Saturday, July 18, 2009

Syarikat Lim Omnibus

Lepas habis darjah enam, gua memang teruja betul nak masuk sekolah menengah. Dapat kawan-kawan baru dan yang lebih penting dapat pergi sekolah naik bas pakcik Isa Makan Besi. Apa barang asyik pergi sekolah naik basikal aje. Gua jeles tengok bebudak naik bus duduk bangku belakang sekali.

Jadi gua pun didaftarkan ke sekolah agama di Kuala Klawang. Dua batu setengah aje dari rumah gua pun. Dapat lah merasa naik bus sekolah, duduk bangku paling belakang dan bila nak turun, bukak pintu kecemasan terus terjun. Perghh memang gaya taiko lah kononnya masa tu. Pakai pulak beg selempang Iron Maiden, seluar ketat dengan kasut Aliph hi-cut sebab tengah demam album Fenomena Search. Masa tu abah gua belikan pas bayar bulan-bulan untuk budak sekolah. RM9.90 aje dan Jelebu dari gua mula kenal bas sampai lah hari ini hanya ada satu syarikat bus aje, Bus Lim.

Tapi seminggu aje gua dapat terjun dari pintu kecemasan bus pakcik Isa Makan Besi. Hari ketiga gua terjun, gua nampak kereta atuk gua kat depan kedai mak gua. Nenek gua terus senyum aje nampak gua. Dia kasitahu dia sudah arrange untuk gua masuk sekolah ada asrama. Dalam 45 kilometer jugak jauhnya. Dah masuk daerah Jempol pun. Bila gua dengar asrama ni yang cuak sikit. Tapi nenek gua cakap sekolah tu baik-baik aje, budak hisap rokok pun takde sebab tak dibenarkan merokok. Gua yakin aje lah walaupun gua tahu mana ada sekolah yang benarkan pelajar merokok.

Tapi memang tak best duduk asrama masa tu. Malam pertama aje gua dah kena lempang sebab gua menangis nak mintak tukar bilik. Tak sampai seminggu abah gua dah datang jemput gua balik sebab gua demam. Pantang hari “outing” aje, pukul 7 pagi gua dah keluar balik rumah, petang bus yang paling akhir gua akan balik semula. Memang jodoh gua dengan asrama tak lama. 3 bulan aje abah gua dah terpaksa angkut semula segala baldi gua bawak balik.

Gua berulang naik bus, 45 kilometer pergi dan 45 kilometer balik. Jodoh gua dengan bus Lim nampak macam serasi. Masa tu abah gua belikan pas berharga RM29.90 sebulan. Gua happy sebab boleh duduk bangku paling belakang. Gua happy sebab ada ramai kawan yang bukan dari sekolah gua. Gua happy sebab Man Pukau si konduktor bus tu pernah pasang kaset Cromox dan selebihnya lagu Shima. Gua happy sebab sekolah gua jauh dan gua boleh tidur dulu. Tapi kerap jugak gua tidur terus terlepas sampai Kuala Pilah.

Itu dulu, hampir dua puluh tahun yang sudah. Sekarang bus Lim masih lagi dominan di Jelebu. Tapi dah tukar nama entah berapa kali. Sudah kena jual atau pun hanya gimik mahu buat rebranding. Dulu bus satu jam sebiji, sekarang kat depan rumah gua tu, nak tengok sehari bus lalu sekali pun payah. Tambang pun sudah naik. Dulu gua bagi konduktor 50 sen aje nak pegi pekan, tapi sekarang mesti dah lebih. Itu belum kira bus sekolah lagi, mesti pas bulanan dari rumah gua ke sekolah agama Kuala Klawang bukan lagi RM9.90. Lagi pun gua dengar pakcik Isa Makan Besi sudah lama meninggal dunia. Man Pukau pulak sudah kahwin dan ada anak. Mungkin buat projek bela lintah sekarang.

Mungkin sebab itulah bus makin kurang dan harga tiket makin naik. Orang dah tak mahu kerja jadi driver bus dan konduktor. Syarikat pengakutan terpaksa menaikkan harga tambang, demi mengupah robot-robot untuk bekerja menjadi pemandu dan konduktor. Syarikat Bus Lim pulak mungkin gagal bersaing menyediakan bus yang lebih moden itu pasal mereka tidak lagi beroperasi di kampung gua.

Monday, July 13, 2009

Seorang Makcik dan KLCC-nya

Ada sekali tu, mak gua kena pergi satu majlis. Dengan PERKIM di Jelebu. Mak gua memang orang kuat lah. Tapi bukan dapat apa benda pun, sekadar nak mengisi masa lapang, sambil terus menyokong Rais Yatim. Kira lepas nie kalau Rais Yatim dah retire gua confirm satu Jelebu akan sunyi sepi.

Majlis tu ialah majlis sambutan hari raya. Entah raya tahun bila pun gua dah tak berapa ingat. Sebab lapar dan terbayangkan tong drum yang sudah dipotong menjadi tempat membakar BBQ, maka gua dengan rela hatinya pun pergilah.

Disebabkan kegagalan untuk merancang waktu, gua telah sampai ketika orang baru nak mula sessi bercakap. Gua lupa yang majlis kalau orang Melayu organize biasanya mesti ada minus plus waktu nak bermula. Maka gua dengan muka terpaksa sambil menahan kelaparan duduk mendengar ucapan seorang makcik.

Dia ni bukan standard makcik lagi sebenarnya. Mak gua kata dia ni dulu junior arwah nenek gua 3-4 tahun aje. Tapi masih jadik pengerusi hapa entah. Anggaran umur dia masa tu dalam 70-an jugak lah. Gua masih ingat lagi isi ucapan dia, yang buat gua tiba-tiba rasa macam mahu menangis. Apa kejadah entah majlis hari raya PERKIM tiba-tiba dia tercakap …

“ Kita mesti terus sokong UMNO sebab kalau tidak selama ni kita tak dapek jalanghayo, jambatan, tuuu haa KLCC tu, dongan lapangan teghobang laei kek Sopang nun…sumo tu UMNO yang buek tu”

“Nak ko kito hidup balik macam zaman Jopun dulu?” dia menyoal balik. Mukanya dihalakan pada gua sebab gua orang muda, yang mungkin takut mendengar perkataan Jepun. Gua tunduk aje. Rasa hiba. Bukan sebab takut dengan Jepun, tapi sedih dengan makcik tu.

Sekarang, tahun 2009. Bukan zaman Jepun lagi. Kita pun tidak takut dengan Jepun sebab Jepun yang pijak perut nenek moyang kita selepas dipaksa minum buih sabun itu sendiri sudah jadik rakan baik kita. Jepun yang pancung kepala nenek moyang kita dulu sendiri sudah boleh datang ke negara kita, cuma kita takutkan Chin Peng sahaja. Itu cerita lain.

Kini tahun 2009, gua masih terdengar lagi frasa yang hampir sama diucapkan kepada rakyat. Bukan oleh makcik itu, tapi oleh manusia yang sepatutnya boleh berfikir lebih matang daripada makcik itu. Kali ini memang gua rasa sangat hiba, sebab ia dilontarkan seorang pemimpin negara. Rakyat masih mahu digula-gulakan dengan jambatan, dengan beg sekolah, dengan basikal murah, dengan kain batik dan subsidi baja. Aduhai cukup-cukuplah dengan penipuan sebegini.

Tuesday, July 07, 2009

Libya - Episod Satu

Kalau di Filipina, antara nama yang paling popular ialah Jesus. Ia mungkin sama dengan popularity nama Mohamad di BolehLand. Cuma Mohamad lebih meluas. Lebih global dan menjadi nama paling popular seluruh planet bumi. Period.

Dulu pun masa di Jordan gua selalu bertemu dengan nama yang pelbagai. Tapi kurang yang menjadi bahan ketawa kerana kami faham maksud nama-nama tersebut. Antara nama yang popular di Jordan ialah Abdullah, Hussein, Mahmud, Hani, Firas, Sami dan macam-macam lagi. Kalau perempuan mereka ada nama seperti Einas, Reem, Roula, Khulud, Maisoun dan ada seorang bernama Karolina. Dia seorang Muslim dan mengambil jurusan Syariah.

Di Libya, gua tak ambil peduli sangat dengan nama perempuan, kerana di pejabat ini cuma ada 4 orang sahaja pekerja wanita dan nama mereka tidaklah “rare” bagi gua. Biasa-biasa aje. Dan kerana posisi gua mendekatkan gua dengan semua nama pekerja, maka gua dapat juga berkenalan dengan nama-nama yang popular di Libya.

Bal Ghassem – di kalangan pekerja sahaja sudah ada 5 orang yang bernama Bal Ghassem, termasuk mamat gemuk yang jadik jurupandu gua sekitar 3 bulan yang pertama gua di sini dulu. Itu belum campur dengan pekerja kedai kacang pistachio, mamat jual kad prepaid dan beberapa nama Bal Ghassem lain yang gua dengar di kedai makan serta di hospital ketika menunggu untuk pemeriksaan kesihatan.

Mabrouk – kebanyakan yang bernama Mabrouk ialah mereka yang sudah berusia. Antaranya seorang Commercial Manager pemalas yang kerjanya setiap pukul 11 pagi dan 3 petang melepak kat bilik hisap syisha. Juga nama bapak kepada seorang pekerja maintenance yang boleh berbahasa Inggeris style anak gua semasa berusia 2 bulan. Mabrouk lain yang gua tahu ialah daripada kalangan pekerja yang gua sendiri tak pernah jumpa. Tapi gua syak mereka pun sudah tua.

Gaddafi – Ini benda normal lah beb di negara Arab. Di Jordan ramai yang bernama Hussein dan Abdullah. Juga Talal, sebab itu nama-nama raja. Tapi entah apahal sorang budak Arab yang suka jadik keeper masa main petang-petang di Jordan dulu ayah dia bubuh nama Saddam. Kesian budak tu, entah jadik apa lah dia sekarang. Oleh kerana Gaddafi adalah lelaki numero uno di Libya, maka gua tengok dalam namelist pekerja pun terselit ada banyak nama Gaddafi. Kesemua mereka muda-muda belaka, gua yakin sebab ayah diorang bubuh nama Gaddafi selepas revolusi, kononnya patriotic. Kecuali tuan punya projek yang kitorang buat ini. Gua yakin bapak dia ikhlas bubuh nama Gaddafi, dan kebetulan jadik orang kaya. Orang kaya berlagak pulak tu.

Faraj – Ini adalah nama paling popular di Libya. Sumpah. Faraj di sini maksudnya ialah “unfold” atau pun “to widen”. Gua rasa sudah lebih seratus orang yang gua kenal rupa tubuh mereka yang mempunyai nama sebegini. Bahkan Finance Manager juga namanya Faraj. Itu belum kira dengan salesmen, vendor, supplier crane, tukang repair aircond, penjual telefon bimbit dan sebagainya. Ia sudah seperti nama Jusoh di Terengganu dan Jantan di Melaka. Masalahnya di sini, dari kalangan warga asing yang boleh berbahasa Melayu di sini, hanya gua seorang sahaja yang tahu apakah maksudnya nama Faraj. Maka gua seringkali didatangi mereka yang curiga kenapa ada ibu bapa yang sampai hati bubuh nama anak mereka sedemikian. Dan Faraj ialah nama lelaki.

Welcome to Libya, my friends.

Saturday, July 04, 2009

Libya - Episod Pengenalan

Sebelum datang ke sini, gua sudah melayan perangai Arab lebih daripada 10 tahun. Sama ada ketika belajar atau pun ketika gua membuang masa sebagai part-time tourist guide. Mental gua memang sudah bersedia dengan perangai Arab yang lebih kurang sama, tidak kira dari negara mana atau di negara mana mereka berada.

“Bangsa Arab tidak akan bersatu walaupun sampai hari kiamat”

Itu ayat bapak sedara gua masa kitorang sedang syok berborak sambil mengutuk perangai Arab masa gua baru balik dari Jordan dulu. Dia pun ada banyak pengalaman melayan perangai Arab. Baru-baru ini ketika berbual di Google Talk dia tanya gua bagaimana tentang bangsa Arab di Libya sambil kami berterusan mengutuk Gaddafi yang tiba lewat ke satu majlis rasmi di Italy sehingga menyebabkan semua tetamu berambus. Majlis rasmi, lawatan pemimpin negara.

“Arab ni lu campak kat mana pun sama aje perangai diorang” jawab gua.

“Agak-agak lu antara Libya dengan Bangladesh mana lagi best?” dia tanya gua balik.

“Libya best sikit aje daripada Bangladesh”

“Kah! Kah! Kah!”. Kami sepakat berkongsi ketawa.

Bangsa Arab, kadangkala tu boleh buat gua macam mahu menangis pun ada.