Dalam dunia ini, ada dua jenis manusia. Satu jenis manusia yang baik, dan satu jenis lagi adalah manusia yang jahat. Fullstop. Khalas. Finito. Punktlich. Tidak ada di antara, atau pun hampir-hampir mahu pun yang menyamar. Bagi yang menyamar baik, mereka adalah orang jahat, tiada yang ditengah-tengah. Hanya ada yang baik dan yang jahat.
Masa gua kecik dulu, dalam masjid Kampung Chenor, ada sebuah almari berlaci yang menyimpan naskhah-naskhah Al Quran dan kitab-kitab agama serta pelbagai barangan lain milik masjid. Almari itu letaknya di kawasan mihrab yang boleh dikatakan agak luas. Setiap malam, masjid kami akan menganjurkan kelas-kelas pengajian agama. Sesudah selesai solat maghrib, budak-budak yang selesai mengaji Al Quran, akan duduk bersama dengan jemaah dewasa, mendengar buah butir kelas pengajian, walaupun tidaklah begitu faham.
Satu malam, masjid kami mengadakan kelas pengajian pengurusan jenazah. Ketika itu, tahun 80-an, mungkin belum ada lagi yang terfikir untuk menjadikan manusia hidup sebagai model, sebagai mayat untuk “dimandikan” dan “dikafankan” seperti hari ini. Orang-orang tua yang menjadi tonggak masjid kampung gua merasakan adalah tidak sopan untuk mengkafankan dan menyembahyangkan orang yang masih hidup. Mungkin.
Lalu, satu anak patung, (tahu anak patung?) yang biasanya menjadi permainan budak-budak perempuan, dan patung itu juga patung perempuan, telah dijadikan sebagai “alat bantuan mengajar”. Maka kami semua ditunjukkan bagaimana mahu memandikan jenazah, mengkafankan, serta meletakkan kedudukan mayat ketika solat jenazah. Boleh lu bayangkan bagaimana “anak patung” yang sebesar lengan mahu dikafankan? Tapi, pengajian secara praktikal itu, memang melekat di kepala otak kami, budak-budak, walaupun dalam situasi sebenar, mereka tidak pernah langsung meminta bantuan kami ketika mahu memandikan jenazah.
Baiklah, atas sifat ingin tahu, prihatin, atau pun mungkin kerana budak-budak memang suka menyibuk, kami akhirnya mendapat tahu yang “anak patung” itu disimpan di dalam laci almari, di mihrab masjid. Wah! Kalangan kami, ini menjadi isu yang sangat besar. Kaabah dikelilingi oleh patung-patung berhala ketika Nabi Muhammad s.a.w diutuskan, dan ia menjadi satu perkara yang perlu diubah, malahan patung-patung berhala ini telah dimusnahkan ketika pembukaan Mekah. Dan di sini, di masjid kampung Chenor, kami semua sembahyang dengan di depan kami tersimpannya “patung”?
Kami cuba berdiplomasi dengan tok siak yang menjadi tenaga pengajar pengurusan jenazah, juga dengan pak imam serta nazir masjid. Rebel sungguh. Yang sudah sekolah menengah banyak sikitlah diorang punya hujah, gua yang masih darjah tiga cuma bagi modal Ustazah Kalsom bagitahu kita tidak boleh sembah patung dan Nabi Muhammad pun beribadat di Gua Hira’ ketika sekeliling Kaabah dipenuhi berhala. Namun tok siak, pak imam dan nazir sekadar tersenyum melihat kesungguhan kami semua sambil mengatakan “anak patung” itu sekadar “anak patung” bukan menjadi simbolik untuk kita sembah ketika solat. Khalas. Finito. Punklitch. – Tapi kerana masih tidak puas hati, kami mengatur rancangan untuk “menculik” anak patung tersebut, lalu kami hantar dia menetap di dalam stor tempat menyimpan makanan. Tanpa dapat dikesan.
Lewat ini, apabila Pakatan Rakyat semakin menjadi dominan sebagai pembangkang yang bertugas sebagai “check and balance” kepada arus politik membosankan di BolehLand, serta membawa pelbagai pembaharuan yang dilihat taboo selama ini oleh United Malays National Organization, terdapat pelbagai watak-watak hodoh (bukan bodoh) yang muncul. Agama dan perkauman menjadi rencah yang perlu demi memastikan kelangsungan. Orang Islam, yang jumud, atau Islam yang hanya sekadar diwarisi, atau Islam yagn terpaksa, sangat bimbangkan pengaruh orang bukan Islam dalam agama mereka. Orang Melayu, yang jumud, atau Melayu yang tidak boleh berfikir dengan matang, jiwanya penuh dengan sifat kebencian dan perkauman, sangat bimbangkan pengaruh orang bukan Melayu dalam kehidupan mereka. Taboo.
Sangat melucukan, apabila gua terdengar para pemimpin United Malays National Organization mulai bersurah tentang kesucian, mulai bersurah tentang kemuliaan surau, kemuliaan ruang solat, kemuliaan perkataan “tazkirah” dan macam-macam surah tentang agama Islam, ketika mana ruang agama yang penuh rahmat ini semakin menampakkan ketelusan dan kebenarannya. Fakta penting, Islam itu untuk semua, dan bukan milik orang Melayu sahaja apatah lagi milik United Malays National Organization. Jadi, bukan mahu membenarkan tindakan MP yang menyertai majlis di surau itu, tetapi gua cuma mahu memulangkan paku buah keras.
Kalau mahu menghukum, biarlah adil dan saksama. Jangan apabila si polan makan najis, lu kata najis itu busuk, tapi apabila lu sendiri makan, lu kata najis itu wangi. Inilah dia United Malays National Organization yang semakin terdesak demi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Kalau MP itu tidak suci, aduhai, pemimpin-pemimpin korup yang anak isteri mereka juga “telanjang” mahu berbicara tentang kesucian – jika MP itu tidak suci, bagaimana pula dengan para pelancong yang melawat masjid-masjid besar di Kuala Lumpur dan Putrajaya? Apakah mereka suci kerana mereka bukan ahli politik pembangkang? Satu.
Bagaimana dengan orang Islam sendiri? Apakah tahap kesucian mereka menjejakkan kaki ke masjid, atau membolehkan mereka menjejakkan kaki ke masjid hanya sekadar mereka membasuh kemaluan sesudah kencing, mandi wajib sesudah berjimak, atau berwuduk sebelum solat? Bagaimana dengan pakaian? Bagaimana dengan peralatan? Bagaimana dengan diri mereka sendiri? Cukup sucikah? Hasil rezeki mereka, sucikah? Dua.
Secara sarkastiknya, cuba perhatikan perkakas di dalam masjid, di dalam surau. Apakah kesucian barang-barang ini tidak boleh diragukan. Siapa penjual? Apa yang penjual pegang? Owh! Orang United Malays National Organization akan berkata ini sama seperti fatwa wang kertas, yang dipegang oleh penjual daging babi. Nanti, gua tidak mahu melihat sampai ke situ, cukup sekadar bertanya tentang kesucian ketika kamu, United Malays National Organization, begitu bersungguh-sungguh mahu berbicara tentang kesucian, tentang MP pembangkang yang tidak membasuh kencing, tentang ruang solat yang sudah dicemari kononnya dan tentang harmonis pembangkang serta pembaharuan yang cuba dibawa.
Cuba lihat kain kafan, adakah ia dibasuh terlebih dahulu sebelum digunapakai? Tidak. Siapa penjualnya? Kalau di Jelebu, bukan kedai orang Melayu-Islam. Usahkan kain kafan, pergi ke surau pun pakai kopiah Made in China. Apa cerita?
Kalau mahu menghukum biarlah adil. Jangan hanya kesalahan orang yang kita nampak. Bukan mahu menghalalkan tindakan MP itu, dia memang sepatutnya lebih awas, dengan memakai selendang sebagai contoh, seperti yang dilakukannya sekarang, seperti gaya para isteri “pembesar” yang datang ke ruang solat masjid, atau “penghibur” yang mahu dilihat suci hanya dengan melangsungkan akad nikah di ruang solat masjid. Owh! Apakah mereka semua itu juga termasuk dalam golongan suci? Kenapa pencerobohan ruang solat masjid untuk majlis pernikahan yang melibatkan “banyak keraguan” itu tidak dipersoalkan? Atau kehadiran isteri-isteri “pembesar” yang sekadar berselendang ke ruang solat masjid untuk majlis bacaan Yassin? Boleh? Suci?
Gua masih ingat dengan kelas pengurusan jenazah itu. “Anak patung” itu, yang “berjantina” perempuan, telah dibogelkan, untuk “dikafankan”. Maka kami budak-budak hanya tersenyum, melihat “anak patung” bogel. Hiburan, di ruang solat masjid, sambil belajar. Yang kemudiannya menjadi kontroversi, hanya kerana kami ketika itu, terlalu jumud, masih belum mampu berfikir di luar kotak, hanya Islam yang diwarisi, baru mahu belajar dan masih budak-budak.
Cuma gua terfikir, bagaimana nasib “anak patung” itu sekarang? Yang sudah pastinya, sekitar 80-an, adalah buatan Negara China, dan dijual oleh penjual Cina. “Dia” telah menceroboh sehingga ke ruang mihrab masjid kami. Suci, bukan?
3 comments:
deep sangat contoh ko ni..hahaha..
selamat hari raya libyaman!
masukan ni kurang spirit raya ni baba. tapi masih menyengat. heheh. eid mubarak dari waghih.
Depa tak baca sirah nabawi. tu yang menyalak tak habis2. padahal MP tu bukan bagi tazkirah, hanya menerangkan pasal peluang pinjaman ke universiti, kalau aku tak salah.
Selamat hari raya.
Post a Comment