Wednesday, September 08, 2010

Orang Baik dan Orang Jahat

Dalam dunia ini, ada dua jenis manusia. Satu jenis manusia yang baik, dan satu jenis lagi adalah manusia yang jahat. Fullstop. Khalas. Finito. Punktlich. Tidak ada di antara, atau pun hampir-hampir mahu pun yang menyamar. Bagi yang menyamar baik, mereka adalah orang jahat, tiada yang ditengah-tengah. Hanya ada yang baik dan yang jahat.

Masa gua kecik dulu, dalam masjid Kampung Chenor, ada sebuah almari berlaci yang menyimpan naskhah-naskhah Al Quran dan kitab-kitab agama serta pelbagai barangan lain milik masjid. Almari itu letaknya di kawasan mihrab yang boleh dikatakan agak luas. Setiap malam, masjid kami akan menganjurkan kelas-kelas pengajian agama. Sesudah selesai solat maghrib, budak-budak yang selesai mengaji Al Quran, akan duduk bersama dengan jemaah dewasa, mendengar buah butir kelas pengajian, walaupun tidaklah begitu faham.

Satu malam, masjid kami mengadakan kelas pengajian pengurusan jenazah. Ketika itu, tahun 80-an, mungkin belum ada lagi yang terfikir untuk menjadikan manusia hidup sebagai model, sebagai mayat untuk “dimandikan” dan “dikafankan” seperti hari ini. Orang-orang tua yang menjadi tonggak masjid kampung gua merasakan adalah tidak sopan untuk mengkafankan dan menyembahyangkan orang yang masih hidup. Mungkin.

Lalu, satu anak patung, (tahu anak patung?) yang biasanya menjadi permainan budak-budak perempuan, dan patung itu juga patung perempuan, telah dijadikan sebagai “alat bantuan mengajar”. Maka kami semua ditunjukkan bagaimana mahu memandikan jenazah, mengkafankan, serta meletakkan kedudukan mayat ketika solat jenazah. Boleh lu bayangkan bagaimana “anak patung” yang sebesar lengan mahu dikafankan? Tapi, pengajian secara praktikal itu, memang melekat di kepala otak kami, budak-budak, walaupun dalam situasi sebenar, mereka tidak pernah langsung meminta bantuan kami ketika mahu memandikan jenazah.

Baiklah, atas sifat ingin tahu, prihatin, atau pun mungkin kerana budak-budak memang suka menyibuk, kami akhirnya mendapat tahu yang “anak patung” itu disimpan di dalam laci almari, di mihrab masjid. Wah! Kalangan kami, ini menjadi isu yang sangat besar. Kaabah dikelilingi oleh patung-patung berhala ketika Nabi Muhammad s.a.w diutuskan, dan ia menjadi satu perkara yang perlu diubah, malahan patung-patung berhala ini telah dimusnahkan ketika pembukaan Mekah. Dan di sini, di masjid kampung Chenor, kami semua sembahyang dengan di depan kami tersimpannya “patung”?

Kami cuba berdiplomasi dengan tok siak yang menjadi tenaga pengajar pengurusan jenazah, juga dengan pak imam serta nazir masjid. Rebel sungguh. Yang sudah sekolah menengah banyak sikitlah diorang punya hujah, gua yang masih darjah tiga cuma bagi modal Ustazah Kalsom bagitahu kita tidak boleh sembah patung dan Nabi Muhammad pun beribadat di Gua Hira’ ketika sekeliling Kaabah dipenuhi berhala. Namun tok siak, pak imam dan nazir sekadar tersenyum melihat kesungguhan kami semua sambil mengatakan “anak patung” itu sekadar “anak patung” bukan menjadi simbolik untuk kita sembah ketika solat. Khalas. Finito. Punklitch. – Tapi kerana masih tidak puas hati, kami mengatur rancangan untuk “menculik” anak patung tersebut, lalu kami hantar dia menetap di dalam stor tempat menyimpan makanan. Tanpa dapat dikesan.

Lewat ini, apabila Pakatan Rakyat semakin menjadi dominan sebagai pembangkang yang bertugas sebagai “check and balance” kepada arus politik membosankan di BolehLand, serta membawa pelbagai pembaharuan yang dilihat taboo selama ini oleh United Malays National Organization, terdapat pelbagai watak-watak hodoh (bukan bodoh) yang muncul. Agama dan perkauman menjadi rencah yang perlu demi memastikan kelangsungan. Orang Islam, yang jumud, atau Islam yang hanya sekadar diwarisi, atau Islam yagn terpaksa, sangat bimbangkan pengaruh orang bukan Islam dalam agama mereka. Orang Melayu, yang jumud, atau Melayu yang tidak boleh berfikir dengan matang, jiwanya penuh dengan sifat kebencian dan perkauman, sangat bimbangkan pengaruh orang bukan Melayu dalam kehidupan mereka. Taboo.

Sangat melucukan, apabila gua terdengar para pemimpin United Malays National Organization mulai bersurah tentang kesucian, mulai bersurah tentang kemuliaan surau, kemuliaan ruang solat, kemuliaan perkataan “tazkirah” dan macam-macam surah tentang agama Islam, ketika mana ruang agama yang penuh rahmat ini semakin menampakkan ketelusan dan kebenarannya. Fakta penting, Islam itu untuk semua, dan bukan milik orang Melayu sahaja apatah lagi milik United Malays National Organization. Jadi, bukan mahu membenarkan tindakan MP yang menyertai majlis di surau itu, tetapi gua cuma mahu memulangkan paku buah keras.

Kalau mahu menghukum, biarlah adil dan saksama. Jangan apabila si polan makan najis, lu kata najis itu busuk, tapi apabila lu sendiri makan, lu kata najis itu wangi. Inilah dia United Malays National Organization yang semakin terdesak demi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Kalau MP itu tidak suci, aduhai, pemimpin-pemimpin korup yang anak isteri mereka juga “telanjang” mahu berbicara tentang kesucian – jika MP itu tidak suci, bagaimana pula dengan para pelancong yang melawat masjid-masjid besar di Kuala Lumpur dan Putrajaya? Apakah mereka suci kerana mereka bukan ahli politik pembangkang? Satu.

Bagaimana dengan orang Islam sendiri? Apakah tahap kesucian mereka menjejakkan kaki ke masjid, atau membolehkan mereka menjejakkan kaki ke masjid hanya sekadar mereka membasuh kemaluan sesudah kencing, mandi wajib sesudah berjimak, atau berwuduk sebelum solat? Bagaimana dengan pakaian? Bagaimana dengan peralatan? Bagaimana dengan diri mereka sendiri? Cukup sucikah? Hasil rezeki mereka, sucikah? Dua.

Secara sarkastiknya, cuba perhatikan perkakas di dalam masjid, di dalam surau. Apakah kesucian barang-barang ini tidak boleh diragukan. Siapa penjual? Apa yang penjual pegang? Owh! Orang United Malays National Organization akan berkata ini sama seperti fatwa wang kertas, yang dipegang oleh penjual daging babi. Nanti, gua tidak mahu melihat sampai ke situ, cukup sekadar bertanya tentang kesucian ketika kamu, United Malays National Organization, begitu bersungguh-sungguh mahu berbicara tentang kesucian, tentang MP pembangkang yang tidak membasuh kencing, tentang ruang solat yang sudah dicemari kononnya dan tentang harmonis pembangkang serta pembaharuan yang cuba dibawa.

Cuba lihat kain kafan, adakah ia dibasuh terlebih dahulu sebelum digunapakai? Tidak. Siapa penjualnya? Kalau di Jelebu, bukan kedai orang Melayu-Islam. Usahkan kain kafan, pergi ke surau pun pakai kopiah Made in China. Apa cerita?

Kalau mahu menghukum biarlah adil. Jangan hanya kesalahan orang yang kita nampak. Bukan mahu menghalalkan tindakan MP itu, dia memang sepatutnya lebih awas, dengan memakai selendang sebagai contoh, seperti yang dilakukannya sekarang, seperti gaya para isteri “pembesar” yang datang ke ruang solat masjid, atau “penghibur” yang mahu dilihat suci hanya dengan melangsungkan akad nikah di ruang solat masjid. Owh! Apakah mereka semua itu juga termasuk dalam golongan suci? Kenapa pencerobohan ruang solat masjid untuk majlis pernikahan yang melibatkan “banyak keraguan” itu tidak dipersoalkan? Atau kehadiran isteri-isteri “pembesar” yang sekadar berselendang ke ruang solat masjid untuk majlis bacaan Yassin? Boleh? Suci?

Gua masih ingat dengan kelas pengurusan jenazah itu. “Anak patung” itu, yang “berjantina” perempuan, telah dibogelkan, untuk “dikafankan”. Maka kami budak-budak hanya tersenyum, melihat “anak patung” bogel. Hiburan, di ruang solat masjid, sambil belajar. Yang kemudiannya menjadi kontroversi, hanya kerana kami ketika itu, terlalu jumud, masih belum mampu berfikir di luar kotak, hanya Islam yang diwarisi, baru mahu belajar dan masih budak-budak.

Cuma gua terfikir, bagaimana nasib “anak patung” itu sekarang? Yang sudah pastinya, sekitar 80-an, adalah buatan Negara China, dan dijual oleh penjual Cina. “Dia” telah menceroboh sehingga ke ruang mihrab masjid kami. Suci, bukan?

Sunday, August 15, 2010

Ramadhan Orang Melayu di Bumi Orang Arab


Tahun ini adalah Ramadhan kedua gua di Libya. Cuma berbeza kali ini gua terpaksa menghabiskan sebulan termasuk Aidilfitri dan Aidiladha. Tahun lepas sekadar 23 hari dan pada hari ke-25 gua sudah berada di pasar Ramadhan Bandar Kinrara. Tiada apa yang istimewa cuma kali ini terpaksa berpuasa di kalangan mereka yang bukan Islam. Berbuka tidak seronok kerana hanya diri sendiri yang merasai kenikmatannya. Mujur mereka begitu menghormati hingga sanggup bersama melewatkan jadual makan malam untuk sama-sama “berbuka” dengan gua.

Berpuasa di Libya bagi gua tiada yang menarik. Bukanlah kerana tiada makanan atau pun pasar Ramadhan, kerana nafsu makan dan bulan Ramadhan tetap sama di seluruh dunia, biarpun di depan Kaabah. Dua hari sebelum Ramadhan, kota Tripoli telah sesak dengan manusia. Memandu di Tripoli ketika itu perlu dibajai dengan kesabaran. Beratur di pasaraya juga perlu menyimpan kesabaran di dalam dompet, kalau tidak berterabur beras dan gula. Nafsu makan dan Ramadhan, sudah terlalu akrab.

Tiada yang menarik, bagi gua adalah kerana hilangnya seri bulan Ramadhan itu. Sesungguhnya, Ramadhan telah menjadi satu alasan yang sangat norma, untuk umat Islam di sini bermalas-malasan. Satu tabiat yang bukan sahaja luarbiasa tetapi amat menakjubkan. Berjaga malam pada bulan Ramadhan, bukanlah satu yang abnormal bagi gua, kerana itu juga budaya bangsa Arab di Jordan dulu, di Syria dan Lebanon, di Mesir bahkan di kebanyakan negara Arab yang lain. Berjaga malam bukan untuk beribadat, kerana kebanyakannya lebih suka menghabiskan masa dengan berbual kosong, sambil minum “syai” dan bermain daun terup. Ini reality.

Tetapi yang sangat memalukan, yang sangat menghibakan, yang berlaku di Libya adalah berjaga malam, dan bulan Ramadhan, seringkali dijadikan alasan untuk bermalas-malasan. Kalau di Jordan dulu, mereka berjaga malam, tetapi aktiviti seharian pada bulan Ramadhan tetap diteruskan. Mereka akan bermula awal dan sekitar jam 4.30 petang, jalanraya mulai lengang. Ramadhan sepatutnya menjadi satu bulan untuk mensucikan diri, bukan untuk memalaskan diri.

Pemerhatian sejak Ramadhan tahun lepas di Al Marj dan Benghazi, bangsa Libya menghabiskan masa malam mereka dengan berbual kosong, ke hulu ke hilir berkereta tanpa haluan, memenuhi taman-taman dan tepian jalanraya, sehingga awal pagi, bersahur dan kemudiannya tidur. Produktiviti menjadi begitu perlahan. Aktiviti seharian terbantut. Mereka bermalas-malasan. Ramadhan dijadikan alasan untuk muncul ke pejabat pada jam 1 tengahari dan kemudian lesap pada jam 2. Ramadhan dijadikan alasan untuk kurang aktif bekerja. Ramadhan dijadikan alasan untuk melewatkan temujanji penting. Bahkan lebih teruk lagi, Ramadhan dijadikan alasan untuk peningkatan karenah birokrasi. Urusan pentadbiran yang sememangnya teruk, akan menjadi lebih dahsyat pada bulan Ramadhan.

Dan petang ini tadi, sesudah pulang ke rumah, pembantu rumah gua hanya menyediakan nasi yang sudah dimasak. Tanpa lauk, tanpa sayur dan tanpa manisan, walaupun sepotong kurma. Apabila ditanya dia menjawab “Ramadhan, rasa macam malas” sambil mengambil beg tangan dan keluar untuk berbuka bersama ahli keluarganya. Oh! Sepatutnya kamu mati sahaja sepanjang Ramadhan ini, dan hidup kembali sesudah Aidilfitri. Semoga tabiat ini tidak akan sampai ke bumi Malaya, yang orang Melayunya begitu mahu menjadi bangsa Arab. Selamat berpuasa, berbuka dan bersahur. Semoga ibadat kita semakin bertambah di Ramadhan ini. Ciao.

Monday, July 19, 2010

Wisma Wanita, Wisma Lelaki, Wisma Kanak-kanak dan Wisma Warga Emas!

Gua tulis panjang-panjang pun tak guna, manusia bebal tak boleh berfikir akan cakap gua merepek. Walaupun sebenarnya manusia-manusia bebal ini cuba menafikan kebebalan, kebodohan dan kebangsatan akal fikiran mereka di sebalik kebenaran yang sudah nyata.

Tahu apa yang Rosmah Mansor minta? Ministry of Finance a.k.a Kementerian Kewangan a.k.a kementerian yang bertanggungjawab pasal duit rakyat (pemahaman khas untuk manusia bebal) dan bagaimana merencanakan penggunaan duit rakyat, kasi “payung” pembinaan wisma wanita di setiap negeri. Babi! (Gua cuma mencarut untuk kebodohan, bukan kepada manusia)

Oh, adakah kali ini gua akan merepek lagi? Apakah Rosmah bahalol ini berkata-kata semuanya kerana salah gua, salah Karpal Singh? Salah Anwar Ibrahim? Atau salah makanan yang mereka makan hingga otak-otak mereka gagal berfungsi dengan baik?

Apakah tujuan pembinaan wisma wanita? Menjadi pusat sehenti bagi wanita yang memerlukan bantuan, latihan keusahawanan, pembangunan, masalah rumahtangga, nafkah anak dan sebagai pemangkin meningkatkan pembangunan wanita bla bla bla. Tolong jangan cakap gua anti-feminism. Anjing! (Gua cuma memaki kejahilan, bukannya yang empunya idea).

Adakah selama ini, pejabat MARA yang bukan sahaja di setiap negeri bahkan wujud di setiap daerah, cuma memberikan perkhidmatan dan bantuan kepada orang lelaki? Apakah pejabat-pejabat agama daerah, pejabat kadi, pejabat kaunseling dan mahkamah syariah hanya menerima aduan dan masalah orang lelaki? Bagaimana dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang wujud di seluruh pelusuk negara, apakah fungsi mereka hanya untuk kumpulan manusia bertelur? Apa rasionalnya membina wisma-wisma wanita di setiap negeri ketika rakyat berdepan dengan penyelarasan (bukan pemotongan) subsidi dan juga penyelarasan (bukan kenaikan) harga barangan? Setan!

Orang cakap bodoh marah. Gua cerita pasal kebodohan, lu kata gua merapu. Bebal! Inilah dia taktik nak menjahanamkan ekonomi negara. Inilah cara untuk menghabiskan duit rakyat. Inilah taktik terbaik nak bagi kroni-kroni makan. Buka tender buat wisma wanita, kemudia award projek pada ipar duai. Bangunan harga RM5 juta bubuh price tag RM15juta. Baru duduk sebulan bumbung dah runtuh. Nanti wisma wanita akan jadi wisma hantu, tiada siapa mahu datang. Hanya gah pada hari perasmian. Tak percaya, lihatlah nanti apa yang akan jadi pada wisma wanita di Sabah itu, 10 tahun akan datang.

Siapa yang datang dalam majlis yang sama ketika manusia bebal ini berkata-kata? Najib Razak a.k.a Menteri Kewangan.

Bodoh macam keldai. (Ini untuk manusia). Sini.

Thursday, June 24, 2010

Hiatus Yang Sangat Panjang

Masa pulang bercuti ke Malaya, tempat pertama yang gua tuju ialah kubur arwah abang gua. Kerana tidak berpeluang pulang ketika dia meninggal dunia, gua ingin sangat menziarahi kuburnya. Boleh sesat jugak sebab pergi ke kawasan yang kita belum pernah sampai.

Setelah dua kali berhenti bertanyakan jalan, akhirnya gua sampai jugak di sana. Kawasan perkuburan Islam Cheras, yang ditadbir sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Berdasarkan nombor yang diberi, dan lokasi yang diterangkan oleh mak gua dan kakak ipar gua, kuburnya terletak di penghujung jalan yang berturap. Tapi gua gagal.

Setelah hampir 20 minit, dengan bantuan si penggali kubur yang menetap di dalam kawasan perkuburan itu, kubur arwah abang gua berjaya gua temui. Bukan lagi di penghujung jalan berturap, kerana hampir 10 meter jalan berturap tersebut sudah pun bertukar menjadi lot-lot kubur. Penuh dan sempit. Sangat sesak. Gua mengukur jarak antara dua kubur yang bersebelahan, tidak cukup untuk memuatkan lebar kaki Melayu gua. Ditambah dengan tabiat orang Melayu Islam yang suka berhabisan wang menghias kubur, maka setiap kubur di kawasan itu gua lihat, seakan bercantum antara satu sama lain.

Itu di Kuala Lumpur. Tanah perkuburan yang ditadbir dan diuruskan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Yang gaji pekerjanya dibayar oleh wang cukai warga. Yang gaji Pengarahnya dibayar menggunakan wang hasil titik peluh rakyat. Bukan salah pekerja dan bukan salah pengarahnya. Maaf.

Apakah sudah kehabisan tanah di Kuala Lumpur ini untuk dijadikan tanah perkuburan? Apakah sudah kehabisan tanah di Kuala Lumpur ini untuk dijadikan tempat kediaman? Lama betul gua berhenti menulis, sehingga ramai yang menghantar e mail bertanya khabar. Gua ingatkan blog buruk ini tiada pembaca, rupanya masih ada yang sudi membuang masa di sini. Khususnya kalangan mereka yang berfikiran dangkal dan bercakap tanpa menggunakan akal. Gua pasti mereka adalah orang Melayu produk United Malay National Organization. Lembap dan sangat kurang mahir berfikir.

Untuk mereka, gua ingin bertanya dua soalan tadi, apakah sudah kehabisan tanah di Kuala Lumpur itu untuk dijadikan tanah perkuburan, dan apakah sudah kehabisan tanah di Kuala Lumpur ini untuk dijadikan tempat kediaman? Kalau ada Cina yang bertanya atau menegur, nanti Ibrahim Ali akan suruh orang Melayu mengasah parang. Apabila ada orang India yang menegur atau cuba mempersoalkan, maka nanti kumpulan Melayu bebal bersongkok tinggi akan keluar berdemonstrasi menggenggam penumbuk di hadapan Istana Negara. Apabila ada orang Melayu yang menegur, mempersoalkan dan cuba untuk mengajak berfikir secara rasional, orang Melayu itu akan dituduh sebagai tidak sayangkan bangsa, nak jadi Cina, perlu dihalau tinggal di Singapura, dimaki segala keturunan dan sebagainya.

Bodoh dan bebal memang dua sifat penting kumpulan penjilat najis dalam UMNO. Dan sekarang PERKASAM. Tanpa dua sifat penting ini, lu tidak layak untuk menjadi ahli. Atau sekurangnya digelar sebagai penyokong.

Tanah kubur tadi adalah satu contoh bagaimana nasib orang Melayu, di tanahair sendiri. Rumah-rumah kediaman yang sempit dan menyesakkan, yang ditadbir dan diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, juga adalah sebahagian contoh bagaimana nasib orang Melayu di tanahair sendiri. Negara kita miskin dan tidak punyai wang untuk membina kediaman yang lebih baik untuk warganya? Negara kita kekurangan tanah untuk membina tanah perkuburan yang lebih selesa dan teratur untuk warganya?

Kasihan orang-orang Melayu bebal yang merepek memberikan komen di blog gua. Gua tidak ketawa membaca komen-komen mereka, bahkan gua sedih kerana masih ada lagi bangsa Melayu yang tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka telah selama ini diperbodohkan oleh United Malays National Organization. Dan sekarang PERKASAM. Gua sedih kerana kebanyakan mereka ini, gua sangat pasti, adalah kalangan Melayu yang rumahnya tidaklah sebesar kediaman Khir Toyo, bahkan gua juga pasti mereka ini bukanlah kalangan orang Melayu yang memiliki 2 biji Lamborghini serta 4 biji Mercedes Benz dalam garaj mereka. Gua sangat pasti, kerana golongan tersebut tidak akan membuang masa mereka memberikan komen-komen dangkal, sebaliknya mereka lebih suka melihat orang-orang Melayu marhaen, kelas bawahan, pekerja am, buruh kasar, golongan pertengahan pembayar cukai terus diperbodohkan demi kelangsungan dinasti mereka.

Dalam posting gua sebelum ini, dengan jelas gua paparkan muka Ibrahim Ali dan Mahafiraun. Ah! Betapa hinanya jari-jari gua ini kerana sanggup menaip nama Ibrahim Ali. Lu mahu mengangkat Ibrahim Ali sebagai pejuang Melayu? Lu mahu mengangkat Mahathir Mohamed sebagai pejuang Melayu? Dua manusia itu, tidak tinggal di kediaman-kediaman sempit di Kuala Lumpur. Dan apabila mati, dua manusia itu tidak dikebumikan di tanah-tanah perkuburan sempit di Kuala Lumpur. Janganlah jadi bodoh, atau masih terus mahu jadi bodoh dan diperbodohkan oleh PERKASAM dan Mahafiraun ini.

Tanah-tanah orang Melayu, yang menjadi peneroka bandar, dirampas atas nama kemajuan. Dirampas atas nama pembangunan. Di mana PERKASAM dan Ibrahim Ali? Kemudian orang-orang Melayu dihantar menetap di rumah-rumah pangsa PPRT. Kemudian bercambah masalah social. Kemudian bercambah masalah jenayah. Orang Melayu akan terus dibelenggu dengan masalah ini. Kemudian PERKASAM dan UMNO akan tiba untuk menghulurkan bantuan bermusim. Mereka akan datang menghiburkan hati untuk seketika. Membawa anak-anak muda Melayu bermotosikal mengeliling kotaraya. Hati gembira untuk sehari dua.

Kekal berkuasa dan segala masalah akan timbul semula. Ibrahim Ali dan PERKASAM akan terus hidup senang dan stabil. Mahathir Mohamed masih terus menetap di Seri Kembangan. Mat-mat rempit akan kembali ke rumah pangsa ibu dan ayah mereka. Pulang hanya untuk tidur di ruang tamu kerana kediaman yang sempit. Ada adik perempuan dan satu bilik untuk ibu dan ayah bergomol. Mat rempit keluar kerana bosan, kerana tidak selesa. Kerana kediaman yang hanya sesuai untuk dua manusia dan seorang anak menetap, tapi keluarganya ada 6. Sudah habiskah tanah-tanah di Kuala Lumpur untuk membina kediaman yang selesa? Atau negara ini tidak punyai wang untuk memberikan keselesaan buat rakyatnya?

Apakah di tapak Penjara Pudu itu nanti akan dibina rumah teres kos rendah untuk penempatan rakyat? Atau tanah itu sudah ada towkey-towkey besar yang punya? Yang kemudiannya melahirkan jutawan-jutawan segera Melayu hasil tandatangan dan surat sokongan mereka. Tidak cukup tanah untuk rumah teres kos rendah? Yang dibuat kerajaan untuk rakyatnya? Mengapa tanah-tanah hutan di Bukit Jalil boleh dimusnahkan, dijarah untuk pembinaan kediaman mewah? Mengapa tanah di Hulu Kelang boleh dijadikan kediaman-kediaman mewah tapi tidak untuk kediaman warga kelas pertengahan dan bawahan? Mengapa?

Apakah hanya orang kaya sahaja dalam Malaya ini yang perlu hidup selesa? Apakah orang kaya sahaja yang perlu mati dan dikebumikan dengan selesa? Jangan salahkan rakyat kerana Malaya bukanlah sebuah negara miskin. Jangan salahkan rakyat kerana tanah Malaya ini subur. Jangan salahkan rakyat kerana bumi Malaya ini masih luas. Sangat luas. Jangan. Tapi salahkan pemimpin-pemimpin Melayu penipu yang saban hari terus kembung poketnya, yang saban hari terus memperbodohkan orang Melayu untuk mereka kekal berkuasa. Yang saban hari terus merompak harta-harta rakyat atas nama pembangunan. Bukan sahaja di Kuala Lumpur, bahkan di Jelebu, di Kamunting, di Bakun bahkan di seluruh Malaya.

Rizab tunai Felda dalam tempoh 4 tahun telah berkurangan sebanyak hampir RM3 bilion. Siapa yang menjadi peneroka Felda? Siapa yang ada akses untuk menjaga rizab tunai Felda? Kalau dipanggil bodoh, kamu marah. Tapi memang sebenarnya kamu bodoh kerana terus ditipu. Ibrahim Ali dan Mahafiraun berada dalam majlis PERKASAM ini bukan dengan agenda penting untuk membela orang Melayu. Tolonglah faham. Ibrahim Ali tahu dalam pilihanraya akan datang, dia perlukan satu platform untuk bertanding dan kekal sebagai Ahli Parlimen. Takkan mahu bertanding di Sabah atau Sarawak. Jadi dia perlukan PERKASAM untuk menjadi satu medium yang sekurangnya akan menjadi penyambung hayat untuk 10 tahun yang akan datang. Jangan cakap Ibrahim Ali sudah kaya dia tidak perlu menjadi Ahli Parlimen lagi. Kaya dan Ahli Parlimen adalah dua benda yang berbeza. Kaya tidak cukup tanpa kuasa. Dan kaya akan susut jika tidak ditambah. Untuk menambah perlukan kuasa.

Mahafiraun pula hanya mahu memastikan dinasti dan dirinya sendiri tidak dibicarakan rakyat. Percayalah, tiada siapa yang mahu selepas matinya orang menghina. Tiada siapa yang mahu selepas matinya, segala keturunannya akan dicerca, akan dibicara. Dengan medium PERKASAM, Mahafiraun akan dilihat sebagai terus membela nasib orang Melayu, walaupun melalui air tangannya beliau sendirilah, orang Melayu mulai menderita, sedikit demi sedikit dan akhirnya tenat. Tak percaya?

Jangan tuduh Karpal Singh atau Lim Kit Siang sebagai penderhaka kepada sultan-sultan Melayu. Lihat dahulu apa yang dilakukan Mahafiraun kepada sultan-sultan Melayu. Lihat dahulu bagaimana rakusnya Mahafiraun menguasai minda orang Melayu. Terus ditakutkan dengan kemiskinan. Terus ditakutkan dengan penguasaan Cina. Terus ditakutkan dengan isu agama. Lihatlah mangkuk hayun mana yang mengubah dasar pertanian negara? Lihatlah mangkuk hayun mana yang menyebabkan orang-orang Melayu kehilangan tanah-tanah rizab mereka, atas nama Dasar Pandang ke Timur. Atas nama pembangunan kilang-kilang industry, yang kini sibuk menggaji Bangladeshi, Nepal dan Indonesia, dan bukan lagi anak-anak muda Melayu. Apa jadi kepada tanah-tanah pertanian yang sebahagian besarnya adalah milik orang Melayu?

Mengapa negara yang sangat subur ini, terpaksa mengemis untuk mengimport beras. Untuk mengimport gula. Orang Melayu bising apabila harga beras naik. Orang Melayu seperti mahu menghadap hari kiamat apabila bekalan gula berkurangan. Mengapa negara ini yang subur buminya terpaksa bergantung kepada bekalan gula dan beras dari luar? Apakah padi dan tebu tidak subur tumbuhnya di Malaya? Gua bersetuju jika gula dan beras itu diimport dari banjaran Alps atau pun padi yang hanya boleh hidup di Finland. Tapi tidak, kita hanya mengimport beras dan gula dari Thailand. Tebu dan padi boleh hidup subur di Thailand, yang hanya seberang sempadan. Yang tanah dan cuacanya sama. Kerja siapa? Mahu menjadikan siapa kaya?

Kalau perlu diimport, mengapa tidak Lembaga Pertubuhan Peladang sahaja yang menjadi pengimport beras? Biar ia diurus dan ditadbir rakyat. Mengapa tidak biarkan sahaja gula diimport oleh MARA? Biar gula diniagakan oleh MARA? Kenapa mesti diberikan kepada pengusaha gula dan pengusaha beras? Kalau 100 ribu pengusaha gula dan beras diberi lessen mengimport, bukankah ia lebih baik daripada seorang sahaja? Mahu memberikan kekayaan kepada siapa dan mahu menyusahkan siapa? Mengapa tanah-tanah pertanian ini tidak dimajukan sebaliknya pak menteri hanya megah bertopi koboi melawat sambil melancong menghantar isteri membeli belah di ladang-ladang pertanian di Australia, di Holland dan di Switzerland?

Mengapa negara yang kaya dengan hasil sumber bumi ini masih ketinggalan dalam masalah pengangkutan awam? Mengapa rakyat perlu terus bersesak dalam system pengangkutan awam yang “festy”, atau jaringan jalanraya berlubang-lubang yang tidak diselenggara? Banggakah kamu dengan Jelebu yang sejak 10 tahun yang sudah, berdepan dengan masalah pengangkutan awam? Banggakah kamu dengan perkhidmatan awam yang telah ketinggalan 10 tahun di belakang? Apakah Malaya ini tidak mampu? Jika Malaya mampu membeli kapal selam buruk dengan harga berbillion Euro, apakah Malaya tidak mampu membeli 10 biji bas untuk pengangkutan awam di Jelebu? Dan membeli tren serta memperluaskan jaringan LRT serta komuter agar lebih efisyen? Menampal dan menurap jalanraya berlubang yang menjadi penyebab kematian penunggang motorsikal? Memajukan system pendidikan negara agar semua rakyat termasuk orang Melayu, tidak lagi perlu mempersoalkan mengenai meritokrasi, kuota bumiputera ke university dan sebagainya? Takkan orang bodoh mahu diberi peluang ke university hanya semata bapanya seorang Ketua Bahagian UMNO?

Orang-orang Melayu bebal dan bodoh, terus diperbodohkan oleh Ibrahim Ali dan Mahafiraun. Terus diperbodohkan oleh PERKASAM dan UMNO. Hanya megah dengan title Melayu. Hanya megah dengan title bumiputera. Hanya megah melaungkan slogan Hidup Melayu. Ketika satu orang Melayu hidup selesa dan 10 orang Melayu hidup menderita. Ketika sepuluh orang Melayu dikebumikan di tanah-tanah wakaf sempit, dan hanya seorang pembesar Melayu yang matinya, ditanam di Bukit Kiara.

Sunday, April 18, 2010

Apa Akan Jadi Jika Gua Masuk UMNO

Dua hari lepas gua balik ke Malaya dulu, arwah abah gua sudah bawak gua pegi pejabat Ahli Parlimen Jelebu. Gua rasa orang gila aje yang tak kenal siapa Ahli Parlimen Jelebu. Bagi manusia umur boleh mengundilah, faham?

Gua pun tak tahu mana arwah abah gua dapat borang tu. Tapi yang pentingnya sebelum pegi, gua kena ambik gambar passport dulu untuk tampal di muka depan borang. Gua pun tak tahu macamana borang itu boleh wujud, tapi ia adalah borang maklumat diri untuk lepasan ijazah. Tujuannya ialah untuk menggunakan saluran Ahli Parlimen bagi mendapatkan peluang pekerjaan.

Baru dua hari balik Malaya, gua memang belum ada mood untuk gunting rambut. Jadi gua sudah boleh agak isu rambut akan menjadi usul yang dibahaskan dalam Parlimen, errr…pejabat Ahli Parlimen. Dia cakap dengan gua “apo lak ghoman eh hah dah macam pak sedagho eh si Karl Marx tu…” Karl Marx tu gua tambah untuk nampak lebih antarabangsa. Dia cakap dengan gua suruh potong rambut lepas ni. Gua angguk sambil cakap dalam hati “gua belum kerja takde duit nak pegi potong rambut”.

Gua desperate kah? Ahli Parlimen tu cakap dengan gua, masa tu Jabatan Penerangan sudah bukak secretariat baru, Jabatan Hal Ehwal Khas. Gua belum ‘into’ lagi dengan nama-nama jabatan ni, maka gua angguk sahaja lah. Dia cakap lagi dengan gua yang jabatan tu memang perlukan graduan Timur Tengah. Kira jadi “suara Islam” dalam kerajaan lah. Kena bagi ceramah dan penerangan kepada masyarakat tentang Islam dan bla bla bla. Woooo! Patut pun dia suruh gua gunting rambut. Jadi ustaz lah tu kalau tak salah gua.

Arwah abah gua sewaktu sessi memperkenalkan gua tu, dah tak intro nama gua lagi, terus aje kasitau yang anak dia sudah balik dari Jordan. Gua syak memang sudah wujud konspirasi peringkat tertinggi antara mak gua, abah gua, atuk gua dan Ahli Parlimen Jelebu itu, sebelum gua beli tiket balik ke Malaya lagi. Sebab gua tahu diorang semua memang rapat. Dan Ahli Parlimen Jelebu itu pulak, bila gua nak blah terus tepuk-tepuk bahu gua sambil cakap “nanti minggu depan datang sini lagi kita bawak kenal-kenal dengan “pemuda” pulak, boleh aktif sikit nanti senang nak jadi pelapis”. Lu tahu apa yang gua bayangkan masa tu? Seluar hitam baju putih masuk dalam lengan pendek dengan songkok. Plus kasut kulit hitam. Sambil nyanyi lagu UMNO.

Mak dan abah gua memang bertindak tepat. Mereka mahukan yang terbaik sahaja untuk anak mereka. Macam gua mahukan benda yang sama untuk anak-anak gua jugak. Cuma cara mereka berfikir mungkin berbeza. Lagi pun gua baru balik kampung dua hari. Segala fahaman komunisme, socialism, Marxism, Leninisme, punkrock, Syiah, Islam progresif, Wahabi, Ahli Sunnah, Salafi Jihadi, Osama Ben Laden dan cara-cara membaca Al Quran dengan betul, masih belum sempat dibincangkan. Gua lebih serius menikmati masakan mak gua masa tu. Apa barang socialism kalau nak compare dengan telur itik masak lemak dan ikan sembilang goreng berlada kan?

Mak dan abah gua mungkin tak tahu, Karl Marx selalu hantar e mail pada gua masa gua di Jordan dan gua mempunyai pandangan yang lebih terbuka akibat pengaruh tulisan-tulisan Karl Marx yang sampai ke otak gua masa tu. Mak dan abah gua mungkin tidak tahu itu sudah melanggar artikel 5.1 perlembagaan punkrock seDunia. Gua sudah potong jalan. Ambik jalan mudah. Tak mahu usaha lebih. Tak mahu bikin peluang sendiri. Tak mahu bersaing. Lebih teruk lagi, gua mungkin terpaksa angguk pada semua perkara. Atau lebih hina lagi, gua akan terpaksa mendaftar menjadi ahli UMNO, seminggu selepas itu. Itu adalah bencana. Disaster kata orang Jelebu. Climax kata orang Jerantut.

Cukup seminggu di kampung gua pergi ziarah Karl Marx di Kamunting. Gua singgah di KL untuk interview jadi trainee journalist. Kemudian gua cuba nasib untuk satu interview lain. Tanpa perlu tandatangan Ahli Parlimen Jelebu. Atau pun nombor keahlian UMNO. Gua dapat dan gua rasa puas. Sekurang-kurangnya gua boleh bagi duit pada mak dan abah gua. Dengan usaha sendiri tanpa bantuan orang lain. Gua tidak perlu membodek untuk mendapatkan sesuatu. Gua tidak perlu berbohong kepada sesuatu yang betul. Sekurang-kurangnya gua boleh jimat duit daripada bayar ke tukang gunting. Sekurang-kurangnya gua tidak menutup peluang orang lain, kerana jika gua berjaya disebabkan “kabel” Ahli Parlimen Jelebu, pasti ada orang lain yang lebih layak telah dinafikan peluangnya. Itu hakikat.

Kadang-kadang, hari ini gua terfikir, apa akan jadi jika gua sekadar bersetuju untuk memuaskan hati mak dan abah gua pada ketika itu? Tapi gua tidak pernah menyesal. Kerana jika gua terima, mungkin hari ini gua sedang memakai baju putih seluar hitam dan songkok, sambil menyanyi lagu UMNO di Hulu Selangor. Dan dompet tebal dengan hasil projek gerombolan. Sambil gua tengok bini Hishamuddin Hussein tidak bertudung, tapi gua takut untuk menegur bahawa itu salah kerana bimbangkan periuk nasi gua tergugat. Period.

Saturday, March 27, 2010

Gua Janji Ini Yang Terakhir


Serius. Ini memang kali terakhir gua ingin menyentuh pasal rasisme. Janji.

Dalam ayat ke-2 dan ayat ke-3 Surah As-Saff, kalau gua tidak silap. Kalau salah maaf. Allah ada berfirman yang pemahamannya lebih kurang begini:

Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan. Besar sekali benci Allah ke atas orang yang mengatakan sesuatu tetapi tidak mereka lakukan.

Lebih kurang macam tu lah. Gua yakin tak lari sangat.

Gambar di atas adalah majlis perkumpulan PERKAUMAN yang busuk. Mereka yang menganggotai perkumpulan ini juga adalah manusia-manusia busuk. Perkumpulan ini juga diterajui oleh manusia-manusia busuk. Memperjuangkan hak pribumi? F**K OFF!

Punca utama, umat Melayu di Malaya ini mundur, hancur lebur akibat rasuah, Sultan dan Raja Melayu tidak lagi berperanan dan lantas tidak lagi dihormati, bangsa Melayu hilang hak pemilikan ke atas tanah-tanah milik mereka, penjarahan berleluasa tanah-tanah milik warga pribumi yang bukan sahaja orang Melayu, bahasa Melayu dipijak dan dihina di tanahair sendiri, pemimpin politik Melayu menjadi hamba rasuah, projek, kontrak yang kemudiannya dijual kepada cukong-cukong belaan mereka sendiri, orang Melayu peneroka bandar hidup merempat dihalau keluar kerana tanah terokaan mereka dirampas atas nama pembangunan, orang Melayu pandai menubuhkan kumpulan gangster politik bernama PEKIDA, orang Melayu menjadi lemah dalam ekonomi kerana sentiasa mengharap hidangan talam emas kerajaan, orang Melayu tertipu beralih meninggalkan sektor pertanian demi kononnya mahu menjadi sebuah negara industri, orang Melayu menjadi bangga dengan KLCC tapi jambatannya pun tak pernah pergi, orang Melayu jadi bangga dengan Litar Sepang tapi sebenarnya setiap tahun rugi, orang Melayu kena tipu, kena buai, kena kelentong, suka jual projek, jadi malas dan sebagainya - semuanya adalah kerana angkara lelaki tersengih bertengkolok perasan Melayu yang berdiri di sebelah lelaki racist mencium keris yang sebenarnya punyai niat untuk berjuang demi kepentingan politik sendiri. Ikhlas? F**K OFF! Ketuanan Melayu? F**K OFF!

Jangan kena tipu dan jangan kena buai. Lelaki-lelaki yang di dalam gambar inilah contoh seperti yang diceritakan oleh Allah Taala di dalam Surah As-Saf itu. Selamat jalan rasisme, tempat kamu hanya di lubang jamban!

Friday, March 26, 2010

Entri Terakhir Tentang Rasisme

Di mana gua boleh dapatkan borang keahlian PERKASA? Sama ada masih dalam satu daerah penafian, atau pura-pura bodoh, mereka yang rasis akan menerima PERKASA sebagai satu badan yang memperjuangkan hak bangsa Melayu. PERKASA akan menjadi tunjang memperjuangkan ketuanan Melayu hingga ke titisan darah terakhir. Itu bodoh!

Sepatutnya, selepas lebih 50 tahun merdeka, negara ini tidak lagi perlukan slogan 1Malaysia. Negara ini tidak lagi perlukan kempen masyarakat harmoni dan negara ini sebenarnya sudah lama menjadi sebuah negara yang aman makmur dan kaya raya. Harmoni.

Kenapa pada tahun 2010, masih ada lagi bangsa yang sentiasa takutkan satu bangsa lain? Mengapa pada tahun 2010 masih lagi ada individu yang berfikiran bahawa hak bangsa Melayu terancam? Maka jari akan dituding ke Israel, Indonesia, Bosnia, Singapura dan juga Pulau Pinang. Oh ya, Pulau Pinang itu berada di dalam Tanah Melayu. Tapi mengapa jika kamu ke Tanjung, amat sukar untuk kamu temui bangsa Melayu? Nanti kita sambung. Bagi gua habiskan dulu dengan hak bangsa Melayu yang terancam. Ya, masih ada yang bimbang akan hak yang terancam. Hak apa? Hak untuk bersunat atau hak untuk berkahwin lebih daripada seorang melalui sindiket di sempadan Siam? Atau hak untuk mendapatkan diskaun pembelian rumah?

Itu adalah sebahagian hak untuk Bumiputera, yang turut melibatkan Orang Asli, Bajau, Kadazan, Murut, Dayak, Iban, Melanau dan sebagainya dan bukan hanya untuk orang Melayu. Faham? Sebab itu gua katakana sejak awal lagi, bangsa yang rasis ialah bangsa yang hanya mendokong perjuangan bangsanya sahaja. Kenapa kamu tidak berjuang untuk keseluruhan masyarakat Bumiputera ini? Atau sebenarnya kamu hanya memperjuangkan tempolok kaum kerabat kamu sahaja?

Gua cukup tak faham, apabila gua bukak satu cerita, masih ada yang gagal menerima dan sebaliknya terus mengalihkan perhatian kepada cerita lain. Dari Kuala Lumpur gua sudah ke Singapura dan sekarang gua terpaksa ke Pulau Pinang. Apa punya bebal.

Mengapa apabila kamu ke Tanjung, kamu dilayan seperti peminta sedekah? Mungkin muka kamu seperti seorang peragut? Atau kamu memakai t-shirt PERKASA dengan foto Ibrahim Ali? Atau mungkin di dahi kamu punyai tattoo “Saya Melayu Saya Benci Cina”?

Memang ada manusia seperti ini. Seperti juga Ibrahim Ali Katak PERKASA itu. Gua tidak nafikan. Apa sahaja yang dilihat tentang bangsa lain, semuanya buruk. Apa sahaja tindakan bangsa lain semuanya tidak betul. Apa sahaja lontaran pendapat bangsa lain semuanya ditolak. Apa sahaja yang positif daripada bangsa lain pasti akan dilihat negative. Manusia seperti inilah yang dinamakan rasis, manusia perkauman, jumud, kepala hotak beku, perasan bagus, berangan mahu jadi ahli syurga tapi dirinya penuh sifat kebencian. Inilah manusia yang hanya melihat bangsanya yang terbaik tanpa mahu belajar tentang kebaikan bangsa lain.

Kakak gua sudah berkahwin dengan orang Pulau Pinang sejak tahun 1986. Terus menetap di sana. Jadi Pulau Pinang bukanlah asing bagi gua. Memang betul, gua akui, di Tanjung khususnya majority adalah bangsa Cina, tapi sepanjang gua ke sana belum pernah lagi gua dilayan dengan sinis perkauman. Dan gua juga tahu, Tanjung sudah dikuasai Cina sejak dulu lagi. Sejak sebelum kakak gua berkahwin dengan orang sana lagi. Ya, sejak dulu lagi Malaya ini diperintah oleh orang Melayu sebagai tunjangnya. Tapi apa yang Melayu itu buat kepada bangsanya sendiri?

Malas gua menulis blog ini bukan kerana ketandusan idea, tapi sebenarnya gua sudah tidak tahu untuk menerangkan tentang maksud bangsa Melayu rasis yang gua tulis tentang pembakaran gereja itu. Akibatnya, gua terlompat-lompat dari satu negeri ke satu negeri. Melayan manusia rasis yang berfikiran sebagai ultra-Melayu, bencikan Cina khususnya dan gagal membaca dengan hati yang terbuka adalah satu pengalaman ngeri gua sepanjang menulis blog. Mencuri banyak ruang kreativiti gua untuk bercerita tentang bolasepak, tentang Jelebu, tentang Jordan, tentang Libya dan juga tentang Ibrahim Ali.

Oh ya Anon, cuba lu Google lirik-lirik lagu Rage Against The Machine, Minor Threat, Propaghandi, NOFX atau pun Aus-Rotten. Cuba terjemahkan ke bahasa PERKASA, dan cuba dalami sedikit pengajaran tentang kisah-kisah lagu tersebut. Kalau tak faham lagi cuba Google apa yang mereka perjuangkan, apa yang mereka carutkan dalam lagu-lagu itu. Kemudian bandingkan dengan lirik lagu kumpulan pop pujaan kamu, Slam contohnya.

Guten Nacht!