka. Sekali berbelanja di "Kedai Sempit" pun mesti nak bawa barang naik bas, koyaklah Mak Ngah Senah kalau naik Teksi Kotar aje. Itu belum kira lagi makcik-makcik dari Pergai atau Petasih yang kena check doktor sebab kencing manis dan darah tinggi setiap bulan di hospital Petaling. Atau pun budak-budak Sungai Rotan yang nak pegi Seremban tengok wayang cerita Erra Fazira. Memang payah takde bas.

Jadi kepada pengundi di Jelebu, pilihlah calon yang boleh memberikan kamu semua perkhidmatan bas yang bermutu. Bas itu tidak lagi menggunakan khidmat konduktor seperti Pakcik Yahya "yang suka meraba barang budak-budak lelaki", tetapi main lempar duit syiling dalam tong aje. Mudah bukan? Sebab rumah kita ada banyak duit syiling baki beli roti Mahat tiap-tiap petang. Undilah calon itu. Dan calon itu ialah saya. Jelebu untuk Babazahra' dan Babazahra' untuk PERKHIDMATAN BAS (yang lebih baik daripada bas Lim).