Thursday, September 10, 2009

Entah Apasal Gua Tiba-Tiba Sentimental Sangat


Benda yang paling gua suka sepanjang bulan Ramadhan ialah murtabak. Dulu di pekan Kuala Klawang hanya ada seorang sahaja penjual murtabak. Masa tu konsep pasar Ramadhan belum lagi muncul kerana Majlis Daerah Jelebu hanya sibuk menganjurkan pertandingan bolasepak dan menguruskan Dewan Besar untuk majlis-majlis kerajaan.

Penjual murtabak ini akan parking stall murtabaknya di depan sebuah kedai pakaian di tengah-tengah pekan. Murtabak hanya akan dijual pada bulan Ramadhan dan pada masa lain dia hanyalah penjual apam balik dan kuih bugis. Harga murtabak pada ketika itu ialah RM1.80 sekeping. Saiz besar dan padat dengan inti daging bukan kedekut macam penjual murtabak hari ini.

Setiap petang, arwah abah gua akan ke pekan. Beli sekeping murtabak untuk gua. Jika tahun itu bulan Ramadhan ada 30 hari, maka 30 keping murtabak akan menjadi mangsa gua setiap hari berbuka. Ini kerana jika kami berbuka di rumah nenek gua sekalipun, bekalan murtabak sekeping memang tetap kena bawa. Arwah abah gua akan tetap ke pekan, dan menariknya, pakcik penjual murtabak itu akan dengan sendirinya sudah siap sedia dengan sekeping murtabak. Arwah abah gua cuma perlu berhenti dan terus bagi duit dua ringgit sambil penjual murtabak itu memulangkan baki 20 sen di dalam plastic murtabaknya.

Ada satu hari tu, gua ke pekan dengan arwah abah gua. Raya sudah semakin dekat. Arwah abah gua sudah janji nak belikan gua seluar jeans. Kami pergi ke kedai pakaian, tempat penjual murtabak tu parking stall murtabaknya. Dia nampak kami masuk dan gua sedang pilih-pilih seluar jeans. Budak umur 11 tahun, dapat beli seluar jeans Puma untuk hari raya, memanglah excited. Lepas siap beli kami terus keluar jumpa dengan pakcik murtabak tu.

“Kalau abah adik belanja seluar, hari ni pakcik belanja murtabak pulak”

Gua senyum sambil ambil plastic murtabak dan ucap terima kasih. Berbuka murtabak free gua hari tu. Balik rumah senyum sampai bersambung dengan telinga. Lepas makan murtabak gua terus test seluar jeans Puma. Antara hari-hari menjelang raya yang paling bahagia dalam kehidupan kanak-kanak gua.

Hubungan dagang dua hala antara arwah abah gua dan penjual murtabak itu berterusan sehinggalah gua masuk asrama. Ketika hujung minggu gua pulang bercuti, arwah abah gua akan terus dengan tugasnya membelikan gua murtabak. Pakcik penjual murtabak juga hanya akan menyediakan murtabak jika arwah abah gua datang ke stallnya, yang sudah pun berpindah secara berkelompok di pasar Ramadhan. Di situ juga sudah ada 3-4 orang lain yang cuba-cuba untuk menjual murtabak.

Satu hari, dalam bulan Ramadhan, arwah abah gua teringin nak makan murtabak. Pakcik penjual murtabak tu terus tanya arwah abah gua.

“Apasal adik dah lama tak datang beli murtabak?”

Dia seperti terkejut apabila arwah abah gua beritahu yang gua ketika itu sudah pun belajar di Jordan. Mungkin dia ingat gua sudah tidak lagi suka makan murtabak, atau sudah bertemu dengan murtabak yang lebih sedap.

Dalam hidup ini, kadangkala kita kerap menyesali sesuatu. Kita rasa terkilan. Kita rasa tidak kesampaian. Ada hajat yang gagal dipenuhi. Selebihnya kita akan berpuas hati dengan kehidupan yang kita nikmati.

Ketika Ramadhan ini, sesudah berusia 32 tahun gua juga merasai perasaan terkilan itu. Gua juga rasa ada ketikanya banyak hajat gua yang tidak kesampaian. Ada sesuatu yang gua terima tapi tidak dapat gua kembalikan. Sekarang gua sudah pandai buat murtabak sendiri dan gua sudah ada kemampuan untuk beli seluar jeans sendiri. Gua sudah pandai buat murtabak untuk orang lain dan gua juga sudah ada kemampuan untuk membelikan orang lain pakaian.

Tapi pakcik penjual murtabak itu sudah tidak lagi berniaga. Stall murtabaknya sudah menjadi stall apam balik dan kuih bugis sahaja. Air tangan generasi keduanya tidak menyentap selera gua. Lagi pun gua sudah pandai buat murtabak sendiri.

Arwah abah gua pulak sudah lebih 7 tahun meninggal dunia. Sejak pulang dari Jordan pada 2001 dan bekerja, gua hanya mampu sekali membelikan arwah abah gua pakaian raya. Ketika Aidilfitri terakhirnya tahun 2002. Juga murtabak, yang hanya sekadar beberapa kali gua belikan ketika pulang ke kampung tapi bukan buatan gua sendiri. “Hutang” murtabak gua dan seluar jeans dengan arwah abah gua tidak akan selesai sampai bila-bila. Itu sahaja yang gua terkilan.

Tuesday, September 08, 2009

Satu Malam Sebelum Raya

Ada satu malam sebelum raya tu, beberapa tahun yang lepas gua terpaksa memandu ke Seremban. Ke stesen keretapi menjemput bapa sedara gua yang pulang dari KL. Dia mahu ambil “feel” pulang ke kampung pada malam raya dan gua pulak terpaksa mengorbankan satu malam paling istimewa yang hanya muncul setahun sekali.

Di kampung gua, setiap malam raya masjid kami akan mengadakan takbir dari rumah ke rumah. Kami akan dibahagikan kepada 3 kumpulan dan setiap kumpulan akan bergerak ke tiga kawasan berlainan. Kumpulan gua ialah di bahagian tengah kerana rumah gua terletak di bahagian tengah kampung dan kebiasaannya kami akan mengikut kumpulan mengikut kawasan rumah.

Selepas Isyak kami akan bergerak bermula sekitar jam 9 malam dan kebiasaannya akan berakhir sekitar jam 12 malam. Satu ketika dulu kami pulang hampir jam 2 pagi, tapi lewat ini banyak rumah yang tidak lagi berpenghuni. Bahkan ada tuan rumah yang tidak mahu rumahnya turut serta. Mungkin sukar untuk menyediakan hidangan atau mereka kini sudah ada televisyen satellite dan lebih senang bermesra dengan Azwan Ali dalam rancangan ucapan malam raya berbanding bertemu saudara sekampung yang ada antaranya pulang setahun sekali.

Bagi kanak-kanak, takbir malam raya itu adalah peluang awal untuk mengumpul duit raya. Dulu masa gua budak-budak, satu malam takbir itu boleh collect hampir RM20. Walaupun duit syiling 50 sen tapi bila esoknya lu pegi pekan main video game, duit berat lu masih tetap laku. Mungkin ada sebiji dua rumah yang anaknya ada rezeki lebih, kami akan dapat duit takde bunyi. Budak-budak akan tanpa malu buka sampul dan “uihhhh singgiittt woiii”. Tapi duit bukan sekadar untuk budak-budak sahaja kerana orang dewasa pun dapat jugak. Dan jenaka mereka lebih keras sedikit terutama ketika berdoa kerana ketika itulah tuan rumah akan keluar memberikan “sedekahnya”. Jika tuan rumah sedikit lewat maka ada yang akan berbunyi “aminn kuat-kuat sikit bebudak sekarang harga getah tengah naik niiii” atau pun “mana tuan rumah ni, tengah pecahkan tabung ke?”

Tapi duit itu bukan agenda utama, walaupun bagi budak-budak ia satu kemestian. Selain makanan yang memang sudah standard pagi raya, kami sebenarnya mahu bermesra secara berkumpulan. Dan peluang seperti ini hanya akan datang sekali sahaja setahun. Ketika inilah kami boleh bergurau secara santai, ketika inilah kami boleh bertemu menantu-menantu baru yang masih lagi malu, ketika inilah kami bertemu anak-anak yang dulu di rumah tapi kini sudah boleh bersama bapanya walaupun separuh jalan, ketika inilah juga kami mendapat peluang bersalaman dengan warga tua yang sudah tidak mampu lagi ke masjid, lelaki atau pun wanita, dan inilah juga peluang mudah untuk berziarah kerana keesokan harinya kami akan sibuk berhari raya bersama keluarga.

Oh Tuhan! Tolonglah kekalkan nikmat ini untuk kami semua. Bagi gua, itulah satu-satunya kemeriahan hari raya untuk mereka yang sudah dewasa di kampung kami. Kerana hari raya itu keseronokannnya untuk budak-budak tetapi malam raya itu adalah milik semua orang dewasa, yang jika dirampas ia boleh menyebabkan suasana hambar sepanjang perjalanan dalam kereta dari Seremban ke Jelebu.

Saturday, August 29, 2009

Ada Apa Dengan Kepala Lembu?

Dulu, masa di Jordan ada dua orang budak perempuan Melayu. Tinggal sebelah rumah gua. Mereka berkawan baik. Berasal dari Melaka.

Dua orang budak ini, ada satu yang sangat menghairankan tentang mereka. Apabila lalu di depan gereja besar di Mafraq, mereka memalingkan muka. Macam takut nampak hantu. Apabila terlihat lambing salib, mereka akan berpaling. Apabila terlihat Pope John Paul di televisyen, mereka akan menukar siaran.

Semasa bekerja di KL dulu, setiap hari Jumaat gua akan ke masjid Sri Petaling. Selain untuk solat Jumaat, di situ ada satu gerai nasi beriani yang power. Jika hari Jumaat tanpa nasi beriani, gua rasa macam kurang lengkap. Tapi itu cerita lain, walaupun gua dah berangan nak sembahyang Jumaat kat situ masa balik sebulan nanti.

Kali pertama ke masjid Sri Petaling ialah sekitar penghujung 2001. Gua hanya pernah mendengar nama tentang masjid yang didirikan oleh jemaah Tabligh, melalui dana kutipan sendiri. Apabila ke sana gua rasa kagum. Masjid yang besar dan luas itu satu factor, tapi lokasi masjid itu sendiri membuatkan gua rasa kagum.

Bagaimana sebuah masjid sebegitu besar, yang setiap minggu menjadi tumpuan para jemaah Tabligh, yang setiap bulan menjadi tempat perkumpulan mereka bermesyuarat dan kadangkala setahun sekali akan mengumpulkan puluhan ribu manusia – boleh didirikan di tengah-tengah kawasan komuniti Cina. Lebih mengujakan, bertentangan dengan masjid itu pula ada sebuah hotel. Terdapat restoran makanan Cina di bawah hotel tersebut dan seluruh Sri Petaling itu majoritinya adalah kedai milik kaum Cina. Kecuali sebuah restoran Arab dan kedai kurmanya serta beberapa buah restoran mamak dan sebuah warung tomyam 24 jam.

Jika ditinjau pula kawasan perumahan di Sri Petaling, gua rasa hampir 90 peratus adalah milik kaum Cina walaupun gua tidak pasti taburan sebenar. Sepanjang 7 tahun di Astro dulu, hampir keseluruhan kawasan Sri Petaling sehinggalah ke Taman OUG ke Jalan Klang Lama telah gua terokai. Bahkan wife gua jugak mengajar di OUG. Memang tiada masjid, kecuali masjid Sri Petaling. Paling hampir ialah di Jalan Klang Lama. Dan kalau hari Jumaat, mereka yang memeriahkan masjid itu adalah golongan pekerja, yang bukannya tinggal di Sri Petaling. Tapi bukan bermakna tiada penduduk beragama Islam cuma mereka adalah minority.

Pada sambutan Aidilfitri tahun lepas, masjid Sri Petaling mengadakan rumah terbuka a.k.a open house dengan slogan menu dari seluruh dunia untuk semua bangsa. Paling ramai yang datang ke masjid ialah para penduduk setempat, majoritinya bangsa Cina yang dengan penuh rasa hormat juga makan secara berasingan kerana masjid itu menyediakan tempat makan khusus untuk lelaki dan wanita. Rupanya AJK masjid mengedarkan flyer ke rumah-rumah penduduk sekitar menjemput mereka menghadiri open house sempena hari raya dan itu bukanlah kali pertama kerana ia telah diadakan saban tahun.

Kadangkala, sehingga ke hari ini gua masih lagi mengkagumi Sri Petaling dan penduduk sekitarnya. Kadangkala sehingga ke hari ini juga gua seringkali tertanya bagaimana sebuah masjid yang sebegitu besar boleh didirikan di kawasan majority penduduk Cina? Bagaimana sebuah masjid yang menjadi “punca” kesesakan jalanraya setiap hari Jumaat tidak mendapat sebarang bantahan penduduk setempat, atau pun pengusaha hotel itu contohnya? Perlu diingat juga, komuniti di Sri Petaling tidak pelik dengan lelaki muda yang berjubah dan berserban membawa tongkat kayu atau pun dengan wanita yang berpakaian serba hitam dan berpurdah. Itu adalah pemandangan biasa buat mereka dan kesemuanya akan selesa berurusan sesama sendiri. Masjid Sri Petaling itu telah menjadi sebahagian daripada komuniti setempat. Bahkan dewan komuniti Sri Petaling yang menjadi tempat pelbagai kegiatan penduduk setempat juga adalah kawasan yang connected dengan masjid itu sendiri.

Gua rasa satu hari nanti gua ingin menjemput dua budak perempuan yang pernah menjadi jiran gua di Jordan dulu untuk bertandang ke Sri Petaling dan masjidnya. Juga makhluk Tuhan di Shah Alam kelmarin yang sanggup “diperbodohkan” mengarak kepala lembu. Satu penghinaan bukan sahaja kepada kepercayaan satu agama lain, tapi juga kepada makanan kerana lidah dan otak lembu itu masih boleh dimasak untuk habuan perut mereka sendiri.

Monday, August 17, 2009

Jangan Bosan - Musim Baru Sudah Bermula


Birmingham City sebenarnya sengaja mahu kalah. Mereka mahu mengelak untuk menang. Superstitious membuktikan, Reading dan Newcastle United, yang seri dengan The Red Devils pada game pembukaan dua musim sebelumnya, terpaksa bermain di liga Championship pada musim-musim berikutnya. Tapi itu cerita lain.

Apabila 2 penalti yang sepatutnya (menurut kata pengurus dan penyokong Liverfool lah) diberikan telah dinafikan pengadil, maka mereka mula melompat kembali. Bukan sebab menang tetapi sebab katanya pengadil telah tidak berlaku adil. Gua hanya menunggu pembongkaran seterusnya, apakah pengadil Phil Dowd seorang penyokong Man United? Atau pun 4th official Stuart Attwell yang berusia 27 tahun adalah bekas pemain akademi Liverfool yang kena reject dan kini dalam misi membalas dendam?

Harry Redknapp kata dia pelik bagaimana mudahnya menewaskan Liverfool. Nampak macam bongkak tapi Redknapp bukan pengurus sakit jiwa walaupun tanpa sebarang kejuaraan. Kerana Redknapp lebih popular sebagai seorang penyelamat. Ia lebih baik daripada menjadi pengurus pasukan tangga kedua, sebab diorang biasa cakap, 2nd place is the first loser. Heh terlalu awal untuk memulakan peperangan? Gua benci Benitez, gua benci Gerrard dan gua benci Liverfool. Punktlitch.

Wednesday, August 05, 2009

Mari Berkenalan Dengan Final Exit

Pagi itu sungguh tenang. Gua seperti biasa bangun awal. Bukan seperti hari Mat Jang bertumbuk. Gua berada dalam mood yang sungguh baik. Malam sebelumnya gua main pingpong sehingga jam 10 malam. Petangnya gua main takraw. Badan gua rasa segar. Tidur gua pun lena.

Pagi itu memang tenang. Semua kerja berjalan dengan lancar. Surat dan dokumen yang gua terima pun gua sudahkan dengan pantas. Ketika itu gua hanya duduk meneliti kontrak yang sudah siap gua terjemah dan sudah dibincangkan bersama dengan Finance Director. Tiba-tiba Alex datang masuk bising-bising bercakap dengan Lai dalam bahasa Kantonis.

Kemudian Alex beritahu pada gua, manusia bangang bernama Milad itu sudah potong bajet untuk membekal sayur-sayuran dan beberapa barang makanan lain di dapur Malaysia. Alex kasitau gua dia sudah rampas requisition form dan potong semua order dan terus koyakkan form. Sebaik habis saja dia cakap dengan gua, Admin Manager masuk bersama dengan encik supplier barang makanan. Rupanya encik supplier juga sudah mengadu kepada Admin Manager tentang tindakan Alex. Bangsa Libya yang bodoh memang suka mengadu walaupun hanya pertengkaran kecil.

“Apasal lu potong barang-barang yang dia mintak?” Gua tanya pada encik supplier, yang gua sudah lama monitor. Selalu tipu timbang dan kuantiti barang.

“Dia mintak barang-barang yang takde kat sini, macamana gua nak kasi”

Gua tanya Alex apa yang dia mintak, Alex jawab kobis pun dia kata habis, halia pun takde. Gua pun terus bangun dan tanya mamat tu semula.

“macamana lu boleh cakap kobis takde?”

“Dah memang takde kat sini, sebab sekarang bukan musim dia, halia pun takde kat Al Marj sebab kena beli di Benghazi” Admin Manager pulak yang jawab bagi pihak encik supplier tu.

Gua bangun dan terus tengking dua orang mangkuk hayun tu, sebab gua tahu diorang penipu dan gua sangat benci orang yang menipu. Lagi pun benda yang dia nak menipu langsung tak mengagak. Gua bukan tak tahu pasar kat mana dan gua bukannya baru dua kali pergi pasar.

Gua tarik Alex dan suruh pergi ambik kunci kereta. Kitorang pergi pasar Al Marj. Setengah jam lepas tu, gua balik menjinjing 5kg kobis dan 1kg halia. Gua terus lambakkan kat depan opis.

Kemudian Milad haram jadah tu terus datang. Gua dah tahu mesti encik supplier pun mengadu dengan dia. Gua dah ready untuk fight sebab gua sudah bosan dengan penipuan Milad. Memang ini project joint venture tapi Libyan side hanya ada 35% share dan hanya bertindak sebagai liaison party. Tapi sebab bongkak dan bodoh, sampai makanan pun diorang mahu control. Gua rasa ini sudah sampai ke klimaks.

Tapi Finance Manager dan Project Manager gua datang. Panggil gua untuk terus attend meeting dengan Milad. Memang gua yang handle pasal kitchen dan gua kena terangkan pasal proposal untuk set-up committee pada setiap kitchen. Ini kerana kita sudah bosan dengan penipuan mereka yang membekalkan barang juga penipuan mereka dari sudut budget. Meeting berjalan dengan lancer sehinggalah apabila gua mula mempersoalkan kewajaran terus mengupah supplier. Gua tahu Milad ada tangan dengan supplier. Seperti juga tangan dia pada supplier lain.

Finance Manager yang duduk kat sebelah gua sudah sepak kaki gua suruh gua berhenti. Tapi masa tu gua rasa macam gua nampak Che Guevara berdiri kat tepi gua sambil tepuk-tepuk bahu. Gambar besar Ghaddafi di bilik meeting itu juga sudah bertukar jadi gambar Castro ketika memberi ucapan ketibaan reveolusi di Havana. Lebih menarik lagi atas meja meeting tu gua nampak Hang Jebat sedang berpencak silat.

Maka apabila keadaan menjadi semakin panas dan Milad mula mengeluarkan kata-kata carutannya, gua sebagai seorang lelaki tampan yang sopan mula hilang kesabaran. Gua membalas dengan berbakul-bakul balasan pantun yang diberi, sama ada Inggeris atau pun Arab. Dan apabila Milad melemparkan cermin matanya kepada gua, darah pemberontak gua sudah naik sampai ke biji mata. Gua angkat kerusi sambil mulut gua terus memaki hamun tapi belum sempat gua nak baling kerusi tu pada Milad, Finance Manager dan Project Manager segera menahan gua. Milad pulak masa tu sudah bangun untuk mengelak sambil tangannya cuba melontar handphone kepada gua.

Disebabkan marah yang terpendam lama dan kebencian melihat penipuan yang semakin melampau, gua terus memaki hamun dan berjanji untuk mendedahkan kesemua penipuan Milad. Gua tengok muka dia sudah berubah sambil gua terus diheret keluar oleh Finance Manager dan Project Manager. Gua tahu lambat laun gua mesti kena blah, tapi gua juga tahu yang gua tidak membuat sebarang kesalahan kerana gua boleh mendedahkan semua penipuan itu bersama bukti dan Milad memang sudah melampau.

Bakinya adalah sejarah. Chairman yang kebetulan berada di Tripoli mengambil tindakan pantas mengarahkan supaya passport gua tidak diberikan kepada Milad. Ini kerana gua datang ke sini bekerja menggunakan visa company Milad dan mangkuk hayun tu sekarang mahu revoke visa gua. Chairman juga mahu semua penipuan Milad ditulis dalam satu laporan lengkap untuk dihantar ke Tripoli. Demi untuk menenangkan keadaan dan suasana serta jaminan keselamatan diri gua, Chairman telah mengarahkan supaya gua ditukarkan segera ke Tripoli. Kawan gua yang baru dua bulan datang ke Tripoli akan diarahkan pula mengambil tempat gua di sini.

Hari yang sama ketika makan tengahari, gua tengok semua orang gelak bergembira di dalam kantin. Masing-masing sedang syok minum air jus buah. Sudah hampir sebulan setengah air itu tidak dibekalkan. Gua tengok buah-buahan berlambak, kobis yang tadinya bukan musim sudah sebakul di dapur, telur pulak bersusun-susun sehingga setinggi anak gua yang berusia 6 tahun. Gua tinjau masuk store, gua tengok sudah macam nak pecah. Sebelum ni luas macam dan lapang macam toilet hotel 5 bintang. Sekarang nak masuk 2 orang pun boleh berlaga mulut.

Milad terus dengan kebiadapannya, mengancam untuk shutdown the project jika Boustead masih terus kekalkan gua di sini, walaupun dia tidak punyai sebarang kuasa. Tapi gua tahu, walaupun dia tidak punya kuasa untuk itu, tapi dia akan berusaha ke arah itu. Management juga setuju dan gua tetap rasa tenang sebab kerjaya gua tidak terjejas cuma gua hanya perlu bertukar angin. Duduk ibu negara dan meninggalkan kampong gersang ini. Gua terpaksa blah, visa gua kena revoke dan gua akan masuk semula menggunakan visa Boustead di Tripoli.

Hikmahnya selepas ini setiap 6 bulan gua mesti kena pulang ke Malaysia. Biarlah gua berkorban untuk company yang bayar gaji gua, sebab gua rasa ada beban atas kepala gua selagi gua terus memendam segala penipuan ini. Walaupun mak gua kata gua sepatutnya tak perlu campur dengan semua urusan tu, tapi mak gua tak tahu, yang anak dia ni walaupun kelihatan jahat apabila bersekongkol dengan punkrock dan Marxist, tapi tidak sama sekali rela bersekongkol dengan penipuan dan penyelewengan. Goodbye Al Marj, Welcome Tripoli.

Bagaimana Mahu Menjadi Seorang Interpreter Yang Diperintah Buang Negeri

Memanglah semasa mula berkenalan dengan bangsa Arab dulu, di Jordan, gua rasa pelik dengan kebodohan mereka. Banyak tentang Arab yang gua kenal hanya melalui pembacaan dan televisyen dan semuanya baik-baik belaka. Selebihnya melalui datuk dan nenek serta orang-orang kampong yang pulang dari Mekah. Kesimpulannya bangsa Arab pada gua hanyalah mereka yang berserban dan berjubah. Itu dulu.

Melihat kepada bangsa Arab di Jordan pula, dan melalui sembang-sembang pagi dan malam bersama bapak sedara gua selama 3 bulan tinggal serumah, gua tahu yang bangsa ini memang bermasalah. Memang pemalas dan kebodohan yang amat ketara. Ketika handphone masih satu device mewah, seorang pelajar di university telah datang ke kelas dengan membawa remote control televisyen, dan pretending that’s a mobile phone. Bukan sekali dua dan bukan hanya seorang.

Ketika melawat Petra, seorang kawan yang berkulit gelap, yang jika lu tengok dari sudut mana sekalipun adalah seorang manusia yang berkulit gelap, telah dipanggil sebagai lelaki Jepun oleh seorang bangsa Arab tempatan. Bukan sekali dua, bahkan kami sering dianggap sebagai bangsa China dan Jepun. Tapi itu dulu, gua berdoa bangsa Arab Jordan tidak lagi sebegitu malang.

Itu belum dikira dengan urusan di pejabat, urusan ketika mahu mendaftar subjek, urusan membuat visa dan sebagainya. Mereka lembap dan kadangkala kita seperti mahu menangis melihat kebodohan mereka. Gua tahu bukan semuanya lembap dan bukan semuanya bodoh kerana gua menadah tangan menuntut ilmu dengan mereka dan air liur mereka kerapkali kena muka gua ketika gua datang lambat dan terpaksa duduk barisan paling depan.

Kemudiannya gua tahu, bahawa selain bangsa Jordan, ada satu bangsa lain yang boleh dikategorikan teruk. Arab Saudi, yang gua kenal sebagai orang Mekah dan orang yang berjubah dan berserban itu sebenarnya begitu teruk peribadi mereka, begitu teruk cara bekerja mereka dan kebodohan mereka juga begitu melampau kerana majoritinya hidup dengan limpahan kemewahan. Walaupun bukan kesemuanya, tapi jika kita berbual dengan bangsa Arab lain berkaitan bangsa Saudi maka kita pasti akan mendengar carutan tentang bangsa Saudi.

Seterusnya barulah pulak gua berkenalan dengan bangsa Mesir, yang mengaku negara mereka adalah ibu kepada semua ketamadunan manusia. Gua setuju kerana ketamadunan yang bertapak di Mesir sejak ribuan tahun itu terlalu agung jika mahu dibandingkan dengan tamadun lain seluruh dunia ini. Namun kerana kebengapan menguruskan negara mungkin, Mesir yang tetap juga berbangsa Arab, adakalanya bertindak bagaikan langsung tidak pernah berkenalan dengan tamadun. Pelajar Malaysia yang seawal 30-an sudah ke Mesir dan jika mahu dikumpulkan segala cerita kebodohan bangsa Mesir darripada mereka, seratus jilid buku setebal kamus Al-Mawrid pun tidak mencukupi. Namun bukan kesemuanya kerana masih wujud di kalangan mereka yang baik-baik.

Gua kemudiannya berkenalan dengan bangsa Arab dari Teluk ketika menjadi pemandu pelancong. Perangai dan kebodohan mereka juga tidak banyak bezanya dengan bangsa Arab lain. Itu sebab kerajaan BolehLand suka dengan kebanjiran pelancong Arab sebab mereka semuanya bodoh dan senang untuk kena gulai. Naik teksi dari Puduraya pergi ke Bukit Bintang pun boleh kena tambang RM50, sapa yang tak mahu.

Tapi klimaks kepada perkenalan gua dengan bangsa Arab ini akhirnya mempertemukan gua dengan satu bangsa yang paling bodoh sekali, paling bengap, paling pemalas dan paling kuat menipu. Bangsa Libya yang gambaran mudahnya ialah Muammar Ghaddafi, gua sangkakan tidaklah seteruk Mesir atau pun seperti Saudi. Tetapi kerana mungkin terlalu lama hidup di dalam tempurung besi ciptaan pemimpian socialist palsu, maka setelah bertemu dengan bangsa asing, mereka jadi tidak keruan.

Bangsa Libya dan negara Libya bukanlah negara socialist yang tulin. Jika gua mampu berbicara dengan Karl Marx, gua yakin orang tua itu akan menangis terisak-isak mendengar hikayat kebodohan bangsa yang kononnya daripada sebuah negara socialist ini. Kuat menipu kerana mereka sebenarnya bertuhankan wang dan syarikat-syarikat asing yang masuk ke Libya sudi menghulurkan leher mereka untuk disembelih. Kuat menipu kerana kebanyakan mereka adalah saki baki rangkaian mafia Italy yang bertapak di sini sejak awal 70-an. Pemalas bekerja kerana mereka,bangsa Arab ini, walaupun tidak kaya,mereka berfikir yang mereka adalah bangsa terbaik. Bodoh, kerana budaya hidup mereka yang kebanyakannya mengongkong mereka daripada berkenalan dengan budaya luar. Minggu lepas ketika makan malam di sebuah rumah warga tempatan, anaknya yang berusia 15 tahun bertanya kepada gua adakah di Malaysia terdapat kapal terbang.

Jadi apa yang berlaku kepada gua minggu ini, adalah satu kemuncak kepada ekspresi gua tentang perkara-perkara di atas. Gua sudah terlalu geram dan gua sudah terlalu benci. Dalam waktu terdekat atau kemudiannya, jika kita memendam sesuatu yang membuku dengan kemarahan dalam hati, kita tahu kita terpaksa meluahkannya juga. Walaupun ada yang kata gua kurang sabar dan tidak pandai mengawal kemarahan tetapi mengapa ketika tidak bekerja dan berurusan dengan bangsa Arab gua boleh mengawal perasaan? Ini bukan pengakhiran kewujudan gua di Libya kerana gua masih akan terus kekal di sini.

Boss gua kasitau, mengalah pada waktu ini bukan bermakna kita berada pada pihak yang salah dan kalah tetapi kita merancang strategi yang lebih rapi untuk berundur seketika sebelum kembali menyerang. Apa-apa sahaja janji gua masih bekerja.

Saturday, July 18, 2009

Syarikat Lim Omnibus

Lepas habis darjah enam, gua memang teruja betul nak masuk sekolah menengah. Dapat kawan-kawan baru dan yang lebih penting dapat pergi sekolah naik bas pakcik Isa Makan Besi. Apa barang asyik pergi sekolah naik basikal aje. Gua jeles tengok bebudak naik bus duduk bangku belakang sekali.

Jadi gua pun didaftarkan ke sekolah agama di Kuala Klawang. Dua batu setengah aje dari rumah gua pun. Dapat lah merasa naik bus sekolah, duduk bangku paling belakang dan bila nak turun, bukak pintu kecemasan terus terjun. Perghh memang gaya taiko lah kononnya masa tu. Pakai pulak beg selempang Iron Maiden, seluar ketat dengan kasut Aliph hi-cut sebab tengah demam album Fenomena Search. Masa tu abah gua belikan pas bayar bulan-bulan untuk budak sekolah. RM9.90 aje dan Jelebu dari gua mula kenal bas sampai lah hari ini hanya ada satu syarikat bus aje, Bus Lim.

Tapi seminggu aje gua dapat terjun dari pintu kecemasan bus pakcik Isa Makan Besi. Hari ketiga gua terjun, gua nampak kereta atuk gua kat depan kedai mak gua. Nenek gua terus senyum aje nampak gua. Dia kasitahu dia sudah arrange untuk gua masuk sekolah ada asrama. Dalam 45 kilometer jugak jauhnya. Dah masuk daerah Jempol pun. Bila gua dengar asrama ni yang cuak sikit. Tapi nenek gua cakap sekolah tu baik-baik aje, budak hisap rokok pun takde sebab tak dibenarkan merokok. Gua yakin aje lah walaupun gua tahu mana ada sekolah yang benarkan pelajar merokok.

Tapi memang tak best duduk asrama masa tu. Malam pertama aje gua dah kena lempang sebab gua menangis nak mintak tukar bilik. Tak sampai seminggu abah gua dah datang jemput gua balik sebab gua demam. Pantang hari “outing” aje, pukul 7 pagi gua dah keluar balik rumah, petang bus yang paling akhir gua akan balik semula. Memang jodoh gua dengan asrama tak lama. 3 bulan aje abah gua dah terpaksa angkut semula segala baldi gua bawak balik.

Gua berulang naik bus, 45 kilometer pergi dan 45 kilometer balik. Jodoh gua dengan bus Lim nampak macam serasi. Masa tu abah gua belikan pas berharga RM29.90 sebulan. Gua happy sebab boleh duduk bangku paling belakang. Gua happy sebab ada ramai kawan yang bukan dari sekolah gua. Gua happy sebab Man Pukau si konduktor bus tu pernah pasang kaset Cromox dan selebihnya lagu Shima. Gua happy sebab sekolah gua jauh dan gua boleh tidur dulu. Tapi kerap jugak gua tidur terus terlepas sampai Kuala Pilah.

Itu dulu, hampir dua puluh tahun yang sudah. Sekarang bus Lim masih lagi dominan di Jelebu. Tapi dah tukar nama entah berapa kali. Sudah kena jual atau pun hanya gimik mahu buat rebranding. Dulu bus satu jam sebiji, sekarang kat depan rumah gua tu, nak tengok sehari bus lalu sekali pun payah. Tambang pun sudah naik. Dulu gua bagi konduktor 50 sen aje nak pegi pekan, tapi sekarang mesti dah lebih. Itu belum kira bus sekolah lagi, mesti pas bulanan dari rumah gua ke sekolah agama Kuala Klawang bukan lagi RM9.90. Lagi pun gua dengar pakcik Isa Makan Besi sudah lama meninggal dunia. Man Pukau pulak sudah kahwin dan ada anak. Mungkin buat projek bela lintah sekarang.

Mungkin sebab itulah bus makin kurang dan harga tiket makin naik. Orang dah tak mahu kerja jadi driver bus dan konduktor. Syarikat pengakutan terpaksa menaikkan harga tambang, demi mengupah robot-robot untuk bekerja menjadi pemandu dan konduktor. Syarikat Bus Lim pulak mungkin gagal bersaing menyediakan bus yang lebih moden itu pasal mereka tidak lagi beroperasi di kampung gua.