Blues di sini ialah kritikan, pandangan, idea-idea sampah, maki hamun, merungut dan perkongsian kisah. Jelebu pula ialah tempat kelahiran blues itu.
Tuesday, September 27, 2016
Makan Tengahari Bernilai USD195.
Abdullah Rasoul Khayyoun.
Dia ni sebenarnya memang seorang budak yang baik. Daripada seorang pencuci kemudian menjadi supervisor pantry ketika bekerja dengan kontraktor. Kemudian dia dapat bekerja dengan syarikat gua bekerja.
Phow! Jalan sudah sedikit berkepak. Tapi Abdullah masih budak yang baik. Dia baik dengan gua. Selalu belikan gua buah-buahan untuk bawa pulang ke Malaysia. Buah Delima, peach dan plum. Abdullah juga selalu bagi gua cenderamata setiap kali pulang berziarah ke Karbala.
Dan gua juga dapat hadiah buku-buku bacaan yang menarik setiap kali Abdullah pulang berziarah dari Najaf dan Karbala.
Abdullah ialah focal person gua untuk membeli barang di luar. Kehidupan di sebalik tembok kem ini tidak memungkinkan kami berjual beli secara langsung dengan kedai-kedai di luar. Abdullah memperkenalkan gua dengan sebuah restoran makanan yang super sedap di Qal'at Sukkar, yang entah macamana rupanya pun gua tidak pernah terbayang.
Tapi kebab dan nasi kambing yang dibeli daripada restoran itu memang diakui sedap. Bukan perut gua sahaja tapi oleh perut ramai orang.
Satu hari kami merancang untuk berkongsi membeli hidangan tengahari daripada restoran di luar. Rancangannya ialah untuk seorang sahabat yang baru kena "loteri" untuk berbelanja tapi harapan nampak seperti tipis dengan dua tiga alasan yang kurang masuk akal. Lalu rancangan itu berkubur.
Tetapi sewaktu perbincangan berlangsung gua sudah menelefon Abdullah untuk bertanyakan harga. Satu dulang nasi dengan setengah ekor kambing, 24 botol Pepsi serta kos penghantaran.
USD195.
Tapi petang itu gua bagitahu Abdullah selepas menerima sebutharganya, "nanti esok pagi kalau gua nak gua akan confirmkan dengan lu"
"Okay" pendek saja Abdullah jawab. Sayup-sayup saja gua dengar dalam telefon.
Gua pun malas nak bercakap panjang sebab dah memang tak jadi. Tapi setidaknya gua sudah tahu bajet.
Tengahari esoknya, lebih kurang sepuluh minit sebelum waktu makan Abdullah datang jumpa gua dengan muka separa serius.
"Gua call lu tak jawab" sambil dia pegang-pegang handphone.
Gua memang jenis malas nak menjawab telefon, selamba gua check handphone memang ada missed call daripada Abdullah rupanya.
"Apahal?" gua tanya semula.
"Lima minit lagi makanan tu nak sampai" dengan penuh ketenangan Abdullah bagitahu gua.
Gua rasa masa tu macam nak melempar Abdullah keluar daripada tingkap pejabat satu tingkat. Malangnya arkitek baghal mana entah yang design bangunan tingkap jenis tak boleh buka macam ni.
Gua peluk bahu Abdullah sambil rasa nak menangis. Kami berjalan masuk ke dalam pantry.
"Kan gua kata semalam kalau nak gua akan confirmkan pagi tadi" gua cakap sambil tepuk-tepuk dahi.
"Gua faham lu kata pagi esok terus confirmkan dengan restoran" Abdullah sengih dengan gigi dua warnanya, putih kuning dan putih sedikit gelap.
Menggeletar tangan gua bukak zip wallet, keluarkan duit letak atas meja sambil buat-buat senyum memandang muka Abdullah Rasoul Khayyoun.
Kecil besar kecil besar gua tengok. Mujurlah arkitek sudah design tingkap bangunan memang tidak boleh dibuka.
USD195.
Mungkin gua dan mungkin juga Abdullah, perlu belajar bahasa Arab semula.
Thursday, August 18, 2016
September 2013 ke August 2016
Lama betul. Puncanya adalah kerana blogspot sudah ditelan Google. Kemudian kerana kurang cerdik dengan sistem yang baru, blog ini gua daftarkan ke satu e mail lain, yang tidak punyai kaitan.
Rasa mahu bertanya itu ada, tapi rasa malu itu lebih banyak kerana melihat kepada tempoh hiatus yang sangat panjang.
Ada ketikanya sedang bersendirian di dalam kabin gua diterjah pelbagai idea untuk menulis, tapi gua benci dengan ketiadaan pentas yang sesuai. Persetankan dengan pelbagai medium moden yang muncul, gua lahir melalu blogspot dan mata gua menjadi bersinar mengadap pentas ini.
Tempoh hiatus yang lama ini juga seusia dengan tuntutan untuk menyiapkan Lima Jam ke Basra, yang sudah gua rencanakan sejak September 2013. Rumah Tahi Lembu konon akan menjadi sebahagian isi untuk memperkenalkan Iraq yang suatu ketika dulu tidak pernah muncul dalam mimpi hidup gua untuk datang bertamu.
Tapi itulah, keselesaan itu memang benar-benar membunuh. Untuk gua keselesaan menyebabkan minat gua menulis seakan mati ditikam dan ditanam jauh ke kerak bumi. Keselesaan menyebabkan masa gua dibanjiri dengan kerja yang tidak punya penghujung. Keselesaan menyebabkan gua rasa tidak mengapa dengan arus penulisan baru yang muncul dengan pelbagai ritma.
Dalam tempoh hiatus ini juga gua sudah mengumpul banyak cerita yang tujuan utamanya ialah untuk diberikan kepada Lima Jam ke Basra, yang kini gua rasa sudah mencapai lebih 3 tahun untuk ke Basra.
Puluhan ribu kilometre perjalanan sudah gua tempuh dalam hiatus ini, ratusan cerita sudah tertanam lama di benak. Kali ini gua akan kembali semula. Blues Orang Jelebu bukan buku yang pertama dan terakhir.
Bismillah.
Monday, September 16, 2013
Rumah Tahi Lembu
Tuesday, July 02, 2013
Welcome To Iraq
Monday, December 31, 2012
Setahun Sudah Berlalu
Wednesday, December 28, 2011
Dalam Hidup Ini
Dalam hidup ini, gua sudah melalui 5 jenis pekerjaan yang berbeza. Langsung sebenarnya tiada sebarang kaitan yang secara langsung tidak boleh untuk membina sebuah karier apatah lagi untuk menjadi seorang boss.
Selepas “ditumbuk” keluar sekolah kerana “menumbuk” seorang ustaz yang jeles dengan kekacakan gua ini, gua telah ke Kuala Lumpur untuk belajar kelas Bahasa Inggeris. Sambil-sambil itu gua telah terpikat dengan satu iklan kerja di Sungei Wang Plaza, menjadi seorang bartender. Menjadi bartender, pada usia 18 tahun, tinggal pulak dengan mentor gua Encik Karl Marx, bukanlah satu yang mudah untuk dihadapi. Selain daripada menimba ilmu Bahasa Inggeris dan ilmu-ilmu socialism, communism dan Marxism, waktu-waktu senggang juga dipenuhi dengan pelbagai ilmu songsang, khurafat dan tahyul. Melihat “kesengsaraan” yang gua hadapi, mak gua dengan pantas menyelamatkan keadaan. Entah macamana dan entah bagaimana ia berlaku, tiba-tiba gua sudah tamat belajar segala ilmu di Kuala Lumpur dan pulang semula ke Jelebu, menjadi seorang guru Pendidikan Islam a.k.a ustaz.
Drastically change! Sama ada gua berlakon atau pun gua ikhlas masa tu gua pun sudah lupa. Tapi bertahun jugak lah gua nak menghilangkan imej guru Pendidikan Islam a.k.a ustaz tu daripada tubuh badan gua. Kadang-kadang rasa nak pakai topeng jugak apabila ada budak-budak jumpa gua melepak di stesen bus dengan rambut panjang tegur gua “Assalamualaikum, ustaz!”
Itu cerita tahun 1995. Lama dah berakhir. Anak-anak murid gua antaranya ialah sepupu gua sendiri, yang bulan lepas sudah pun berkahwin. Pakcik tukang kebun sekolah pun raya haji itu hari dah tak kenal masa duduk marhaban sebelah gua walaupun dulu selalu jadi member borak minum teh tarik kat kantin sekolah.
Pekerjaan ketiga, atau karier ketiga, yang agak lama jugak gua ceburi ialah bidang broadcasting. Walaupun masuk atas tiket boleh berbahasa Arab dan kerjanya menterjemah berita, ia langsung tidak menggunakan kemampuan kertas segulung yang gua ada apatah lagi untuk membina karier ke peringkat yang lebih tinggi. Selepas hampir lapan tahun, gua pun beralih arah untuk mengejar sesuatu yang lebih “grand” tak lain tak bukan Dollar Amerika. Kerja lapan tahun memang enjoi, relaks dan tiada tekanan tapi kalau takde peningkatan langsung pun payah jugak.
Akhirnya gua membawa diri ke Afrika Utara. Mengejar Dollar Amerika dan kebebasan. Mahu selalu naik kapal terbang. Mahu bekerja tanpa sebarang tekanan. Mahu membina karier dan mencari cabaran baru dalam hidup. Pffftttt.
Memang, gua dapat semua yang gua mahu. Memang gua sangat gembira, rasa sangat tenang walaupun berjauhan dari keluarga.Karier keempat ialah - Best job in the world!
Tapi panas bukanlah sampai ke petang, hujan memang rajin turun pada musim sejuk. Tapi Arab Spring sebenarnya tak ikut rule langsung. Tiba-tiba hujan dan gua kena balik Malaya. Menganggur dan merempat semula pada ketika gua punya life maintenance cost untuk sebulan bersamaan dengan gaji tiga orang guru DG41.
Selepas tiga bulan gua dapat juga kerja kelima dalam hidup ini. Kerja yang dah lama jugak gua try sebenarnya tapi baru kali ini “mendapat”. Kerja yang mulanya gua rasa agak best tapi rupa-rupanya payah nak mampos! Kerja yang gua rasa agak boleh untuk membina karier tapi rupa-rupanya membawa gua nun jauh ke bawah semula. Kerja yang memperkenalkan gua dengan perkataan “stress”, yang mencuri sebahagian besar masa gua dengan family dan kerja yang menyebabkan gua tak pernah berniat langsung untuk menyebut “I love my job”.
Gua dah ada blog kalau tak silap sejak 2006 dan gua dah ada akaun Facebook 8 hari selepas dilancarkan oleh Mark Zuckerberg. Gua jugak adalah antara subscriber awal untuk portal Malaysiakini dan sering menghantar artikel untuk pelbagai portal kiri dan kanan.
Gua tak pernah menipu apabila menulis. Sepanjang gua menulis apa yang gua luahkan adalah apa yang berlaku dan segala bentuk keikhlasan hati nurani gua yang suci murni ini.
Tapi kali ini, berikan gua peluang, izinkan gua untuk menipu sekali sahaja dalam penulisan, dan ia tidak akan berlaku lagi selepas ini.
“I love my job!”
Kerana dengan kerja ini, gua langsung tidak ada masa untuk menulis, untuk bersosial dalam Facebook, untuk membaca berita-berita orang Melayu ultras dan bukan ultras, PERKASA dan Rozita Che Wan, apatah lagi untuk pergi bersosial di masjid solat berjemaah selari dengan title gua sebagai bekas guru Pendidikan Islam a.k.a ustaz. Pffttt.
Sunday, October 23, 2011
Reminiscences of Abang Besar of Libya
Pada 19 Januari 2009, ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Benghazi, Libya, imej pegun paling kukuh dalam ingatan gua adalah imej Kolonel Muammar Gaddhafi. Selain itu, lapangan terbang Benghazi, dihiasi dengan bangkai-bangkai kapal terbang, kereta kebal dan kubu-kubu tentera (bunkers) yang menyebabkan bulu roma gua sedikit meremang. Suasana Argentina ketika Ongania dan Chile ketika Pinochet sentiasa bermain dalam kepala hotak gua.
Suasana Libya, yang disurahkan kepada gua sebelum ke sana, adalah mirip Syria ketika Assad (bapa) memerintah. Tahun 1996, pertama kali ke Syria, adalah pengalaman yang sangat tidak menyeronokkan. Gambar kepala Assad (plague) yang menyerupai sisi Queen Elizabeth pada wang syiling British, wujud di setiap 360 darjah pemandangan. Perjalanan terasa bagaikan diperhati, pergerakan rasa bagaikan diekori, dan sebaik melepasi sempadan untuk ke Turki, hati rasa lega bagaikan baru lepas kena interview dengan pak mertua ketika kali pertama bertemu.
Tapi Benghazi adalah dunia yang berbeza. Warganya tidak langsung bimbang untuk mengkritik Gaddhafi. Mungkin pada mereka Gaddhafi berada 1200 kilometer nun di Tripoli, rasa bimbang tidaklah begitu hebat. Namun masih dalam berhati-hati, kerana para soldadu, mukhabarat dan polis rahsia sentiasa menjadi mata dan telinga. Beruntung, kerana gua sampai di Libya pada tahun 2009, bukannya ketika era embargo, saat ahli keluarga boleh menjadi tali barut pemerintah, saat isteri boleh menghantar suami ke penjara rahsia dengan hanya satu panggilan dan dibalas ganjaran wang, saat anak boleh menyebabkan ibu-bapa diheret polis rahsia hanya untuk merebut harta pusaka.
Libya pada 2009 sudah sangat terbuka. Pelabur luar sudah mengerumun untuk mengaut kekayaan minyak Libya. Dasar Gaddhafi juga sudah sedikit berubah. Selepas 40 tahun revolusi, Gaddhafi tahu bahawa hari-hari akhirnya semakin hampir. Saiful Islam lebih banyak memainkan peranan pentadbiran, menjadi penghubung untuk negara-negara Eropah, menjadi pemikir untuk menarik pelabur. Namun, The Leader masih lagi kuasa tunggal dan mutlak. Mana mungkin bangsa Arab diperintah oleh demokrasi, buktikan!
Pembangunan di Libya sangat pantas. Dengan rizab minyak yang paling besar di Afrika, dan kesepuluh terbesar dunia, duit bukanlah satu masalah, pada ketika warganya cuma berjumlah sekitar 6 juta orang. Rumah-rumah kediaman didirikan di segenap pelusuk negara. Dari bandar besar di Tripoli dan Benghazi, sehinggalah pekan-pekan kecil di Nalut dan Beyda, rumah-rumah kediaman dibina sebesar saiz rumah Semi-D kebanggaan rakyat Bolehland. Dan sebahagian besar rumah kediaman diberikan secara percuma. Tanpa sebarang bayaran. Bahkan pemuda yang berkahwin, yang mengikut skim bantuan kerajaan, akan menerima sebuah rumah, kereta dan wang sara hidup pada awal perkahwinan.
Pendidikan di Libya adalah percuma. Tanya sahaja kepada mereka yang belajar di Libya dan menerima biasiswa selama pengajian di sana. Mereka menerima penempatan, wang saku dan tiada bayaran yuran pengajian. Itu untuk warga luar, apatah lagi untuk anak bangsa mereka sendiri. Lihatlah bagaimana mewahnya kehidupan pelajar Libya di Kuala Lumpur yang menerima sekitar 5-7 ribu sebulan duit biasiswa kerajaan. Lihatlah bagaimana meriahnya kedutaan Libya satu ketika dahulu setiap awal bulan, ketika mereka beratur untuk mengambil habuan masing-masing.
Kebanyakan hospital di Libya adalah percuma. Ketika era embargo, para doctor dan jururawat kesemuanya didatangkan dari negara blok kiri. Bahkan sehingga ke hari ini, kebanyakan hospital kerajaan masih lagi menggaji para doctor dan jururawat luar. Bahkan hospital-hospital kebanyakannya dinamakan mengikut kerakyatan doctor dan jururawat dominan di hospital itu sendiri. Ada hospital Bulgaria, hospital Malta, hospital Rusia dan sebagainya. Lebih menarik, kerajaan mendirikan hospital-hospital pakar dan sangat sedikit hospital umum. Jika tangan patah terus sahaja ke hospital pakar tulang, untuk kanak-kanak sudah tersedia hospital pakar pediatric dan seterusnya. Dalam radius 20km di Tripoli sahaja ada dua hospital pakar tulang, bukti warga Libya memang kerap patah kaki dan tangan.
Di sebalik pembangunan yang sangat pesat, khususnya di Tripoli, Gaddhafi sentiasa mengawal perkembangan ekonomi yang diterajui oleh Saiful Islam. Gaddhafi tidak mahu Libya menjadi seperti Dubai, yang akhirnya didominasi oleh warga asing. Gaddhafi tetap mahu Libya diterajui oleh warga Libya sendiri. Syarikat asing yang melabur diwajibkan membuat JV dengan syarikat tempatan. Setiap seorang pekerja luar yang dibawa masuk, mestilah dalam tempoh lima tahun mampu mencurahkan kepakarannya kepada 5 orang warga tempatan. Urusniaga kadangkala menjadi terlalu sukar kerana pelbagai kekangan birokrasi, yang rupanya bertujuan untuk mengawal ekonomi negara. Untuk mendapatkan bayaran bagi sebuah projek, adakalanya mengambil masa sehingga setahun, sesudah mendapat kelulusan pelbagai peringkat, selepas mendapat kepastian pakar-pakar yang diupah dari luar dan mendapat lampu hijau kewangan daripada People’s Congress sendiri.
Kesemuanya kelihatan sangat socialist. Kadangkala sangat communist. Tapi siapa yang dapat menafikan bahawa di sebalik communism dan socialism itu banyak tersembunyi pelbagai keindahan, dan ada ketikanya kesedihan. Revolusi, bagi kebanyakan warga, adalah indah pada awalnya sahaja. Jubilant at the very beginning, pain in the mid, and ending with horror.
Gaddhafi terlepas pandang pada bahagian Timur, yang kebanyakan masih didokong oleh penyokong Raja Idris. Mereka geram kerana penumpuan awal pembangunan di Libya tertumpu pada Tripoli dan Sirte. Walaupun revolusi yang dipimpin pada usia 27 tahun itu tidak menumpahkan setitis darah, cengkaman dictator selama 42 tahun pemerintahannya memang menyebabkan rakyat Libya hidup dalam kebimbangan. Tapi di negara Arab mana yang kebebasannya memungkinkan rakyat untuk bersuara bebas mengkritik sang pemimpin? Lebanon yang mencuba sejak sekian lama masih lagi belum bertemu noktahnya.
Tapi lewat ini, Gaddhafi kelihatan semakin toleransi. Ketika perancangan pembangunan ekonomi negara diserahkan kepada Saiful Islam, negara Libya sememangnya melalui satu era yang menyebabkan seluruh pelabur dunia boleh meleleh air liur. China dan Turkey, adalah contoh dua negara yang menggunakan sepenuhnya hubungan baik dengan Libya bagi kepentingan para pelabur mereka. Bahkan kerajaan China dengan kuasa buruh yang dominan, telah bertindak bijak memberikan pembangunan untuk ditukar dengan minyak. Rumah-rumah yang dibina oleh kerajaan China melalui syarikat-syarikat pelaburan mereka, kadangkala gua rasa tidak masuk akal. Rakyat Libya cuma sekitar 5 juta orang, tapi kawasan perumahan baru yang dibangunkan bagai mahu menampung 15 juta penduduk.
Satu ketika, seorang Project Manager yang baru pertama kali tiba di Tripoli bertanya kepada gua, di manakah rakyat Libya yang miskin? Ini kerana dia melihat rumah-rumah besar di sepanjang jalanraya Tripoli seakan mustahil untuk mengatakan kewujudan warga yang miskin. Betul, mustahil jika tiada yang miskin. Gua bawa bersiar ke Janzour untuk melihat rumah-rumah flat tepi laut, juga anak-anak muda yang melepak tepi jalan setiap malam sambil melayan ganja, katanya ini tidak susah, kerana mereka masih tetap punyai tempat tinggal.
Itulah satu factor yang menyebabkan kita perlu rasa cemburu. Penempatan untuk warganya tidak dibina sekadar melepas batuk ditangga. Rumah flat yang paling bangsat di tepi laut di Janzour pun ada 4 bilik tidur serta dua ruang tamu. Warga Benghazi yang memaki hamun Gaddhafi itu, tinggal di rumah-rumah flat yang 4 kali lebih besar daripada flat bandaraya kebanggaan DBKL. Sejauh Darna dan Tabruq, yang mempunyai tanah yang lebih luas, rumah-rumah kediaman yang dibina adalah lebih mewah. Semi-D 4 atau 5 bilik, adalah sesuatu yang sangat biasa. Semuanya dibina konon untuk dijual tapi pada akhirnya rakyat akan memiliki tanpa perlu membuat sebarang bayaran.
Secara umum, kekayaan hasil minyak memang diagihkan dengan sebaiknya. Gaddhafi mahu memberikan semua benda kepada warganya, supaya mereka terus gembira dan diam. Penganggur yang mengangkat senjata bersorak dan berlagak ala guerrilla dalam TV yang lu orang lihat itu, membesar dengan duit subsidi negara. Lelaki berjambang dan berjanggut yang mengetuk kepala Gaddhafi itu, gua sangat yakin setiap bulan akan ke stor-stor makanan menghulurkan kad pengenalan untuk digantikan dengan tepung, gula, spaghetti, minyak dan beras. Atau paling kurang, kesemua mereka yang membenci Gaddhafi di Benghazi itu, tidak membayar bil elektriknya!
Benar, gua sendiri sudah jemu melewati pintu besar penjara Abu Slim yang menjadi igauan ngeri setiap warga Libya itu. Betul, di penjara itu jugalah 1200 orang inmates ditembak mati hanya satu malam. Betul juga, ketika pemerintahannya Gaddhafi menjadi satu ikon yang menakutkan bagi mereka yang cuba bersuara untuk menentang. Betul juga, Libya tidak pernah mengadakan pilihanraya dan tiada satu parti politik pun yang wujud ketika era Gaddhafi.
Tapi, apa perlunya igauan ke atas sebuah penjara yang punya hanya tiga bangunan dan selebihnya kawasan lapang jika lu hanya perlu biarkan Gaddhafi terus berkuasa dan rakyat menikmati semua benda secara percuma? Apa perlu lagi bimbangkan satu susuk seperti Gaddhafi pada ketika rakyat memang menikmati hasil kekayaan negara secara sama rata? Betul, Gaddhafi menzalimi rakyatnya, tetapi apakah semua mereka dizalimi? Tolong baca ini dalam konteks politik dunia Arab yang sangat unik dan bukannya pada skala politik tempatan. Demokrasi pada dunia Arab tidak akan berhasil tetapi Malaya landskap politiknya adalah berbeza dan kita bukanlah sebuah negara bangsa yang terbina dengan pelbagai kabilah seperti bangsa Arab. Jangan selepas ini ada yang mahu pulangkan paku buah keras pada gua agar menerima kezaliman dan ketidakadilan UMNO selama puluhan tahun ke atas bangsa Malaysia. Itu senario yang berlainan.
Kembali ke Libya, dan Gaddhafi yang memang tidak lari daripada sebarang kesilapan. Akibat tidak memberikan tumpuan pada kawasan rural, di bahagian Timur, di Benghazi sehingga ke Tobruk di sempadan Mesir, maka anasir asing mulai mencucuk jarum. Atas dasar yang semakin terbuka, Britain dan Peranchis juga turut melabur, tetapi tumpuan hanya diberikan di bahagian Timur. Benih yang disemai sekian lama akhirnya membuahkan hasil lewat revolusi Bou Azizi di Tunisia.
Pada satu majlis, bersama dengan rakyatnya di Al-Wahat, Gaddhafi telah ditanya tentang rumah-rumah kediaman yang telah siap dibina, atas tanah-tanah yang diambil daripada rakyat tetapi masih belum diserahkan dan belum berpenghuni. Dengan sikap bersahajanya Gaddhafi memberitahu mana-mana rumah yang sudah siap, bolehlah sesiapa pun nak masuk. Kejadian itu berlaku pada 14 Januari 2011. Dan malam itu, bukan sahaja di Al-Wahat, bahkan di seluruh pelusuk Libya, semua projek-projek perumahan telah diserbu. Kediaman yang sudah siap terus diambil. Sampai tak cukup, rumah baru nak naik "ground beam" pun sudah ada kutu pacak khemah.
Akibatnya, Libya sedikit huru hara. Semua orang mahu dapat rumah percuma. Mahu atau tidak kehendak rakyat masih terpaksa dituruti. Kerajaan terpaksa berlembut. Walaupun sebenarnya, ucapan Gaddhafi itu hanya untuk penduduk Al Wahat, tetapi seluruh Libya berpesta mengambil unit kediaman percuma. Ketika Tunisia sedang panas dengan revolusinya, Gaddhafi terpaksa sedikit sebanyak berlembut.
Dari sinilah, musuh melihat bahawa tekanan boleh digunakan. Dari sinilah mereka mencuba dan tahu bahawa mereka perlu berani melawan. Walaupun sebenarnya mereka tiada sebarang tuntutan sangat yang perlu untuk dilaungkan. Ketika rumah percuma, pendidikan percuma, kesihatan percuma, rizab minyak makan tak habis, harga minyak seliter 20 sen boleh isi sampai tumpah-tumpah, makanan murah tiada cukai import, beli kereta dengan harga murah boleh buat loan tak payah interest, musuh-musuh Gaddhafi hanya melaungkan isu hak asasi manusia sahaja, kerana itulah modal terbaik yang dimiliki oleh Peranchis dan Britain, yang ketika itu sedang berusaha mencari sumber minyak alternatif dan berdepan dengan krisis bekalan tenaga.
Dalam ucapan terakhirnya, Gaddhafi menyebut yang dia akan melawan hingga ke titisan darah yang terakhir. Dia tidak akan lari, dan dia sanggup mati di tanahairnya sendiri. Akhirnya Gaddhafi memang mengotakan janjinya. Socialist yang sejati, tidak akan berundur. Tetap teguh dengan pendiriannya, seperti Che yang menolak kesenangan di Cuba, jawatan sebagai menteri, pemimpin tertinggi parti dan komander tentera, sebaliknya mahu terus berjuang di hutan Bolivia, menjaja revolusi untuk membebaskan seluruh benua Amerika. Preferio morir de pie que vivir siempre arrodillado, lebih baik mati berdiri daripada hidup melutut!
Gaddhafi memang zalim, tetapi sezalim dan sejahat Gaddhafi adalah sebaik-baik imperialist Barat. Gua sangat pasti, rakyat Libya akan menyesali apa yang telah terjadi. Al Fatihah untuk Abang Besar, The Leader of the Revolution and the Founder of the Great Socialist People's Libyan Arab Jamahiriya.