Showing posts with label From Libya with Love. Show all posts
Showing posts with label From Libya with Love. Show all posts

Sunday, October 23, 2011

Reminiscences of Abang Besar of Libya

Dalam surat-surat terakhirnya kepada Commandante Che Guevara, Yang Teramat Mulia Dr. Fidel Castro seringkali memujuk mengajaknya kembali ke Cuba. Ketika menulis surat-surat tersebut, Fidel menyebut tentang kestabilan Cuba yang mereka perolehi sesudah revolusi. Celia Sanchez menyentuh tentang romantisme revolusi itu sendiri, dan bagaimana pendukung revolusi itu perlu meneruskan legasi yang terbentuk bagi menjaminnya terus hidup. Namun Che Guevara ialah seorang revolusioner, yang tegas bahawa seorang revolusioner perlu berjuang, bukan sekadar mentadbir meneruskan legasi sebuah revolusi yang sudah terbentuk. Itu kerja sebahagian besarnya dimonopoli orang politik.


Pada 19 Januari 2009, ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Benghazi, Libya, imej pegun paling kukuh dalam ingatan gua adalah imej Kolonel Muammar Gaddhafi. Selain itu, lapangan terbang Benghazi, dihiasi dengan bangkai-bangkai kapal terbang, kereta kebal dan kubu-kubu tentera (bunkers) yang menyebabkan bulu roma gua sedikit meremang. Suasana Argentina ketika Ongania dan Chile ketika Pinochet sentiasa bermain dalam kepala hotak gua.


Suasana Libya, yang disurahkan kepada gua sebelum ke sana, adalah mirip Syria ketika Assad (bapa) memerintah. Tahun 1996, pertama kali ke Syria, adalah pengalaman yang sangat tidak menyeronokkan. Gambar kepala Assad (plague) yang menyerupai sisi Queen Elizabeth pada wang syiling British, wujud di setiap 360 darjah pemandangan. Perjalanan terasa bagaikan diperhati, pergerakan rasa bagaikan diekori, dan sebaik melepasi sempadan untuk ke Turki, hati rasa lega bagaikan baru lepas kena interview dengan pak mertua ketika kali pertama bertemu.


Tapi Benghazi adalah dunia yang berbeza. Warganya tidak langsung bimbang untuk mengkritik Gaddhafi. Mungkin pada mereka Gaddhafi berada 1200 kilometer nun di Tripoli, rasa bimbang tidaklah begitu hebat. Namun masih dalam berhati-hati, kerana para soldadu, mukhabarat dan polis rahsia sentiasa menjadi mata dan telinga. Beruntung, kerana gua sampai di Libya pada tahun 2009, bukannya ketika era embargo, saat ahli keluarga boleh menjadi tali barut pemerintah, saat isteri boleh menghantar suami ke penjara rahsia dengan hanya satu panggilan dan dibalas ganjaran wang, saat anak boleh menyebabkan ibu-bapa diheret polis rahsia hanya untuk merebut harta pusaka.


Libya pada 2009 sudah sangat terbuka. Pelabur luar sudah mengerumun untuk mengaut kekayaan minyak Libya. Dasar Gaddhafi juga sudah sedikit berubah. Selepas 40 tahun revolusi, Gaddhafi tahu bahawa hari-hari akhirnya semakin hampir. Saiful Islam lebih banyak memainkan peranan pentadbiran, menjadi penghubung untuk negara-negara Eropah, menjadi pemikir untuk menarik pelabur. Namun, The Leader masih lagi kuasa tunggal dan mutlak. Mana mungkin bangsa Arab diperintah oleh demokrasi, buktikan!


Pembangunan di Libya sangat pantas. Dengan rizab minyak yang paling besar di Afrika, dan kesepuluh terbesar dunia, duit bukanlah satu masalah, pada ketika warganya cuma berjumlah sekitar 6 juta orang. Rumah-rumah kediaman didirikan di segenap pelusuk negara. Dari bandar besar di Tripoli dan Benghazi, sehinggalah pekan-pekan kecil di Nalut dan Beyda, rumah-rumah kediaman dibina sebesar saiz rumah Semi-D kebanggaan rakyat Bolehland. Dan sebahagian besar rumah kediaman diberikan secara percuma. Tanpa sebarang bayaran. Bahkan pemuda yang berkahwin, yang mengikut skim bantuan kerajaan, akan menerima sebuah rumah, kereta dan wang sara hidup pada awal perkahwinan.


Pendidikan di Libya adalah percuma. Tanya sahaja kepada mereka yang belajar di Libya dan menerima biasiswa selama pengajian di sana. Mereka menerima penempatan, wang saku dan tiada bayaran yuran pengajian. Itu untuk warga luar, apatah lagi untuk anak bangsa mereka sendiri. Lihatlah bagaimana mewahnya kehidupan pelajar Libya di Kuala Lumpur yang menerima sekitar 5-7 ribu sebulan duit biasiswa kerajaan. Lihatlah bagaimana meriahnya kedutaan Libya satu ketika dahulu setiap awal bulan, ketika mereka beratur untuk mengambil habuan masing-masing.


Kebanyakan hospital di Libya adalah percuma. Ketika era embargo, para doctor dan jururawat kesemuanya didatangkan dari negara blok kiri. Bahkan sehingga ke hari ini, kebanyakan hospital kerajaan masih lagi menggaji para doctor dan jururawat luar. Bahkan hospital-hospital kebanyakannya dinamakan mengikut kerakyatan doctor dan jururawat dominan di hospital itu sendiri. Ada hospital Bulgaria, hospital Malta, hospital Rusia dan sebagainya. Lebih menarik, kerajaan mendirikan hospital-hospital pakar dan sangat sedikit hospital umum. Jika tangan patah terus sahaja ke hospital pakar tulang, untuk kanak-kanak sudah tersedia hospital pakar pediatric dan seterusnya. Dalam radius 20km di Tripoli sahaja ada dua hospital pakar tulang, bukti warga Libya memang kerap patah kaki dan tangan.


Di sebalik pembangunan yang sangat pesat, khususnya di Tripoli, Gaddhafi sentiasa mengawal perkembangan ekonomi yang diterajui oleh Saiful Islam. Gaddhafi tidak mahu Libya menjadi seperti Dubai, yang akhirnya didominasi oleh warga asing. Gaddhafi tetap mahu Libya diterajui oleh warga Libya sendiri. Syarikat asing yang melabur diwajibkan membuat JV dengan syarikat tempatan. Setiap seorang pekerja luar yang dibawa masuk, mestilah dalam tempoh lima tahun mampu mencurahkan kepakarannya kepada 5 orang warga tempatan. Urusniaga kadangkala menjadi terlalu sukar kerana pelbagai kekangan birokrasi, yang rupanya bertujuan untuk mengawal ekonomi negara. Untuk mendapatkan bayaran bagi sebuah projek, adakalanya mengambil masa sehingga setahun, sesudah mendapat kelulusan pelbagai peringkat, selepas mendapat kepastian pakar-pakar yang diupah dari luar dan mendapat lampu hijau kewangan daripada People’s Congress sendiri.


Kesemuanya kelihatan sangat socialist. Kadangkala sangat communist. Tapi siapa yang dapat menafikan bahawa di sebalik communism dan socialism itu banyak tersembunyi pelbagai keindahan, dan ada ketikanya kesedihan. Revolusi, bagi kebanyakan warga, adalah indah pada awalnya sahaja. Jubilant at the very beginning, pain in the mid, and ending with horror.
Gaddhafi terlepas pandang pada bahagian Timur, yang kebanyakan masih didokong oleh penyokong Raja Idris. Mereka geram kerana penumpuan awal pembangunan di Libya tertumpu pada Tripoli dan Sirte. Walaupun revolusi yang dipimpin pada usia 27 tahun itu tidak menumpahkan setitis darah, cengkaman dictator selama 42 tahun pemerintahannya memang menyebabkan rakyat Libya hidup dalam kebimbangan. Tapi di negara Arab mana yang kebebasannya memungkinkan rakyat untuk bersuara bebas mengkritik sang pemimpin? Lebanon yang mencuba sejak sekian lama masih lagi belum bertemu noktahnya.


Tapi lewat ini, Gaddhafi kelihatan semakin toleransi. Ketika perancangan pembangunan ekonomi negara diserahkan kepada Saiful Islam, negara Libya sememangnya melalui satu era yang menyebabkan seluruh pelabur dunia boleh meleleh air liur. China dan Turkey, adalah contoh dua negara yang menggunakan sepenuhnya hubungan baik dengan Libya bagi kepentingan para pelabur mereka. Bahkan kerajaan China dengan kuasa buruh yang dominan, telah bertindak bijak memberikan pembangunan untuk ditukar dengan minyak. Rumah-rumah yang dibina oleh kerajaan China melalui syarikat-syarikat pelaburan mereka, kadangkala gua rasa tidak masuk akal. Rakyat Libya cuma sekitar 5 juta orang, tapi kawasan perumahan baru yang dibangunkan bagai mahu menampung 15 juta penduduk.


Satu ketika, seorang Project Manager yang baru pertama kali tiba di Tripoli bertanya kepada gua, di manakah rakyat Libya yang miskin? Ini kerana dia melihat rumah-rumah besar di sepanjang jalanraya Tripoli seakan mustahil untuk mengatakan kewujudan warga yang miskin. Betul, mustahil jika tiada yang miskin. Gua bawa bersiar ke Janzour untuk melihat rumah-rumah flat tepi laut, juga anak-anak muda yang melepak tepi jalan setiap malam sambil melayan ganja, katanya ini tidak susah, kerana mereka masih tetap punyai tempat tinggal.


Itulah satu factor yang menyebabkan kita perlu rasa cemburu. Penempatan untuk warganya tidak dibina sekadar melepas batuk ditangga. Rumah flat yang paling bangsat di tepi laut di Janzour pun ada 4 bilik tidur serta dua ruang tamu. Warga Benghazi yang memaki hamun Gaddhafi itu, tinggal di rumah-rumah flat yang 4 kali lebih besar daripada flat bandaraya kebanggaan DBKL. Sejauh Darna dan Tabruq, yang mempunyai tanah yang lebih luas, rumah-rumah kediaman yang dibina adalah lebih mewah. Semi-D 4 atau 5 bilik, adalah sesuatu yang sangat biasa. Semuanya dibina konon untuk dijual tapi pada akhirnya rakyat akan memiliki tanpa perlu membuat sebarang bayaran.


Secara umum, kekayaan hasil minyak memang diagihkan dengan sebaiknya. Gaddhafi mahu memberikan semua benda kepada warganya, supaya mereka terus gembira dan diam. Penganggur yang mengangkat senjata bersorak dan berlagak ala guerrilla dalam TV yang lu orang lihat itu, membesar dengan duit subsidi negara. Lelaki berjambang dan berjanggut yang mengetuk kepala Gaddhafi itu, gua sangat yakin setiap bulan akan ke stor-stor makanan menghulurkan kad pengenalan untuk digantikan dengan tepung, gula, spaghetti, minyak dan beras. Atau paling kurang, kesemua mereka yang membenci Gaddhafi di Benghazi itu, tidak membayar bil elektriknya!


Benar, gua sendiri sudah jemu melewati pintu besar penjara Abu Slim yang menjadi igauan ngeri setiap warga Libya itu. Betul, di penjara itu jugalah 1200 orang inmates ditembak mati hanya satu malam. Betul juga, ketika pemerintahannya Gaddhafi menjadi satu ikon yang menakutkan bagi mereka yang cuba bersuara untuk menentang. Betul juga, Libya tidak pernah mengadakan pilihanraya dan tiada satu parti politik pun yang wujud ketika era Gaddhafi.


Tapi, apa perlunya igauan ke atas sebuah penjara yang punya hanya tiga bangunan dan selebihnya kawasan lapang jika lu hanya perlu biarkan Gaddhafi terus berkuasa dan rakyat menikmati semua benda secara percuma? Apa perlu lagi bimbangkan satu susuk seperti Gaddhafi pada ketika rakyat memang menikmati hasil kekayaan negara secara sama rata? Betul, Gaddhafi menzalimi rakyatnya, tetapi apakah semua mereka dizalimi? Tolong baca ini dalam konteks politik dunia Arab yang sangat unik dan bukannya pada skala politik tempatan. Demokrasi pada dunia Arab tidak akan berhasil tetapi Malaya landskap politiknya adalah berbeza dan kita bukanlah sebuah negara bangsa yang terbina dengan pelbagai kabilah seperti bangsa Arab. Jangan selepas ini ada yang mahu pulangkan paku buah keras pada gua agar menerima kezaliman dan ketidakadilan UMNO selama puluhan tahun ke atas bangsa Malaysia. Itu senario yang berlainan.


Kembali ke Libya, dan Gaddhafi yang memang tidak lari daripada sebarang kesilapan. Akibat tidak memberikan tumpuan pada kawasan rural, di bahagian Timur, di Benghazi sehingga ke Tobruk di sempadan Mesir, maka anasir asing mulai mencucuk jarum. Atas dasar yang semakin terbuka, Britain dan Peranchis juga turut melabur, tetapi tumpuan hanya diberikan di bahagian Timur. Benih yang disemai sekian lama akhirnya membuahkan hasil lewat revolusi Bou Azizi di Tunisia.


Pada satu majlis, bersama dengan rakyatnya di Al-Wahat, Gaddhafi telah ditanya tentang rumah-rumah kediaman yang telah siap dibina, atas tanah-tanah yang diambil daripada rakyat tetapi masih belum diserahkan dan belum berpenghuni. Dengan sikap bersahajanya Gaddhafi memberitahu mana-mana rumah yang sudah siap, bolehlah sesiapa pun nak masuk. Kejadian itu berlaku pada 14 Januari 2011. Dan malam itu, bukan sahaja di Al-Wahat, bahkan di seluruh pelusuk Libya, semua projek-projek perumahan telah diserbu. Kediaman yang sudah siap terus diambil. Sampai tak cukup, rumah baru nak naik "ground beam" pun sudah ada kutu pacak khemah.


Akibatnya, Libya sedikit huru hara. Semua orang mahu dapat rumah percuma. Mahu atau tidak kehendak rakyat masih terpaksa dituruti. Kerajaan terpaksa berlembut. Walaupun sebenarnya, ucapan Gaddhafi itu hanya untuk penduduk Al Wahat, tetapi seluruh Libya berpesta mengambil unit kediaman percuma. Ketika Tunisia sedang panas dengan revolusinya, Gaddhafi terpaksa sedikit sebanyak berlembut.


Dari sinilah, musuh melihat bahawa tekanan boleh digunakan. Dari sinilah mereka mencuba dan tahu bahawa mereka perlu berani melawan. Walaupun sebenarnya mereka tiada sebarang tuntutan sangat yang perlu untuk dilaungkan. Ketika rumah percuma, pendidikan percuma, kesihatan percuma, rizab minyak makan tak habis, harga minyak seliter 20 sen boleh isi sampai tumpah-tumpah, makanan murah tiada cukai import, beli kereta dengan harga murah boleh buat loan tak payah interest, musuh-musuh Gaddhafi hanya melaungkan isu hak asasi manusia sahaja, kerana itulah modal terbaik yang dimiliki oleh Peranchis dan Britain, yang ketika itu sedang berusaha mencari sumber minyak alternatif dan berdepan dengan krisis bekalan tenaga.


Dalam ucapan terakhirnya, Gaddhafi menyebut yang dia akan melawan hingga ke titisan darah yang terakhir. Dia tidak akan lari, dan dia sanggup mati di tanahairnya sendiri. Akhirnya Gaddhafi memang mengotakan janjinya. Socialist yang sejati, tidak akan berundur. Tetap teguh dengan pendiriannya, seperti Che yang menolak kesenangan di Cuba, jawatan sebagai menteri, pemimpin tertinggi parti dan komander tentera, sebaliknya mahu terus berjuang di hutan Bolivia, menjaja revolusi untuk membebaskan seluruh benua Amerika. Preferio morir de pie que vivir siempre arrodillado, lebih baik mati berdiri daripada hidup melutut!


Gaddhafi memang zalim, tetapi sezalim dan sejahat Gaddhafi adalah sebaik-baik imperialist Barat. Gua sangat pasti, rakyat Libya akan menyesali apa yang telah terjadi. Al Fatihah untuk Abang Besar, The Leader of the Revolution and the Founder of the Great Socialist People's Libyan Arab Jamahiriya.

Tuesday, July 07, 2009

Libya - Episod Satu

Kalau di Filipina, antara nama yang paling popular ialah Jesus. Ia mungkin sama dengan popularity nama Mohamad di BolehLand. Cuma Mohamad lebih meluas. Lebih global dan menjadi nama paling popular seluruh planet bumi. Period.

Dulu pun masa di Jordan gua selalu bertemu dengan nama yang pelbagai. Tapi kurang yang menjadi bahan ketawa kerana kami faham maksud nama-nama tersebut. Antara nama yang popular di Jordan ialah Abdullah, Hussein, Mahmud, Hani, Firas, Sami dan macam-macam lagi. Kalau perempuan mereka ada nama seperti Einas, Reem, Roula, Khulud, Maisoun dan ada seorang bernama Karolina. Dia seorang Muslim dan mengambil jurusan Syariah.

Di Libya, gua tak ambil peduli sangat dengan nama perempuan, kerana di pejabat ini cuma ada 4 orang sahaja pekerja wanita dan nama mereka tidaklah “rare” bagi gua. Biasa-biasa aje. Dan kerana posisi gua mendekatkan gua dengan semua nama pekerja, maka gua dapat juga berkenalan dengan nama-nama yang popular di Libya.

Bal Ghassem – di kalangan pekerja sahaja sudah ada 5 orang yang bernama Bal Ghassem, termasuk mamat gemuk yang jadik jurupandu gua sekitar 3 bulan yang pertama gua di sini dulu. Itu belum campur dengan pekerja kedai kacang pistachio, mamat jual kad prepaid dan beberapa nama Bal Ghassem lain yang gua dengar di kedai makan serta di hospital ketika menunggu untuk pemeriksaan kesihatan.

Mabrouk – kebanyakan yang bernama Mabrouk ialah mereka yang sudah berusia. Antaranya seorang Commercial Manager pemalas yang kerjanya setiap pukul 11 pagi dan 3 petang melepak kat bilik hisap syisha. Juga nama bapak kepada seorang pekerja maintenance yang boleh berbahasa Inggeris style anak gua semasa berusia 2 bulan. Mabrouk lain yang gua tahu ialah daripada kalangan pekerja yang gua sendiri tak pernah jumpa. Tapi gua syak mereka pun sudah tua.

Gaddafi – Ini benda normal lah beb di negara Arab. Di Jordan ramai yang bernama Hussein dan Abdullah. Juga Talal, sebab itu nama-nama raja. Tapi entah apahal sorang budak Arab yang suka jadik keeper masa main petang-petang di Jordan dulu ayah dia bubuh nama Saddam. Kesian budak tu, entah jadik apa lah dia sekarang. Oleh kerana Gaddafi adalah lelaki numero uno di Libya, maka gua tengok dalam namelist pekerja pun terselit ada banyak nama Gaddafi. Kesemua mereka muda-muda belaka, gua yakin sebab ayah diorang bubuh nama Gaddafi selepas revolusi, kononnya patriotic. Kecuali tuan punya projek yang kitorang buat ini. Gua yakin bapak dia ikhlas bubuh nama Gaddafi, dan kebetulan jadik orang kaya. Orang kaya berlagak pulak tu.

Faraj – Ini adalah nama paling popular di Libya. Sumpah. Faraj di sini maksudnya ialah “unfold” atau pun “to widen”. Gua rasa sudah lebih seratus orang yang gua kenal rupa tubuh mereka yang mempunyai nama sebegini. Bahkan Finance Manager juga namanya Faraj. Itu belum kira dengan salesmen, vendor, supplier crane, tukang repair aircond, penjual telefon bimbit dan sebagainya. Ia sudah seperti nama Jusoh di Terengganu dan Jantan di Melaka. Masalahnya di sini, dari kalangan warga asing yang boleh berbahasa Melayu di sini, hanya gua seorang sahaja yang tahu apakah maksudnya nama Faraj. Maka gua seringkali didatangi mereka yang curiga kenapa ada ibu bapa yang sampai hati bubuh nama anak mereka sedemikian. Dan Faraj ialah nama lelaki.

Welcome to Libya, my friends.

Saturday, July 04, 2009

Libya - Episod Pengenalan

Sebelum datang ke sini, gua sudah melayan perangai Arab lebih daripada 10 tahun. Sama ada ketika belajar atau pun ketika gua membuang masa sebagai part-time tourist guide. Mental gua memang sudah bersedia dengan perangai Arab yang lebih kurang sama, tidak kira dari negara mana atau di negara mana mereka berada.

“Bangsa Arab tidak akan bersatu walaupun sampai hari kiamat”

Itu ayat bapak sedara gua masa kitorang sedang syok berborak sambil mengutuk perangai Arab masa gua baru balik dari Jordan dulu. Dia pun ada banyak pengalaman melayan perangai Arab. Baru-baru ini ketika berbual di Google Talk dia tanya gua bagaimana tentang bangsa Arab di Libya sambil kami berterusan mengutuk Gaddafi yang tiba lewat ke satu majlis rasmi di Italy sehingga menyebabkan semua tetamu berambus. Majlis rasmi, lawatan pemimpin negara.

“Arab ni lu campak kat mana pun sama aje perangai diorang” jawab gua.

“Agak-agak lu antara Libya dengan Bangladesh mana lagi best?” dia tanya gua balik.

“Libya best sikit aje daripada Bangladesh”

“Kah! Kah! Kah!”. Kami sepakat berkongsi ketawa.

Bangsa Arab, kadangkala tu boleh buat gua macam mahu menangis pun ada.

Monday, February 16, 2009

Melihat Paras IQ Seorang Moralist

Bukanlah bermaksud kita mengiyakan atau membenarkan hubungan seks luar nikah. Tetapi kita melihat juga kepada aspek kepercayaan seseorang. Bagi seorang Muslim, kita sudah pun tahu dan tak perlulah wujud seorang “polis moral” yang cuba menonjol pipi licin pulak ketika semakin hampirnya pemilihan UMNO.

Eli memang rapat dengan UBU. Kawan-kawan UBU adalah kawan-kawan Eli, malahan seorang kawan di UBU juga telah menjadi antara orang penting yang menghantar Exco Selangor itu ke sana dan ke mari. Kerana Eli memang tidak boleh memandu. Justeru kami mengenali serba sedikit peribadi rakan-rakan kami.

Solidariti bersama seorang rakan atau kenalan bukanlah bermakna kita mengiyakan setiap perbuatan tetapi kita perlu menggunakan akal dan fikiran untuk membuat penilaian. Namun dalam politik bangsat di BolehLand, kehidupan peribadi adalah juga politik. Gua tidak nafikan ini juga adalah trend di kebanyakan negara, cuma di BolehLand ia agak unik kerana pasti turut mencedok isu moral, agama dan budaya.

Maka akan muncul juga “polis-polis moral” yang sebenarnya adalah politikus bangsat yang cuba mengambil kesempatan, khusus apabila sudah kehilangan kuasa. Bercakap tentang moral ketika air liur mereka sendiri adalah rasuah-rasuah yang terpalit, duit-duit rakyat yang disonglap serta bermacam jenis perbuatan tidak bermoral lagi. Termasuk yang dilarang agama.

Jika “polis-polis moral” ini,betul-betul memperjuangkan morality budaya Timur, jelik dengan rakaman foto-foto bogel, sama ada ia diambil secara rela atau pun tanpa kerelaan, mahu setiap pesalah moral ini dinafikan hak mereka di BolehLand, termasuk hak mengundi jika boleh maka sayugia gua meminta juga mereka turut sama bertindak ke atas individu-individu berikut;

Minah Rempit, Nana Segamat, Nurse Gombak Klinik, Nana Bukit Batok, Leftenan Nurul and Husband, Mazni Unisel, Megat Johan, Nida Ali, Remaja Kerek, Zarina Namanya, Tudung Nor Suryani, Rosmilawati HUKM, Taman Dato’ Harun The Movie, Lynn, Mangsa Pil, Kiah Poli, Intan Penang, Gelagat Budak Sekolah, Budak Sabak Bernam, Budak Jolai, Budak Ampang, Budak Cheras Baru, Anna Semencu, Awek Abang, Awek Jengka, Awek Langkawi, Awek Bernama Siti, Awek Keda Dalam Kereta, Alma, Aksi Pengantin dan macam-macam lagi.

Untuk perhatian juga, mereka itu adalah berbangsa Melayu kebanyakannya dan gambar mereka diambil dan dirakamkan secara rela. Bahkan mereka memang kelihatan sangat bergembira ketika gambar mereka dirakamkan. Mereka tidak tidur dan mereka tidak pula dipaksa. Dan yang gua sangat pasti, mereka itu anak-anak Melayu yang rasa-rasanya beragama Islam.

Eli cuma satu kes yang sangat terpencil dan lebih malang lagi Eli adalah ahli politik. Pembangkang. Bukan Islam. PKR. Parti Anwar Ibrahim. Exco Selangor. Masih muda dan belum berkahwin. Ia seperti satu bola tanggung, daripada Misbun Sidek kepada Icuk Sugiarto.

Friday, February 13, 2009

Ketika Mulai Berkenalan

Halawiyat a.k.a manisan. Cuma belum nampak kinafah.

Akhirnya gua bertemu shugof, walaupun presentation sedikit berbeza.

Restoran...semua lelaki.

Structure di tengah bulatan jalan


“In Libya, there are no rules, no one can force us to follow the rules”




“Decision in Libya made by the people and to the people”




“Gaddafi said Libya is the most democratic country, so people can do anything, anything!”




“People doesn’t follow the traffic lights, they follow their heart”




Antara kata-kata menarik yang dapat gua sematkan dalam kepala hotak gua, melalui satu malam yang panjang di Benghazi, bandaraya kedua terbesar di Libya. Bersama Bal Ghassem, yang kini menjadi antara watak penting kehidupan gua di sini.




Kacau bilau dan, memang tiada undang-undang walaupun gua nampak masih ramai polis trafik melepak di sepanjang jalan sesudah jam 12 tengah malam.




Libya, gua sudah mulai faham. Kita mulai berkenalan.

Wednesday, January 21, 2009

Dari Al Mafraq ke Al Marj

Masa mula sampai di Jordan dulu, gua terus dihantar ke Irbid,bandar kedua terbesar di dalam Jordan. Okay lah, ada banyak kedai-kedai dan bangunan yang membuktikan Irbid sebagai bandar kedua terbesar. Itu dulu, tahun 1995.

Di Jordan, penempatan untuk ke universiti, macam apply UPU kat BolehLand, keputusannya akan disiarkan di dalam suratkhabar. Jadi, suratkhabar hari Jumaat itu, nama gua pun dah tersenarai. Mafraq! Itu kawasan padang pasir. Semua orang sudah suka. Gua bakal jadik penghuni padang pasir, yang daripada cerita semua manusia masa tu lah.

Mafraq, pada tahun 1995, memang agak menakutkan gua yang masa tu baru lepas terkejut dengan lampu-lampu jalan di KL selepas SPM. Maka 2 tahun yang pertama, gua sanggup berulang sejauh hampir 60 km, tinggal di Irbid. Cuma selepas berjumpa cinta pada tahun 1997, gua tiba-tiba melihat Mafraq sudah seperti Seremban lalu gua pun berpindah. Itu cerita lain.

Mafraq, sebenarnya bukanlah teruk sangat. Serius, bukan sebab di situ ada cinta. Setelah 3 tahun di Mafraq, memang gua rasa inilah bandar kedua paling best dalam dunia. Nombor satu memang Jelebu, tiada kompromi.

Mafraq ada pekan yang yang kecil dan padat, tetapi tersusun. Lu boleh dapat semua yang lu mahu di Mafraq, kecuali McDonalds dan KFC. Tapi alternatif kepada makanan segera, memang tidak mengecewakan. Bukanlah satu masalah besar.

Sistem pengangkutan yang boleh dikatakan sistematik. Coaster dan juga teksi mudah dan sangat efisyen walaupun kondisi yang bukanlah lima bintang. Tapi Subaru Impreza dan Mercedes Benz model terbaru adalah antara line-up teksinya.

Itu Mafraq, pada tahun 1995 sehinggalah gua blah pada tahun 2001. Mafraq masih lebih kurang dalam keadaan yang sama dengan sedikit pembaharuan di sana sini. Namun ia masih lagi kekal sebagai antara bandar kegemaran gua, walaupun masih banyak kekurangan. Setidaknya belakang flat gua dulu sehari dua kali keretapi ke Damsyiq pergi dan balik akan lalu. Boleh menjadi hiburan melihat keretapi semi-automatik melalui laluan yang wujud sejak ratusan tahun.

Sekarang? Inilah puncanya gua bernostalgia. Sebelum ke sini, gua hanya meletak Mafraq di dalam minda sebagai paras membuat perbandingan kemunduran sesebuah tempat. Walaupun gua pernah melihat pekan-pekan kecil sekitar Turkey, Syria dan German, namun apa yang gua nampak sekarang memang di luar jangkaan sama sekali.

Al Marj, juga wujud di Jordan. Tempat kami berkunjung setiap tahun untuk mempamer aksi setaraf pemain terbaik FIFA 2008. Tapi Al Marj yang ada di Libya sekarang ini, yang menjadi tempat gua bernafas sekarang, adalah jawapan mungkin, untuk Mafraq 30 tahun yang lepas, Kuala Lumpur 200 tahun yang lepas, dan Mekah 2000 tahun yang lepas.

Malam tadi kali pertama gua ke Al Marj, bandarnya. Untuk mencari selipar tandas. Dalam keadaan bandar yang berdebu, ribut pasir yang agak kuat, sampah yang berterabur, gua mengambil masa hampir sejam untuk mendapatkannya.

Itu baru cerita nak beli selipar. Agak-agak kalau lu nak cari kedai nak repair cermin mata macamana agaknya? Kedai repair komputer? Menurut seorang mamat di sini, kedai repair komputer ada 5 biji, tapi 3 biji itu ialah tempat menjahanamkan komputer.

Di sini ada coverage telefon bimbit, Al Madar dan Libyana. Tapi entah apasal sampai hari ni wife gua masih tak boleh SMS ke sini. Mungkin ini boleh membahayakan beberapa maklumat rahsia kerajaan. Berbual melalui telefon sahaja yang boleh untuk keuntungan sesama pihak telco. Akibatnya gua dengar ada yang terpaksa berbelanja hampir 300 dinar sebulan untuk berhubung ke BolehLand. Itu belum cerita pasal diorang belanja beli rokok. Situ aje gua sudah menang banyak.

Petang nanti gua cerita lagi. Mamat tukang buat air depan bilik gua sudah masuk hantar cappuccino. Jadik boss apa barang minum teh o kan?