Showing posts with label Bukit Internasional. Show all posts
Showing posts with label Bukit Internasional. Show all posts

Thursday, December 18, 2008

Resepi Untuk Menjadi Seorang Tukang Cerita

Warga BolehLand memang tukang karut yang paling unggul. Mungkin kerana menerima Islam melalui bangsa Arab yang terkenal dengan Hikayat Seribu Satu Malam nya, maka tempias itu berlarutan untuk bangsa Melayu khusus. Muncul kisah Pak Pandir, Mat Jenin, Pak Kaduk, Sang Kancil dan macam-macam jenis binatang lain.

Paling menarik yang gua perhatikan, setiap kali berlaku bencana alam atau pun kejadian yang meragut nyawa, maka pelbagai jenis karutan yang sangat kabur hujung pangkalnya akan muncul mewarnai suasana.

Sebagai contoh mesti lu masih ingat tentang kejadian Taufan Greg yang berlaku di Sabah dulu. Mungkin ada benarnya beberapa cerita yang tersebar itu, tetapi kerana memang pakar mengarut, kita menambah dengan pelbagai unsur-unsur lain. Mistik dan seks adalah rencah yang paling berkesan. Lewat ini, akibat ketidaktentuan ekonomi serta sifat bangsa Melayu yang terkenal sebagai bangsa yang paling ingin hidup mewah sambil goyang kaki, maka wang juga telah menjadi satu rencah yang berkesan.

Oleh kerana itu, kita boleh menjangkakan beberapa karutan akan muncul selepas kejadian tanah runtuh di bukit orang-orang kaya dua minggu lepas yang asalnya sikit sahaja tetapi ditambah beberapa rencah untuk menyedapkan lagi cerita.

1 - Kejadian menemui wang; ia akan melibatkan jumlah yang banyak. Takkan jumpa RM50 pun nak jadik modal borak kat surau kan?. Ini jenis yang kisah jumpa wang dua atau tiga beg. Ada dua versi, yang pertama jadik kaya terus sebab bawak balik rumah dan tak cerita kat orang lain. Yang kedua pulak, sangat amanah dan pulangkan pada tuannya dan dapat reward beratus-ratus ribu. Biasanya begini ” kawan gua tu cakap, ada Ustaz tu pegi baca yassin kat sana, bomba tu cerita kawan dia jumpa duit dua karung. Terus hantar surat berhenti bomba tu”

2 - Kejadian menjual barang-barang murah; kadangkala ia melibatkan juga harta benda lain seperti kereta dan mesin jahit Singer model paling baru, yang khabarnya pembantu rumah warga Indonesia tu baru bukak dari kotak. Ini memang ayat mamat cornman a.k.a broker haram yang mahu menyedapkan cerita sambil kaut untung. Ayatnya berbunyi begini ”Eh! Kalau kau betul-betul nak V6 murah memang ada sebab kawan abang aku yang keje MPAJ tu dia dapat 3 biji kereta ada Datuk tu suruh jual. Kereta dah abis bayar pun, ko beli murah lepas tu keluar duit lah repair. Anak Datuk tu pun ada bukak bengkel, hantar kat dia aje nanti. Dua biji lagi tu BMW, tapi bos MPAJ dah booked dulu dia cakap”

3 - Cerita-cerita mistik; ini part antara yang sedap juga bagi tukang-tukang karut. Dan biasanya yang nama kena petik ialah para agamawan atau pun boleh juga melibatkan para anggota bomba, RELA, Polis dan sebagainya. Ada cerita yang lebih kurang begini bunyinya ” Diorang sekarang tengah nak panggil Ustaz Harun Din (watak paling famous kalau orang nak buat bab cerita mistik daripada kisah bawak hantu satu bus sampai lah ke beberapa siri mistik tahap international) sebab tiap-tiap tengah malam ada aje bunyi suara orang menangis kat situ. Cari-cari tak jumpa pun. Itu yang mula-mula jadi kompius dengan maid Sri Lanka tu.

4 - Cerita-cerita berkaitan seks; ini adalah rencah paling dinantikan ramai orang. Cuma dalam kes bukit orang-orang kaya ni gua tak dengar lagi. Mungkin jumlah kematian yang sikit jadi tukang-tukang karut takde modal sangat. Cuma kalau di Highland Towers dulu cerita-cerita nie datang sampai lebih daripada 4 versi, contohnya ; ”Lu tahu, kawan abang ipar gua yang jadik pasukan penyelamat tu cakap, diorang jumpa 7 orang dalam satu ruang tamu, semua bogel beb, macam sedang buat parti aje”

Atau pun; Kawan opis abang aku tu cakap, bapak sedara dia punya kawan kata kat situ memang diorang selalu buat benda tak senonoh. Rumah ada guard, nak buat apa pun tak kisah bukan orang tahu. Anak-anak diorang buat pool party tiap-tiap minggu. Tu lah pasal”

Oh ya! Ada satu lagi kisah seorang wartawan yang pegi jenguk buat laporan pasal tempat tu jadik port penagih. Dia jumpa budak kecik kat tower yang tinggal, dia tanya mana rumah adik ni, budak tu jawap ”tu hah yang dah runtuh tu”

5 - Tambahan kisah-kisah lain ialah, gua kenal orang yang rumah dia runtuh, atau pun gua pernah pergi pejabat Datuk tu dulu, memang sombong tu.

Agak ekstrem sikit ialah ” kawan abang gua yang keje tarik kereta tu dia kata 5 biji kereta dah blacklist pun diorang dah dapat kesan kat sana, tapi nak buat apa dah banyak rosak”

Cuma satu yang kadang-kadang gua jadik kompius bila dengar cerita-cerita ni ialah, ketidakhadiran tuan punya badan itu sendiri di tempat kejadian. Ia menyebabkan gua selalu senyum apabila mulanya ayat-ayat seperti ” kawan adik gua tu kata, rumah bos kawan dia tu dah kosong bila diorang datang nak ambik barang”

Hampeh.

Wednesday, December 10, 2008

Dari Jabal Webdeh ke Bukit Antarabangsa

Gua tiba di Jordan, untuk kali pertama pada 7hb September 1995. Gua bertolak dari KL juga hari yang sama tapi sampai Amman jam sudah 0930 malam. Hari yang sama tapi sudah gelap.

Lebuhraya airport, mana-mana tempat di dunia ini yang gua pernah sampai, tidak begitu banyak bezanya. Mesti lebih daripada 2 lorong, dan tambahan lampu jalan yang terang. Tipikal. Cuma pemandangan waktu malam agak terhad.

Amman malam itu pada gua hanyalah cahaya di sebalik kegelapan. Dengan lampu-lampu rumah yang terbentang macam laut. Meluas dan meninggi. Selebihnya untuk malam itu hanyalah pesta, gendang dan restoran yang penuh sesak. Apa sambutannya, gua masih belum faham.

Esoknya apabila muncul siang, gua sudah melihat matahari di Irbid, 70 km dari Amman. Lebih landai, tapi masih juga sedikit berbukit. Rupanya cahaya yang membentang macam laut yang gua lihat malam tadi ialah rumah-rumah di atas bukit.

Petang itu juga kami ke Amman, semula sesudah solat Jumaat. Barulah gua dapat melihat buah butirnya lampu-lampu malam tadi. Nun di segenap bukit, rumah-rumah terbina. Setiap lorong-lorong sempit itu, bertaburan rumah. Setingkat, dua, tiga, empat dan juga apartment 5 tingkat.

Amman yang gua baca, terbentuk daripada 7 buah bukit, rupanya adalah bukit-bukit penempatan. Menyelusuri lorong-lorong kecil, antara rumah-rumah yang tidak berwarna itu, seperti melupakan gua yang lokasinya dilereng bukit. Dan di puncak bukit.

Tapi jangan silap, penempatan di lereng bukit itu bukan milik kroni Raja Hussein sahaja. Ia bukan kediaman kerabat di raja atau pun para kontraktor Kelas F sahaja, bahkan turut menjadi penempatan pemandu teksi, buruh binaan dan juga rakyat marhaen lain. Kawasan yang berbeza, namun tetap di lereng bukit.

Bukan sahaja di Amman, bahkan di Mekah pun penempatan di lereng bukit adalah satu pemandangan biasa. Cuba sahaja menyusur bukit-bukit sekitar Mekah, kawasan penempatan imigran Pattani dan juga Malaysia. Berhijrah untuk mencari impian. Terpaksa tinggal bersesak di lereng-lereng bukit.

Faktor cuaca dan fizikal bumi menjadikan bukit-bukit itu teguh. Jordan hanya menerima hujan sekitar bulan Disember hingga April. Selebihnya lu boleh bertaruh nilai sebuah kereta untuk menyaksikan bumi basah kerana air dari langit.

Faktor lain, mungkin kerana sifat Tuhan itu sendiri, Yang Maha Pengasih. Dia tahu untuk membezakan, niat seorang pemandu teksi membina rumah di lereng bukit dan juga impian seorang Tan Sri membeli banglo di Bukit Antarabangsa.

Ya, ada masanya, Tuhan juga sangat perlu dirujuk, ketika kita mahu berbangga diri tinggal di lereng bukit sambil sayup mata melihat pondok-pondok senget sekitar Kuala Lumpur.