Thursday, October 29, 2009

Gua Terjumpa Persimpangan Pandan Indah di Tripoli

Antara benda paling sukar bagi gua ialah untuk mengingati jalan. Gua paling hafal jalan keluar dari Bandar Kinrara untuk pegi sekolah wife gua, pegi highway PLUS, pegi rumah abang gua di Bandar Sri Permaisuri, juga untuk pergi ke Mid Valley. Kalau nak pegi IKEA pun gua kadang-kadang boleh semput terutama apabila dah sampai di KDU. Sebab itu lah gua mesti ada co-pilot. Kalau tidak gua lebih senang merempit sebab jalanraya di KL memang terbukti amat mesra untuk merempit.

Gua dah pernah test guna GPS. Macam haram, asyik memekak tak sudah-sudah. Pastu nak tunjuk bagus pulak. Macam lah tempat yang gua nak pegi tu dia pernah sampai. Poyo aje lebih. Bagi pulak jalan yang jauh-jauh, ada jalan shortcut pun dia tak tahu. Menyusahkan aje mana nak dengar radio lagi, nak berborak lagi, nak tengok jalan lagi, nak perhati signboard lagi. Jadi, itu adalah teknologi yang gua rasa perlu gua reject.

Masa mula-mula menjejak kaki di Muar pun gua dah kantoi. Banyak sangat jalannya gua rasa. Apa hal pegi buat jalan susah-susah ni? Banyak-banyak simpang, traffic light, signboard. Semua tu pembaziran. Mesti ini projek kroni. Gua dah mula merepek. Maka adalah juga lima enam kali gua sesat barat di Muar. Apabila balik lambat sikit masa gua keluar drive sorang-sorang, gua akan bagi alasan pegi jalan-jalan, padahal gua memang jalan-jalan pun. Dah sesat jalan-jalan lah cari jalan balik.

Masa pegi Melaka baru ni, sambil tunggu wife gua kursus, gua bawak anak gua pegi Bandar Melaka. Okay jugak gua fikir, pegi shopping complex ke, tengok bangunan merah ke. Dengan penuh confident gua drive dari pantai Klebang ke Bandar Melaka. Cilakak betul, dekat sejam lebih gua memusing nak cari Mahkota Parade. Gua rasa masa sekolah dulu kitorang outing pegi Melaka senang aje pulak. Turun bus terus sampai Melaka dah nampak Mahkota Parade. Tahun 1994 dulu lah.

Dalam gua tengah buat gaya best pusing-pusing makan angin kat Bandar Melaka tu, tiba-tiba alat GPS paling besar gua yang tengah bergaduh kat seat belakang berbunyi “Are we lost , Baba?”. GPS yang kecik pulak kata “Kan tadi kita dah lalu kat sini”. Gua terus buat gaya best sambil tukar lagu ABBA jadik lagu Sex Pistol. Heh Johnny Rotten pun kurang mampu membantu gua. Penyudahnya dah dekat pukul 4 baru gua dapat parking depan Mahkota Parade. Wife gua abis kursus pulak pukul 4 setengah. Perghh! Depan Mahkota Parade ni diorang dah buat shopping complex baru lah pulak. Takkan nak lepak 15 minit aje kan? Dekat pukul 5 lebih jugak lah baru jemput wife gua.

Dalam e mail sebelum gua sampai sini, boss sudah kasitau suruh gua bawak international driving license. Mesti. Gua dah agak mesti dia nak hadiahkan gua Volkswagen Touareg ni. Boleh nanti gua drive style Jason Bourne. Kalau Benghazi gua boleh drive rileks aje, Tripoli mesti susah sikit-sikit aje. Lagi pun gua duduk kat opis, nak ke mana sangat pun kan?

Hari ketiga gua bekerja di site yang bau macam Taman Equine pada tahun 2003 ni, boss sudah bagi gua kunci kereta besar dan jugak authorization letter untuk memandu. Gua dah kasitau dengan mamat Filipino yang duduk sebelah gua ni. Kalau lu tak pegi keje memang gua takkan pegi keje. Cemana gua nak drive macam ni? Sampai 3 biji highway gua kena tempuh belum kira flyover lagi tu. Cemana gua nak save dalam hard disk gua yang cuma 250 gig ni? Sekali Tripoli ni pulak dia punya sesak dah macam MRR2 menghala ke Ampang.

Gua macam nak berbisik aje pada boss, tolonglah shipping kan 125Z gua datang ke sini. Gua nak merempit. Gua dah tak tahan. Masa yang gua buang dalam traffic jammed pagi-pagi ni kalau gua layan mata lagi berfaedah. Itu belum campur masa reverse-reverse kereta sebab silap jalan lagi. Aduh.

Tuesday, October 27, 2009

Lelaki Melayu Terakhir

Dulu gua memang selalu risau dengan pertukaran tempat kerja. Sebab itulah gua setia macam askar Jepun selama 7 tahun di Astro. Macam-macam yang gua fikir. Ada geng sepejabat yang satu kepala atau tidak, itu menjadi persoalan pertama. Agak-agak gua boleh buat kerja ke tidak? Boss baru gua baik ke tidak? Gua boleh layan internet ke tidak? Kerja gua payah macam buruh paksa buat landasan keretapi ke? Dan macam-macam lagi.

Bukan apa, gua sudah selesa sangat semasa bekerja di Astro dulu. Kerja yang gua rasa paling mudah atas planet bumi. Gua hanya perlu membebel depan televisyen. Apa sahaja yang gua dengar, gua kena cakap semula dalam Bahasa Melayu secara langsung. Sambil bercakap gua boleh tengok bola, gua boleh baca suratkhabar, boleh kira hutang kad kredit, boleh reply SMS, minum teh tarik dan ada kutu yang pernah buat jualan langsung sambil membebel depan televisyen tu. Tapi paling selalu ialah ada yang sambil membebel, dia terlelap dan terus merapu. Itu cerita lain.

Kawan-kawan pulak memang daripada kelompok yang sama walaupun bukan satu kepala sangat. Ada kawan-kawan yang dah kenal lebih sepuluh tahun dan ada yang baru kenal tapi dah macam kenal 50 tahun. Cuma kerana kesemua kami dibesarkan dalam persekitaran yang hampir sama, maka kami boleh dikategorikan sebagai satu kepala. Semua kepala atas putih, kecuali gua, punkrock kononnya.

Oleh sebab itulah gua takut untuk bertukar kerja. Bagaimana hari pertama di tempat baru? Dengan siapa gua nak makan tengahari? Meja gua letak kat mana? Gua nak berborak dengan siapa? Borak tentang apa? Berapa lama boleh berborak? Dan macam-macam lagi.

Jadi sejak dua hari yang lepas, gua sudah berada di tempat baru. Bermakna dalam tahun 2009 ini, gua sudah berada di 3 tempat kerja yang berbeza tapi cuma 2 majikan yang berlainan sahaja. Tripoli memang best daripada semua segi. Tempat tidur best. Gua sudah tidak perlu mendengar dengkuran Lim Boon Diaw sebelum gua terlelap sebab gua ada bilik yang sama besar dengan keluasan surau Sogo. Sendirian.

Makanan memang bagus sebab ada tukang masak. Toilet memang bagus sebab sangat bersih dan luas. Rumah tempat tinggal juga bagus sebab sangat luas dan selesa. Tempat kerja juga bagus sebab gua tidak perlu melayan kebodohan Arab lagi.

Cuma apabila gua tengok balik rakan-rakan serumah dan sepejabat dengan gua, baru gua sedar. Takde pulak gua jumpa nama-nama orang Melayu. Ini betul-betul mencabar daya tahan gua untuk tidak menikmati suasana hidup seorang lelaki Melayu bagi tempoh 6 bulan yang akan datang.

Friday, October 23, 2009

Sekarang Ini Gua Dalam Mood Kebosanan

Gua rasa malas yang teramat. Satu ketika dulu, semasa gua tinggal di asrama, lagu jiwang kapak yang paling hit ialah lagu Ekamatra – Sentuhan Kecundang dengan apa lagi satu yang ada singgah-singgah tu. Dalam radio dalam tandas asrama dalam dewan makan habis semua tempat gua selalu terdengar lagu tu.

Ada sekali tu gua balik ke asrama selepas cuti. Sebaik masuk aje dalam dorm gua tiba-tiba gua terdengar suara satu kutu menyanyi lagu Ekamatra. Terus gua rasa macam nak pengsan. Bosan tahap langit ketujuh. Sejak itu gua terus menyampah dengar lagu Ekamatra sebab ia menjadi symbol kebosanan. Bosan sebab terpaksa balik ke asrama. Bosan terpaksa makan menggunakan tray. Bosan kerana berkongsi bilik air dengan ramai orang. Bosan kerana berpisah dengan masakan mak. Bosan kerana terpaksa tidur katil dua tingkat. Lebih bosan lagi sebab gua tidur katil bawah dan Azmi Fadhly yang tidur katil atas pulak memang stok kencing malam.

Bosan sebenarnya kerana berpisah dengan keluarga. Kali pertama gua duduk asrama ialah masa gua Tingkatan Satu. Maghrib pertama di asrama slow-slow aje airmata gua meleleh teringat mak dan abah gua. Nak cover punya pasal gua terus pegi ambik air sembahyang sambil simbah-simbah air ke kepala tak mahu kutu lain perasan. Nasib baik dalam surau takde siapa yang menyanyi lagu Ekamatra tu, kalau tidak memang gua meraung.

Maghrib pertama gua di Libya pun sayu jugak. Masa itulah pulak nak teringat anak bini. Aduhai lemah betul gua dengan benda-benda macam ni. Kadang-kadang gua fikir makhluk manalah yang mencipta perkataan-perkataan seperti berjauhan, berpisah, terkenang dan sewaktu dengannya. Nak aje gua rembat.

Gua dalam mood bersiap untuk pulang ke Libya. Dalam suasana lintang pukang nak beli itu dan ini. Checklist dah buat tapi masih banyak yang belum complete. Semua ini buat gua rasa bosan. Gua rasa macam baru minggu lepas gua balik tapi bila check semula rupanya dah lebih sebulan gua balik. Dalam pada gua bersiap ni gua pun teringat nak beli seluar jeans.

Kebetulan gua lalu di Pertama Kompleks. Gua parking kereta sekejap di Sogo dan pergi ke Pertama. Kedai seluar jeans betul-betul depan pintu. Gua capai satu seluar, gua test dan gua bayar. Sebaik aje gua keluar dari kedai tu, entah makhluk pemilik kedai kaset mana entah boleh pasang lagu Ekamatra kuat-kuat. Cilaka betul, hancur terus mood gua nak bersiap balik ke Libya. Gua rasa macam nak rembat perut pencipta lagu tu. Buat gua bosan.