Friday, October 22, 2010

Wang Rakyat atau Wang Pelabur atau Wang Siapa?

Okay. Orang cakap benda baik ni jangan simpan lama-lama. Sementara gua ada idea ini gua mahu terus menulis. Nanti dah lupa tak berapa sedap pulak nak menipu kan? Semalam gua terbaca satu blog yang menceritakan tentang pembinaan bangunan Menara Warisan Merdeka yang memang tengah “in” betul sekarang di kalangan para negarawan macam gua.

1. Gua adalah pelabur dalam ASB dan AS apa entah lagi ada dua keping untuk anak gua. Walaupun tidak sebanyak wang pelaburan Siti Nurhaliza dan Ibrahim Ali, tapi tak silap gua ada jugak cecah RM100. Jadi, itu adalah kapasiti yang agak kuat untuk gua bercakap tentang pembinaan bangunan tersebut, yang katanya adalah hasil keuntungan pelaburan PNB, dividen, perniagaan blah blah blah. Sekiranya PNB rugi, maka pelaburan ASB dan AS entah apa lagi tu, yang gua salah seorang pelaburnya juga akan turut terjejas. Termasuk mak gua sekali, yang gua syak memang banyak simpan dalam ASB tapi tak pernah tunjuk kat gua berapa jumlahnya.

2. Seterusnya, gua bukanlah cendekiawan ekonomi apatah lagi seorang pelajar yang skor A1 dalam subjek Ekonomi Asas masa SPM dulu. Gua dapat C4 aje kalau tak silap, itu pun sebab terpaksa, untuk jaga agregat, kalau banyak-banyak sangat nombor nanti, payah pulak nak ke menara gading kan. Masa tu menara gading memang tengah “in”, kitorang tak panggil IPTA/IPTS ni semua. Benda-benda akronim ni semua anti Bahasa Melayu. Jadi, lu jangan harap sebarang komen yang berdiri separa dengan komen atau pun pendapat para pakar ekonomi, pelajar lulusan Fakulti Ekonomi Universiti Utara Malaysia, atau pun paling tidak setaraf dengan blog yang gua baca semalam.

3. Gua ingin bertanya, jika projek tersebut bukan termasuk dalam belanjawan KERAjaan, haramjadah apa yang lu pegi buat gempak dalam Parlimen semasa pembentangan belanjawan? Tujuan belanjawan dibentangkan ialah, untuk memberitahu bahawa tahun depan negara memerlukan sekian-sekian jumlah wang, yang akan dibelanjakan pada sekian-sekian tempat. Selepas itu, belanjawan perlu diluluskan oleh Parlimen, barulah perbendaharaan (serius, payah betul nak mengeja perkataan ni) negara boleh mengeluarkan wang tersebut. Jika semua prosedur tersebut, sudah dibuat dan masih ada lagi sekian-sekian wang yang mahu dibelanjakan pada sekian-sekian benda, maka Rang Undang-undang perbelanjaan tambahan ke hapajadah entah tu, perlu dibentangkan di Parlimen. Selain pada itu, ada belanja lain, yang guna duit perbendaharaan negara, tanpa pengetahuan umum, maka itu namanya menipu rakyat jelata. Finito.

4. Alasan mengatakan bahawa PNB itu syarikat KERAjaan (GLC lah kot) maka apa yang dilakukan juga perlu dibentangkan di Parlimen sebagai satu khabar gembira, nak melonjakkan ekonomi, menarik para pelabur, semua itu adalah bullshit. Tahu apa itu bullshit? Sekejap, gua tak faham sikit dengan mamat flip-flop ni, sekejap kata PNB syarikat KERAjaan yang sudah diswastakan, sekejap kata syarikat KERAjaan, lu orang pergi confirmkan semula dengan dia. Atau pegi panjat pejabat PNB, dan tanya apa status sebenar diorang. Gua tak mahu ada komen bagitahu, kawan gua punya emak yang kerja di PNB cakap atau pun, awek gua punya kawan ada kawin dengan anak Hamid Kama Piah tu dia kasitahu – itu semua bullshit. Baiklah, kalau projek PNB boleh diberitahu di Parlimen, untuk melonjakkan ekonomi, menarik para pelabur, dan menggula-gulakan rakyat (baca: menipu) maka kenapa, KENAPA bisnes dan keuntungan PETRONAS, segala macam projek PETRONAS, yang boleh menguntungkan rakyat, boleh menarik pelabur, boleh melonjakkan ekonomi, tidak diberitahu pula di Parlimen? Owh, ada satu akta yang menyebabkan semua itu rahsia? Atau PETRONAS tidak pernah memberikan sebarang keuntungan kepada rakyat jelata sedangkan taik-taik datuk nenek moyang kita sendiri yang digali oleh mereka untuk mendapatkan emas-emas hitam itu? Kenapa ya, KENAPA pelaburan Tabung Haji di Mekah, membeli bangunan, membeli hartanah, tidak pula diberitahu di Parlimen sepertimana kes Menara Warisan PNB ini? Tabung Haji ada bangunan di Mekah? Tapi kos haji tetap meningkat saban tahun. Itu cerita lain. Oleh kerana itu, alasan-alasan tersebut hanya muncul selepas ramai yang bersuara. Selepas kumpulan pelabur “utama” seperti gua mula berbunyi, bimbangkan kehilangan wang pelaburan RM100 dalam ASB dan AS entah hapajadah lagi tu. Maka, untuk menyalahkan warga yang marah, yang bimbang dengan penggunaan wang rakyat, yang dituduh bodoh kerana tidak tahu membezakan antara projek KERAjaan dan swasta, maka itu juga adalah bullshit. Falsafah kami rakyat marhaen adalah simple, apa sahaja yang dibentangkan dalam Parlimen, dalam belanjawan, adalah menggunakan wang kami juga, wang pembayar cukai. Kalau tidak jangan sebut dalam Parlimen. Atau jangan bersikap terlalu bodoh dan naïf, penulis teks dan pembaca teks, sepatutnya memikirkan tentang implikasi kenyataan tersebut, perlu ada penafian, perlu diberitahu supaya tidak menimbulkan kebimbangan rakyat tahap cendekiawan seperti gua. Takkan itu semua tak boleh mahu fikir, kata dah jadi penulis teks belanjawan, kata dah jadi Perdana Menteri. Ingat RM5 billion itu jumlah yang kecil. Jadi, alasan yang diberikan menunjukkan ada orang bodoh di situ, penulis blog, atau pun penulis teks atau pun pembaca teks a.k.a Burung Kakaktua. Bagi gua alasan yang lebih logic. Gua hidup dengan logic akal apabila berbicara tentang ekonomi dan politik.

5. Baiklah, kalau PNB bijak, seperti yang dikatakan penulis blog tersebut, mengapa memilih untuk membina bangunan, mercutanda dan blah blah, sewa ruang pejabat, menarik para pelabur dan sebagainya. Bukankah kesemua itu mempunya risiko yang tinggi? RM5 Billion bukan jumlah yang sedikit. Untuk membina bangunan, kalau mengikut jadual dan tiada sebarang hindrance maka projek akan siap ikut perancangan dan belanja. Jika tertangguh, jika banyak masalah, jangkaan siap tahun 2015 akan bertambah 5 tahun, plus dengan inflasi, kenaikan kos barang mentah, kenaikan harga buruh dan blah blah blah, maka RM5 Billion mungkin boleh jadi 10 atau 15 Billion. Bukan jumlah yang sedikit. Kemudian mahu menarik penyewa, bukanlah hanya sekadar tampal iklan di stesen bus atau di 7-Eleven, kemudian bubuh nombor talipon boleh siat-siat. Atau bubuh iklan dalam Harian Metro tunggu orang call. Banyak benda lain yang bersangkutan, seperti keadaan ekonomi semasa pada tahu 2015 dan berikutnya, prasarana kawasan sekitar, capaian hubungan bisnes (betul ke ayat gua ini? – gua nak kasitahu yang hubungan bisnes para penyewa adalah mudah sementelah banyak bisnes contact mereka juga di bangunan yang sama atau pun kawasan berhampiran, Dewan Bahasa atau pun Victoria Institution misalnya), juga tiadanya masalah birokrasi. Mengapa ruang pejabat Dayabumi masih terus banyak yang kosong? Gua tak tahu sangat pasal ruang pejabat di KLCC walaupun gua pernah juga ke pejabat Al-Jazeera di sana. Orang cakap sewanya terlalu mahal, maka PETRONAS bikin sendiri, maka PETRONAS sendiri tanggung. Sendiri sewa, sendiri bayar sewa pada tuan tanah dan blah blah blah. Itu luar pengetahuan gua, penafian di sini, jangan kaitkan dengan komentar peribadi gua.

6. Jadi, ada banyak risiko di situ, jika cendekiawan ekonomi PNB memikirkan tentang pelaburan RM5 Billion semata-mata mahu membina satu mercutanda yang menjadi kebanggaan negara. Kalau tiada penyewa, mahu bikin rumah urut kah? Atau pusat video game? Rumah urut rasanya lebih sesuai kerana lokasi yang agak “panas”. Siapa yang akan menanggung kerugian ruang pejabat yang tiada penyewa? Baiklah, tengok sahaja Puduraya, yang sudah sekian lama tertangguh, yang sudah sekian lama terbengkalai macam bangkai, sakit hati letih kaki berjalan, sakit mata dan jiwa melihat, turun dari LRT berjalan kaki antara kawasan dinding berzink yang ramai peminta sedekah. Mengapakah, mengapakah PNB tidak terfikir untuk mengambil alih, melabur bagi membangunkan Puduraya, yang mengikut mata kasar gua yang rabun ekonomi ini, adalah lebih sedikit jumlah pelaburannya berbanding Menara Warisan 100 tingkat. Prospek? Nadi pengangkutan awam nasional. Mahu atau tidak pengangkutan awam mesti juga dipilih. Semahal mana sekali pun, masih ada warga yang tidak berkemampuan memiliki kenderaan sendiri dan memilih Puduraya sebagai saluran. Atau lebih bijak lagi sementelah membangunkan Puduraya, PNB juga melabur dalam pengangkutan awam. Prospek? Rujuk semula kenyataan mengenai pengangkutan awam di atas. Apakah RM5 billion tidak mencukupi? Tolong bagitahu penulis blog itu, sila sampaikan kepada cendekiawan ekonomi PNB, jika duit terlalu banyak, tambahkan lagi RM5 Billion dan bangunkan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Bandar-bandar besar yang lain. Kata PNB ada anak syarikat buat jalanraya, hubungkaitkan sekali. Pengangkutan tidak akan mendatangkan kerugian, risiko terlalu kecil. Kamu tidak perlu menyembah warga supaya menaiki bus, kamu tidak perlu menampal iklan di stesen bus merayu budak-budak sekolah menaiki bus, LRT atau pun apa sahaja kenderaan awam. Berikan sahaja pengangkutan awam yang efisien, pasti warga akan menyokong. Mengapa pengendali pengangkutan awam di Temasik boleh menjadi satu konglomengrat yang berjaya? Lebih mudah untuk Berjaya daripada membina bangunan dan mengharapkan penyewa.

7. Baiklah, jika itu juga masih berisiko tinggi dan PNB tidak mahu mengambil risiko melaburkan wang para pelabur ASB dan AS entah hapajadah lagi tu, mengapa, MENGAPA cendekiawan PNB tidak pernah memikirkan untuk membuat pelaburan dalam bidang makanan? Bahan mentah? Pertanian? (Mesti ramai akan kata itu bukan bidang pelaburan mereka – terus kata gua buta ekonomi) Apa yang gua maksudkan di sini, katanya mereka adalah syarikat milik KERAjaan, dan sekejap kata telah diswastakan, tidak mengapa yang penting mereka mesti mendapat keutamaan KERAjaan, oleh itu mengapa PNB tidak menjadi pengimport beras dan gula? Bukankah itu lebih menguntungkan, kerana ia barang keperluan. Tidak pula pernah gua dengar PNB ini menjadi pelabur hartanah selama ini. Jadi, kalau sekali sekala boleh berubah, mengapa tidak berubah mengambil risiko melabur dalam bidang pertanian, menjadi pengimport beras atau pun memajukan industry beras di Malaya supaya kita tidak lagi mengimport, memajukan industry pengeluaran gula supaya kita tidak lagi mengimport dari Thailand (mengapa cuaca Thailand dan Malaya hampir serupa, tanah hampir serupa tetapi kita tidak boleh menanam tebu dan menjadi pengeksport gula, dan mereka boleh?), atau pun PNB melabur dalam industry penternakan, menjadi pembekal daging sekaligus kita tidak lagi bergantung kepada bekalan daging import, produk tenusu dan sebagainya. Makanan, seperti juga pengangkutan, adalah satu yang MESTI, jika ditadbir dengan efisien, maka keuntungan sudah pasti. Siapa yang mahu hidup dengan tidak makan? Seperti juga warga yang tidak berkenderaan, adakah mereka sanggup berjalan kaki dari Subang Jaya ke Pejabat MARA Jalan Raja Laut untuk bekerja setiap hari?

8. Satu lagi gua nak tahu, adakah jika berlaku sesuatu, seperti kerugian ke atas pembinaan bangunan ini, atau blah blah blah, maka KERAjaan akan terpaksa memikul liability? Kerana projek ini diumumkan di dalam Parlimen, seolah-olah mahu meminta restu KERAjaan dan dalam masa yang sama mahukan jaminan KERAjaan tentang masa depan projek ini. Lagi pun namanya Warisan Merdeka, takkan merdeka itu tidak memberikan sebarang symbol ia milik negara, milik KERAjaan atau adakah ia merdeka bagi Republic Palau?

9. Atau, sebenarnya, ada tangan lain yang tersembunyi di sebalik projek ini, yang mahukan satu identity bagi kepimpinannya, atau kepimpinan “suaminya” yang mampu mengarahkan “isterinya” mengarahkan PNB membina satu mercutanda untuk menjadi sebutan? Jika secara langsung menggunakan wang pembayar cukai maka keberangkalian untuk dihentam teruk adalah lebih besar berbanding menggunakan proxy, setidaknya apabila dihentam boleh sahaja dituduh proxy yang bikin proposal.

10. Akhir sekali, flip-flop memainkan peranan utama dalam isu ini. Mula-mula dibentangkan di Parlimen, yang memang ada menyebut ia dibangunkan PNB, tanpa menyebut adakah itu wang PNB atau wang KERAjaan dan PNB cuma sebagai developer sahaja. Kemudian bila isu ini ditimbulkan, ada yang tiba-tiba menyebut ia tidak membazir, kemudian tiba pula satu susuk yang mengatakan ia tidak menggunakan wang rakyat (selepas membuat penafian ia membazir), kemudian muncul pula kenyataan PNB yang menyebut ia wang hasil pelaburan (plus statement from that blogger himself), tidak melibatkan wang pelabur, sekejap wang keuntungan pelaburan dan blah blah blah, tidak merugikan dan sebagainya. Kesinambungan memang hancur, yang hampir membuktikan, polisi KERAjaan ialah sebut dulu, beri alasan kemudian, rugi dulu, tampung kemudian, atau habiskan dulu wang warga, bagi jawapan dan alasan kemudian.

Gua tulis dengan system bernombor, bukanlah kerana gua peminat blog Firaun atau pun petanda yang gua sudah berusia dan takut terlupa. Cuma gua tengok blog yang semalam itu pun pakai nombor. Mahu beri komen panjang, ada limit. So gua ambil keputusan untuk tulis di sini sahaja. Penafian; gua tiada sebarang ilmu pengetahuan ekonomi, untuk bercakap tentang ekonomi dan politik, bagi gua logic akal sudah cukup untuk mendepani kesemua hujah. Kerana apa? Kerana dalam isu ini, ia melibatkan lu, gua, mak gua dan mak lu, serta seluruh warga Malaya yang menjadi pelabur, yang membayar cukai, yang menggunakan pengangkutan awam, yang membeli beras import yang mahal, yang disuruh mengurangkan penggunaan gula setiap kali berlaku kenaikan, dan yang disuruh berjimat pada ketika KERAjaan dan kuncu-kuncunya dengan mudah berbelanja tanpa memikirkan risiko.

Saturday, October 16, 2010

Cerita-cerita Penyedap Yang Seketika

Satu ketika dulu ya, sewaktu gua sedang main-main basikal di depan rumah, tiba-tiba Makcik Senah lalu naik motor. Dia berhenti dan bagi gua seekor burung wak-wak, yang sudah siap disembelih. Makcik Senah baru balik dari sawah, di belakang sungai di rumah gua. Burung itu Makcik Senah jerat dan dia selalu berjanji untuk memberikan lagi burung wak-wak kepada gua, jika terkena jerat di sawahnya. Dan malam itu, gua makan nasi lauk burung wak-wak goreng kunyit.

Satu ketika dulu, kawasan di tepi sungai, belakang rumah gua di Jelebu, adalah sawah bendang saujana mata memandang. Dari Kuala Klawang sehingga ke Pergai, bersambung ke Petaseh juga adalah kawasan sawah bendang. Padi. Yang mengeluarkan beras. Di depan rumah gua dulu, setiap bulan akan ada satu jentera pengisar padi daripada LPP yang datang untuk mengisar padi. Kami panggil itu mesin padi. Hanya untuk skala kecil. Bagi jumlah yang lebih banyak, terpaksa dikisar di kilang padi di Simpang Gelami. Waktu itu juga gua terdengar tentang koperasi, tentang duit padi, tentang racun, tentang tali air dan sebagainya. Walaupun keluarga gua tidak terlibat secara langsung, tapi sawah padi tetap dekat pada jiwa gua.

Itu cerita masa gua belum masuk sekolah. Mungkin 28 tahun yang lepas. Kalau berkenderaan dari Kuala Klawang ke Pergai pada hari ini, sebelah kanan dan kiri jalan, hanyalah hamparan tanah sawah yang terbiar. Masih menghijau dan sebahagiannya sudah terbina rumah, kebun tebu, bengkel motor dan belukar. Satu penghinaan ketara kepada kesuburan bumi. Dengar khabarnya, hanya di Gagu masih lagi bersawah. Yang kebetulan adalah kampung laman Ahli Parlimen Jelebu.

Gua rasa, pemandangan seperti itu, bukan hanya di Jelebu. Bahkan di banyak kawasan lain di seluruh Malaya. Ambil Negeri Sembilan sebagai contoh, memang tidak tersenarai langsung sebagai pengeluar padi. Ambil pula Kedah, yang khabarnya digelar Jelapang Padi. Pun masih tidak mampu muncul sebagai pengeluar utama beras di Malaya. Warga masih lagi berterusan menyuap beras import, yang ditanam, bukanlah di kaki gunung Himalaya atau di sepanjang Sungai Mekong, tapi nun hanya di seberang sempadan.

Satu ketika dulu juga, gua terdengar satu kempen “Dasar Pandang ke Timur”. Masa itu, seluruh warga Malaya, dibuaikan dengan impian untuk meniru Jepun dan Korea. Mahu menjadi negara industry. Mahu menjadi negara maju. Maka berbondong-bondong lah propaganda muncul di akhbar dan televisyen. Melayu khususnya dibuai dengan propaganda menjadi negara industry. Lagu-lagu patriotic di televisyen akan memaparkan klip-klip video pekerja kilang yang begitu ramai, dengan majoritinya Melayu, turun dari bus kilang, sedang tekun bekerja dan berpakaian seragam. Ini disusuli imej bangunan Dayabumi dan juga Lebuhraya Persekutuan. Ketika itu pemandangan sawah padi sepertinya milik Makcik Senah sudah mula dilupuskan. Kalau ada pun cuma dalam drama swasta. Latar belakang kampung di Tanjung Karang.

Ketika itu juga kampung-kampung mulai kosong. Semua anak muda mahu bekerja di “Kelumpo”. Tiada sebarang kempen pun dibuat untuk mengekang kebanjiran anak-anak muda ini ke ibu kota. “Kelumpo” seperti mahu dibanjirkan dengan manusia. Orang-orang kampung. Mahu menjadi sebahagian daripada pemacu negara industry. Skil mengetam padi, menoreh getah dan berkebun hanya milik orang tua. Kita mahu ke depan menjadi seperti warga Jepun dan Korea.

Nah, sekarang. Padi yang ada di Kampung Gagu itu hanya untuk suapan mulut sendiri. Sekadar mahu punyai beras sendiri. Yang kadangkala tidak termakan. 5kg yang diberi kepada mak gua, akhirnya rosak di makan bubuk. Penat badan menuai dan membanting padi tidak berbaloi dengan apa yang diterima. Sekadar mahu berbangga, kami masih meneruskan tradisi. Betul, memang tradisi. Dengan kesemuanya masih lagi berskala kecil, menggunakan teknologi “tradisi” dan pasaran hanyalah mulut sendiri dan kaum kerabat sendiri. Untuk suka-suka.

Sebenarnya apa yang berlaku, adalah bukti kegagalan perancangan menuju negara industry. Yang sebenarnya adalah satu propaganda untuk menipu rakyat demi kelangsungan saku para pemimpin. Bagaimana ini boleh terjadi? Ambil contoh sawah padi. Dengan hamparan tanah sawah yang meluas, dengan kesuburan muka bumi, dengan sumber air yang tidak terbatas, Malaya terpaksa mengimport beras untuk mengisi perut warganya? Propaganda negara industry dulu hanya satu helah. Rentetan propaganda itu, maka tanah-tanah rizab Melayu telah menjadi mangsa. Mendirikan kilang-kilang industry, diambil atas nama pembangunan, pembinaan mini kompleks sukan yang kononnya untuk para pekerja kilang, pembinaan rumah-rumah kos rendah yang akhirnya terbengkalai yang kononnya mahu memenuhi permintaan penempatan para pekerja industry yang tinggal di pinggir-pinggir bandar. Dan sebagainya.

28 tahun selepas itu, atau mungkin 30 tahun selepasnya, gua masih lagi terdengar tentang sector pertanian. Terdengar kembali tentang sector pertanian. Saban tahun mata kita dijamukan dengan imejan pak menteri bertopi cowboy, berziarah ke ladang-ladang pertanian dan ternakan di seluruh Eropah. Tapi kemudiannya pulang dengan tanah kosong. Sekadar gah dalam berita waktu perdana. Dalam setiap kali pembentangan belanjawan, sector pertanian sayup-sayup kedengaran. Mujur Kementerian Pertanian masih terus wujud. Tapi bagai melukut tepian gantang. Sekadar mahu memuaskan hati orang-orang kampung, majoritinya orang Melayu, akan wujudnya Lembaga Pertubuhan Peladang, untuk RM50 elaun kehadiran mesyuarat, untuk satu atau dua majlis makan-makan setahun.

Tempoh selepas mahu bergerak mencapai taraf negara industry itu, menyaksikan kita terpaksa menjamah beras Siam dan India, kita makan daging dan minum susu lembu Australia, lamb chop kambing dari New Zealand, bahkan ikan dari Thailand. Pada ketika negara ini, tanahair ini, dirahmati Tuhan dengan kesuburan dan lautan yang meluas. Bekalan daging tempatan masih tidak mencukupi, beras tempatan jauh sekali, produk tenusu usahkan bermimpi. Kenapa?

Ini semua adalah bahana, perancangan demi perancangan, yang ambik satu tinggal satu. Ambik industry tinggal pertanian dan ambik kewangan tinggal industry. Lihatlah apa yang berlaku hari ini apabila kita mahu menjadi hub kewangan pula. Kita tidak lagi sibuk untuk menjadi negara industry, kerana terbukti ia tidak langsung berjaya. Para pelabur mengalih perhatian membuka kilang-kilang perindustrian di Thailand, di China dan Vietnam. Jangan beritahu itu kerana kos tenaga buruh yang murah. Sebelum mendirikan kilang-kilang perindustrian, kos operasi akan dilihat dulu, kos bahan mentah, kos tapak perindustrian dan sebagainya. Semua ini memang benar telah diambil kira oleh KERAjaan ketika memacu pembangunan industry negara 28 tahun yang lepas, tapi tiada kesinambungan kerana ia hanya sekadar projek untuk memastikan kroni terus dapat menjual tanah, kroni terus dapat membuat pemilikan sementara sebelum berpindah menerajui sector baru yang diketengahkan oleh KERAjaan. Dalam masa yang sama, ruang masa yang begitu luas telah ditinggalkan untuk pertanian.

Nah, hasilnya, selepas 28 tahun atau 30 tahun, kita kembali mahu bermula dengan pertanian. Tapi ini sudah terlambat. Jepun dan Korea yang kita tiru satu ketika dulu, sudah melangkah dua dekad ke depan dalam industry dan juga pertanian. Ketika kita masih memerah susu lembu menggunakan tangan mereka hanya menekan butang-butang automatic pada panel kawalan. Ketika kita memerlukan satu kampung untuk memegang seekor lembu yang mahu disembelih, Australia hanya menggaji seorang tukang sembelihan berbangsa Pakistan untuk beratus-ratus ekor ternakan. (Bagaimana dengan penyelenggaraan pusat-pusat sembelihan yang wujud satu ketika dulu?)

Sudah puluhan tahun gua tidak melihat burung wak-wak. Makcik Senah jugak sudah lama menemui Pencipta. Sawah-sawah masih terus terbiar. Hanya kadangkala timbul seketika, khususnya pada keadaan seperti sekarang. Selepas pembentangan belanjawan. Para usahawan muda ternakan UMNO mahu mendapat bahagian peruntukan. Lembu pawah, tanaman berkelompok itu dan ini, kambing dan sebagainya, tapi masih jauh ketinggalan, kerana sifat KERAjaan yang berterusan melaungkan sesuatu hari ini hanya untuk sekadar menyedapkan hati rakyat, tapi kembali senyap setahun kemudian. Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Monday, September 27, 2010

Al Fatihah Untuk Wira Yang "Low-Profile"

Lama dulu, sebelum NGO Malaya berani menghantar bantuan ke Palestine, lama dulu sebelum Pemuda United Malays National Organization mampu membeli tiket kapal terbang untuk ke Gaza, lama dulu sebelum ada rakyat Malaya yang merakamkan gambar ketika memberi beg-beg sekolah kepada anak-anak pelarian Palestine – seorang manusia bernama Yunus Lebai Ali lebih dahulu mendahului mereka semua.

Semasa tinggal bersama “Karl Marx” gua telah ditunjukkan dengan sekeping gambar. Seorang lelaki yang bertubuh “chubby” memakai seragam gerila berwarna hijau dengan selaras rifle. Gua diberitahu “Ini Yunus, masa jadi komando PLO”. Gua yang sebelumnya mengenali abang Yunus sebagai seorang yang rajin datang menjemput kami di rumah untuk keluar makan, yang bersuara agak perlahan, bercakap dengan nada lembut, tenang dan kelihatan “cool”, berasa terkejut. Bagaimana mungkin?

Seterusnya, ketika produksi filem “Dari Jemapoh ke Manchestee” gua mengenali abang Yunus secara lebih rapat. Abang Yunus datang, bermakna kami semua akan dapat advance. Sebab Abang Yunus mesti datang bawak beg yang berisi duit. Setiap kali Abang Yunus datang melawat kami di Jelebu ketika itu, kami tahu malamnya nanti kami akan berkenduri. Abang Yunus menjadi idola para krew ketika itu, kerana Abang Yunus boleh bagi advance payment.

Selepas ke Jordan, gua hanya sesekali bertemu, ketika pulang bercuti. Kadangkala “Karl Marx” ajak keluar minum, atau Abang Yunus sesekali menjengah ketika gua menumpang tidur di rumah atas Bukit Robson, atau pun bertemu di Bangsar Utama.

Setelah bekerja, gua tidak lagi bertemu Abang Yunus. Cuma kerapkali terlihat namanya muncul, bergerak aktif dengan pasukan pemantau pilihanraya. Ketika zaman Bau-Bau Café, gua kerap terserempak Abang Yunus, minum dan bersembang. Cuma kami tidak lagi seperti dulu, gua tengok Abang Yunus selalu serius dan mungkin Abang Yunus tengok gua sebagai budak yang tidak lagi hormatkan orang tua.

Gua diberitahu, Abang Yunus sakit sejak 3-4 bulan yang lepas. Dan kemudiannya dua hari lepas, gua dapat tahu yang Abang Yunus telah meninggal dunia. Abang Yunus kembali menemui Pencipta. Membawa segala kenangan, pengalaman, suka-duka perjuangan,kisah hidup, yang rahsia, yang bukan rahsia, membawa segala sikap cool, membawa segala ilmu pengetahuan, pergi bersama. Ada yang tertinggal untuk orang dibelakang, dan ada yang dipendam mungkin.

Abang Yunus hanyalah satu daripada jutaan susuk diluar sana, yang berjuang dan terus berjuang. Bukan untuk sebarang penghargaan, pingat kebesaran atau pun wang ringgit. Abang Yunus mahu membawa kesejahteraan dan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat dan tanahair kita yang tercinta. Abang Yunus yang “low-profile”, adalah wira yang jarang sangat didendangkan. Namanya hanya muncul sekali sekala, tapi perjuangan dan jasa, bertaburan dan melata.

Damailah di sana. Al Fatihah.

Saturday, September 25, 2010

Apple Hijau dan Maggi Kari Pecah Telur!

Lebih kurang pukul 10.30 malam, gua tiba-tiba rasa lapar. Makanan di Chinese Restaurant tengahari tadi pasti sudah habis dihadam menjadi muscle. Lalu gua ke peti ais di dapur. Gua tengok ada 4 biji apple hijau. Menurut pakar dan penasihat pemakanan gua, iaitu isteri gua sendiri, kalau malam-malam lapar, baik makan buah-buahan.

Gua siap basuh. Gua mahu buang sticker yang melekat pada apple hijau ini. Datang dari jauh rupanya. Gua pernah lalu berkeretapi di Tirol, yang lebih kurang macam hentian Tiroi yang lu nampak masa naik komuter dari KL-Seremban. Tapi Tirol di Eropah, lebih bersih dan udaranya lebih nyaman berbanding Tiroi di Seremban, walaupun masa tu gua cuma lalu sahaja. Tak singgah.

Gua tengok pada apple ini ada satu tanda. Macam kena tekan dengan kuku. Gua dah siap basuh. Gua sangsi. Perlukah gua buang kulit pulak? Atau kikis tanda yang ada kena tekan dengan kuku? Gua basuh lagi. Takkan mahu makan apple tanpa kulit, itu sudah melanggar nasihat pakar pemakanan gua.

Macamana kalau kuku yang tekan apple gua ini, baru lepas keluar tandas? Bagaimana kalau kuku yang tekan apple gua ini, baru lepas korek hidung? Atau baru lepas korek hidung khinzir? Atau korek benda-benda lain yang diluar imiginasi gua?

Gua basuh kali ketiga, gua makan sampai habis. Kemudian gua buang dalam tong sampah. Tiba-tiba gua terfikir, bagaimana kalau empunya kuku itu, tangannya baru lepas pegang baja taik lembu, taik khinzir atau taik manusia? Atau pegang benda-benda lain yang diluar imiginasi gua?

Ah! Tak boleh jadi. Ini mesti kena bilas dengan sesuatu. Gua bukak almari. Ambik sebungkus Maggi Kari (antara benda terhebat ciptaan manusia), pergi dapur, pecah sebiji telur, bubuh dalam mangkuk, campur air panas, rendam 2 minit, dan…

Oh! Nikmatnya makan Maggi Kari rendam dan pecah telur, pada pukul 11 malam. Lebih nikmat daripada cuaca nyaman dan bersih di Tirol. Bagus juga untuk penghadaman semasa tidur, kata hati gua, bukan pakar pemakanan gua. Ciao.

Tuesday, September 14, 2010

Antara Perkauman, Politik dan Agama

Gua pernah melalui satu pengalaman “dicabul” depan Kaabah, masa musim haji. Serius. Depan Kaabah, masa semua orang sedang tawaf. Gua pun tak tahu apa motif perempuan Turkey itu “mencabul” gua. Mungkin keadaan gua masa itu terlalu gagah perkasa, atau perempuan Turkey itu nafsunya sedang bergelojak.

Masa wife gua cakap, kesemua suspek yang ditangkap kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan di Banting baru-baru ini adalah berketurunan India, gua dah dapat bayangkan komen-komen “bernas” daripada rakyat Malaya. Sementelah gua tengok Utusan menjadi akhbar paling awal menyiarkan pengesahan mereka yang hilang sudah mati dibunuh, maka gua tahu, tak banyak walau sedikit, mesti akan wujud komentar perkauman. Owh! Tiba-tiba seminggu ini gua mula melayari laman web Utusan. Mungkin mereka ada “kaki” sebab itu laporan mereka kelihatan agak advance.

Itu satu. Seperti kebiasaan. Seperti yang pernah gua ceritakan dulu-dulu. Tentang kemalangan maut contohnya. Tentang jenayah contohnya. Tentang kesengsaraan orang lain contohnya. Kita seringkali terlupa, bahawa ketika kita menghamburkan cacian, ketika kita menjuih bibir, ketika kita menyumpah dan ketika kita memaki hamun segala keturunan, bangsa dan kepercayaannya, kita, bangsa kita, keturunan dan agama kita, tidaklah sesempurna mana di mata orang lain.

Orang gila mana yang bersetuju dengan jenayah kejam seperti itu? Orang gila mana yang cuba menafikan tindakan itu adalah tidak berperikemanusiaan? Orang gila mana yang cuba mengatakan manusia seperti itu perlu dimaafkan?

Lagi satu, selepas memainkan isu perkauman, kamu cuba untuk menyuntik elemen politik. Kamu cuba untuk menyiasat apakah warna “bendera” si penjenayah. Kamu cuba untuk menyiasat berapakah yuran keahlian parti yang dibayar penjenayah. Kamu cuba untuk meneka, cawangan manakah si penjenayah menjadi ahli? Atau di peti undi nombor berapa si penjenayah memasukkan kertas undinya?

Adakalanya, rakyat Malaya, apabila berpolitik, kelihatan sangat melampau. Kelihatan sangat ekstrem. Kelihatan sangat lucah. Dan kelihatan sangat bebal.

Ketiganya, selepas perkauman dan politik, maka tidak lengkap jika tiada rencah agama. Tidak menarik sangat, jika agama tidak dicaci. Tidak penuh dengan warna warni jika agama orang lain tidak dicemuh. Betul, kita layak menyatakan agama masing-masing sebagai sempurna. Kita layak mengatakan agama masing-masing sebagai yang paling lengkap, paling baik, paling mulia. Itu memang kenyataan. Gua tidak melihat sebarang kekurangan dalam agama Islam. Gua tidak melihat sebarang cacat cela tentang agama Islam. Kalau tidak masakan Allah berfirman إن الدين عند الله الإسلام

Tapi apakah hak kamu untuk menghina agama dan kepercayaan orang lain? Hanya kerana si pelaku jenayah itu bukan seagama dengan kamu? Dan mangsa pula bukan seagama dengan mereka? Apakah tiada penjenayah sekejam dan sezalim itu dalam agama kita?

Jenayah boleh berlaku, tidak kira kamu menjadi ahli parti UMNO atau pun kamu mengundi PAS pada pilihanraya yang lepas. Jenayah boleh berlaku tidak kira jika kamu hidup dalam kelompok bangsa kamu sendiri atau pun kamu tinggal sekampung dengan bangsa asing. Malah jenayah boleh berlaku tidak mengira tempat, sama ada di Vatican City, atau pun di depan Kaabah, ketika berziarah ke Qoum, di Karbala, Jerusalem, Ayudhya, Qufu atau pun Hebron. Di mana-mana tempat jenayah boleh berlaku. Dan si pelaku jenayah boleh jadi seorang Melayu, seorang India, seorang Cina, Kristian, Muslim, Syiah, Yahudi, Atheist atau siapa sahaja. Penjenayah boleh jadi daripada kalangan ahli UMNO, ahli PAS, PKR, DAP, MIC, MCA, Parti Bersatu Sabah, Parti Dayak Sabah atau ahli parti “Tupperware”.

Menariknya, di Malaya ini, dua perkara teras yang sangat dominan dalam masyarakat khususnya orang Melayu ialah, bangsa (baca: perkauman) dan juga politik. Agama tidak dominan, kerana majority orang Melayu beragama Islam. Secara tidak langsung, agama akan diheret serentak bersama perkauman. Politik adalah teras. Kalau melihat komen-komen di pelbagai forum, di Facebook dan akhbar, aduhai rasa seperti mahu menangis dan ada ketikanya bagai mahu ketawa.

Tidak boleh lari, tidak boleh mengelak. Lantas bangsa lain dihina. Agama orang lain dicaci. Pegangan politik orang lain dicemuh.

Apakah, jika bukan Barisan Nasional yang memerintah negara ini, jenayah tidak akan berlaku? Apakah jika PAS melaksanakan hukum hudud maka jenayah akan terhenti? Apakah jika semua rakyat Malaya ini berbangsa Melayu maka kita akan mencapai jenayah sifar?

Lupa dengan Canny Ong? Lupa dengan Altantuya Shariibu? Lupa dengan Teoh Beng Hock? Lupa dengan adik Nurin Jazlin? Lupa dengan S Kugan? Lupa dengan adik Aminurrasyid? Atau bagaimana dengan Mona Fendi dulu? Atau Dato’ Mokhtar Hashim?

Adakalanya, perlu sedikit akal untuk berbicara. Jenayah boleh dikurangkan dengan cara membawa kestabilan ekonomi. Orang melakukan jenayah kerana factor utamanya ekonomi. Faktor sampingan lain menyusul kemudian. Sebab itu, apabila dilihat kepada indeks jenayah pembunuhan sebagai contoh, Liechtenstein, Iceland dan Singapore berada antara negara yang paling rendah. Kemudian dikuti oleh Jepun. Tapi jangan silap, kalau mengikut rekod jenayah yang dilaporkan pula, US berada di tangga teratas. Cuma, perlu diteliti apakah factor penyumbang? Tidak boleh tidak ekonomi menjadi penyebab. Orang melakukan jenayah untuk meneruskan kelangsungan hidup. Atau mahu terus hidup mewah. Dengan jenayah.

Stabilkan dulu ekonomi, dengan apa cara sekali pun (termasuk pilihan politik sebagai keutamaan). Bendung rasuah, mantapkan system perundangan, naikkan imej pasukan keselamatan, campakkan semangat perkauman, hidup sebagai satu bangsa Malaysia, Insya Allah, kalau selepas itu mahu hudud sekali pun dilaksanakan, gua rasa tidak banyak yang melakukan bantahan.

Tatkala membaca komen-komen yang meminta bangsa tertentu dihalau dari Malaya, meminta penganut agama tertentu dihambat keluar dari Malaya, gua teringat semula kepada perempuan Turkey di depan Kaabah itu. Ketika terlalu dekat rasanya dengan Tuhan, ketika sedang tujuan datang ke sana untuk melaksanakan ibadah yang dituntut, ketika Kaabah itu sedang tersergam gah di depan mata, perempuan itu masih mampu “melencong” akalnya. Dan jangan lupa, jenayah pembunuhan dan rompakan juga berlaku di Mekah. Malahan “Siti Rahmah” juga menjalankan perniagaannya di kota suci itu.

Kita sedekah Al Fatihah kepada mereka yang menjadi mangsa, semoga bersama dengan orang-orang yang beriman.

Wednesday, September 08, 2010

Ramadhan Orang Melayu di Bumi Orang Arab II

Ramadhan kali ini memang cool. Entah berapa kali gua tak bangun sahur. Entah berapa kali gua berbuka cuma sekadar kurma dan air susu, kemudian pukul 10 malam baru masak maggi goreng. Entah berapa kali jugak gua main tukar-tukar masjid masa terawih. Agak-agak baca macam merangkak, memang gua tak datang dah malam esoknya. Kaki kebas berdiri, sini mana ada pusat refleksologi.

Dalam laman villa ini ada sebatang pokok kurma. Jadi, gua cuma beli kurma sebelum Ramadhan saja, lepas itu buahnya sudah masak dan luruh. Bersepai dipijak kaki manusia dan dilanggar tayar kereta. Mahu makan kutip, atau tunggu yang segar baru gugur, atau tunggu tuan rumah datang bawa tukang panjat. Alhamdulillah, kurma tahun ini percuma. Bagai ada perjanjian, semua pokok kurma di Tripoli, berbuah dan luruh ketika bulan Ramadhan.

Ramadhan kali ini memang demokratik, kerana gua tidak perlu terpengaruh dengan suara-suara halus menghasut untuk membuat karipap, murtabak, pudding jagung, kek dan pelbagai jenis makanan lain. Makcik pembantu rumah pun berpuasa jugak, tapi selera Tunisia. Tengok gua buat kurma goreng, makcik ni mengucap panjang sambil menepuk dahi. Mungkin dia rasa bodoh selama ini tak tahu yang kurma boleh digoreng.

Dalam pada tiada selera untuk makan yang bukan-bukan juga tiada manusia Melayu yang menghasut, gua masih sempat bikin bubur jagung. Gua masih sempat buat mee goreng, buat mee bandung, bikin nasi lemak, pudding roti, ayam percik, roti john, spaghetti, nasi ayam, karipap, buat kinafah, masak kuskusi, masak maqlubah, mashed potato dan minum coke float dengan aiskrim vanilla. Owh! Masih belum demokratik juga rupanya. Terlalu kerap melayari laman web myresepi.com

Gua nak balik rumah. Kacang belum blender, nasi himpit belum jumpa plastic yang sesuai, lidi satay belum beli, kacang panjang belum potong. Longan belum rendam. Gua nak bikin lodeh. Gua nak bakar satay. Gua nak masak sambal kacang. Gua nak buat air longan.

Esok gua nak raya sendirian. Kalau bosan makan sorang-sorang, gua nak pegi mandi laut. Snorkeling. Baru nampak demokratik.

Orang Baik dan Orang Jahat

Dalam dunia ini, ada dua jenis manusia. Satu jenis manusia yang baik, dan satu jenis lagi adalah manusia yang jahat. Fullstop. Khalas. Finito. Punktlich. Tidak ada di antara, atau pun hampir-hampir mahu pun yang menyamar. Bagi yang menyamar baik, mereka adalah orang jahat, tiada yang ditengah-tengah. Hanya ada yang baik dan yang jahat.

Masa gua kecik dulu, dalam masjid Kampung Chenor, ada sebuah almari berlaci yang menyimpan naskhah-naskhah Al Quran dan kitab-kitab agama serta pelbagai barangan lain milik masjid. Almari itu letaknya di kawasan mihrab yang boleh dikatakan agak luas. Setiap malam, masjid kami akan menganjurkan kelas-kelas pengajian agama. Sesudah selesai solat maghrib, budak-budak yang selesai mengaji Al Quran, akan duduk bersama dengan jemaah dewasa, mendengar buah butir kelas pengajian, walaupun tidaklah begitu faham.

Satu malam, masjid kami mengadakan kelas pengajian pengurusan jenazah. Ketika itu, tahun 80-an, mungkin belum ada lagi yang terfikir untuk menjadikan manusia hidup sebagai model, sebagai mayat untuk “dimandikan” dan “dikafankan” seperti hari ini. Orang-orang tua yang menjadi tonggak masjid kampung gua merasakan adalah tidak sopan untuk mengkafankan dan menyembahyangkan orang yang masih hidup. Mungkin.

Lalu, satu anak patung, (tahu anak patung?) yang biasanya menjadi permainan budak-budak perempuan, dan patung itu juga patung perempuan, telah dijadikan sebagai “alat bantuan mengajar”. Maka kami semua ditunjukkan bagaimana mahu memandikan jenazah, mengkafankan, serta meletakkan kedudukan mayat ketika solat jenazah. Boleh lu bayangkan bagaimana “anak patung” yang sebesar lengan mahu dikafankan? Tapi, pengajian secara praktikal itu, memang melekat di kepala otak kami, budak-budak, walaupun dalam situasi sebenar, mereka tidak pernah langsung meminta bantuan kami ketika mahu memandikan jenazah.

Baiklah, atas sifat ingin tahu, prihatin, atau pun mungkin kerana budak-budak memang suka menyibuk, kami akhirnya mendapat tahu yang “anak patung” itu disimpan di dalam laci almari, di mihrab masjid. Wah! Kalangan kami, ini menjadi isu yang sangat besar. Kaabah dikelilingi oleh patung-patung berhala ketika Nabi Muhammad s.a.w diutuskan, dan ia menjadi satu perkara yang perlu diubah, malahan patung-patung berhala ini telah dimusnahkan ketika pembukaan Mekah. Dan di sini, di masjid kampung Chenor, kami semua sembahyang dengan di depan kami tersimpannya “patung”?

Kami cuba berdiplomasi dengan tok siak yang menjadi tenaga pengajar pengurusan jenazah, juga dengan pak imam serta nazir masjid. Rebel sungguh. Yang sudah sekolah menengah banyak sikitlah diorang punya hujah, gua yang masih darjah tiga cuma bagi modal Ustazah Kalsom bagitahu kita tidak boleh sembah patung dan Nabi Muhammad pun beribadat di Gua Hira’ ketika sekeliling Kaabah dipenuhi berhala. Namun tok siak, pak imam dan nazir sekadar tersenyum melihat kesungguhan kami semua sambil mengatakan “anak patung” itu sekadar “anak patung” bukan menjadi simbolik untuk kita sembah ketika solat. Khalas. Finito. Punklitch. – Tapi kerana masih tidak puas hati, kami mengatur rancangan untuk “menculik” anak patung tersebut, lalu kami hantar dia menetap di dalam stor tempat menyimpan makanan. Tanpa dapat dikesan.

Lewat ini, apabila Pakatan Rakyat semakin menjadi dominan sebagai pembangkang yang bertugas sebagai “check and balance” kepada arus politik membosankan di BolehLand, serta membawa pelbagai pembaharuan yang dilihat taboo selama ini oleh United Malays National Organization, terdapat pelbagai watak-watak hodoh (bukan bodoh) yang muncul. Agama dan perkauman menjadi rencah yang perlu demi memastikan kelangsungan. Orang Islam, yang jumud, atau Islam yang hanya sekadar diwarisi, atau Islam yagn terpaksa, sangat bimbangkan pengaruh orang bukan Islam dalam agama mereka. Orang Melayu, yang jumud, atau Melayu yang tidak boleh berfikir dengan matang, jiwanya penuh dengan sifat kebencian dan perkauman, sangat bimbangkan pengaruh orang bukan Melayu dalam kehidupan mereka. Taboo.

Sangat melucukan, apabila gua terdengar para pemimpin United Malays National Organization mulai bersurah tentang kesucian, mulai bersurah tentang kemuliaan surau, kemuliaan ruang solat, kemuliaan perkataan “tazkirah” dan macam-macam surah tentang agama Islam, ketika mana ruang agama yang penuh rahmat ini semakin menampakkan ketelusan dan kebenarannya. Fakta penting, Islam itu untuk semua, dan bukan milik orang Melayu sahaja apatah lagi milik United Malays National Organization. Jadi, bukan mahu membenarkan tindakan MP yang menyertai majlis di surau itu, tetapi gua cuma mahu memulangkan paku buah keras.

Kalau mahu menghukum, biarlah adil dan saksama. Jangan apabila si polan makan najis, lu kata najis itu busuk, tapi apabila lu sendiri makan, lu kata najis itu wangi. Inilah dia United Malays National Organization yang semakin terdesak demi meneruskan kelangsungan hidup mereka. Kalau MP itu tidak suci, aduhai, pemimpin-pemimpin korup yang anak isteri mereka juga “telanjang” mahu berbicara tentang kesucian – jika MP itu tidak suci, bagaimana pula dengan para pelancong yang melawat masjid-masjid besar di Kuala Lumpur dan Putrajaya? Apakah mereka suci kerana mereka bukan ahli politik pembangkang? Satu.

Bagaimana dengan orang Islam sendiri? Apakah tahap kesucian mereka menjejakkan kaki ke masjid, atau membolehkan mereka menjejakkan kaki ke masjid hanya sekadar mereka membasuh kemaluan sesudah kencing, mandi wajib sesudah berjimak, atau berwuduk sebelum solat? Bagaimana dengan pakaian? Bagaimana dengan peralatan? Bagaimana dengan diri mereka sendiri? Cukup sucikah? Hasil rezeki mereka, sucikah? Dua.

Secara sarkastiknya, cuba perhatikan perkakas di dalam masjid, di dalam surau. Apakah kesucian barang-barang ini tidak boleh diragukan. Siapa penjual? Apa yang penjual pegang? Owh! Orang United Malays National Organization akan berkata ini sama seperti fatwa wang kertas, yang dipegang oleh penjual daging babi. Nanti, gua tidak mahu melihat sampai ke situ, cukup sekadar bertanya tentang kesucian ketika kamu, United Malays National Organization, begitu bersungguh-sungguh mahu berbicara tentang kesucian, tentang MP pembangkang yang tidak membasuh kencing, tentang ruang solat yang sudah dicemari kononnya dan tentang harmonis pembangkang serta pembaharuan yang cuba dibawa.

Cuba lihat kain kafan, adakah ia dibasuh terlebih dahulu sebelum digunapakai? Tidak. Siapa penjualnya? Kalau di Jelebu, bukan kedai orang Melayu-Islam. Usahkan kain kafan, pergi ke surau pun pakai kopiah Made in China. Apa cerita?

Kalau mahu menghukum biarlah adil. Jangan hanya kesalahan orang yang kita nampak. Bukan mahu menghalalkan tindakan MP itu, dia memang sepatutnya lebih awas, dengan memakai selendang sebagai contoh, seperti yang dilakukannya sekarang, seperti gaya para isteri “pembesar” yang datang ke ruang solat masjid, atau “penghibur” yang mahu dilihat suci hanya dengan melangsungkan akad nikah di ruang solat masjid. Owh! Apakah mereka semua itu juga termasuk dalam golongan suci? Kenapa pencerobohan ruang solat masjid untuk majlis pernikahan yang melibatkan “banyak keraguan” itu tidak dipersoalkan? Atau kehadiran isteri-isteri “pembesar” yang sekadar berselendang ke ruang solat masjid untuk majlis bacaan Yassin? Boleh? Suci?

Gua masih ingat dengan kelas pengurusan jenazah itu. “Anak patung” itu, yang “berjantina” perempuan, telah dibogelkan, untuk “dikafankan”. Maka kami budak-budak hanya tersenyum, melihat “anak patung” bogel. Hiburan, di ruang solat masjid, sambil belajar. Yang kemudiannya menjadi kontroversi, hanya kerana kami ketika itu, terlalu jumud, masih belum mampu berfikir di luar kotak, hanya Islam yang diwarisi, baru mahu belajar dan masih budak-budak.

Cuma gua terfikir, bagaimana nasib “anak patung” itu sekarang? Yang sudah pastinya, sekitar 80-an, adalah buatan Negara China, dan dijual oleh penjual Cina. “Dia” telah menceroboh sehingga ke ruang mihrab masjid kami. Suci, bukan?