Wednesday, August 29, 2007

Cerita Tentang Hari Kebangsaan dan Seorang Warga Emas Yang Patriotik

Gua tidak mahu ketinggalan. Ketika semua orang bercerita tentang 31 Ogos, gua juga mahu merepek tentangnya. Gua pernah menulis dalam blog ini pada tarikh yang hampir sama tahun lepas. Tetapi ia adalah tulisan buku nota gua semasa di Jordan pada tahun 1998 yang gua salin semula. Cuma gua tukarkan tarikhnya. Kali ini gua inginkan sesuatu yang segar. Sayur semalam gua akan buang. Gua mahu sayur segar, terus dari ladang.

Ahad lepas gua pulang sekejap ke Jelebu. Sampai di tengah pekan yang sesak kerana ada pasar tani, gua ternampak sekumpulan warga emas, lelaki dan wanita, memakai baju kuning dan memegang bendera. Mereka berkumpul di tengah-tengah simpang, menanti kereta yang lalu, tahan dan lekatkan bendera kecil. Merdeka! Kata mereka sebelum kereta-kereta itu berlalu.

Gua memang terpaksa lalu dihadapan mereka. Mesti. Sebab tiada jalan lain untuk pulang ke rumah. Jalan pula sesak kerana pasar tani. Lelaki warga emas itu menahan kereta gua sambil mengibarkan bendera di tangan kirinya dan memegang tuala Good Morning di tangan kanannya. Dia semakin hampir dan gua menurunkan tingkap. Tangannya yang memegang tuala Good Morning sudah semakin bersedia untuk menggosok kereta gua dan tangan kirinya mahu segera melekatkan bendera kecil itu.

”Takpe pakcik (walaupun dia sebenarnya member Atuk gua), tak payah lekat ya” gua kata dengan penuh hormat sopan santun Melayu baru bermazhab Islam Hadhari.

”Uiihh, kito nak sambut merdekaaa ni jaang” balasnya sambil mengibar-ngibar bendera.

”Nak merdeka kono lah lokek ’an bendegho” sambungnya pantas dan bergerak semakin hampir untuk menyelesaikan misinya.

Gua terpaksa pantas bertindak dan terfikir ayat kebiasaan seorang kawan dari neraka.

”Merdeka itu di sini (jari telunjuk kanan pada kepala kanan) dan di sini (halakan pula pada dada) pakcik (walaupun dia sebenarnya memang member Atuk gua)” balas gua dengan penuh hormat sopan santun Melayu baru bermazhab Islam Hadhari.

Gua tutup tingkap dan bergerak sedikit ke depan. Gua lihat melalui cermin dia masih berdiri di situ. Tangan kanannya yang memegang tuala Good Morning sudah turun ke bawah tapi tangan kirinya masih memegang bendera kecil cuma ia sudah sampai ke paras bawah sedikit dari bahu. Gua mahu menantikan saat bendera itu jatuh. Perlahan. Sedikit. Dan sedikit. Hampir 10 saat. Gua sudah hampir melepasi kawasan pasar tani. Pakcik itu (walaupun gua pasti dia sebenarnya member Atuk gua), masih memandang ke arah kereta gua dan akhirnya berpaling dengan kedua-dua tangannya sudah ke bawah. Kanan memegang tuala Good Morning dan tangan kiri memegang bendera. Seperti mengeluh. Dan terus melihat ke arah kereta lain yang datang. Gua pula mahu terus pulang. Imejnya terus gua padam daripada cermin dan melihat ke depan.

Tak mengapa, sekurang-kurangnya gua sudah berterus terang. Gua tidak berlakon apatah lagi menipu. Kononnya gua warga paling patriotik. Mengibar bendera sempena sambutan Hari Kebangsaan. Gua harap dia tidak berkecil hati. Gua harap dia tidak berasa marah. Kerana itulah kenyataannya. Gua memang tidak pernah mengibarkan bendera setiap kali tibanya Hari Kebangsaan. Sejak lebih 20 tahun. Maaf ya pakcik (walaupun gua pasti dan kenal dia ni sebenarnya member Atuk gua dan lebih kurang usianya), kalau nak marah pun, marah aje pada budak neraka, dia yang mengajar gua ayat sebegitu. Hehe.

Friday, August 24, 2007

Satu Hari di Kampung Chenor

Dulu masa gua kecik-kecik mak gua buka kedai runcit dan kedai minum. Abah gua pulak ada kedai ayam kat pasar. Mak dan abah gua hanyalah kumpulan peniaga kecil. Kedai mak gua di kampung Chenor, Jelebu itu menjadi satu nadi kehidupan untuk orang kampung gua, kampung sebelah kanan & kiri serta kampung-kampung yang berjiran dengan kampung sebelah kanan & kiri. Sampai takat itu aje sebab lepas tu dah nak sampai pekan pun. Mungkin ada orang kampung lain yang tak pernah menempuh kedai mak gua. Sebab kampung diorang pun ada kedai jugak.

Abah gua pulak, jual ayam kat pasar. Dia adalah satu-satunya peniaga ayam yang baca Basmalah masa nak sembelih ayam. Abah gua terpaksa bersaing dengan 4 apek yang lain yang turut jual ayam kat pasar tu. Saingan abah gua ialah Ah Chong gerai no 4 sebab dia ada ambik upah budak Indonesia bersihkan ayam. Jadi orang ramai ingat budak tu yang sembelih, kira halal lah untuk buat kenduri arwah aje.

Kalau abah gua hanya jual ayam sahaja, mak gua plak jual macam2 benda termasuk ayam. Cuma mak gua dah masak ayam tu. Kedai runcit mak gua ada jual macam-macam barang. Lu sebut aje,kurang-kurang mesti ada satu. Jadik stok. Selipar Tat Sing pun mak gua jual sebab kedai dia dekat dengan masjid. Bila hari Jumaat kadang-kadang ada orang hilang selipar atau kasut, budak asrama datang solat, diorang belasah. Pegi kedai mak gua ambik selipar Tat Sing nanti petang datang bayar. Tidak pun pagi esok lepas jual getah. Mak gua tak pernah kenakan cukai mahupun faedah lewat bayar.

Abah gua dapat satu kontrak bekalkan ayam ke sekolah-sekolah. Asrama sekolah banyak nak pakai ayam, terutama hari Jumaat sebab nak masak nasi minyak dengan ayam masak merah. Tapi bukan setiap hari jugak. Hari Jumaat makan tengahari. Isnin atau Selasa makan petang. Bolehlah kalau 4 biji sekolah. Tak termasuk kantin-kantin lagi. Restaurant kurang masa tu. Mana ada kedai tomyam sangat. Orang Siam pun baru mencipta pes tomyam masa tu. Belum bawa masuk Malaysia lagi. Selain itu, harapkan orang beli hari-hari aje. Line pekan kecik nie,tahun 80an, ayam nie kira mewah jugak beb. Bukan boleh makan hari-hari. Gua aje yang makan ayam hari-hari, sebab abah gua jual ayam. Kira jualan ayam dia setiap hari tu, okay-okay jugak lah.

Cuma mak gua dia kencang sikit lah. Kedai runcit dan kedai minum. 4 pagi mak gua dah bangun dengan abah gua masak nasi lemak dan goreng kuih. Masak air panas satu periuk besar. Susun meja dan lap. Susun kerusi. Kurang2 jam 5 setengah dah ada orang datang minum. Biasanya Cina, sebab diorang menoreh getah awal dalam jam 3 pagi. 5 setengah dah siap boleh minum lepas tu kang jam 7 lepas hantar anak sekolah boleh pergi kebun plak. Orang Islam kena pegi masjid dulu. Takkan nak solat dalam kebun getah plak, pakaian tak suci. Lagi pun Islam itu sederhana. Kerja secara sederhana sudah lah.

Kedai mak gua akan penuh sampai pukul 10 atau 11 pagi. Masa tu mak gua akan curi-curi masak lauk pulak untuk makan tengahari. Ada budak Indonesia datang dari Kajang setiap hari diorang pemborong buah. Diorang nie mesti singgah makan tengahari kat kedai mak gua punya. Sambil tu mak gua akan cuci pinggan mangkuk atau buatkan air. Kalau ada budak datang nak beli kicap atau pun Kak Zila yang rumahnya sebelah kedai gua datang nak beli Sanita, mak gua kena layan kejap. Kena bungkus suratkhabar lagi Sanita tu, gua pun tak tahu apasal. Sebahagian dari barang seludup kot masa tu. Semua one man show. Mak gua tak pernah ambik pekerja tempatan atau pun asing. Semua buat seorang diri dan kedai akan tutup sekitar 9 malam. Last customer ialah arwah Lebai Yusuf yang mesti beli Benson 14’ lepas balik dari masjid. Buat bekal tengok tv, katanya. Atau pun budak-budak datang beli ubat nyamuk.

Abah gua pun buat kerja sendiri jugak takde orang bantu. Cuma lepas 2 tahun kalau x silap gua, dia ada ambik sorang mamat gagap, tolong dia di pasar. Kerja bersih ayam aje.abah gua x bagi dia sembelih. Kang orang kompius plak dia baca Basmalah lama sangat. Bila meniaga sikit maju, permintaan meningkat,khidmat budak gagap ini memang diperlukan. Dan selepas tu abah gua sediakan khidmat delivery plak. Mamat gagap nie kena bawa motor plak.Bila dah semakin maju sikit abah gua dah lantik mamat gagap nie jadi deputy dia. Ambik plak sorang kutu lain kerja serta seorang pakcik tukang sembelih. Pakai kopiah lagi pakcik tu. Konfirm dia pandai baca Basmalah. Bagus taktik abah gua. Jual kopiah pakcik tu dulu sebelum jual ayam. Tapi lama-lama Ah Chong pun pandai gak, dia gaji seorang budak Melayu yang ada janggut sikit, jadik tukang sembelih. Mampuslah, agama sudah jadik modal sejak dulu lagi. Nak buat cemana?

Tapi semua yang gua cerita itu sudah jadi sejarah. Lepas nenek gua sakit,mak gua terpaksa tutup kedai. Abah gua terpaksa ambik bisnes nenek gua. Kontrak memasak kat asrama dan kantin. Ini pun bisnes peniaga kecil juga walaupun untungnya lebih besar dari meniaga ayam dan kedai runcit. Pekerja pun ramai. Masa nie abah gua dah pandai ambik budak Indonesia. Permit2 nie x pernah dengar pun masa tu. Lepas nenek gua meninggal pun mak gua join sekali sehinggalah abah gua meninggal. Gua pulak tidak berminat dengan line-line kapitalis ni, maka kesemuanya menjadi sejarah.

Bukan apa, gua saja menulis secara sentimental. Sebab hari nie gua geram, jalan depan rumah gua jadik sesak. Hanya satu sebab. Giant Bandar Kinrara dah bukak. Kawasan perumahan yang kecik macam ini pun boleh bikin Giant. Paling besar dalam Malaysia katanya. Semua ada kat dalam tu. Bank n pejabat pos pun ada. Klinik India dekat rumah gua pun dah tutup. Pergi pindah dalam Giant. Bangang. Gua pegi kedai runcit mamak pun sunyi aje hari nie. Orang pun kurang dia cakap. Semua pergi berebut beli air kotak Ribena 10 sen satu. Bawa anak bini jalan-jalan dalam Giant. Cuti sekolah. Troli Giant pun baru-baru lagi. Boleh main langgar-langgar. Alignment okay lagi. Dulu ikan bilis habis sanggup x masak sambal nasi lemak. Tunggu esok pagi Man Sayur datang dengan motor roda tiga dia. Sekarang nak beli roti High 5 pun pegi beli di Giant. Bangang.

Dulu pegi kedai mamak nak beli garam habis, bawak duit seringgit aje. Memang beli garam harga 20 sen. Kalau tambahan benda lain luar keperluan ialah gula-gula Hacks. Sekarang, kena pegi Giant bawak duit RM100 paling kurang. Beli itu ini, nampak macam-macam, yang takde dalam list pun boleh belasah. Ambik engkau RM167.96. Rilek, gua ada kad kredit, toreh aje. Bangang. Bayar faedah lagi. Barang semua dah bersusun cantik. Selera pun nampak cantik. Belasah aje lah labu. Pegi kedai mamak pun buat apa.Pekerja semua jantan. Baik pegi Giant, cashier dia lawa, walaupun baru last week belajar mengira.bangang.

Itu yang buat gua terfikir. Macamana jika masa mak dan abah gua berniaga dulu, Giant ada bukak kat Jelebu? Mesti abah gua akan mengetuai gerakan radikal para peniaga kecil untuk membakar Giant. Tapi sekarang, dengan mudah aje Giant menyepak terajang dan meludah para peniaga kecil. Lantak korang lah, gua jual sawi sekilo 0.99 sen sebab pembekal hantar satu lori sawi. Lu orang beli kat pasar borong sikit-sikit sapa suruh. Pergi mati dengan peniaga kecil. Ini adalah era kami. Peluru dan bom jangka sudah ditanam dalam minda pengguna. Mereka pasti akan ke Giant, Tesco, Carrefour atau pun Mydin (gua peduli hapa Mydin bumiputera). Lu nak hidup wahai peniaga kecil, tutup kedai, pergi carik kawasan kampung. Bangang.

Sunday, August 19, 2007

kalau jodoh tak kemana jang oii!

gua nak ingatkan di sini, mamat yg celebrate dengan champagne bernama Micah Richard dan anak Schemeicel yang nama macam hantu Casper, termasuk jugak manusia-manusia yang membazir kreditnya malam nie hantar SMS pada gua sama ada menghina,memperli, mengutuk, saja nak cari pasal atau lebih tepat lagi nak kasi gua panas, gua nak tengok lu orang semua kat mana termasuk mamat yang celebrate dengan champagne bernama Micah Richard dan anak Schemeicel yang nama macam hantu Casper pada bulan Mei 2008. Kalau jodoh tak kemana jang oiii, gua akan save semua SMS lu nanti bulan Mei 2008 gua reply semula dengan text asal sekali. Scheiss!

Tuesday, August 14, 2007

Gua & Syawarma

Malam tadi gua makan syawarma. Gua makan syawarma ayam. Mak gua kata boleh tahan jugak. Ini kali pertama gua bawa mak gua makan syawarma dan juga lepak2 kedai makan Arab. Tiba-tiba ketika sudah dua biji syawarma gua telan bersama sepinggan kabsah kambing dan chai, gua teringat siang tadi gua baca berita di Jordan Times. Kerajaan Jordan mengenakan larangan penjualan syawarma ayam untuk sementara di seluruh Jordan. Ia berpunca daripada kes keracunan makanan di kem pelarian Baq'aa.

Gua pasti ramai yang cuba-cuba buat syawarma secara haram bagi tempoh sebulan ini di Jordan. Syawarma ayam yang harganya JD 0.350 mungkin akan meningkat secara mendadak di pasaran gelap. Mana tahan beb asyik mengadap syawarma daging. Selalu sangat di padang bola pun jemu juga. Mungkin juga kerajaan terpaksa membentuk satu pasukan khas bagi memantau penjualan syawarma ayam secara haram di restoran atau kafe seluruh Jordan.

Kenapa gua bercerita tentang syawarma ayam? Sebab malam tadi gua makan syawarma ayam dan gua yakin restoran itu tidak mengimport daging ayam dari Jordan, seperti keyakinan Sir Alex Ferguson kepada Carlos Tevez yang bakal diturunkan mengambil tempat Wayne Rooney ketika menentang Pompey malam esok.

Jordan sebuah negara kecil. Monarki. Penduduk hanya sekitar 4 juta, semasa gua tinggalkan dulu. Lebih 2 juta ialah warga Palestine. Dan sekarang ditambah pula dengan hampir 2 juta pelarian Iraq. Rakyat Jordan yang sebenarnya adalah sekitar 1.5 juta sahaja. Raja Hussein meninggal dunia sehari selepas gua berusia 21 tahun dan 5 hari selepas gua menamatkan zaman bujang. Tempatnya digantikan Abdullah, anak seorang Minah Saleh yang menjadi isteri kedua Raja Hussein. Baik ayah mahupun anaknya, mereka memerintah seperti diktator. Semua keputusan dibuat raja walaupun mereka mempunyai Perdana Menteri. Dan yang paling menarik, mereka akan semua tunduk dan patuh, hanya memberontak dalam diam. Yang paling bising akan ditangkap disumbatkan ke dalam penjara.

Negara Arab memang memerlukan seorang diktator untuk memerintah. Lihat sahaja Lebanon yang cuba berdemokrasi dan menjadi contoh kepada yang lain. Mereka bertelagah dengan konflik politik yang paling rumit. Iraq yang cuba berdemokrasi juga turut gagal. Sudan juga boleh menjadi contoh. Dan lihat kepada mereka yang diperintah diktator. Iraq ketika era Saddam, Libya dengan Gaddafi, Syria dengan 2 'singanya', Saudi dengan monarki Saud dan sebagainya. Mereka tenang dalam politik dalaman. Dan yang lebih membanggakan ialah sifat bertanggungjawab. Kepada rakyat. Sebab itu gua berhikayat tentang syawarma, walaupun ramai yang belum pernah melihat apatah merasai keenakkannya.

Bulan lepas, di kampung gua di Mafraq, Jordan telah berlaku kes cirit birit. Gua ulang sekali lagi. Kes cirit birit. Ia dikatakan berpunca daripada bekalan air yang tercemar. Maka Perdana Menteri pun datanglah ke lokasi kejadian. Melihat tangki utama bekalan air. Memanjat tangki-tangki air di Bani Hassan dan sekitar Mafraq. Salah satu gambarnya menjadi pilihan muka depan Jordan Times dan Al-Ghad. Lebih 100 orang dimasukkan ke hospital dalam keadaan yang serius. Gua ulang semula. 100 orang dalam keadaan serius. Hospital Mafraq yang tidak pernah menampung sebegitu ramai pesakit telah terpaksa menghantar baki pesakit lain ke Zarqa dan Amman. Hospital tentera juga gagal untuk menampung kes ini. 100 yang serius dan ada beratus-ratus lagi yang tidak serius lah kawan!

Di pendekkan cerita, sebab gua pun dah sakit perut nie, seminggu selepas kes tersebut berlaku, 2 orang menteri meletak jawatan. Menteri Hal Ehwal Luar Bandar dan juga Menteri Kesihatan. Mereka rasa sangat bersalah atas apa yang berlaku. Walaupun tiada kematian. Walaupun mereka tidak pernah sampai ke tangki air itu. Apatah lagi ke kampung tersebut. Mereka hanya pernah mendengarnya. Dengan rasa penuh bertanggungjawab, mereka meletakkan jawatan.

Syawarma ayam yang sedap, ramai yang mengeluh. Mengapa kes keracunan berlaku di Baq'aa, seluruh Jordan larangan dikenakan? Mereka rasa ada tanggungjawab ke atas rakyat. Gua pasti, dalam tempoh seminggu dua ini, Menteri Pertanian pula akan meletak jawatan kerana kes ini melibatkan ternakan ayam yang tercemar dengan penyakit. Lebih hebat lagi, Menteri Kesihatan yang baru "berumur" tak sampai sebulan juga akan meletak jawatan. Semua dibuat kerana tanggungjawab.

Gua pernah mengenali nama Abdul Karim al Kabariti, Abdul Salam Majali, Abdul Rauf al Rawabdeh dan Fayez Tarawneh. Kesemua mereka adalah bekas-bekas Perdana Menteri Jordan yang bertukar ganti sehingga akhirnya gua sendiri sudah tidak pasti siapakah Perdana Menteri mereka yang baru. Hanya kerana beberapa kes yang pada kita agak terpencil, mereka terpaksa melepaskan jawatan. Hanya kerana mereka bertanggungjawab, walaupun ketua mereka adalah seorang diktator.

Sekarang cuba kita tukarkan syawarma ayam kepada helikopter Nuri, cirit birit kepada kemalangan bas ekspres di Bukit Gantang dan Raja Abdullah kepada Pak Lah. Hehehe bagai kata seorang bloggers agung yang entah kat mana gua terbaca, contohnya lah, jika pemberi dan penerima rasuah di BolehLand ini dihukum penjara, negara ini akan diperintah oleh budak-budak sekolah yang baru sebulan berkhatan.
Dan bagi gua plak jika lu tukarkan syawarma ayam dengan helikopter Nuri serta cirit-birit kepada kemalangan bas ekspres di Bukit Gantang, kuranglah bilangan graduan menganggur kerana setiap minit Pak Menteri akan meletak jawatan. Agaknya lah.