Gua tiba di Jordan, untuk kali pertama pada 7hb September 1995. Gua bertolak dari KL juga hari yang sama tapi sampai Amman jam sudah 0930 malam. Hari yang sama tapi sudah gelap.Lebuhraya airport, mana-mana tempat di dunia ini yang gua pernah sampai, tidak begitu banyak bezanya. Mesti lebih daripada 2 lorong, dan tambahan lampu jalan yang terang. Tipikal. Cuma pemandangan waktu malam agak terhad.
Amman malam itu pada gua hanyalah cahaya di sebalik kegelapan. Dengan lampu-lampu rumah yang terbentang macam laut. Meluas dan meninggi. Selebihnya untuk malam itu hanyalah pesta, gendang dan restoran yang penuh sesak. Apa sambutannya, gua masih belum faham.
Esoknya apabila muncul siang, gua sudah melihat matahari di Irbid, 70 km dari Amman. Lebih landai, tapi masih juga sedikit berbukit. Rupanya cahaya yang membentang macam laut yang gua lihat malam tadi ialah rumah-rumah di atas bukit.
Petang itu juga kami ke Amman, semula sesudah solat Jumaat. Barulah gua dapat melihat buah butirnya lampu-lampu malam tadi. Nun di segenap bukit, rumah-rumah terbina. Setiap lorong-lorong sempit itu, bertaburan rumah. Setingkat, dua, tiga, empat dan juga apartment 5 tingkat.
Amman yang gua baca, terbentuk daripada 7 buah bukit, rupanya adalah bukit-bukit penempatan. Menyelusuri lorong-lorong kecil, antara rumah-rumah yang tidak berwarna itu, seperti melupakan gua yang lokasinya dilereng bukit. Dan di puncak bukit.
Tapi jangan silap, penempatan di lereng bukit itu bukan milik kroni Raja Hussein sahaja. Ia bukan kediaman kerabat di raja atau pun para kontraktor Kelas F sahaja, bahkan turut menjadi penempatan pemandu teksi, buruh binaan dan juga rakyat marhaen lain. Kawasan yang berbeza, namun tetap di lereng bukit.
Bukan sahaja di Amman, bahkan di Mekah pun penempatan di lereng bukit adalah satu pemandangan biasa. Cuba sahaja menyusur bukit-bukit sekitar Mekah, kawasan penempatan imigran Pattani dan juga Malaysia. Berhijrah untuk mencari impian. Terpaksa tinggal bersesak di lereng-lereng bukit.
Faktor cuaca dan fizikal bumi menjadikan bukit-bukit itu teguh. Jordan hanya menerima hujan sekitar bulan Disember hingga April. Selebihnya lu boleh bertaruh nilai sebuah kereta untuk menyaksikan bumi basah kerana air dari langit.
Faktor lain, mungkin kerana sifat Tuhan itu sendiri, Yang Maha Pengasih. Dia tahu untuk membezakan, niat seorang pemandu teksi membina rumah di lereng bukit dan juga impian seorang Tan Sri membeli banglo di Bukit Antarabangsa.
Ya, ada masanya, Tuhan juga sangat perlu dirujuk, ketika kita mahu berbangga diri tinggal di lereng bukit sambil sayup mata melihat pondok-pondok senget sekitar Kuala Lumpur.