Tuesday, September 14, 2010

Antara Perkauman, Politik dan Agama

Gua pernah melalui satu pengalaman “dicabul” depan Kaabah, masa musim haji. Serius. Depan Kaabah, masa semua orang sedang tawaf. Gua pun tak tahu apa motif perempuan Turkey itu “mencabul” gua. Mungkin keadaan gua masa itu terlalu gagah perkasa, atau perempuan Turkey itu nafsunya sedang bergelojak.

Masa wife gua cakap, kesemua suspek yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan di Banting baru-baru ini adalah berketurunan India, gua dah dapat bayangkan komen-komen “bernas” daripada rakyat Malaya. Sementelah gua tengok Utusan menjadi akhbar paling awal menyiarkan pengesahan mereka yang hilang sudah mati dibunuh, maka gua tahu, tak banyak walau sedikit, mesti akan wujud komentar perkauman. Owh! Tiba-tiba seminggu ini gua mula melayari laman web Utusan. Mungkin mereka ada “kaki” sebab itu laporan mereka kelihatan agak advance.

Itu satu. Seperti kebiasaan. Seperti yang pernah gua ceritakan dulu-dulu. Tentang kemalangan maut contohnya. Tentang jenayah contohnya. Tentang kesengsaraan orang lain contohnya. Kita seringkali terlupa, bahawa ketika kita menghamburkan cacian, ketika kita menjuih bibir, ketika kita menyumpah dan ketika kita memaki hamun segala keturunan, bangsa dan kepercayaannya, kita, bangsa kita, keturunan dan agama kita, tidaklah sesempurna mana di mata orang lain.

Orang gila mana yang bersetuju dengan jenayah kejam seperti itu? Orang gila mana yang cuba menafikan tindakan itu adalah tidak berperikemanusiaan? Orang gila mana yang cuba mengatakan manusia seperti itu perlu dimaafkan?

Lagi satu, selepas memainkan isu perkauman, kamu cuba untuk menyuntik elemen politik. Kamu cuba untuk menyiasat apakah warna “bendera” si penjenayah. Kamu cuba untuk menyiasat berapakah yuran keahlian parti yang dibayar penjenayah. Kamu cuba untuk meneka, cawangan manakah si penjenayah menjadi ahli? Atau di peti undi nombor berapa si penjenayah memasukkan kertas undinya?

Adakalanya, rakyat Malaya, apabila berpolitik, kelihatan sangat melampau. Kelihatan sangat ekstrem. Kelihatan sangat lucah. Dan kelihatan sangat bebal.

Ketiganya, selepas perkauman dan politik, maka tidak lengkap jika tiada rencah agama. Tidak menarik sangat, jika agama tidak dicaci. Tidak penuh dengan warna warni jika agama orang lain tidak dicemuh. Betul, kita layak menyatakan agama masing-masing sebagai sempurna. Kita layak mengatakan agama masing-masing sebagai yang paling lengkap, paling baik, paling mulia. Itu memang kenyataan. Gua tidak melihat sebarang kekurangan dalam agama Islam. Gua tidak melihat sebarang cacat cela tentang agama Islam. Kalau tidak masakan Allah berfirman إن الدين عند الله الإسلام

Tapi apakah hak kamu untuk menghina agama dan kepercayaan orang lain? Hanya kerana si pelaku jenayah itu bukan seagama dengan kamu? Dan mangsa pula bukan seagama dengan mereka? Apakah tiada penjenayah sekejam dan sezalim itu dalam agama kita?

Jenayah boleh berlaku, tidak kira kamu menjadi ahli parti UMNO atau pun kamu mengundi PAS pada pilihanraya yang lepas. Jenayah boleh berlaku tidak kira jika kamu hidup dalam kelompok bangsa kamu sendiri atau pun kamu tinggal sekampung dengan bangsa asing. Malah jenayah boleh berlaku tidak mengira tempat, sama ada di Vatican City, atau pun di depan Kaabah, ketika berziarah ke Qoum, di Karbala, Jerusalem, Ayudhya, Qufu atau pun Hebron. Di mana-mana tempat jenayah boleh berlaku. Dan si pelaku jenayah boleh jadi seorang Melayu, seorang India, seorang Cina, Kristian, Muslim, Syiah, Yahudi, Atheist atau siapa sahaja. Penjenayah boleh jadi daripada kalangan ahli UMNO, ahli PAS, PKR, DAP, MIC, MCA, Parti Bersatu Sabah, Parti Dayak Sabah atau ahli parti “Tupperware”.

Menariknya, di Malaya ini, dua perkara teras yang sangat dominan dalam masyarakat khususnya orang Melayu ialah, bangsa (baca: perkauman) dan juga politik. Agama tidak dominan, kerana majority orang Melayu beragama Islam. Secara tidak langsung, agama akan diheret serentak bersama perkauman. Politik adalah teras. Kalau melihat komen-komen di pelbagai forum, di Facebook dan akhbar, aduhai rasa seperti mahu menangis dan ada ketikanya bagai mahu ketawa.

Tidak boleh lari, tidak boleh mengelak. Lantas bangsa lain dihina. Agama orang lain dicaci. Pegangan politik orang lain dicemuh.

Apakah, jika bukan Barisan Nasional yang memerintah negara ini, jenayah tidak akan berlaku? Apakah jika PAS melaksanakan hukum hudud maka jenayah akan terhenti? Apakah jika semua rakyat Malaya ini berbangsa Melayu maka kita akan mencapai jenayah sifar?

Lupa dengan Canny Ong? Lupa dengan Altantuya Shariibu? Lupa dengan Teoh Beng Hock? Lupa dengan adik Nurin Jazlin? Lupa dengan S Kugan? Lupa dengan adik Aminurrasyid? Atau bagaimana dengan Mona Fendi dulu? Atau Dato’ Mokhtar Hashim?

Adakalanya, perlu sedikit akal untuk berbicara. Jenayah boleh dikurangkan dengan cara membawa kestabilan ekonomi. Orang melakukan jenayah kerana factor utamanya ekonomi. Faktor sampingan lain menyusul kemudian. Sebab itu, apabila dilihat kepada indeks jenayah pembunuhan sebagai contoh, Liechtenstein, Iceland dan Singapore berada antara negara yang paling rendah. Kemudian dikuti oleh Jepun. Tapi jangan silap, kalau mengikut rekod jenayah yang dilaporkan pula, US berada di tangga teratas. Cuma, perlu diteliti apakah factor penyumbang? Tidak boleh tidak ekonomi menjadi penyebab. Orang melakukan jenayah untuk meneruskan kelangsungan hidup. Atau mahu terus hidup mewah. Dengan jenayah.

Stabilkan dulu ekonomi, dengan apa cara sekali pun (termasuk pilihan politik sebagai keutamaan). Bendung rasuah, mantapkan system perundangan, naikkan imej pasukan keselamatan, campakkan semangat perkauman, hidup sebagai satu bangsa Malaysia, Insya Allah, kalau selepas itu mahu hudud sekali pun dilaksanakan, gua rasa tidak banyak yang melakukan bantahan.

Tatkala membaca komen-komen yang meminta bangsa tertentu dihalau dari Malaya, meminta penganut agama tertentu dihambat keluar dari Malaya, gua teringat semula kepada perempuan Turkey di depan Kaabah itu. Ketika terlalu dekat rasanya dengan Tuhan, ketika sedang tujuan datang ke sana untuk melaksanakan ibadah yang dituntut, ketika Kaabah itu sedang tersergam gah di depan mata, perempuan itu masih mampu “melencong” akalnya. Dan jangan lupa, jenayah pembunuhan dan rompakan juga berlaku di Mekah. Malahan “Siti Rahmah” juga menjalankan perniagaannya di kota suci itu.

Kita sedekah Al Fatihah kepada mereka yang menjadi mangsa, semoga bersama dengan orang-orang yang beriman.

5 comments:

Ahmad Belia said...

yang awek turkey tu lu tak cerita habis. cun tak?

Anonymous said...

Semua parti politik kat negara kita ni seakan menidakkan faktor tersebut, sikit2 alasan agama, sikit2 alasan budaya, sikit2 alasan bangsa... betul jugak Bang, "perut lapar" ni memang boleh bawa mudarat.. Biskut raya dah abis ker?
Salam...

babazahra' said...

ammosham,
hehe. "awek" berusia lingkungan 40-an, tafsiran cun dia terlalu subjektif.

kurie,
gua makan biskut "lebar" aje. tahu?

zan said...

Wa rasa orang yang melalak dok mainkan gendang agama dan perkauman di Tanah Melayu ni sikit pun tak tau apa sebenarnya yang dorang dok palu. Kalau ditanya apa erti melayu pun dorang tergagap nak terangkan.

Setakat petik perlembagaan apa barang..

p/s: kalau lu rajin, cuba lu carik kanun tanah negeri2 tanah melayu dari Perlis hingga ke Johor.. Tafsiran melayunya berbeza-beza.. Jadi, adakah kita melayu? hahaha

ayobkelubi said...

ni namanya wag the dog bang.

nak alih perhatian rakyat ker tempat lain.