Friday, March 26, 2010

Entri Terakhir Tentang Rasisme

Di mana gua boleh dapatkan borang keahlian PERKASA? Sama ada masih dalam satu daerah penafian, atau pura-pura bodoh, mereka yang rasis akan menerima PERKASA sebagai satu badan yang memperjuangkan hak bangsa Melayu. PERKASA akan menjadi tunjang memperjuangkan ketuanan Melayu hingga ke titisan darah terakhir. Itu bodoh!

Sepatutnya, selepas lebih 50 tahun merdeka, negara ini tidak lagi perlukan slogan 1Malaysia. Negara ini tidak lagi perlukan kempen masyarakat harmoni dan negara ini sebenarnya sudah lama menjadi sebuah negara yang aman makmur dan kaya raya. Harmoni.

Kenapa pada tahun 2010, masih ada lagi bangsa yang sentiasa takutkan satu bangsa lain? Mengapa pada tahun 2010 masih lagi ada individu yang berfikiran bahawa hak bangsa Melayu terancam? Maka jari akan dituding ke Israel, Indonesia, Bosnia, Singapura dan juga Pulau Pinang. Oh ya, Pulau Pinang itu berada di dalam Tanah Melayu. Tapi mengapa jika kamu ke Tanjung, amat sukar untuk kamu temui bangsa Melayu? Nanti kita sambung. Bagi gua habiskan dulu dengan hak bangsa Melayu yang terancam. Ya, masih ada yang bimbang akan hak yang terancam. Hak apa? Hak untuk bersunat atau hak untuk berkahwin lebih daripada seorang melalui sindiket di sempadan Siam? Atau hak untuk mendapatkan diskaun pembelian rumah?

Itu adalah sebahagian hak untuk Bumiputera, yang turut melibatkan Orang Asli, Bajau, Kadazan, Murut, Dayak, Iban, Melanau dan sebagainya dan bukan hanya untuk orang Melayu. Faham? Sebab itu gua katakana sejak awal lagi, bangsa yang rasis ialah bangsa yang hanya mendokong perjuangan bangsanya sahaja. Kenapa kamu tidak berjuang untuk keseluruhan masyarakat Bumiputera ini? Atau sebenarnya kamu hanya memperjuangkan tempolok kaum kerabat kamu sahaja?

Gua cukup tak faham, apabila gua bukak satu cerita, masih ada yang gagal menerima dan sebaliknya terus mengalihkan perhatian kepada cerita lain. Dari Kuala Lumpur gua sudah ke Singapura dan sekarang gua terpaksa ke Pulau Pinang. Apa punya bebal.

Mengapa apabila kamu ke Tanjung, kamu dilayan seperti peminta sedekah? Mungkin muka kamu seperti seorang peragut? Atau kamu memakai t-shirt PERKASA dengan foto Ibrahim Ali? Atau mungkin di dahi kamu punyai tattoo “Saya Melayu Saya Benci Cina”?

Memang ada manusia seperti ini. Seperti juga Ibrahim Ali Katak PERKASA itu. Gua tidak nafikan. Apa sahaja yang dilihat tentang bangsa lain, semuanya buruk. Apa sahaja tindakan bangsa lain semuanya tidak betul. Apa sahaja lontaran pendapat bangsa lain semuanya ditolak. Apa sahaja yang positif daripada bangsa lain pasti akan dilihat negative. Manusia seperti inilah yang dinamakan rasis, manusia perkauman, jumud, kepala hotak beku, perasan bagus, berangan mahu jadi ahli syurga tapi dirinya penuh sifat kebencian. Inilah manusia yang hanya melihat bangsanya yang terbaik tanpa mahu belajar tentang kebaikan bangsa lain.

Kakak gua sudah berkahwin dengan orang Pulau Pinang sejak tahun 1986. Terus menetap di sana. Jadi Pulau Pinang bukanlah asing bagi gua. Memang betul, gua akui, di Tanjung khususnya majority adalah bangsa Cina, tapi sepanjang gua ke sana belum pernah lagi gua dilayan dengan sinis perkauman. Dan gua juga tahu, Tanjung sudah dikuasai Cina sejak dulu lagi. Sejak sebelum kakak gua berkahwin dengan orang sana lagi. Ya, sejak dulu lagi Malaya ini diperintah oleh orang Melayu sebagai tunjangnya. Tapi apa yang Melayu itu buat kepada bangsanya sendiri?

Malas gua menulis blog ini bukan kerana ketandusan idea, tapi sebenarnya gua sudah tidak tahu untuk menerangkan tentang maksud bangsa Melayu rasis yang gua tulis tentang pembakaran gereja itu. Akibatnya, gua terlompat-lompat dari satu negeri ke satu negeri. Melayan manusia rasis yang berfikiran sebagai ultra-Melayu, bencikan Cina khususnya dan gagal membaca dengan hati yang terbuka adalah satu pengalaman ngeri gua sepanjang menulis blog. Mencuri banyak ruang kreativiti gua untuk bercerita tentang bolasepak, tentang Jelebu, tentang Jordan, tentang Libya dan juga tentang Ibrahim Ali.

Oh ya Anon, cuba lu Google lirik-lirik lagu Rage Against The Machine, Minor Threat, Propaghandi, NOFX atau pun Aus-Rotten. Cuba terjemahkan ke bahasa PERKASA, dan cuba dalami sedikit pengajaran tentang kisah-kisah lagu tersebut. Kalau tak faham lagi cuba Google apa yang mereka perjuangkan, apa yang mereka carutkan dalam lagu-lagu itu. Kemudian bandingkan dengan lirik lagu kumpulan pop pujaan kamu, Slam contohnya.

Guten Nacht!

Sunday, February 21, 2010

Gua Benci Dengan Kebebalan Rasisme!

Dulu gua pernah tulis, bagaimana kawan-kawan yang menonton berita terdengar pasal kemalangan nyawa. Dan kemudiannya tahu bahawa mangsa kemalangan bukan berbangsa Melayu. Serta merta mereka akan mengalih arah “ohhh Cina, lantak lah pun” atau pun “ohhh India, aku ingatkan Melayu tadi”. Serius, gua tidak bikin cerita. Dan kebanyakan mereka juga adalah kumpulan yang selalu datang kerja lambat tapi akan mengeluh apabila terpaksa bekerja lebih. Gaji tetap mahu banyak, tapi kerja biar sedikit.

Apakah kerana gua sahaja yang kebetulan bertemu dengan kumpulan manusia rasis sedemikian? Atau gua kurang bercampur dengan bangsa lain? Tapi kenapa bangsa lain yang gua kenal, yang gua rapat, kesemua mereka tidak punyai sikap sedemikian? Atau mungkin mereka segan untuk bersikap demikian di depan gua?

Tapi Melayu tidak segan. Buktinya, guru besar di sekolah wife gua mengajar, adalah antara manusia rasis yang pernah gua kenali. Walaupun gua tidak pernah berbual bersama, tapi tindakannya yang anti-bangsa bukan Melayu, anti kepada guru-guru bukan Melayu buat seolah gua pernah membedah tubuh dan melihat kehitaman hatinya. Mengapa boleh jadi begitu? Salah didikan? Faktor persekitaran? Atau sebab keahlian UMNO? Baiklah, mungkin itu kes terpencil dan anon-anon yang memekik dahulu mungkin berkata, apakah tiada bangsa Cina dan India yang rasis?

Memang ada. Mungkin gua belum pernah berjumpa. Tapi, jika kita tahu bahawa najis itu busuk dan kotor, adakah kita juga perlu memegangnya ketika terdapat sekelompok kecil yang menyentuhnya? Tak faham? Mungkin akal kamu, belum sampai kepada peringkat pemahaman benda-benda mudah seperti ini. Sama seperti Perdana Menteri kamu, yang satu ketika dahulu ditanya seorang wartawan Amerika, mengapa masih berterusan menahan tanpa bicara menggunakan ISA dan menjawab bahawa Amerika juga perlu bertanya mengapa mereka berterusan memenjarakan tahanan di Guantanamo? Bukankah itu bodoh dan bebal namanya? Sudah tahu najis itu busuk, tapi tetap juga dihidu.

Berbalik kepada anon, yang mengatakan sepupu sepapatnya, telah menjadi mangsa diskriminasi, di Temasik. Betul, diskriminasi memang wujud. Di depan Kaabah pun wujud diskriminasi. Di depan rumah Allah yang sepatutnya tiada sebarang perbezaan antara yang miskin dan kaya, gua terpaksa juga berhempas pulas merebut peluang mencium Hajar Aswad sedangkan mereka yang kaki rasuah, merampas tanah rakyat dan menyamun harta negara, dengan selesa diberi laluan untuk menciumnya. Bukan sekali. Apakah bukan diskriminasi itu?

Jadi, jika pun diskriminasi itu wujud, apakah kita perlu untuk terus menghidupkannya? Sebab itu dalam entri sebelum ini, gua mahu anon-anon itu melihat ke dalam diri sendiri, sebelum menuduh bangsa lain itu menindas bangsa Melayu. Berapa tahun UMNO sudah memerintah Malaya, dan berapa tahun Pulau Pinang diperintah oleh Gerakan? Apakah kehilangan tanah-tanah rezab Melayu di Pulau Pinang itu berpunca daripada Lim Guan Eng? Apakah mesti bangsa-bangsa Melayu di Temasek itu kehilangan monopoli mereka disebabkan oleh dasar diskriminasi Lee Kuan Yew? Mengapa apabila kita lemah, kita sering menyalahkan orang lain? Bangsa Melayu, yang rasis itu, bila lemah akan menuding jari menyalahkan Cina. Menyalahkan India. Menyalahkan bangsa lain dan tidak pernah melihat ke dalam susuk tubuh jiwa hati yang hitam yang wujud dalam diri kita sendiri. Mengapa?

Untuk anon-anon itu, apa yang berlaku di Temasek itu ialah dasar kesamarataan. Diskriminasi memang wujud dan ia juga wujud di mana sahaja di atas bumi Allah ini. Itu salah manusia. Tapi kemunduran bangsa Melayu di Temasek bukan berpunca secara total daripada diskriminasi. Anon yang malas membaca dan bebal untuk berfikir, tidak tahu kewujudan menteri Melayu bernama Dr. Yaacob Ibrahim. Betul dia berkahwin dengan bangsa asing, dan itu bukan satu larangan dalam Islam. Adiknya Zuraidah Ibrahim pula ialah Foreign Editor untuk The Straits Times. Mereka boleh berjaya di sebalik prasangka buruk orang-orang Melayu rasis di Malaya yang mengatakan bangsa Melayu di Temasek melarat, menjadikan Temasek contoh kegagalan Melayu untuk berkuasa dan bla,bla,bla.

Anon yang malas membaca juga, tidak tahu, bahawa di sebalik diskriminasi dan prasangka buruk, rasis serta khianat bangsa Melayu di Malaya itu, kerajaan Temasek hanya mengenakan yuran persekolahan sebanyak SD5 kepada anak-anak Melayu di sekolah rendah tetapi SD17 untuk bangsa Cina dan lain-lain. Untuk sekolah menengah anak Melayu cuma perlu membayar yuran SD17.50 sahaja sedangkan anak-anak Cina yang anon-anon itu bencikan terpaksa membayar SD50. Itu adalah sebahagian daripada perjanjian yang telah Lim Kuan Yew tandatangani pada tahun 1965, dan sehingga ke hari ini - ketika anak-anak Melayu di Malaya, yang diperintah UMNO, yang rasis dan membela ketuanan Melayu dengan darah dan kerisnya terpaksa berdepan kenaikan yuran-yuran pembelajaran, penswastaan institusi pendidikan atas nama kemajuan kononnya – anak-anak Melayu di Temasek terus mendapat keistimewaan pendidikan itu. Kalau bebal dan balas membaca memang sampai dalam lubang kubur maklumat seperti ini tidak diterima.

Diskriminasi wujud, memang wujud tetapi ia seperti najis, yang busuk. Hanya manusia bebal dan bengap sahaja sanggup menghidunya. Bukan sahaja Melayu yang rasis, Cina, India, Arab atau siapa sahaja yang mengamalkan rasis dan diskriminasi seperti ini, tetap busuk, tetap najis.

Jadi apa yang tinggal untuk anak-anak Melayu itu? Mereka perlu bersaing. Mereka perlu merebut peluang. Segalanya sudah disediakan. Jika kamu bebal di Malaya, tapi bapa kamu seorang Datuk dan membayar yuran keahlian UMNO, kamu tetap punyai peluang cerah ke menara gading. Lagi cerah apabila kamu berstatus Melayu. Tapi di Temasek itu, jika kamu bengap, kamu akan ketinggalan. Jika kamu malas, wahai anon-anon sekalian, mahu gaji lebih kerja sedikit, kamu memang akan menjadi sampah diskriminasi. Campakkan kepada bangsa mana sekalipun, malas dan bengap akan terus dipijak.

Satu ketika, warga Melayu di Temasek mempersoalkan, mengapa kakitangan kerajaan yang beragama Islam terus dipotong SD7 daripada gaji bulanan mereka, atas nama pembangunan masjid. Sedangkan ketika solat Jumaat, derma untuk masjid-masjid terus dipinta, terus ditagih. Tahukah kamu wahai anon-anon bahawa SD7 itu lebih kurang RM15? Sebulan. Untuk masjid. Kamu Melayu yang bersolat sambil menjamu selera di warung-warung beriyani dan kemudian melihat demonstrasi ubat membesarkan zakar itu, berapa yang kamu beri sebulan?

Jadi kerajaan mereka menjawab, masjid-masjid terus dibina. Dan setiap penempatan memang tersedia masjid. Penyelenggaraan juga memerlukan wang. Dan hasilnya mereka berpuas hati dengan kemudahan yang mereka miliki, untuk beribadah. Anon, mengapa kebanyakan tandas masjid di Malaya agak kurang bersih? Ah, biarkan jawapan itu dalam diri kamu yang rasis itu sahaja. Kamu akan salahkan Cina-cina yang datang singgah buang air di masjid.

Pada hari ini, sebuah bangunan kuarters hospital telah didirikan di Petaling. Sekolah Menengah Undang Jelebu juga telah mengambil alih kawasan bersebelahan hospital itu. Bukit yang dulunya, kawan gua cakap kubu komunis itu, telah rata menjadi padang. Gua pernah bermain bola di padang itu dan rasanya tiada kalangan kami yang tersepak mortar atau pun muncung senapang. Gua tidak tahu apa yang terjadi kepada kawan gua yang membawa cerita itu. Tapi, kisah-kisah seperti itu terus wujud, sampai ke hari ini. Temasek dan Cina terus dilihat sebagai musuh. Temasek sering dijadikan contoh kegagalan bangsa Melayu. Sedangkan, Malaya tempat gua dilahirkan itu, diperintah oleh seorang Melayu, tapi bangsa gua, bangsa Melayu itu, masih lagi terus terumbang ambing, hanya berbangga dengan namanya, hanya tahu mencaci bangsa lain atas kelemahan dirinya, tanah-tanahnya terus dirampas oleh pemimpin-pemimpin bangsanya sendiri dan bangsa Melayu itu masih terus diperbodohkan oleh kerja-kerja jahanam, pemimpin-pemimpin Melayu itu sendiri.

Punkrock masih belum sempat disentuh. Sudah jam 1.22 pagi di bumi Afrika ini. Untuk anon, gua masih belum habis. Sebab gua benci dengan kebebalan rasisme.

Wednesday, January 27, 2010

Apabila Anak Melayu Yang Bukan Rasis Menulis

Masa gua kecik dulu, dihadapan kuarters hospital Petaling, di Jelebu, ada sebuah warung kopi. Ia warung milik Cina, tempat ramai penoreh getah berhenti minum sekitar jam 10 pagi sesudah selesai menoreh. Majoriti mereka adalah Cina juga, kerana gua tahu Melayu sekitar jam 10 pagi, mereka baru menghabiskan satu lot pokok getah.

Dari mana gua tahu? Dulu mak gua bukak kedai kopi di kampung, dan seawal 4 pagi, sudah ada penoreh getah berbangsa Cina yang singgah, membeli rokok atau pun ubat nyamuk, sebelum ke kebun getah dan kemudiannya pulang sekitar jam 10 pagi, mereka akan singgah pula untuk minum teh dan makan nasi lemak.

Berbalik kepada warung di hadapan kuarters hospital itu. Gua sudah lupa makhluk mana yang memulakan cerita ini, tapi gua sangat pasti dia berbangsa Melayu, kerana ketika kecil gua tidak ada kawan Cina, kecuali seorang bapa angkat yang bernama Ah Fook, juga Cina-cina penoreh getah yang selalu singgah minum di kedai kopi mak gua. Kawan Melayu gua ini, beritahu yang sebenarnya, warung kopi itu adalah tempat perkumpulan komunis. Warung itu sengaja dibuat di tepi bukit, dan ketika itu kuarters hospital belum lagi wujud.

Warung berlantaikan papan itu juga, sebenarnya adalah tempat mereka menyembunyikan senjata. Dan kenapa ia dibuat di tepi bukit? Ini kerana di belakang rak kayu menyusun cawan dan gelas itu terdapat satu pintu rahsia, yang membawa mereka ke satu terowong. Bukit berhampiran Sekolah Menengah Undang Jelebu itu pula, adalah pusat mereka berkumpul, bilik-bilik rahsia, dan tempat mesyuarat mereka menyusun rancangan bagi merampas Malaya daripada orang Melayu.

Ketika gua mencaci manusia-manusia rasis yang membakar gereja dalam entri sebelum ini, gua tidak pernah sekali pun menyebut yang gua tidak sayangkan bangsa Melayu ini. Gua tidak menyebut pun yang gua tidak akan mempertahankan hak bangsa Melayu ini. Gua tidak menyebut pun yang gua sangat malu menjadi bangsa Melayu dan jika lu baca apa yang gua tulis dengan fikiran yang matang, lu akan bertemu dengan bukti ketepatan pepatah Melayu yang menyebut “dek nila setitik maka rosak susu sebelanga”.

Apakah sebenarnya hak bangsa Melayu yang tercabar di dalam kes penggunaan perkataan Allah ini? Apakah dia hak bangsa Melayu yang cuba dirampas dalam isu ini? Dalam ISU PENGGUNAAN PERKATAAN ALLAH. Gua tidak mahu memetik mana-mana ayat suci Al Quran lagi, cukuplah dengan apa yang sudah disingkapkan oleh kawan-kawan lain, sudah memadailah untuk jiwa-jiwa yang tenang memahaminya.

Gua beritahu, kalau dari sudut logiknya sekalipun, perkataan itu bukan milik bangsa Melayu. Dari situlah bermulanya kemarahan, tohmahan, cacian, sumpah seranah dan apa sahaja yang lu mahu labelkan – daripada gua kepada kumpulan manusia rasis ini. Sejak bila pulak turunnya wahyu Allah Taala yang menyebutkan perkataan Allah itu milik mutlak bangsa Melayu? Tahukah kamu apa yang dilaungkan oleh mereka yang berdemo di depan Masjid Negara tempohari? Tahukah kamu siapa penaung demonstrasi yang diadakan bagi membantah penggunaan perkataan Allah itu?

Memang ramai yang agak terkejut dengan sumpah seranah gua itu. Memang ramai yang tidak boleh menerima cacian sedemikian muncul dari mulut seorang anak Melayu sendiri. Tapi, tidakkah kamu malu dengan tindakan-tindakan bangsa kamu sendiri, tidakkah kamu malu dengan budi pekerti bangsa kamu sendiri dan tidakkah kamu malu dengan kebebalan bangsa kamu sendiri? Kerana gua malu dengan kesemua itu, maka apakah patut gua menghamburkan pujian? Kumpulan manusia rasis sebegitu, cacian yang paling hina sekali adalah panggilan sesuai untuk mereka.

Apakah dengan membenarkan perkataan Allah itu digunapakai oleh Kristian, maka kita terpaksa menerima akidah mereka? Apakah dengan munculnya kekeliruan tentang Allah yang mana satu, maka itu wajarnya para penyokong penggunaannya dikafirkan? Bagaimana dengan puluhan badan-badan agama dan dakwah Islam yang sepatutnya tugasan mereka menyuburkan agama suci itu di bumi Malaya sejak sekian lama? Di mana mereka?

Kumpulan ini bimbang tugasan mereka akan lebih berat. Mereka terpaksa pula menjelajah pelusuk ceruk kampung memberitahu, bahawa Allah kita lain dan Allah penganut Kristian itu lain. Mereka malas melakukan kerja-kerja tambahan sebegini kerana selamanya ini mereka tidur, kerana selama ini mereka sibuk berbual tentang berapa ramai pengikut fahaman Salafi, berapa ramai pengikut Syiah dan penceramah bebas mana yang paling pandai berjenaka.

Mengapa boleh wujud kekeliruan tentang penggunaan perkataan Allah itu? Bukankah kerana sejak awal lagi, di bumi Malaya itu, Islam cuba diMelayukan? Bukankah kerana bangsa Melayu itu mahu muncul lebih Islam daripada Islam itu sendiri? Dan bagi gua sendiri, akibat sikap bongkak dan sombong bangsa Melayu, maka bukan sahaja sekarang kekeliruan itu muncul bahkan sejak dahulu lagi warga bukan Islam telah keliru, adakah Islam itu sebenarnya Melayu atau bangsa Melayu itu beragama Islam?

Sekarang, pada tahun 2010 ini, kita mengatakan bahawa semua orang akan keliru, Allah yang mana satu? Adakah Allah orang Islam atau adakah Allah orang Kristian? Kenapa boleh keliru? Ini kerana Islam itu telah diMelayukan oleh orang Melayu, yang pada hari ini seperti mengatakan agama Islam itu hanya untuk orang Melayu. Dan dimana pula puluhan badan-badan agama dan dakwah Islam yang sepatutnya sejak sekian lama mereka perlu menyampaikan pemahaman tepat tentang Islam? Sebaliknya saudara baru yang memeluk Islam akan dipaksa memakai baju Melayu, apabila berkahwin, mesti mengikut adat orang Melayu, perlu ada nama Melayu, dijauhkan daripada ahli keluarga asal dan sebagainya.

Dari sinilah berpuncanya kekeliruan itu. Islam sudah dimonopoli oleh bangsa Melayu sehinggakan perkataan-perkataan Arab sudah diMelayukan, dan tanpa segan dan silu mereka mengaku itu milik mereka. Apabila kamu bercakap menggunakan perkataan-perkataan ini, maka kamu akan dilihat lebih Islam, walaupun sebenarnya perkataan itu dituturkan juga oleh jutaan umat manusia yang bukan kesemuanya beragama Islam. Contohnya ialah Allah.

Cukuplah sampai disitu. Bercerita tentang isu ini, seperti mencurah air ke daun keladi. Untuk mengalihkan isu, cerita lain pula dibuka. Ketika gua bercerita tentang penggunaan perkataan Allah dan betapa rasisnya bangsa Melayu selama ini, gua ditanya apakah salah sifat cintakan bangsa sendiri itu?

Begini, tiada salahnya mencintai bangsa sendiri, tanahair sendiri mahu pun budaya dan adat sendiri. Tetapi apa yang berlaku sekarang, seperti yang gua jelaskan seawal tadi, bukan bermaksud gua tidak sayangkan bangsa sendiri atau pun menjadi larangan untuk sayangkan bangsa sendiri. Rasis dan sayangkan bangsa sendiri adalah dua perkara yang berlainan, jika dibaca dengan jiwa yang tenang dan fikiran yang terbuka.

Sejak sekian lama, apabila bangsa Melayu bersikap bongkak dan angkuh, atau bersifat perkauman yang melampau, maka bangsa lain di Malaya, khususnya Cina akan kerap menjadi mangsa tudingan jari-jari para rasis ini. Kata mereka diskriminasi dan rasisme juga berlaku dalam bangsa Cina. Mereka tidak menghina bangsa mereka sendiri, seperti yang gua lakukan, bangsa Cina akan menaikkan bangsa mereka sendiri, menghormat bangsa mereka sendiri dan tidak akan mencaci bangsa mereka sendiri seperti yang gua lakukan. Silap.

Apakah kamu fikir bangsa Cina itu tidak berotak dan tidak berakal sehingga menerima segala kebobrokan bangsa mereka sendiri? Jika tidak maka akan wujud hanya satu parti politik Cina sahaja di Malaya, akan wujud satu parti politik India sahaja di Malaya, dan hanya akan wujud satu parti politik Melayu sahaja di Malaya. Itulah dia rancangan dan impian UMNO. Jika kesemua itu wujud, itu adalah bukti suburnya rasisme. Mudah sekali bukan? Masih tidak faham?

Bangsa Cina tidak akan menerima sifat-sifat buruk bagi bangsa mereka, bangsa India yang waras akan menentang pemimpin korup seperti Samy Vellu. Cuba tanya kepada bangsa Cina yang waras adakah mereka suka dengan rasisme? Cuba tanya kepada bangsa India yang waras, adakah mereka akan terus menyokong gangsterisme yang dilakukan oleh anak bangsa mereka di Klang? Apakah kamu perlu bersetuju dengan rasisme, buktikan bangsa apa di Malaya ini yang mendokong rasisme?

Maka setiap kali bangsa Melayu dituduh rasis, satu lagi pihak yang sering menjadi mangsa ialah Cina Singapura. Setiap kali kamu berkata, kita tidak mahu Melayu di Malaya ini menjadi seperti Melayu di Singapura, maka itu buktinya akal kamu belum cair sepenuhnya, akal kamu masih beku dengan propaganda UMNO yang terus mahu kekal berkuasa dan akal kamu masih belum mampu untuk keluar dari belenggu semangat rasisme itu.

Pertama, paling mudah sekali. Kenapa perkara yang buruk perlu dilihat sedangkan banyak kebaikan lain yang diketepikan? Jika mereka boleh maju, jika mereka boleh berjaya, mengapa tidak kita? Kenapa hanya yang buruk sering menjadi bualan sebaliknya sifat yang baik itu kamu lupakan?

Kedua, tanpa perlu menjadi Singapura sekali pun, Melayu di Malaya ini sudah mengemis dan memohon simpati. Akibat daripada sikap tidak mahu berusaha, akibat daripada sikap yang suka mengharap belas ehsan dan akibat sikap yang terlalu berbangga dengan gelaran bumiputera, peribumi, perwaris, perkatak dan sebagainya, maka Melayu seringkali menyalahkan bangsa lain atas kegagalan sendiri.

Apabila tidak diberi kenaikan pangkat dalam sebuah syarikat Cina atau India, majikan akan dituduh diskriminasi. Majikan akan dituduh rasisme, tetapi mengapa tidak melihat kepada diri sendiri. Mengapa tidak melihat kepada kelemahan diri sendiri? Gua akui, diskriminasi seperti itu memang wujud, tetapi ia seperti pepatah Melayu yang gua petik di atas tadi juga. Namun dalam banyak situasi, kesemuanya adalah berpunca daripada kelemahan diri sendiri, berpunca daripada kesilapan sendiri dan berpunca daripada sikap rasisme itu sendiri.

Bagaimana mungkin majikan mahu bertoleransi jika tidak mampu bersaing dengan pekerja yang lain? Bagaimana mahu diberikan kenaikan pangkat atau pun gaji jika masih gagal menguasai Bahasa Inggeris? Bagaimana mahu berdiri sama tinggi dengan orang lain jika buat kerja kurang, bercakap lebih, gaji mahu banyak, bergerak mahu sedikit, bonus biar lebih, dan “berbohong” itu halal.

Biasa dengar orang berkata, ah lantak lah aku ambik barang ini, orang kafir punya. Lantak lah aku belasah duit company, towkey bukan orang Melayu. Ah lantak lah nak masuk pukul berapa pun, hari ini hari Jumaat, kalau boss marah aku report dengan Jabatan Agama. Pernah dengar?

Gua tengah banyak kerja dalam seminggu ini. Kontrak 14 muka surat belum siap-siap lagi. Kerja dengan boss Cina, Singapura, takkan gua nak tunjuk muka lembik dan lembap. Gua anak Melayu yang ada maruah. Nanti ada masa gua akan sambung lagi. Sekarang otak gua sedang berserabut. Semestinya gua belum habis, kerana cerita warung kopi di tepi bukit itu belum gua simpulkan. Juga punkrock.

Saturday, January 09, 2010

Rage Against The "Orang Melayu-Islam Yang Rasis-Bongkak & Perasan Agung"

Ayat paling ringkas untuk mereka berikan kepada seluruh negara ialah “Hei jangan kamu cuba untuk bermain api dengan kami, ini tanahair kami, ini tanah nenek moyang kami, jangan cabar agama kami, jangan rampas hak kami”

Rampas hak kepala bana, engkau! Mereka yang berdemo dihadapan Masjid Negara tengahari tadi usai solat Jumaat itu khabarnya adalah para pemimpin agung pertubuhan-pertubuhan pelajar daripada university tempatan. Mereka membawa sepanduk “Jangan rampas hak kami”. Bodoh! Gua ingin bertanya, sejak bila hak kamu dirampas? Siapa yang merampas hak kamu?

Kalimah Allah itu sudah digunapakai sejak ribuan tahun, sejak sebelum kemunculan Muhammad s.a.w lagi. Sebelum kamu semua lahir, dan sebelum bapak-bapak kamu lahir.

Apa yang istimewa sangat dengan bangsa Melayu ini? Apa yang eksklusif sangat dengan bangsa Melayu ini? Islam itu telah wujud sejak ribuan tahun sebelum orang Melayu pandai bersunat, sebelum orang Melayu pandai membaca Al Quran, sebelum orang Melayu mengenal istilah-istilah Arab yang kemudiannya dibukukan dan diakui sebagai bahasa Melayu.

Kenapa bangsa Melayu ini begitu bongkak, begitu rasis dan sombong kononnya mereka lah bangsa yang paling “Islam” atas muka bumi ini, kononnya mereka lah bangsa yang paling suci, bangsa penyelamat ummah, bangsa yang mempunyai hak eksklusif ke atas agama Islam sedangkan satu “alif” pun tidak disebut tentang bangsa Melayu sama ada dalam Al Quran mahu pun Sunnah. Tiada. Zilch. Ma Fi. Nothing. Ilek.

Dalam surah Al Hujurat ada disebut "Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan, dan kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra di antara satu dengan yang lain).

Orang Melayu-Islam yang membaca Al Quran tidak begitu mudah menerima ayat yang sangat mudah pemahamannya ini. Ini kerana bangsa rasis seperti orang Melayu, bangsa yang bongkak seperti orang Melayu, bangsa yang perasan diri mereka adalah Islam tulin seperti orang Melayu, sengaja terlepas pandang tentang seruan mudah dan jelas ini.

Apakah apabila perkataan Allah itu sudah digunapakai agama lain, bermakna kita terpaksa menerima akidah mereka? Apakah akidah orang Melayu-Islam itu hanya terletak pada perkataan Allah?

Apakah yang lebih penting, memantapkan akidah dan ajaran Islam dengan mendepani segala cabaran untuk memantapkan institusi agama, dakwah, akhlak dan ibadat kepada seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa, atau pun berkokok menentang penggunaan perkataan Allah yang tidak langsung menggugat akidah, merampas agama, let alone merampas hak eksklusif bangsa Melayu “rasis” ke atas agama suci ini?

Kononnya, apa yang berlaku di negara Arab dan negara lain itu adalah berbeza dengan apa yang berlaku di Malaysia. Kumpulan manusia rasis dan bongkak ini seringkali mengatakan, ini adalah dalam konteks Malaysia sendiri. Gua pun tidak berapa faham konteks apa? Kepala hotak engkau konteks Malaysia. Bodoh punya manusia! Islam itu sudah cukup lengkap, Islam bukan diturunkan untuk bangsa Arab, bukan untuk bangsa Toureg, let alone untuk bangsa Melayu di Malaysia yang rasis dan bongkak. Islam itu adalah untuk semua, lengkap walaupun lu sebarkan ke Kutub mahu pun ke pendalaman Amazon.

Jadi, kenapa kamu begitu bersungguh-sungguh membakar rumah ibadat agama lain, mencaci penganut agama lain dengan kononnya kamu lah bangsa pilihan, benteng kukuh untuk agama Islam, pengamal ajaran Islam yang tulin, menyemarakkan semangat kebencian dan perkauman, hanya kerana satu perkataan yang bukan pun milik kamu, yang tidak pun menyentuh akidah kamu dan tidak langsung dirampas kerana ia memang bukan milik kamu - telah cuba untuk dikongsi oleh penganut agama lain?

Bodoh dan bebalnya Melayu-Melayu Islam yang menyebarkan rasisme dan kebencian itu, celakalah ke atas kamu semua yang berselindung atas nama agama ketika mana diri kamu dan keluarga kamu penuh dengan dosa-dosa rasuah, penipuan, isteri yang hipokrit sekadar bertudung untuk ke majlis tahlil, penahanan tanpa bicara, konspirasi politik, salahguna wang rakyat, monopoli gula dan beras, membunuh, memfitnah dan pelbagai dosa lain yang seribu kali lebih utama untuk diperbetulkan.

Kamu adalah bangsa yang paling hina, bangsa rasisme, bangsa bongkak yang sebenarnya tiada tempat dalam agama Islam yang terang-terangan menganjurkan perpaduan itu, yang mengajurkan kesamarataan, sifat rendah diri, dan diturunkan untuk seluruh umat manusia, tanpa menyebut pun bangsa Melayu.

Celakalah ke atas kamu kumpulan manusia rasisme, sombong dan bongkak. Semoga Tuhan mengampunkan dosa-dosa kamu semua.

Saturday, December 19, 2009

Malaya negara maju? Err...gua rasa macam mahu terkencing!

Myanmar dan Brunei adalah negara-negara yang tidak mengamalkan GST di rantau ini. Ada dua sebab mengapa GST dilaksanakan di sesetengah negara, yang menurut Ahli Parlimen Tambun sebanyak 143 negara. Pertama, negara itu rakyatnya memang berkemampuan, mereka adalah negara maju dan pendapatan per kapita rakyatnya adalah tinggi. Jangan pergi jauh, berenang sahaja ke seberang Tambak Johor. Per kapita bagi Singapore untuk 2008, indeks yang dikeluarkan Bank Dunia ialah $49,288. Mereka berada di ranking ke-3 dan berada pada ranking ke-4 mengikut indeks IMF. Tak tahu IMF, pegi jahanam.

Untuk Keluaran Dalam Negara Kasar, yang selalunya cikgu-cikgu ekonomi dan Ahli-ahli Parlimen sebut sebagai KDNK itu pula, Singapore berada di ranking ke-20 untuk indeks Bank Dunia dan ke-22 untuk IMF. Tak faham lagi apa yang gua tulis, berhenti jadi manusia. Atau pergi baca ohbulan.com, ia lebih seronok, atau pergi Google “Zizie Ezzette + Bung Mokhtar + malam pertama”.

Secara ringkasnya, Singapore atau pun Singapura atau Temasek yang satu ketika dahulu adalah sebahagian daripada Malaya tetapi mengambil tindakan bijak untuk tidak bersama, adalah sebuah negara maju dengan hasil mahsul yang tinggi dan rakyat yang sangat berkemampuan. Namun bukan semua rakyat Singapura kaya, malahan perlaksanaan GST juga turut membebankan mereka yang tidak membayar cukai pendapatan. Ini satu fakta juga, GST untuk perhatian segala jenis haiwan ternakan, ialah cukai secara tidak langsung, ke atas consumption (maaf gua malas untuk mencari perkataan Melayu yang sesuai) dan bukannya cukai secara langsung seperti lu membayar cukai pendapatan dan cukai perniagaan.

Oleh kerana itu, bagi mereka yang tidak membayar cukai pendapatan (mereka yang berpendapatan rendah) GST juga adalah satu bebanan buat mereka. Kerana itu, pelbagai skim diperkenalkan untuk menyerap GST, antaranya bantuan daripada kapitalis-kapitalis seperti rangkaian hypermarket, tetapi untuk tempoh tertentu sahaja. Mereka tidak mahu berterusan menanggung kerugian, walaupun kemungkinan besar kos menanggung serapan beban GST itu dibayar semula oleh kerajaan. Atau mereka pula menerima waive untuk cukai perniagaan. Itu gua belum sempat baca lagi. Lu orang pegi Google sendiri. Okay, itu kisah di Temasek, tolong jangan buat persamaan dengan Malaya.

Bagaimana dengan Myanmar? Menurut indeks IMF, Myanmar atau pun Burma, KDNK mereka ialah $446. Temasek tadi di ranking ke-22 pula mempunyai KDNK $38972. Gua rasa Allahyarham S.Jibeng pun boleh membuat perbezaan dengan dua KDNK tersebut. Jadi, gua sangat yakin mengapa Myanmar atau pun Burma itu sehingga ke hari ini masih tidak melaksanakan GST. Rakyat diorang nak bayar dengan bulu apa? Junta masih mahu terus berkuasa dan jika GST dilaksanakan, maka gua pasti seluruh rakyat akan bangun mencantas kepala junta. Mereka tidak mahu itu berlaku. Lagi pun mereka tahu kemampuan warga mereka.

Kemudian, cuba letakkan Malaya dan Temasek dalam semangkuk air. Kamu bandingkan mengikut Indeks Rasuah pula. Gua yakin Malaya akan segera tenggelam dan Temasek sahaja yang akan timbul di permukaan air. Mengikut indeks Transparency International, Singapore atau pun Singapura atau Temasek yang satu ketika dahulu adalah sebahagian daripada Malaya tetapi mengambil tindakan bijak untuk tidak bersama, berada di ranking ke-3. Oh! Ia sekaligus mengingatkan gua kenapa satu ketika dulu Project Director gua mengamuk macam orang hilang akal apabila seorang supplier tempatan cuba menghulurkan sedikit imbuhan wang bagi mendapatkan tender membekal aluminium. Itu cerita lain.

Temasek di ranking ke-3, dan di mana Malaya yang ter-chenta ini? Malaya berada di ranking ke- 56, lebih teruk daripada Botswana dan lebih hancur daripada Bhutan. Secara mudahnya, rakyat Singapura sama ada redha atau pun tidak dengan GST, akan tetap menerima semula hasil cukai itu, tetapi dalam bentuk perkhidmatan. Mereka yakin dengan tahap ketelusan kerajaan mereka, terutama dalam memastikan mutu perkhidmatan kepada warganya. Sebab itu, sebagai contoh, mutu perkhidmatan awam di seberang Tambak Johor itu lebih mulia daripada di Malaya. Perlukah gua mengeluarkan pula indeks mutu perkhidmatan awam? Perlukah gua bercerita pula mengapa Brunei tidak melaksanakan GST? Oh, lu sedang menggunakan internet, jangan malas mencari. Cuba kurangkan berseronok dengan menggoogle “Melayu Boleh” atau pun “Zizie Ezzette + Bung Mokhtar + malam pertama”. Google sesuatu yang lebih berfaedah sedikit.

Jadi, adakah melaksanakan GST akan menjadikan Malaya sama taraf dengan negara maju? Adakah GST tidak akan membebankan rakyat? Adakah lu pasti hasil GST itu akan kembali semula kepada rakyat? Sepenuhnya, bukan 1% atau 1.5% dan selebihnya untuk menampung biawak-biawak hidup?

Sudah jangan fikirkan benda-benda berat sebegini, ia hanya sesuai untuk manusia yang berakal. Sekarang pergi Google “Zizzie Ezzatte + Bung Mokhtar + malam pertama + download video”. Kita perlu bergembira, kerana kita warga sebuah negara yang maju.

Thursday, December 17, 2009

Tiba-tiba Gua Rasa Macam Nak Menulis Puisi

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayatkan
dari melihat bangsaku dijajah
Tidak ada yang lebih menyedihkan
dari membiarkan bangsaku dihina

Membaca rangkap pertama puisi ini sahaja sudah cukup untuk memperkenalkan kamu kepada penulisnya. Bagi gua penulis ini memang seorang politikus yang bebal, kerana ketika menulis puisi, dia masih berada dalam dunia ucapan politiknya. Malah lebih teruk lagi, puisinya tanpa pembukaan yang sopan. Ini tidak menggambarkan orang Melayu yang terkenal sebagai bangsa yang bersopan, dan beradab. Kata mereka. Rangkap pertama lagi pembaca telah diperkenalkan dengan perkataan “menyayatkan” yang kebiasaannya melibatkan, pisau, hati manusia, putus cinta atau terhiris jari ketika memotong bawang. Dan kadangkala “menyayatkan” ini berlaku ketika tersingkir daripada Champions League. Tapi itu cerita lain. Memulakan puisi dengan “sesungguhnya” pula seperti mahu memulakan kuliah subuh tanpa tauliah di masjid Kampung Berembang. Betul-betul mengecewakan.

“Dijajah dan dihina” adalah symbol kebebalan penulis. Penjajahan bukanlah sesuatu yang paling menyedihkan atau paling menyayatkan. Banyak perkara lain yang lebih menghibakan. Antaranya, melihat bangsa sendiri kena tipu oleh bangsa sendiri, melihat bangsa sendiri merompak harta kekayaan bangsa sendiri atas nama pembangunan, melihat bangsa sendiri kena tipu semasa Perhimpunan Agung UMNO, melihat bangsa sendiri bersikap ras ke atas bangsa lain sedangkan mereka menggunakan kemudahan awam hasil bayaran cukai seluruh warga tanpa mengira bangsa, atau lebih menyedihkan lagi ialah apabila seluruh warga kena tipu dengan seorang lelaki berasal dari Kerala yang memerintah negara selama 21 tahun. Itu lebih menyedihkan.

Rumusannya gua melihat, penulis puisi ini bukanlah seorang Melayu tulin. Cuba lihat dia menggunakan perkataan “dari” pada rangkap keempat. Menurut Cikgu Zafarullah, guru bahasa Melayu gua dulu, “dari” hanya untuk menunjukkan tempat dan masa. Bukan digunakan untuk perbuatan. Ini sekaligus membuktikan penulis puisi ini kemungkinan besar gagal dalam subjek bahasa Melayu, atau pun dia memang kurang pandai berbahasa. Gua syak dia bukan orang Melayu.

Air mata tiada ertinya
sejarah silam tiada maknanya
sekiranya bangsa tercinta terpinggir
dipersenda dan dilupakan

Pada bahagian ini, gua merasakan penulis telah jauh tersasar akalnya ketika menulis puisi ini. Dia seolah-olah sedang bercakap dengan seekor kucing, yang pastinya tidak faham bahasa pertuturan manusia. Mengapa air mata tiada erti? Sedangkan apabila seorang pelajar gagal subjek bahasa Melayu pada peringkat SPM pun, mereka akan menangis. Air mata mereka itu ertinya mereka sedih. Mana boleh air mata tiada erti? Air mata bererti sedih. Awek bawah umur yang mengandung menangis sebab balaknya sudah tinggalkan dia. Maka ertinya awek itu sedih. Dulu janji sehidup semati, bila dah ada isi, lu lari. Itu ertinya sedih, atau menyesal. Nicol David pun menangis jugak beb, masa dapat jadik champion. Itu ertinya dia gembira. Air mata Nicol David ertinya gembira. Semua air mata dia ertinya gembira, sebab Nicol David jarang kalah dan dia belum pernah putus cinta.

“Sejarah silam tiada maknanya?” Gua rasa frasa ini tidak perlu diulas terlalu panjang. Tanya sahaja Rafa Benitez atau para penyokong Liverfool. Mesti diorang bengang membaca puisi sebegini. Atau pun cuba tanya Ramli Sarip dengan Khatijah Ibrahim. Ada banyak makna beb. Atau mungkin juga penulis ini kurang mendengar lagu-lagu Melayu? Dan bukan peminat Liverfool?

“bangsa tercinta terpinggir” adalah satu lagi bukti penulis ini sedang bercakap dengan seekor kucing. Dia gagal memahami reality. Cuba lihat, kebanyakan “bangsa-nya” memang suka duduk di pinggiran. Ada Pinggiran Ukay, Pinggiran Batu Caves, Kg Malaysia Pinggiran dan rumah-rumah bangsawan Melayu juga semuanya di pinggir bandar. Mereka tinggal di Bukit Tunku, ada banglo di Hulu Langat, beli tanah di Janda Baik. Semua itu adalah kawasan-kawasan pinggiran.

Pada penutup rangkap ini, penulis menyambung dengan “dipersenda dan dilupakan”. Ini terbukti salah, sangat salah. Siapa yang berani mempersenda? Lu nak kena ISA? Lu nak kena pukul dengan PEKIDA? Lu nak kena maki dengan Ibrahim Ali? Mana ada bangsa yang dipersenda di Malaya? Cuba tengok Karpal Singh, silap cakap sikit dah kena turun naik mahkamah. Itu baru mengkritik, belum mempersenda lagi. Jadi sekarang, bangsa mana yang dipersenda? Malah dilupakan juga adalah sesuatu yang naïf. Menulis seperti tidak menggunakan otak. Atau gua terlupa yang penulis sedang bercakap dengan seekor kucing. Mana ada bangsa yang dilupakan? Semua orang masih ingat bangsa mana yang menderhaka kepada raja-raja Melayu circa 1987. Semua orang masih ingat, bangsa mana yang paling banyak merampas dan merampok tanah-tanah bangsanya sendiri di Malaya. Semua orang masih ingat bangsa mana yang semasa kehilangan sokongan dalam pilihanraya akan memainkan isu-isu perkaumannya.

Semua orang masih ingat bangsa mana yang menjadi kawan kepada tauke judi di Genting, bangsa mana yang menjadi kawan kepada Eric Chia, bangsa mana yang membunuh mereka yang tidak berdosa di Memali, bangsa mana yang menahan rakyat tanpa bicara di bawah ISA, bangsa mana yang para menterinya mempunyai harta kekayaan berjuta sedang rakyatnya hidup sengsara, bangsa mana yang jika menjadi Perdana Menteri isterinya akan hidup bagaikan seorang permaisuri. Semua orang masih ingat. Jadi tiada alasan ada bangsa yang dilupakan.

Untuk dua perenggan ini sahaja gua merasakan bahawa puisi ini satu sampah. Atau bangkai. Dan penulisnya kemungkinan besar bukan seorang Melayu. Lagi pun ketika gua google puisi ini, gua jumpa gambar seorang lelaki dengan sideburn yang agak tebal. Kemungkinan besar lelaki itu adalah penulis puisi ini, dan kemungkinan dia banyak terkesan dengan budaya hidup di Chennai atau pun Karala, dan mungkin juga seorang peminat M.G.R. Gua hampir pasti dia bukan Melayu.

Nanti gua sambung dengan perenggan yang lain. Punktlitch.

Saturday, December 05, 2009

Gua Baru Bangun Bersama Kesejukan

Sudah lebih sebulan tanpa kemaskini. Bila gua tengok semula tarikh terakhir, dan melihat kepada tarikh hari ini, masa bagi gua sangat pantas berlalu.

Ada masanya, gua kebanjiran idea. Mencurah-curah, macam air hujan di Malaya sekarang. Masalahnya ketika itu, gua sedang memandu. Atau sedang duduk di sebelah boss, yang sedang memandu. Senggang masa ketika idea itu datang ke saat gua berlapangan untuk menulis adalah terlalu besar. Ada ketikanya diselangi pelbagai rencah perisa, menterjemah surat dan dokumen, atau pun sedang memasak contohnya. Dan kemalasan. Akhirnya ia lesap.

Gua takut untuk menulis sesuatu yang busuk. Sesuatu yang dangkal. Tidak menghiburkan hati gua sendiri. Gua takut jika gua baca semula ia akan kelihatan lucu, tetapi tidak lucah. Gua bimbang jika ia kelihatan sangat mudah. Gua takut jika ia tidak langsung memberikan sebarang faedah, kepada gua jika tidak kepada orang lain.

Lagi pun gua tahu, orang yang baca blog gua ini hanya 10 orang. Cuma kadangkala gua rasa bersalah tidak dapat menghiburkan hati 10 orang pembaca itu.

Okay, gua akan menulis semula. Nanti. Bukan esok. Atau pun lusa.