Tuesday, August 14, 2007

Gua & Syawarma

Malam tadi gua makan syawarma. Gua makan syawarma ayam. Mak gua kata boleh tahan jugak. Ini kali pertama gua bawa mak gua makan syawarma dan juga lepak2 kedai makan Arab. Tiba-tiba ketika sudah dua biji syawarma gua telan bersama sepinggan kabsah kambing dan chai, gua teringat siang tadi gua baca berita di Jordan Times. Kerajaan Jordan mengenakan larangan penjualan syawarma ayam untuk sementara di seluruh Jordan. Ia berpunca daripada kes keracunan makanan di kem pelarian Baq'aa.

Gua pasti ramai yang cuba-cuba buat syawarma secara haram bagi tempoh sebulan ini di Jordan. Syawarma ayam yang harganya JD 0.350 mungkin akan meningkat secara mendadak di pasaran gelap. Mana tahan beb asyik mengadap syawarma daging. Selalu sangat di padang bola pun jemu juga. Mungkin juga kerajaan terpaksa membentuk satu pasukan khas bagi memantau penjualan syawarma ayam secara haram di restoran atau kafe seluruh Jordan.

Kenapa gua bercerita tentang syawarma ayam? Sebab malam tadi gua makan syawarma ayam dan gua yakin restoran itu tidak mengimport daging ayam dari Jordan, seperti keyakinan Sir Alex Ferguson kepada Carlos Tevez yang bakal diturunkan mengambil tempat Wayne Rooney ketika menentang Pompey malam esok.

Jordan sebuah negara kecil. Monarki. Penduduk hanya sekitar 4 juta, semasa gua tinggalkan dulu. Lebih 2 juta ialah warga Palestine. Dan sekarang ditambah pula dengan hampir 2 juta pelarian Iraq. Rakyat Jordan yang sebenarnya adalah sekitar 1.5 juta sahaja. Raja Hussein meninggal dunia sehari selepas gua berusia 21 tahun dan 5 hari selepas gua menamatkan zaman bujang. Tempatnya digantikan Abdullah, anak seorang Minah Saleh yang menjadi isteri kedua Raja Hussein. Baik ayah mahupun anaknya, mereka memerintah seperti diktator. Semua keputusan dibuat raja walaupun mereka mempunyai Perdana Menteri. Dan yang paling menarik, mereka akan semua tunduk dan patuh, hanya memberontak dalam diam. Yang paling bising akan ditangkap disumbatkan ke dalam penjara.

Negara Arab memang memerlukan seorang diktator untuk memerintah. Lihat sahaja Lebanon yang cuba berdemokrasi dan menjadi contoh kepada yang lain. Mereka bertelagah dengan konflik politik yang paling rumit. Iraq yang cuba berdemokrasi juga turut gagal. Sudan juga boleh menjadi contoh. Dan lihat kepada mereka yang diperintah diktator. Iraq ketika era Saddam, Libya dengan Gaddafi, Syria dengan 2 'singanya', Saudi dengan monarki Saud dan sebagainya. Mereka tenang dalam politik dalaman. Dan yang lebih membanggakan ialah sifat bertanggungjawab. Kepada rakyat. Sebab itu gua berhikayat tentang syawarma, walaupun ramai yang belum pernah melihat apatah merasai keenakkannya.

Bulan lepas, di kampung gua di Mafraq, Jordan telah berlaku kes cirit birit. Gua ulang sekali lagi. Kes cirit birit. Ia dikatakan berpunca daripada bekalan air yang tercemar. Maka Perdana Menteri pun datanglah ke lokasi kejadian. Melihat tangki utama bekalan air. Memanjat tangki-tangki air di Bani Hassan dan sekitar Mafraq. Salah satu gambarnya menjadi pilihan muka depan Jordan Times dan Al-Ghad. Lebih 100 orang dimasukkan ke hospital dalam keadaan yang serius. Gua ulang semula. 100 orang dalam keadaan serius. Hospital Mafraq yang tidak pernah menampung sebegitu ramai pesakit telah terpaksa menghantar baki pesakit lain ke Zarqa dan Amman. Hospital tentera juga gagal untuk menampung kes ini. 100 yang serius dan ada beratus-ratus lagi yang tidak serius lah kawan!

Di pendekkan cerita, sebab gua pun dah sakit perut nie, seminggu selepas kes tersebut berlaku, 2 orang menteri meletak jawatan. Menteri Hal Ehwal Luar Bandar dan juga Menteri Kesihatan. Mereka rasa sangat bersalah atas apa yang berlaku. Walaupun tiada kematian. Walaupun mereka tidak pernah sampai ke tangki air itu. Apatah lagi ke kampung tersebut. Mereka hanya pernah mendengarnya. Dengan rasa penuh bertanggungjawab, mereka meletakkan jawatan.

Syawarma ayam yang sedap, ramai yang mengeluh. Mengapa kes keracunan berlaku di Baq'aa, seluruh Jordan larangan dikenakan? Mereka rasa ada tanggungjawab ke atas rakyat. Gua pasti, dalam tempoh seminggu dua ini, Menteri Pertanian pula akan meletak jawatan kerana kes ini melibatkan ternakan ayam yang tercemar dengan penyakit. Lebih hebat lagi, Menteri Kesihatan yang baru "berumur" tak sampai sebulan juga akan meletak jawatan. Semua dibuat kerana tanggungjawab.

Gua pernah mengenali nama Abdul Karim al Kabariti, Abdul Salam Majali, Abdul Rauf al Rawabdeh dan Fayez Tarawneh. Kesemua mereka adalah bekas-bekas Perdana Menteri Jordan yang bertukar ganti sehingga akhirnya gua sendiri sudah tidak pasti siapakah Perdana Menteri mereka yang baru. Hanya kerana beberapa kes yang pada kita agak terpencil, mereka terpaksa melepaskan jawatan. Hanya kerana mereka bertanggungjawab, walaupun ketua mereka adalah seorang diktator.

Sekarang cuba kita tukarkan syawarma ayam kepada helikopter Nuri, cirit birit kepada kemalangan bas ekspres di Bukit Gantang dan Raja Abdullah kepada Pak Lah. Hehehe bagai kata seorang bloggers agung yang entah kat mana gua terbaca, contohnya lah, jika pemberi dan penerima rasuah di BolehLand ini dihukum penjara, negara ini akan diperintah oleh budak-budak sekolah yang baru sebulan berkhatan.
Dan bagi gua plak jika lu tukarkan syawarma ayam dengan helikopter Nuri serta cirit-birit kepada kemalangan bas ekspres di Bukit Gantang, kuranglah bilangan graduan menganggur kerana setiap minit Pak Menteri akan meletak jawatan. Agaknya lah.

6 comments:

Ari said...

Letak jawatan?? Apa kelasss...

Baik pergi holiday!!

Anonymous said...

gua minta izin link kan blog lu dlm blog gua..

LuciusMaximus said...

syawarma tu kat jordan je ke yang ada? masa aku pergi qatar ngan saudi tak pernah lak jumpa syawarma nih? bunyi macam sedap je...

The.Libyaman said...

kalu kat qatar ada jugak tu. lu pegi aje kedai makan arab kat taman melati tu, syawarma dia boleh tahan.

silversarina said...

memang kes agak serius terutama di kem baqaah, kesian pulak orang Jordan... syawarma memang sedap :)

Anonymous said...

terangkat beb.... mafraq dan syawarma... 2 benda penting dalam hidup aku sekitar tahun 97-98