Monday, September 27, 2010

Al Fatihah Untuk Wira Yang "Low-Profile"

Lama dulu, sebelum NGO Malaya berani menghantar bantuan ke Palestine, lama dulu sebelum Pemuda United Malays National Organization mampu membeli tiket kapal terbang untuk ke Gaza, lama dulu sebelum ada rakyat Malaya yang merakamkan gambar ketika memberi beg-beg sekolah kepada anak-anak pelarian Palestine – seorang manusia bernama Yunus Lebai Ali lebih dahulu mendahului mereka semua.

Semasa tinggal bersama “Karl Marx” gua telah ditunjukkan dengan sekeping gambar. Seorang lelaki yang bertubuh “chubby” memakai seragam gerila berwarna hijau dengan selaras rifle. Gua diberitahu “Ini Yunus, masa jadi komando PLO”. Gua yang sebelumnya mengenali abang Yunus sebagai seorang yang rajin datang menjemput kami di rumah untuk keluar makan, yang bersuara agak perlahan, bercakap dengan nada lembut, tenang dan kelihatan “cool”, berasa terkejut. Bagaimana mungkin?

Seterusnya, ketika produksi filem “Dari Jemapoh ke Manchestee” gua mengenali abang Yunus secara lebih rapat. Abang Yunus datang, bermakna kami semua akan dapat advance. Sebab Abang Yunus mesti datang bawak beg yang berisi duit. Setiap kali Abang Yunus datang melawat kami di Jelebu ketika itu, kami tahu malamnya nanti kami akan berkenduri. Abang Yunus menjadi idola para krew ketika itu, kerana Abang Yunus boleh bagi advance payment.

Selepas ke Jordan, gua hanya sesekali bertemu, ketika pulang bercuti. Kadangkala “Karl Marx” ajak keluar minum, atau Abang Yunus sesekali menjengah ketika gua menumpang tidur di rumah atas Bukit Robson, atau pun bertemu di Bangsar Utama.

Setelah bekerja, gua tidak lagi bertemu Abang Yunus. Cuma kerapkali terlihat namanya muncul, bergerak aktif dengan pasukan pemantau pilihanraya. Ketika zaman Bau-Bau Café, gua kerap terserempak Abang Yunus, minum dan bersembang. Cuma kami tidak lagi seperti dulu, gua tengok Abang Yunus selalu serius dan mungkin Abang Yunus tengok gua sebagai budak yang tidak lagi hormatkan orang tua.

Gua diberitahu, Abang Yunus sakit sejak 3-4 bulan yang lepas. Dan kemudiannya dua hari lepas, gua dapat tahu yang Abang Yunus telah meninggal dunia. Abang Yunus kembali menemui Pencipta. Membawa segala kenangan, pengalaman, suka-duka perjuangan,kisah hidup, yang rahsia, yang bukan rahsia, membawa segala sikap cool, membawa segala ilmu pengetahuan, pergi bersama. Ada yang tertinggal untuk orang dibelakang, dan ada yang dipendam mungkin.

Abang Yunus hanyalah satu daripada jutaan susuk diluar sana, yang berjuang dan terus berjuang. Bukan untuk sebarang penghargaan, pingat kebesaran atau pun wang ringgit. Abang Yunus mahu membawa kesejahteraan dan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat dan tanahair kita yang tercinta. Abang Yunus yang “low-profile”, adalah wira yang jarang sangat didendangkan. Namanya hanya muncul sekali sekala, tapi perjuangan dan jasa, bertaburan dan melata.

Damailah di sana. Al Fatihah.

2 comments:

Wak Arjun said...

Al Fatihah....

Jorji said...

al-fatihah.