Thursday, May 05, 2011

Hello Jelebu! Pasca Hiatus



Cuti Hari Buruh, gua balik Jelebu. Hujan memang sedap untuk menetap di Jelebu. Sejuk dan nyaman. Nak sidai baju takde masalah, anjung rumah mak gua hampir sama besar dengan saiz rumah kos rendah untuk warga miskin kota.

Mak gua cakap sebelum gua balik, dia dapat surat jemputan. UMNO ajak datang balai raya. Ada majlis makan-makan dan bagi cenderamata. Biasalah, election dah makin hampir. Bajet masih ada yang perlu dihabiskan. Dasar orang Melayu, mana reti nak berjimat apatah lagi nak menyimpan.

Mak gua, sebagai ahli UMNO yang yurannya dibayar oleh Ahli Parlimen Jelebu, memang jenis semua orang beri dia akan ambik, tapi undi adalah rahsia. Tapi gua masih yakin, kalau gua bertanding lawan Rais Yatim, confirm dia tak akan undi gua. Dia cakap lepas Rais Yatim bersara baru boleh undi orang lain. Eh mak, tadi cakap undi adalah rahsia. Oh! Itu undi untuk DUN.

Selain jemputan untuk datang makan-makan sambil menerima hadiah, benda paling rare yang mak gua nak bagitahu ialah, surat itu ditandatangan oleh kaum kerabat gua jugak. Untuk double check, masa dapat surat tu lagi mak gua dah call gua tanya nama sebenar mamat tu. Sekarang sudah jadik pegawai khas. Gua cakap apa nak pelik, orang makan orang dah lama ada dalam dunia ni, mungkin sekarang giliran wakil rakyat tu pulak kena makan dengan con-man. Gua harap, walaupun terlalu desperate, mamat tu tidak akan con wakil rakyat tu pulak, nanti yang busuk, nama family kitorang jugak.

Jadi, balik cuti Hari Buruh, gua di Jelebu. Mak gua cakap, UMNO bagi anak pokok kelapa pandan dengan pokok manggis ke kalau gua tak silap. Mak gua cakap nasib baik musim hujan, makin segar lah anak pokok dia pemberian UMNO itu.

Mak gua cakap lagi, dia dah borak panjang dengan mamat pegawai khas. Yang dulu kalau gua ini masih belum nyanyuk, pada zaman reformasi, ke hulu dan ke hilir mahu berdamping dengan kami-kami kutu berahak yang menentang KERAjaan. Mahu berkenalan dengan orang ini dan orang itu. Mahu ada kepentingan. Dan kini mak gua cakap nadanya sudah semakin berubah. Gua cakap, desakan hidup bikin manusia berubah kalau prinsipnya tidak berapa nak teguh. Sebelum mak gua bukak cerita ala-ala suruh kembali ke pangkal jalan, baik gua potong dulu.

UMNO, sentiasa menjadi talian hayat. Gua pun kurang faham, pergantungan ke atas UMNO ini, sampai bila ia akan berakhir? Orang Melayu, khususnya di kampung, sudah ada yang menjadi cikgu, bekerja dengan akal intelek, tapi masih meragui pergantungan pada selain jasad yang Bernama UMNO. Yang kalau lu perhatikan dengan waras, tingkahnya sejak dahulu hingga ke hari ini, masih lagi tidak ke depan. Orang Melayu, diberi anak pokok, makan bihun dan minum teh susu. Dibawa melancong melihat Muzium Negara dan makan tengahari di rumah Ahli Parlimen Jelebu (tapi di Ampang Jaya), kemudian pulang dan terus bergembira sehingga tiba rombongan yang akan datang, mungkin tahun depan.

Sebenarnya, tindakan UMNO merasuah Melayu sedemikian rupa, adalah satu penghinaan yang amat ketara. Orang Melayu nilainya ialah anak pokok kelapa pandan dan sepinggan bihun. Ahhh, bangang sungguh.

Sehari sebelum pulang, mak gua sudah bising suruh tolong taburkan baja pada anak pokok kelapa pandan dan pokok manggis. Gua tanya mana dapat baja? Mak gua cakap UMNO ada bagi sekali baja dengan anak pokok.

Cilaka punya UMNO, dengan baja-baja sekali diorang bagi. Habis lah plan gua nak bertanding pilihanraya kalau macam ni.