Showing posts with label Ramadhan Ini Tahun. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan Ini Tahun. Show all posts

Wednesday, September 08, 2010

Ramadhan Orang Melayu di Bumi Orang Arab II

Ramadhan kali ini memang cool. Entah berapa kali gua tak bangun sahur. Entah berapa kali gua berbuka cuma sekadar kurma dan air susu, kemudian pukul 10 malam baru masak maggi goreng. Entah berapa kali jugak gua main tukar-tukar masjid masa terawih. Agak-agak baca macam merangkak, memang gua tak datang dah malam esoknya. Kaki kebas berdiri, sini mana ada pusat refleksologi.

Dalam laman villa ini ada sebatang pokok kurma. Jadi, gua cuma beli kurma sebelum Ramadhan saja, lepas itu buahnya sudah masak dan luruh. Bersepai dipijak kaki manusia dan dilanggar tayar kereta. Mahu makan kutip, atau tunggu yang segar baru gugur, atau tunggu tuan rumah datang bawa tukang panjat. Alhamdulillah, kurma tahun ini percuma. Bagai ada perjanjian, semua pokok kurma di Tripoli, berbuah dan luruh ketika bulan Ramadhan.

Ramadhan kali ini memang demokratik, kerana gua tidak perlu terpengaruh dengan suara-suara halus menghasut untuk membuat karipap, murtabak, pudding jagung, kek dan pelbagai jenis makanan lain. Makcik pembantu rumah pun berpuasa jugak, tapi selera Tunisia. Tengok gua buat kurma goreng, makcik ni mengucap panjang sambil menepuk dahi. Mungkin dia rasa bodoh selama ini tak tahu yang kurma boleh digoreng.

Dalam pada tiada selera untuk makan yang bukan-bukan juga tiada manusia Melayu yang menghasut, gua masih sempat bikin bubur jagung. Gua masih sempat buat mee goreng, buat mee bandung, bikin nasi lemak, pudding roti, ayam percik, roti john, spaghetti, nasi ayam, karipap, buat kinafah, masak kuskusi, masak maqlubah, mashed potato dan minum coke float dengan aiskrim vanilla. Owh! Masih belum demokratik juga rupanya. Terlalu kerap melayari laman web myresepi.com

Gua nak balik rumah. Kacang belum blender, nasi himpit belum jumpa plastic yang sesuai, lidi satay belum beli, kacang panjang belum potong. Longan belum rendam. Gua nak bikin lodeh. Gua nak bakar satay. Gua nak masak sambal kacang. Gua nak buat air longan.

Esok gua nak raya sendirian. Kalau bosan makan sorang-sorang, gua nak pegi mandi laut. Snorkeling. Baru nampak demokratik.

Sunday, August 15, 2010

Ramadhan Orang Melayu di Bumi Orang Arab


Tahun ini adalah Ramadhan kedua gua di Libya. Cuma berbeza kali ini gua terpaksa menghabiskan sebulan termasuk Aidilfitri dan Aidiladha. Tahun lepas sekadar 23 hari dan pada hari ke-25 gua sudah berada di pasar Ramadhan Bandar Kinrara. Tiada apa yang istimewa cuma kali ini terpaksa berpuasa di kalangan mereka yang bukan Islam. Berbuka tidak seronok kerana hanya diri sendiri yang merasai kenikmatannya. Mujur mereka begitu menghormati hingga sanggup bersama melewatkan jadual makan malam untuk sama-sama “berbuka” dengan gua.

Berpuasa di Libya bagi gua tiada yang menarik. Bukanlah kerana tiada makanan atau pun pasar Ramadhan, kerana nafsu makan dan bulan Ramadhan tetap sama di seluruh dunia, biarpun di depan Kaabah. Dua hari sebelum Ramadhan, kota Tripoli telah sesak dengan manusia. Memandu di Tripoli ketika itu perlu dibajai dengan kesabaran. Beratur di pasaraya juga perlu menyimpan kesabaran di dalam dompet, kalau tidak berterabur beras dan gula. Nafsu makan dan Ramadhan, sudah terlalu akrab.

Tiada yang menarik, bagi gua adalah kerana hilangnya seri bulan Ramadhan itu. Sesungguhnya, Ramadhan telah menjadi satu alasan yang sangat norma, untuk umat Islam di sini bermalas-malasan. Satu tabiat yang bukan sahaja luarbiasa tetapi amat menakjubkan. Berjaga malam pada bulan Ramadhan, bukanlah satu yang abnormal bagi gua, kerana itu juga budaya bangsa Arab di Jordan dulu, di Syria dan Lebanon, di Mesir bahkan di kebanyakan negara Arab yang lain. Berjaga malam bukan untuk beribadat, kerana kebanyakannya lebih suka menghabiskan masa dengan berbual kosong, sambil minum “syai” dan bermain daun terup. Ini reality.

Tetapi yang sangat memalukan, yang sangat menghibakan, yang berlaku di Libya adalah berjaga malam, dan bulan Ramadhan, seringkali dijadikan alasan untuk bermalas-malasan. Kalau di Jordan dulu, mereka berjaga malam, tetapi aktiviti seharian pada bulan Ramadhan tetap diteruskan. Mereka akan bermula awal dan sekitar jam 4.30 petang, jalanraya mulai lengang. Ramadhan sepatutnya menjadi satu bulan untuk mensucikan diri, bukan untuk memalaskan diri.

Pemerhatian sejak Ramadhan tahun lepas di Al Marj dan Benghazi, bangsa Libya menghabiskan masa malam mereka dengan berbual kosong, ke hulu ke hilir berkereta tanpa haluan, memenuhi taman-taman dan tepian jalanraya, sehingga awal pagi, bersahur dan kemudiannya tidur. Produktiviti menjadi begitu perlahan. Aktiviti seharian terbantut. Mereka bermalas-malasan. Ramadhan dijadikan alasan untuk muncul ke pejabat pada jam 1 tengahari dan kemudian lesap pada jam 2. Ramadhan dijadikan alasan untuk kurang aktif bekerja. Ramadhan dijadikan alasan untuk melewatkan temujanji penting. Bahkan lebih teruk lagi, Ramadhan dijadikan alasan untuk peningkatan karenah birokrasi. Urusan pentadbiran yang sememangnya teruk, akan menjadi lebih dahsyat pada bulan Ramadhan.

Dan petang ini tadi, sesudah pulang ke rumah, pembantu rumah gua hanya menyediakan nasi yang sudah dimasak. Tanpa lauk, tanpa sayur dan tanpa manisan, walaupun sepotong kurma. Apabila ditanya dia menjawab “Ramadhan, rasa macam malas” sambil mengambil beg tangan dan keluar untuk berbuka bersama ahli keluarganya. Oh! Sepatutnya kamu mati sahaja sepanjang Ramadhan ini, dan hidup kembali sesudah Aidilfitri. Semoga tabiat ini tidak akan sampai ke bumi Malaya, yang orang Melayunya begitu mahu menjadi bangsa Arab. Selamat berpuasa, berbuka dan bersahur. Semoga ibadat kita semakin bertambah di Ramadhan ini. Ciao.