Sunday, August 15, 2010

Ramadhan Orang Melayu di Bumi Orang Arab


Tahun ini adalah Ramadhan kedua gua di Libya. Cuma berbeza kali ini gua terpaksa menghabiskan sebulan termasuk Aidilfitri dan Aidiladha. Tahun lepas sekadar 23 hari dan pada hari ke-25 gua sudah berada di pasar Ramadhan Bandar Kinrara. Tiada apa yang istimewa cuma kali ini terpaksa berpuasa di kalangan mereka yang bukan Islam. Berbuka tidak seronok kerana hanya diri sendiri yang merasai kenikmatannya. Mujur mereka begitu menghormati hingga sanggup bersama melewatkan jadual makan malam untuk sama-sama “berbuka” dengan gua.

Berpuasa di Libya bagi gua tiada yang menarik. Bukanlah kerana tiada makanan atau pun pasar Ramadhan, kerana nafsu makan dan bulan Ramadhan tetap sama di seluruh dunia, biarpun di depan Kaabah. Dua hari sebelum Ramadhan, kota Tripoli telah sesak dengan manusia. Memandu di Tripoli ketika itu perlu dibajai dengan kesabaran. Beratur di pasaraya juga perlu menyimpan kesabaran di dalam dompet, kalau tidak berterabur beras dan gula. Nafsu makan dan Ramadhan, sudah terlalu akrab.

Tiada yang menarik, bagi gua adalah kerana hilangnya seri bulan Ramadhan itu. Sesungguhnya, Ramadhan telah menjadi satu alasan yang sangat norma, untuk umat Islam di sini bermalas-malasan. Satu tabiat yang bukan sahaja luarbiasa tetapi amat menakjubkan. Berjaga malam pada bulan Ramadhan, bukanlah satu yang abnormal bagi gua, kerana itu juga budaya bangsa Arab di Jordan dulu, di Syria dan Lebanon, di Mesir bahkan di kebanyakan negara Arab yang lain. Berjaga malam bukan untuk beribadat, kerana kebanyakannya lebih suka menghabiskan masa dengan berbual kosong, sambil minum “syai” dan bermain daun terup. Ini reality.

Tetapi yang sangat memalukan, yang sangat menghibakan, yang berlaku di Libya adalah berjaga malam, dan bulan Ramadhan, seringkali dijadikan alasan untuk bermalas-malasan. Kalau di Jordan dulu, mereka berjaga malam, tetapi aktiviti seharian pada bulan Ramadhan tetap diteruskan. Mereka akan bermula awal dan sekitar jam 4.30 petang, jalanraya mulai lengang. Ramadhan sepatutnya menjadi satu bulan untuk mensucikan diri, bukan untuk memalaskan diri.

Pemerhatian sejak Ramadhan tahun lepas di Al Marj dan Benghazi, bangsa Libya menghabiskan masa malam mereka dengan berbual kosong, ke hulu ke hilir berkereta tanpa haluan, memenuhi taman-taman dan tepian jalanraya, sehingga awal pagi, bersahur dan kemudiannya tidur. Produktiviti menjadi begitu perlahan. Aktiviti seharian terbantut. Mereka bermalas-malasan. Ramadhan dijadikan alasan untuk muncul ke pejabat pada jam 1 tengahari dan kemudian lesap pada jam 2. Ramadhan dijadikan alasan untuk kurang aktif bekerja. Ramadhan dijadikan alasan untuk melewatkan temujanji penting. Bahkan lebih teruk lagi, Ramadhan dijadikan alasan untuk peningkatan karenah birokrasi. Urusan pentadbiran yang sememangnya teruk, akan menjadi lebih dahsyat pada bulan Ramadhan.

Dan petang ini tadi, sesudah pulang ke rumah, pembantu rumah gua hanya menyediakan nasi yang sudah dimasak. Tanpa lauk, tanpa sayur dan tanpa manisan, walaupun sepotong kurma. Apabila ditanya dia menjawab “Ramadhan, rasa macam malas” sambil mengambil beg tangan dan keluar untuk berbuka bersama ahli keluarganya. Oh! Sepatutnya kamu mati sahaja sepanjang Ramadhan ini, dan hidup kembali sesudah Aidilfitri. Semoga tabiat ini tidak akan sampai ke bumi Malaya, yang orang Melayunya begitu mahu menjadi bangsa Arab. Selamat berpuasa, berbuka dan bersahur. Semoga ibadat kita semakin bertambah di Ramadhan ini. Ciao.