Showing posts with label Blues In Libya. Show all posts
Showing posts with label Blues In Libya. Show all posts

Sunday, October 23, 2011

Reminiscences of Abang Besar of Libya

Dalam surat-surat terakhirnya kepada Commandante Che Guevara, Yang Teramat Mulia Dr. Fidel Castro seringkali memujuk mengajaknya kembali ke Cuba. Ketika menulis surat-surat tersebut, Fidel menyebut tentang kestabilan Cuba yang mereka perolehi sesudah revolusi. Celia Sanchez menyentuh tentang romantisme revolusi itu sendiri, dan bagaimana pendukung revolusi itu perlu meneruskan legasi yang terbentuk bagi menjaminnya terus hidup. Namun Che Guevara ialah seorang revolusioner, yang tegas bahawa seorang revolusioner perlu berjuang, bukan sekadar mentadbir meneruskan legasi sebuah revolusi yang sudah terbentuk. Itu kerja sebahagian besarnya dimonopoli orang politik.


Pada 19 Januari 2009, ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Benghazi, Libya, imej pegun paling kukuh dalam ingatan gua adalah imej Kolonel Muammar Gaddhafi. Selain itu, lapangan terbang Benghazi, dihiasi dengan bangkai-bangkai kapal terbang, kereta kebal dan kubu-kubu tentera (bunkers) yang menyebabkan bulu roma gua sedikit meremang. Suasana Argentina ketika Ongania dan Chile ketika Pinochet sentiasa bermain dalam kepala hotak gua.


Suasana Libya, yang disurahkan kepada gua sebelum ke sana, adalah mirip Syria ketika Assad (bapa) memerintah. Tahun 1996, pertama kali ke Syria, adalah pengalaman yang sangat tidak menyeronokkan. Gambar kepala Assad (plague) yang menyerupai sisi Queen Elizabeth pada wang syiling British, wujud di setiap 360 darjah pemandangan. Perjalanan terasa bagaikan diperhati, pergerakan rasa bagaikan diekori, dan sebaik melepasi sempadan untuk ke Turki, hati rasa lega bagaikan baru lepas kena interview dengan pak mertua ketika kali pertama bertemu.


Tapi Benghazi adalah dunia yang berbeza. Warganya tidak langsung bimbang untuk mengkritik Gaddhafi. Mungkin pada mereka Gaddhafi berada 1200 kilometer nun di Tripoli, rasa bimbang tidaklah begitu hebat. Namun masih dalam berhati-hati, kerana para soldadu, mukhabarat dan polis rahsia sentiasa menjadi mata dan telinga. Beruntung, kerana gua sampai di Libya pada tahun 2009, bukannya ketika era embargo, saat ahli keluarga boleh menjadi tali barut pemerintah, saat isteri boleh menghantar suami ke penjara rahsia dengan hanya satu panggilan dan dibalas ganjaran wang, saat anak boleh menyebabkan ibu-bapa diheret polis rahsia hanya untuk merebut harta pusaka.


Libya pada 2009 sudah sangat terbuka. Pelabur luar sudah mengerumun untuk mengaut kekayaan minyak Libya. Dasar Gaddhafi juga sudah sedikit berubah. Selepas 40 tahun revolusi, Gaddhafi tahu bahawa hari-hari akhirnya semakin hampir. Saiful Islam lebih banyak memainkan peranan pentadbiran, menjadi penghubung untuk negara-negara Eropah, menjadi pemikir untuk menarik pelabur. Namun, The Leader masih lagi kuasa tunggal dan mutlak. Mana mungkin bangsa Arab diperintah oleh demokrasi, buktikan!


Pembangunan di Libya sangat pantas. Dengan rizab minyak yang paling besar di Afrika, dan kesepuluh terbesar dunia, duit bukanlah satu masalah, pada ketika warganya cuma berjumlah sekitar 6 juta orang. Rumah-rumah kediaman didirikan di segenap pelusuk negara. Dari bandar besar di Tripoli dan Benghazi, sehinggalah pekan-pekan kecil di Nalut dan Beyda, rumah-rumah kediaman dibina sebesar saiz rumah Semi-D kebanggaan rakyat Bolehland. Dan sebahagian besar rumah kediaman diberikan secara percuma. Tanpa sebarang bayaran. Bahkan pemuda yang berkahwin, yang mengikut skim bantuan kerajaan, akan menerima sebuah rumah, kereta dan wang sara hidup pada awal perkahwinan.


Pendidikan di Libya adalah percuma. Tanya sahaja kepada mereka yang belajar di Libya dan menerima biasiswa selama pengajian di sana. Mereka menerima penempatan, wang saku dan tiada bayaran yuran pengajian. Itu untuk warga luar, apatah lagi untuk anak bangsa mereka sendiri. Lihatlah bagaimana mewahnya kehidupan pelajar Libya di Kuala Lumpur yang menerima sekitar 5-7 ribu sebulan duit biasiswa kerajaan. Lihatlah bagaimana meriahnya kedutaan Libya satu ketika dahulu setiap awal bulan, ketika mereka beratur untuk mengambil habuan masing-masing.


Kebanyakan hospital di Libya adalah percuma. Ketika era embargo, para doctor dan jururawat kesemuanya didatangkan dari negara blok kiri. Bahkan sehingga ke hari ini, kebanyakan hospital kerajaan masih lagi menggaji para doctor dan jururawat luar. Bahkan hospital-hospital kebanyakannya dinamakan mengikut kerakyatan doctor dan jururawat dominan di hospital itu sendiri. Ada hospital Bulgaria, hospital Malta, hospital Rusia dan sebagainya. Lebih menarik, kerajaan mendirikan hospital-hospital pakar dan sangat sedikit hospital umum. Jika tangan patah terus sahaja ke hospital pakar tulang, untuk kanak-kanak sudah tersedia hospital pakar pediatric dan seterusnya. Dalam radius 20km di Tripoli sahaja ada dua hospital pakar tulang, bukti warga Libya memang kerap patah kaki dan tangan.


Di sebalik pembangunan yang sangat pesat, khususnya di Tripoli, Gaddhafi sentiasa mengawal perkembangan ekonomi yang diterajui oleh Saiful Islam. Gaddhafi tidak mahu Libya menjadi seperti Dubai, yang akhirnya didominasi oleh warga asing. Gaddhafi tetap mahu Libya diterajui oleh warga Libya sendiri. Syarikat asing yang melabur diwajibkan membuat JV dengan syarikat tempatan. Setiap seorang pekerja luar yang dibawa masuk, mestilah dalam tempoh lima tahun mampu mencurahkan kepakarannya kepada 5 orang warga tempatan. Urusniaga kadangkala menjadi terlalu sukar kerana pelbagai kekangan birokrasi, yang rupanya bertujuan untuk mengawal ekonomi negara. Untuk mendapatkan bayaran bagi sebuah projek, adakalanya mengambil masa sehingga setahun, sesudah mendapat kelulusan pelbagai peringkat, selepas mendapat kepastian pakar-pakar yang diupah dari luar dan mendapat lampu hijau kewangan daripada People’s Congress sendiri.


Kesemuanya kelihatan sangat socialist. Kadangkala sangat communist. Tapi siapa yang dapat menafikan bahawa di sebalik communism dan socialism itu banyak tersembunyi pelbagai keindahan, dan ada ketikanya kesedihan. Revolusi, bagi kebanyakan warga, adalah indah pada awalnya sahaja. Jubilant at the very beginning, pain in the mid, and ending with horror.
Gaddhafi terlepas pandang pada bahagian Timur, yang kebanyakan masih didokong oleh penyokong Raja Idris. Mereka geram kerana penumpuan awal pembangunan di Libya tertumpu pada Tripoli dan Sirte. Walaupun revolusi yang dipimpin pada usia 27 tahun itu tidak menumpahkan setitis darah, cengkaman dictator selama 42 tahun pemerintahannya memang menyebabkan rakyat Libya hidup dalam kebimbangan. Tapi di negara Arab mana yang kebebasannya memungkinkan rakyat untuk bersuara bebas mengkritik sang pemimpin? Lebanon yang mencuba sejak sekian lama masih lagi belum bertemu noktahnya.


Tapi lewat ini, Gaddhafi kelihatan semakin toleransi. Ketika perancangan pembangunan ekonomi negara diserahkan kepada Saiful Islam, negara Libya sememangnya melalui satu era yang menyebabkan seluruh pelabur dunia boleh meleleh air liur. China dan Turkey, adalah contoh dua negara yang menggunakan sepenuhnya hubungan baik dengan Libya bagi kepentingan para pelabur mereka. Bahkan kerajaan China dengan kuasa buruh yang dominan, telah bertindak bijak memberikan pembangunan untuk ditukar dengan minyak. Rumah-rumah yang dibina oleh kerajaan China melalui syarikat-syarikat pelaburan mereka, kadangkala gua rasa tidak masuk akal. Rakyat Libya cuma sekitar 5 juta orang, tapi kawasan perumahan baru yang dibangunkan bagai mahu menampung 15 juta penduduk.


Satu ketika, seorang Project Manager yang baru pertama kali tiba di Tripoli bertanya kepada gua, di manakah rakyat Libya yang miskin? Ini kerana dia melihat rumah-rumah besar di sepanjang jalanraya Tripoli seakan mustahil untuk mengatakan kewujudan warga yang miskin. Betul, mustahil jika tiada yang miskin. Gua bawa bersiar ke Janzour untuk melihat rumah-rumah flat tepi laut, juga anak-anak muda yang melepak tepi jalan setiap malam sambil melayan ganja, katanya ini tidak susah, kerana mereka masih tetap punyai tempat tinggal.


Itulah satu factor yang menyebabkan kita perlu rasa cemburu. Penempatan untuk warganya tidak dibina sekadar melepas batuk ditangga. Rumah flat yang paling bangsat di tepi laut di Janzour pun ada 4 bilik tidur serta dua ruang tamu. Warga Benghazi yang memaki hamun Gaddhafi itu, tinggal di rumah-rumah flat yang 4 kali lebih besar daripada flat bandaraya kebanggaan DBKL. Sejauh Darna dan Tabruq, yang mempunyai tanah yang lebih luas, rumah-rumah kediaman yang dibina adalah lebih mewah. Semi-D 4 atau 5 bilik, adalah sesuatu yang sangat biasa. Semuanya dibina konon untuk dijual tapi pada akhirnya rakyat akan memiliki tanpa perlu membuat sebarang bayaran.


Secara umum, kekayaan hasil minyak memang diagihkan dengan sebaiknya. Gaddhafi mahu memberikan semua benda kepada warganya, supaya mereka terus gembira dan diam. Penganggur yang mengangkat senjata bersorak dan berlagak ala guerrilla dalam TV yang lu orang lihat itu, membesar dengan duit subsidi negara. Lelaki berjambang dan berjanggut yang mengetuk kepala Gaddhafi itu, gua sangat yakin setiap bulan akan ke stor-stor makanan menghulurkan kad pengenalan untuk digantikan dengan tepung, gula, spaghetti, minyak dan beras. Atau paling kurang, kesemua mereka yang membenci Gaddhafi di Benghazi itu, tidak membayar bil elektriknya!


Benar, gua sendiri sudah jemu melewati pintu besar penjara Abu Slim yang menjadi igauan ngeri setiap warga Libya itu. Betul, di penjara itu jugalah 1200 orang inmates ditembak mati hanya satu malam. Betul juga, ketika pemerintahannya Gaddhafi menjadi satu ikon yang menakutkan bagi mereka yang cuba bersuara untuk menentang. Betul juga, Libya tidak pernah mengadakan pilihanraya dan tiada satu parti politik pun yang wujud ketika era Gaddhafi.


Tapi, apa perlunya igauan ke atas sebuah penjara yang punya hanya tiga bangunan dan selebihnya kawasan lapang jika lu hanya perlu biarkan Gaddhafi terus berkuasa dan rakyat menikmati semua benda secara percuma? Apa perlu lagi bimbangkan satu susuk seperti Gaddhafi pada ketika rakyat memang menikmati hasil kekayaan negara secara sama rata? Betul, Gaddhafi menzalimi rakyatnya, tetapi apakah semua mereka dizalimi? Tolong baca ini dalam konteks politik dunia Arab yang sangat unik dan bukannya pada skala politik tempatan. Demokrasi pada dunia Arab tidak akan berhasil tetapi Malaya landskap politiknya adalah berbeza dan kita bukanlah sebuah negara bangsa yang terbina dengan pelbagai kabilah seperti bangsa Arab. Jangan selepas ini ada yang mahu pulangkan paku buah keras pada gua agar menerima kezaliman dan ketidakadilan UMNO selama puluhan tahun ke atas bangsa Malaysia. Itu senario yang berlainan.


Kembali ke Libya, dan Gaddhafi yang memang tidak lari daripada sebarang kesilapan. Akibat tidak memberikan tumpuan pada kawasan rural, di bahagian Timur, di Benghazi sehingga ke Tobruk di sempadan Mesir, maka anasir asing mulai mencucuk jarum. Atas dasar yang semakin terbuka, Britain dan Peranchis juga turut melabur, tetapi tumpuan hanya diberikan di bahagian Timur. Benih yang disemai sekian lama akhirnya membuahkan hasil lewat revolusi Bou Azizi di Tunisia.


Pada satu majlis, bersama dengan rakyatnya di Al-Wahat, Gaddhafi telah ditanya tentang rumah-rumah kediaman yang telah siap dibina, atas tanah-tanah yang diambil daripada rakyat tetapi masih belum diserahkan dan belum berpenghuni. Dengan sikap bersahajanya Gaddhafi memberitahu mana-mana rumah yang sudah siap, bolehlah sesiapa pun nak masuk. Kejadian itu berlaku pada 14 Januari 2011. Dan malam itu, bukan sahaja di Al-Wahat, bahkan di seluruh pelusuk Libya, semua projek-projek perumahan telah diserbu. Kediaman yang sudah siap terus diambil. Sampai tak cukup, rumah baru nak naik "ground beam" pun sudah ada kutu pacak khemah.


Akibatnya, Libya sedikit huru hara. Semua orang mahu dapat rumah percuma. Mahu atau tidak kehendak rakyat masih terpaksa dituruti. Kerajaan terpaksa berlembut. Walaupun sebenarnya, ucapan Gaddhafi itu hanya untuk penduduk Al Wahat, tetapi seluruh Libya berpesta mengambil unit kediaman percuma. Ketika Tunisia sedang panas dengan revolusinya, Gaddhafi terpaksa sedikit sebanyak berlembut.


Dari sinilah, musuh melihat bahawa tekanan boleh digunakan. Dari sinilah mereka mencuba dan tahu bahawa mereka perlu berani melawan. Walaupun sebenarnya mereka tiada sebarang tuntutan sangat yang perlu untuk dilaungkan. Ketika rumah percuma, pendidikan percuma, kesihatan percuma, rizab minyak makan tak habis, harga minyak seliter 20 sen boleh isi sampai tumpah-tumpah, makanan murah tiada cukai import, beli kereta dengan harga murah boleh buat loan tak payah interest, musuh-musuh Gaddhafi hanya melaungkan isu hak asasi manusia sahaja, kerana itulah modal terbaik yang dimiliki oleh Peranchis dan Britain, yang ketika itu sedang berusaha mencari sumber minyak alternatif dan berdepan dengan krisis bekalan tenaga.


Dalam ucapan terakhirnya, Gaddhafi menyebut yang dia akan melawan hingga ke titisan darah yang terakhir. Dia tidak akan lari, dan dia sanggup mati di tanahairnya sendiri. Akhirnya Gaddhafi memang mengotakan janjinya. Socialist yang sejati, tidak akan berundur. Tetap teguh dengan pendiriannya, seperti Che yang menolak kesenangan di Cuba, jawatan sebagai menteri, pemimpin tertinggi parti dan komander tentera, sebaliknya mahu terus berjuang di hutan Bolivia, menjaja revolusi untuk membebaskan seluruh benua Amerika. Preferio morir de pie que vivir siempre arrodillado, lebih baik mati berdiri daripada hidup melutut!


Gaddhafi memang zalim, tetapi sezalim dan sejahat Gaddhafi adalah sebaik-baik imperialist Barat. Gua sangat pasti, rakyat Libya akan menyesali apa yang telah terjadi. Al Fatihah untuk Abang Besar, The Leader of the Revolution and the Founder of the Great Socialist People's Libyan Arab Jamahiriya.

Thursday, May 14, 2009

Mat Jang di Mahkamah Majistret

Ketika membuat hujah penutup, peguambela kepada Mat Jang, yang juga bertindak selaku jurubahasa sekaligus adalah diri gua sendiri dengan penuh bergaya memberitahu;

“Kita orang sekarang bukan mahu menyembah lu nak mintak suruh si Usamah nie tarik balik report. Gua peduli hapa sapa Usamah nie. Sekarang cuma gua nak tahu adakah dia bersedia nak tarik balik report polis atau tidak. Jika tidak, gua akan bawak Mat Jang pegi balai polis untuk buat report jugak”

“Lepas buat report gua mesti kena call kedutaan di Tripoli untuk hantar diorang punya pegawai ke sini dan kena follow-up pulak dengan langkah seterusnya. Kementerian Luar kena diberitahu dan kedutaan Libya di Kuala Lumpur juga perlu menjadi perantara”

“Lu pun kena ingat, tujuan tidak membuat report polis pada hari kejadian bukan kerana takut bersalah. Cuma kita orang tak tahu nak pergi balai polis mana. Lagi pun Mat Jang cuma luka sedikit pada jari dan diberi rawatan oleh Safety Officer yang kebetulan menyaksikan babak-babak penting kejadian. Jika kami ke hospital, sudah pasti hospital akan merujuk pula ke balai polis dan kami tahu kes ini akan berpanjangan. Tapi worst come to worst (apa cakap Melayunya ini?) kami sudah bersedia dengan segala bukti dan saksi. Kami ada lebih sepuluh orang saksi kepada 96% kejadian dan kami ada 3 orang saksi yang menyaksikan kejadian daripada awal sampai penutupnya”

Memang ada gaya Karpal Singh dah gua berhujah masa tu.

Dan kerana mendengar perkataan “safarah” yang bermaksud kedutaan, juga perkataan “wizarah khorijiyah” yang maknanya kementerian luar, mamat Arab yang poyo ini secara perlahan tarik kertas dan terus tandatangan. Mahu berdamai dan menarik semula laporan polis.

Gua yakin dia sudah tahu yang dia akan kantoi. Laporannya berbeza sama sekali dengan pengakuan puluhan saksi. Dan dia hanya mampu mengemukakan seorang saksi, yang datang pada minit-minit terakhir perlawanan dan ada dua rekod displin.

Penutupnya, Mat Jang dan Usamah cuma diberi amaran dan terpaksa menandatangani surat perjanjian berkelakuan baik, akibat kes pergaduhan yang berpunca akibat berebutkan gula untuk membuat teh “o” – sahaja.

Sunday, May 10, 2009

Mat Jang a.k.a Yusri bin Mat Ghazali

Mat Jang a.k.a Yusri bin Mat Ghazali, adalah seorang kutu kelahiran Terengganu yang bekerja sebagai operator crane. Dia juga adalah makhluk yang tidur bersebelahan dengan katil gua. Maknanya dia tinggal sebilik dengan gua.

Mat Jang ada tunang. Tunang Mat Jang selalu SMS Mat Jang sekitar jam 1-2 pagi. Sama ada tunang Mat Jang paham atau tidak tentang perbezaan waktu, gua belum sempat tanya lagi tapi gua syak dia selalu SMS Mat Jang ketika dia mahu keluar bekerja. Sebab ketika Mat Jang menerima SMS, waktu Bolehland ialah sekitar jam 7-8 pagi.

Oleh kerana itu lah, bunyi SMS telefon Mat Jang seringkali mengganggu tidur gua. Tidur Encik Lim dan juga Encik Sopi. Kami sudah sepakat suatu hari nanti, apabila Mat Jang berkahwin, kami ingin menghadiahkan isteri Mat Jang, jadual pertukaran waktu di seluruh dunia. Juga memperdengarkan semula bunyi SMS Mat Jang yang boleh tahan panjangnya itu ketika mereka bersanding.

Pagi tadi, gua sedikit terlewat. Ketika mahu keluar dari tandas gua sudah dengar ada orang bising-bising. Masa lalu depan kantin gua tengok ada mamat Arab sedang pegang mukanya yang berdarah. Pelik jugak. Setahu gua satellite dalam kantin cuma tunjuk Wrestlamania dalam TV aje. Takkan diorang tak kasitau gua ada wrestling live in action kat kantin.

Mamat Arab yang kononnya supervisor itu, blah dengan seorang member dia. Lalu depan gua dengan muka yang sudah lebam dan penuh darah. Gua syak mesti mamat nie sudah kena hentam dengan orang Malaysia. Dah tentu itu kantin Malaysian, apasal plak yang lu sibuk-sibuk?

Bila gua sampai opis, Mat Jang sedang dirawat di bilik gua. Tangannya luka terpaksa dibalut. Muka Mat Jang pun macam ada kesan penumbuk. Menurut para penonton, Mat Jang kena dua dan mamat Arab tu kena empat. Lima jika campur dengan hentakan gelas tembikar berharga sedinar, milik Mat Jang ke mukanya.

Hari ini Mat Jang betul-betul menyusahkan gua. Selain bunyi SMS dan jadual pertukaran jam seluruh dunia, gua juga ingin menghadiahkan isteri Mat Jang nanti segala salinan report yang gua tulis termasuk butiran agenda siasatan dalaman kepadanya. Gua nak suruh dia frame kan, walaupun dia takkan paham sepatah haram.

Sunday, February 08, 2009

Undangan Bukan Untuk Semua

Cuba kau tanya makhluk Tuhan itu kembangkah hidung-hidung pesek mereka?
Cuba kau tanya makhluk Tuhan itu besarkah kini punggung-punggung legam mereka?
Cuba kau tanya makhluk Tuhan itu bidangkah kini dada-dada tipis mereka?
Cuba kau tanya makhluk Tuhan itu berkepakkah kini tubuh badan mereka?
Cuba kau tanya makhluk Tuhan itu panjangkah kini lidah-lidah kontot mereka?
Aduhai dulu tika ayam sabungku berkokok mengajak umat berbondong bangun daripada lenanya kau herdik dan kau hina.
Kami sudah punyai jam loceng
Kami sudah ada telefon bimbit yang menjadi penggera.
Kami sudah pun berkuasa.
Aduhai dulu ketika mereka mengacah dengan taji yang tumpul dan kuku yang sebenarnya patah kau meloncat dan menendang.
Kau melonjak dan kau terbang.
Kau berlindung dan kau diam.
Aduhai dulu ketika kau terhimpit tersepit habis banjir satu Malaya dengan air ludah mu dengan hina nista mu dengan caci cerca mu dengan segala macam berak najis binatang maruah kera monyet dan sedikit kemulian kononnya kau sebutkan.
Kau hamburkan.
Kau persembahkan.
Kau pertontonkan.
Kau paksa kami baca kami dengar kami lihat dan kami semat
Dalam jiwa kami yang sudah bosan sudah benci sudah mual sudah hilang nafsu dan sudah tidak lagi berdaya bersenggama dengan bobrokan dan penipuan itu.
Segala wayang itu.
Segalanya tipu. Segalanya palsu. Konon segala-galanya adalah Melayu.
Tapi apabila kau bersantap enak dengan kahak itu pada hari lahirku,
Mengapa tiada suara yang mengundangku?

Wednesday, February 04, 2009

Macam Cerita Ekonomi Daripada Seorang Yang Bukan Pakar Ekonomi

Setiap pagi, apabila mengambil sarapan di cafeteria, gua akan lepak tempat duduk paling depan sekali. Satu meter setengah dari televisyen. Rabun jauh adalah satu salah satu puncanya, tetapi gua sudah terbiasa dengan berita dan masih belum mampu mengikis sifat orang berita yang suka menonton berita. Kononnya lah.

Setiap pagi biasanya sudah ada makhluk yang akan pilih BBC atau pun CNN. Kadang-kadang aje ada kutu yang bangun awal dan datang sarapan awal, terus tekan MTV. Alasannya mahu menyegarkan telinga dengan music pada pagi hari sambil menyegarkan mata dengan video klip Lady Gaga. Itu cerita lain.

Sudah hampir seminggu ini, CNN khususnya membuat liputan tentang situasi ekonomi di Amerika Syarikat. Dalam tempoh seminggu ini juga, mengikut perhitungan tanpa kalkulator gua, sudah lebih daripada 10 buah syarikat gergasi yang bakal melingkup. Terbaru hari ini ialah Chrysler. Manakala General Motors pula melaporkan jualan keretanya melingkup 49% untuk bulan January lepas berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Tapi tetap tegas masih mampu bertahan.

Ada banyak lagi company yang dalam tempoh seminggu ini, mungkin melingkup, bakal melingkup, ada potensi melingkup dan sudah pasti melingkup. Mereka bukanlah Syarikat Ah Hing Pembekal Makanan Ayam atau pun Encik Maarof AJK Umno Lembah Pantai Kontraktor Binaan Berdaftar Kelas A Modal RM1.5 juta, tetapi kalangan mereka pernah tersenarai dan masih tersenarai dalam Fortune 500. Dunia dan bukannya Asia.

Dua hari lepas, Encik Rambo yang bukan kontraktor binaan mahupun ahli AJK Umno Taman Equine telah memberitahu gua keperitan ekonomi di tempat kerjanya. Potongan gaji 10% bakal dilaksanakan. Member di Astro pula bagitahu, KRA tahun ini sudah wajibkan 10% dalam setiap department akan merasa Below Expectation. Sekaligus membawa maksud tiada performance bonus, tiada increment dan kemungkinan diberikan probation period selama 6 bulan sebelum encik-encik dan puan-puan bos bersidang menimbang untuk mengekalkan atau ditendang.

Dalam masa yang sama pula akhbar BolehLand menyebut Sime Darby menafikan mereka rugi sebanyak RM800 juta bagi projek di Qatar. Mungkin bukan RM800 juta tetapi RM500 juta atau pun RM499 juta. Ia tetap duit dan ia tetap kerugian. CIMB pula menafikan akan membuang para pekerja ketika mengharung suasana ekonomi yang tidak menentu tetapi mereka tidak pula menafikan beberapa optional lain untuk mereka terus bertahan seperti mengikut langkah syarikat Encik Rambo, mengikut langkah Astro atau pun mungkin menawarkan skim penamatan perkhidmatan sukarela. Mereka tetap tidak memberhentikan pekerja apatah lagi membuangnya.

Dan jika berpandukan nasihat mentor gua pulak, apabila suratkhabar BolehLand melaporkan tidak bermakna sebaliknya. Jika akhbar melaporkan tidak ada maksudnya ialah ada. Jika akhbar mengatakan tidak rugi, maksudnya di situ ialah rugi. Itu juga terpulang kepada pendirian si pembaca sendiri.

Cuma apa yang bukan pakar ekonomi mahu ulas di sini ialah, dunia sememangnya berada di ambang krisis. Dunia, termasuk Amerika Syarikat, teraju ekonomi yang baru sahaja berangan mendapat seorang Messiah telah juga turut terkesan. Konglomengrat di Amerika yang pendapatannya hampir sama dengan 10 buah negara Afrika juga turut terkesan. Mereka mengaku dan mereka juga bersedia.

Tapi apabila bukan pakar ekonomi ini melihat kepada teraju-teraju politik BolehLand ketika ini, mereka nampaknya lebih sibuk membincangkan berapa puluh juta si polan ini dapat jika menyertai United Malays National Organization atau pun jawatan apa si polan itu terima jika keluar dari United Malays National Organization.

Gua hanya dapat C4 sahaja ketika mengambil pelajaran Ekonomi Asas dulu tapi rasanya jika gua menjadi seorang ahli politik sekarang, tidak susah sangat untuk gua berfikir yang ekonomi perlu diselamatkan dulu bagi memastikan kemenangan berkekalan politik rakyat. Oh mungkin sebab gua bukan ahli politik agaknya.

Thursday, January 29, 2009

Mencari Seorang Manusia

Manusia sebenarnya masih lagi jauh daripada sifat kemanusiaan. Manusia sebenarnya masih lagi ketinggalan untuk sekurangnya mempunyai nilai-nilai murni satu susuk yang boleh bergerak bertutur dan yang lebih penting boleh berfikir. Tembok pemisah antara manusia dan haiwan.

Apabila melihat sekeliling, anda boleh menyaksikan kebenaran situasi ini. Sikap sombong dan bongkak, paras rupa, agama dan yang lebih utama, kekayaan dan pangkat menyebabkan semua ini berlaku.

Pelarian Rohingya, susuk-susuk kurus bertubuh gelap itu, hari ini menjadi tajuk utama berita dunia. Mereka pelarian, betul. Mereka itu seperti tidak mempunyai negara, betul. Mereka itu menjadi mangsa penindasan, betul. Mereka itu dalam kesusahan, betul. Dan mereka juga adalah manusia, satu yang tidak boleh dinafikan.

Setiap manusia itu, pasti sekurang-kurangnya mempunyai keluarga. Ada yang mempunyai ibu dan ayah, anak dan isteri, sanak saudara atau jika mereka sendirian pasti juga mereka mempunyai kawan. Jangan dinafikan.

Apa yang berlaku ke atas pelarian Rohingya pada hari ini memang melambangkan betapa manusia semakin kehilangan sifat kasih sayang sesama insan. Sudah tidak lagi punyai belas simpati kepada kesusahan orang lain. Sudah tidak lagi mahu mencuba membayangkan duduk tubuh sendiri pada lokasi kesusahan orang lain. Bukan mencuba kesusahan tetapi cuma berimaginasi. Tidak.

Mereka dipukul, mereka tidak diberi makanan bahkan selipar untuk mengalas kaki juga tidak mampu disediakan. Bukti manusia yang melihat susuk mereka dengan batasan paras rupa, batasan agama dan kekayaan.

Sebenarnya, kita tidak perlu ke Thailand untuk melihat kekejaman manusia ke atas manusia. Kita tidak perlu ke Guantanamo itu mengejek penindasan ke atas hak asasi seorang manusia. Kita tidak perlu ke Gaza untuk mencari bukti bagaimana agama boleh menjadi sempadan kesombongan manusia.

Semuanya wujud di depan mata sendiri. Semuanya terhidang di dalam ‘rumah’ kita sendiri. Semuanya tersedia di mana sahaja kita berada. Bagaimana untuk melihat, ia adalah bergantung kepada kebijaksanaan kita. Dan sifat kemanusiaan kita sendiri.