Saturday, October 16, 2010

Cerita-cerita Penyedap Yang Seketika

Satu ketika dulu ya, sewaktu gua sedang main-main basikal di depan rumah, tiba-tiba Makcik Senah lalu naik motor. Dia berhenti dan bagi gua seekor burung wak-wak, yang sudah siap disembelih. Makcik Senah baru balik dari sawah, di belakang sungai di rumah gua. Burung itu Makcik Senah jerat dan dia selalu berjanji untuk memberikan lagi burung wak-wak kepada gua, jika terkena jerat di sawahnya. Dan malam itu, gua makan nasi lauk burung wak-wak goreng kunyit.

Satu ketika dulu, kawasan di tepi sungai, belakang rumah gua di Jelebu, adalah sawah bendang saujana mata memandang. Dari Kuala Klawang sehingga ke Pergai, bersambung ke Petaseh juga adalah kawasan sawah bendang. Padi. Yang mengeluarkan beras. Di depan rumah gua dulu, setiap bulan akan ada satu jentera pengisar padi daripada LPP yang datang untuk mengisar padi. Kami panggil itu mesin padi. Hanya untuk skala kecil. Bagi jumlah yang lebih banyak, terpaksa dikisar di kilang padi di Simpang Gelami. Waktu itu juga gua terdengar tentang koperasi, tentang duit padi, tentang racun, tentang tali air dan sebagainya. Walaupun keluarga gua tidak terlibat secara langsung, tapi sawah padi tetap dekat pada jiwa gua.

Itu cerita masa gua belum masuk sekolah. Mungkin 28 tahun yang lepas. Kalau berkenderaan dari Kuala Klawang ke Pergai pada hari ini, sebelah kanan dan kiri jalan, hanyalah hamparan tanah sawah yang terbiar. Masih menghijau dan sebahagiannya sudah terbina rumah, kebun tebu, bengkel motor dan belukar. Satu penghinaan ketara kepada kesuburan bumi. Dengar khabarnya, hanya di Gagu masih lagi bersawah. Yang kebetulan adalah kampung laman Ahli Parlimen Jelebu.

Gua rasa, pemandangan seperti itu, bukan hanya di Jelebu. Bahkan di banyak kawasan lain di seluruh Malaya. Ambil Negeri Sembilan sebagai contoh, memang tidak tersenarai langsung sebagai pengeluar padi. Ambil pula Kedah, yang khabarnya digelar Jelapang Padi. Pun masih tidak mampu muncul sebagai pengeluar utama beras di Malaya. Warga masih lagi berterusan menyuap beras import, yang ditanam, bukanlah di kaki gunung Himalaya atau di sepanjang Sungai Mekong, tapi nun hanya di seberang sempadan.

Satu ketika dulu juga, gua terdengar satu kempen “Dasar Pandang ke Timur”. Masa itu, seluruh warga Malaya, dibuaikan dengan impian untuk meniru Jepun dan Korea. Mahu menjadi negara industry. Mahu menjadi negara maju. Maka berbondong-bondong lah propaganda muncul di akhbar dan televisyen. Melayu khususnya dibuai dengan propaganda menjadi negara industry. Lagu-lagu patriotic di televisyen akan memaparkan klip-klip video pekerja kilang yang begitu ramai, dengan majoritinya Melayu, turun dari bus kilang, sedang tekun bekerja dan berpakaian seragam. Ini disusuli imej bangunan Dayabumi dan juga Lebuhraya Persekutuan. Ketika itu pemandangan sawah padi sepertinya milik Makcik Senah sudah mula dilupuskan. Kalau ada pun cuma dalam drama swasta. Latar belakang kampung di Tanjung Karang.

Ketika itu juga kampung-kampung mulai kosong. Semua anak muda mahu bekerja di “Kelumpo”. Tiada sebarang kempen pun dibuat untuk mengekang kebanjiran anak-anak muda ini ke ibu kota. “Kelumpo” seperti mahu dibanjirkan dengan manusia. Orang-orang kampung. Mahu menjadi sebahagian daripada pemacu negara industry. Skil mengetam padi, menoreh getah dan berkebun hanya milik orang tua. Kita mahu ke depan menjadi seperti warga Jepun dan Korea.

Nah, sekarang. Padi yang ada di Kampung Gagu itu hanya untuk suapan mulut sendiri. Sekadar mahu punyai beras sendiri. Yang kadangkala tidak termakan. 5kg yang diberi kepada mak gua, akhirnya rosak di makan bubuk. Penat badan menuai dan membanting padi tidak berbaloi dengan apa yang diterima. Sekadar mahu berbangga, kami masih meneruskan tradisi. Betul, memang tradisi. Dengan kesemuanya masih lagi berskala kecil, menggunakan teknologi “tradisi” dan pasaran hanyalah mulut sendiri dan kaum kerabat sendiri. Untuk suka-suka.

Sebenarnya apa yang berlaku, adalah bukti kegagalan perancangan menuju negara industry. Yang sebenarnya adalah satu propaganda untuk menipu rakyat demi kelangsungan saku para pemimpin. Bagaimana ini boleh terjadi? Ambil contoh sawah padi. Dengan hamparan tanah sawah yang meluas, dengan kesuburan muka bumi, dengan sumber air yang tidak terbatas, Malaya terpaksa mengimport beras untuk mengisi perut warganya? Propaganda negara industry dulu hanya satu helah. Rentetan propaganda itu, maka tanah-tanah rizab Melayu telah menjadi mangsa. Mendirikan kilang-kilang industry, diambil atas nama pembangunan, pembinaan mini kompleks sukan yang kononnya untuk para pekerja kilang, pembinaan rumah-rumah kos rendah yang akhirnya terbengkalai yang kononnya mahu memenuhi permintaan penempatan para pekerja industry yang tinggal di pinggir-pinggir bandar. Dan sebagainya.

28 tahun selepas itu, atau mungkin 30 tahun selepasnya, gua masih lagi terdengar tentang sector pertanian. Terdengar kembali tentang sector pertanian. Saban tahun mata kita dijamukan dengan imejan pak menteri bertopi cowboy, berziarah ke ladang-ladang pertanian dan ternakan di seluruh Eropah. Tapi kemudiannya pulang dengan tanah kosong. Sekadar gah dalam berita waktu perdana. Dalam setiap kali pembentangan belanjawan, sector pertanian sayup-sayup kedengaran. Mujur Kementerian Pertanian masih terus wujud. Tapi bagai melukut tepian gantang. Sekadar mahu memuaskan hati orang-orang kampung, majoritinya orang Melayu, akan wujudnya Lembaga Pertubuhan Peladang, untuk RM50 elaun kehadiran mesyuarat, untuk satu atau dua majlis makan-makan setahun.

Tempoh selepas mahu bergerak mencapai taraf negara industry itu, menyaksikan kita terpaksa menjamah beras Siam dan India, kita makan daging dan minum susu lembu Australia, lamb chop kambing dari New Zealand, bahkan ikan dari Thailand. Pada ketika negara ini, tanahair ini, dirahmati Tuhan dengan kesuburan dan lautan yang meluas. Bekalan daging tempatan masih tidak mencukupi, beras tempatan jauh sekali, produk tenusu usahkan bermimpi. Kenapa?

Ini semua adalah bahana, perancangan demi perancangan, yang ambik satu tinggal satu. Ambik industry tinggal pertanian dan ambik kewangan tinggal industry. Lihatlah apa yang berlaku hari ini apabila kita mahu menjadi hub kewangan pula. Kita tidak lagi sibuk untuk menjadi negara industry, kerana terbukti ia tidak langsung berjaya. Para pelabur mengalih perhatian membuka kilang-kilang perindustrian di Thailand, di China dan Vietnam. Jangan beritahu itu kerana kos tenaga buruh yang murah. Sebelum mendirikan kilang-kilang perindustrian, kos operasi akan dilihat dulu, kos bahan mentah, kos tapak perindustrian dan sebagainya. Semua ini memang benar telah diambil kira oleh KERAjaan ketika memacu pembangunan industry negara 28 tahun yang lepas, tapi tiada kesinambungan kerana ia hanya sekadar projek untuk memastikan kroni terus dapat menjual tanah, kroni terus dapat membuat pemilikan sementara sebelum berpindah menerajui sector baru yang diketengahkan oleh KERAjaan. Dalam masa yang sama, ruang masa yang begitu luas telah ditinggalkan untuk pertanian.

Nah, hasilnya, selepas 28 tahun atau 30 tahun, kita kembali mahu bermula dengan pertanian. Tapi ini sudah terlambat. Jepun dan Korea yang kita tiru satu ketika dulu, sudah melangkah dua dekad ke depan dalam industry dan juga pertanian. Ketika kita masih memerah susu lembu menggunakan tangan mereka hanya menekan butang-butang automatic pada panel kawalan. Ketika kita memerlukan satu kampung untuk memegang seekor lembu yang mahu disembelih, Australia hanya menggaji seorang tukang sembelihan berbangsa Pakistan untuk beratus-ratus ekor ternakan. (Bagaimana dengan penyelenggaraan pusat-pusat sembelihan yang wujud satu ketika dulu?)

Sudah puluhan tahun gua tidak melihat burung wak-wak. Makcik Senah jugak sudah lama menemui Pencipta. Sawah-sawah masih terus terbiar. Hanya kadangkala timbul seketika, khususnya pada keadaan seperti sekarang. Selepas pembentangan belanjawan. Para usahawan muda ternakan UMNO mahu mendapat bahagian peruntukan. Lembu pawah, tanaman berkelompok itu dan ini, kambing dan sebagainya, tapi masih jauh ketinggalan, kerana sifat KERAjaan yang berterusan melaungkan sesuatu hari ini hanya untuk sekadar menyedapkan hati rakyat, tapi kembali senyap setahun kemudian. Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

10 comments:

Mr. Daria said...

Padat dan padu.
Terima kasih.

bangunberdiri said...

bro, ni proses pembentukan melayu baru yang menyembah tauke kilang di bandar kelumpo. sebelum ini meereka menyembah sistem monarki yang bersultan bagai. bagi aku ini juga satu bukti bahawa hanya sistem ekonomi mampu mengubah sesebuah negara daripada sistem beraja kepada ekonomi pasaran bebas. maka sistem ekonomi juga yang mampu memperbetulkan semua masalah-masalah yang kau sebutkan tadi - iaitu sistem ekonomi terancang.

p/s : point aku ni lari tajuk tapi apa yang cuba kau sampaikan memang aku tak nafikan. ada betulnya....

babazahra' said...

mr daria,
sama-sama.

bangunberdiri,
memang sistem ekonomi perlu jadi pemangkin untuk memperbetulkan keadaan. kekecewaan gua sebab pertanian yang sepatutnya jadik tonggak (pertanian jugak sektor ekonomi bukan) telah diketepikan. perancangan yang tidak betul. mana mungkin membiarkan sektor yang menjadi penyumbang tenaga tubuh badan - keperluan tu kan.

Jorji said...

tuan,

satu artikel yang bagus.

Wak Arjun said...

Salam Baba.

Kepala hotak lu mmg mantop.
Tapi sayang. Ramai yg berotak bebal dan tidak berusaha cukup keras untuk memahami apa yg tersirat di dalam artikel beras dan tradisi lu.

Ramai cuma tertarik dgn apa yg akan digeromal oleh Gerombolan pembela2 Bangsa (atau Bangsat sebenarnya?) bermula minggu ini. Puteri dan Putera Persetubuhan KeBANGSATan dah mula membanjiri Kelumpo. Berpesta. Berhuhahuha.

Apa salahnya sesekali berpesta. Takde hal. Di Melaka dah ada "rumah" persinggahan.

Sampai bila la umat Melayu nak kena geromal Gerombolan....

kon said...

nice artikel...saya pn skrg baru sedar kepentingan pertanian ini...

babazahra' said...

jorji,

terima kasih daun keladi.

wak,

kadang-kadang gua terfikir, apakah terlalu sukar untuk memahami bahawa kita sudah sekian lama ditipu? apakah tidak terfikir ketika kita beratur panjang untuk mengisi minyak dengan "harga terakhir yang murah" kita terus hidup terseksa dalam sebuah negara yang sebenarnya kaya dan mewah? blessed with land and water, oil and mineral. haih.

Semi said...

Sumpah, buang maso poit nak debate dgn kerak2 UMNO ni.. Pueh la den berhujah macam2 secagho aman dan intelek, mampuih dio tak nak teghimo... Haa ni skang, buleh pulak zahid hamidi kato sapo tak teghimo UMNO macam Abu lahab ko abu jahal! Dasar tak sodar diri! Kito berhujah lah macam mano, kalau dah hantu tu hantu jugaklah... Pilihanrayo kang kito tunjuk kuasa rakyat! Ekau songlap duit den, ingat buleh aman ko dunio akhirat!

Kramer said...

itu menunjukan ornag kampong ko macam ko gak pemalas dan hanya tahu menyalahkan orang dan pehak lain. Tempat aku di Perak jangankan tanah berpunya tanah risab pon abis kena uasaha

Kramer said...

Itu menunujukan orang kampong ko pemalas macam ko gak suka menyalahkan pihak lain tak tau nak usaha. Tu pasal jelebu macam zaman batu gak