Wednesday, September 26, 2007

Dari Mana Hendak Ke Mana?

Teorinya sangat mudah. Ada dua titik. Satu titik A dan satu lagi titik B. Lu berada di titik A dan mahu ke titik B. Lu dah nampak. Jelas sekali. Huruf B sangat besar dan jelas. Tapi apabila lu berjalan, bergerak menuju ke titik B itu, ia semakin lama semakin jauh.
Sistemnya sudah menyebut. Titik B itu sudah ditanam dengan cerucuk 5 juta kaki di dalam tanah. Ia tidak akan bergerak. Tapi apabila semakin lu bergerak ia juga kelihatan bergerak.
Dalam hidup ini kita pasti akan bertemu dengan dua titik itu. Dah bertemu pun, dengan titik A tapi belum dapat memegang titik B. Inilah Blues Orang Jelebu. Membicarakan mengenai titik yang nampak tapi sukar digapai.
Seorang ayah berada di titik A dengan anak-anaknya. Anak perempuan yang comel. Mahu ke titik B. Dalam perjalanan anaknya dilarikan serigala ganas. Hilang dan kemudian ditemui dengan keadaan yang tidak memungkinkan si ayah boleh membawanya ke titik B. Namakan apa sahaja, nirvana, syurga dunia, kebahagian, kekayaan, iman, melancong ke luar negara, buku yang laris jualan atau menjadi juara lumba motorsikal haram. Semua itu titik B yang mahu dicapai, dihampiri sekurangnya.
Mahu berubah daripada seorang hamba menjadi tuan? Hamba itu melihat tuannya sebagai titik B tapi bukan mudah untuk melarikan diri daripada gelaran hamba. Dan bukan mudah juga untuk bergelar tuan.
Watak lelaki kampung biasa. Bertani. Mengumpul duit sepanjang hayat. Untuk ke titik B. Mengerjakan haji. Mekah lah sebab dia Islam bukan Duruze. Dia tahu kewujudan Mekah. Semakin hampir macam semakin jauh. Belanja naik. Kapal terbang guna minyak dan harga minyak naik. Kena tipu dengan sindiket Gores dan Menang. Habis duit yang dikumpul nak ke Mekah. Itu belum anak merengek minta pinjam duit kereta dah nak kena tarik. Makin kurang. Makin jauh pulak titik B itu. Airmata meleleh melihat jiran sebelah buat kenduri nak pergi Mekah. Bukan haji tapi umrah. Bulan Ramadhan. Mahal tu.
Apa sebenarnya jalan mudah untuk ke titik itu? Terlalu banyak benda yang tidak kita sangka yang akan wujud di tengah jalan. Dalam perjalanan dari titik A ke titik B.Susah. Balik ke pangkal jalan? Itu petua kalau sesat di tengah jalan. Ini kita tidak sesat, malahan titik itu memang kelihatan dengan jelas. Jalannya juga terang. Cuma sukar.
Selamat Berbuka!

Friday, September 21, 2007

Iklan Sabun Cap Kapak

Momment bitte! Est ist eine Werbung hier.
Jose Mourinho is no longer with the Blues. Hehe. The Special One. Special One my ass. Go home boy and be a Special Branch.
All you need to be a good football manager is a special name your old man named you when you were born.
For example Chapman, its a good name for a football manager. Put it as your middle name of course.
Goodbye Chelski fan, throw your shirt because you're history.
I'm pretty sure, they're history.

Monday, September 17, 2007

Gua ke toyol itu?

Pagi tadi masa nak keluar pegi pasar gua tengok dalam wallet ada duit seratus dua keping, duit merah sehelai dan duit hijau sehelai. Duit biru dengan syiling gua tak kira. mungkin 7 atau 8 ringgit kot.
Bila gua nak isi minyak motor petang ni pulak gua tengok ada duit 50 sehelai dengan duit hijau serta beberapa keping duit singgit. Takkan rumah gua dah ada toyol. Nak kata cicir mustahil sangat sebab poket gua okey, wallet gua x koyak.
Tiba-tiba gua teringat, tadi kat pasar nak beli ayam 2 ekor gua kena pau RM26. Beli ikan jenahak sekor pun gua kena pau RM44. setakat lada merah 10 ketul dan limau kasturi 5-6 biji makcik tu pau gua RM4.30.
Lepas tu Tengahari tadi anak gua ajak pegi Giant beli Koolfever, kena pau lagi RM15. Petang sebelum isi minyak motor ni gua pegi beli murtabak dengan air soya pun dah kena pau RM10.
Apa yang gua simpan dalam wallet nie? wang kertas ke air? Laju semacam aje.

Thursday, September 13, 2007

Ramadhan Kareem

Ramadhan Kareem. Kulla A’min wa Antum bi Alfi Alfi Khair.

Gua rasa macam tak bagus sangat nak mengutuk bila tibanya Ramadhan. Gua mahu menjadi hamba Allah yang taat, tapi masalahnya gua masih lagi seorang rakyat marhaen yang hanya tahu mengkritik. Walaupun pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Malam tadi gua dengan bangganya memakai sepasang baju Melayu untuk ke masjid dengan mak gua. Naik kereta. Jalan jammed di sekitar Kinrara. Lebih teruk berbanding hari Jumaat. Sebab orang perempuan pun boleh ke masjid. Lagi pun ramai yang taksub dengan kelebihan malam pertama solat terawih, tanpa perlu merujuk dari sumber manakah ia diperolehi.

Seperti biasa, lelaki tidak bermazhab macam gua hanya akan solat 8 rakaat sahaja. Masa nak keluar ramai-ramai tu, Tuan Imam yang dilantik dan dibayar elaunnya oleh JAIS telah berkata “Jangan gopoh-gopoh nak keluar kita luruskan sof dan teruskan untuk 20 rakaat”

Oh gua terlupa pada minggu lepas, Syeikhul Islam al Hadhari Tuan Haji Khir Toyo telah mengeluarkan arahan solat terawih di semua masjid dan surau di Selangor mestilah 20 rakaat, tanpa tazkirah. Gua tak tengok sangat pasal tazkirah sebab ia nanti akan dikaitkan pula dengan pembangkang yang cuba menyebar fitnah dan macam-macam lagi walaupun tazkirah hanya membawa tajuk “Membazir itu Amalan Syaitan”. Gua nak tengok solat terawih.

Mak gua yang merupakan seorang penganut Syafie ortodoks walaupun telah kerap gua cuba sesatkan, mahu bersolat 20 rakaat. Maka gua terpaksa menunggu sehingga selesai, jam 1036 malam. Gua buat 8 rakaat habis sekitar 0930 malam. Banyak sungguh masa kualiti yang terbuang. Esoknya ramai orang nak pergi kerja. Tuan Imam yang dilantik dan dibayar elaunnya oleh JAIS itu pula amatlah perlahan sekali bacaannya. Sudahlah perlahan, baca Al Fatihah pun tak betul. Tahniah terlebih dahulu untuk JAIS. Jika seorang imam muda, baik bacaannya, maka pantas sekali solat itu berlangsung dengan teratur. Mak mentua gua di Muar, solat terawih 20 rakaat di masjid yang terletak di seberang Sungai Muar, jaraknya lebih 15km dari rumah, telah selesai dan kembali ke rumah sekitar 0945 malam.

Tuan Imam yang dilantik dan dibayar elaunnya oleh JAIS ini memerlukan tambahan sejam lagi untuk menghabiskan jumlah rakaat yang sama. Belum termasuk wirid-wirid yang tidak bersumber lagi. Tahniah sekali lagi untuk JAIS.

Gua tahu, bulan Ramadhan hanya setahun sekali. Bulan nak beribadat. Tetapi apa yang cuba dibuat sekarang hanyalah menyekat minda orang Islam dari berfikir di luar kotak yang bernama mazhab Syafie dan menghabiskan masa orang Islam di belakang seorang imam yang perlahan dan tidak betul bacaannya.

Esok ramai orang nak ke pejabat. Jika ia berterusan, bulan Ramadhan dilihat sebagai terlalu singkat. Pejabat, balik rumah berbuka, berkejar ke masjid, habiskan masa dibelakang imam yang perlahan dan tidak betul bacaannnya, balik rumah badan sudah letih, tidur awal sedikit sebab nanti nak bangun sahur. Itu sahaja. Bila masanya lagi nak bersama anak-anak? Bersama isteri? Maksud gua di sini berjimak a.k.a bersetubuh. Esok siang puasa beb! Atau pokoknya disini masa yang berkualiti itu. Serius.

Semua itu tidak pernah difikirkan oleh Syeikhul Islam al Hadhari Tuan Haji Khir Toyo ketika bercakap minggu lepas. Bukan apa, umat Islam di Malaysia ini bermazhab Syafie, majoritinya. Mereka akan menerimanya secara total. Bila keadaan sedemikian berlaku, ia akan lebih menyempitkan sedangkan banyak kemaslahatan lain yang perlu di ambil kira.

Blog gua tidak akan menjadi blog Asslamualaikum. Gua hanya mahu melengkapkan perangai seorang rakyat marhaen yang hanya tahu mengkritik. Tambahan pula, gua memang bosan menunggu mak gua menyelesaikan 20 rakaat solat terawih di belakang imam yang perlahan dan tidak betul bacaannya. Tahniah Encik JAIS.

Monday, September 10, 2007

Untukmu Malaysia


Hadiah untuk kemerdekaan negara yang ke-50. Kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu yang ke-50. Hadiah dari kami parti yang kononnya memperjuangkan kemerdekaan, terimalah....seorang Perdana Menteri unik yang boleh tidur sambil berdiri!
Gua copy gambar nie dari Black yang copy pula dari Malaysia Today. Sanad sebelum itu gua x hafal. Enjoi.

Friday, September 07, 2007

Gua Seorang Rakyat Marhaen Yang Hanya Tahu Kritik

Seumur hidup gua, belanjawan atau pun yang kini dikenali sebagai bajet, atau namakan apa sahaja, tidak pernah memberikan sebarang rangsangan mahu pun menyentuh kalbu gua. Tidak pernah. Sejak kecil belanjawan itu bagi gua hanyalah satu rancangan membosankan sebab setiap kali belanjawan dibentangkan, pelbagai rancangan menarik seperti Maero Attack, Oshin, Ultraman, Chips, BJ and The Bear dan yang sewaktu dengannya terpaksa dibatalkan. Gua benci dengan pembentangan belanjawan.

Apa yang gua ingat, setiap kali belanjawan dibentangkan, Mamak Bendahara a.k.a Perdana Menteri akan membaca tidak henti-henti, macam tak tahu penat. Kadangkala gua dengar sampai tersasul. Dalam akhbar pula, pada hari belanjawan dibentangkan, mesti ada gambar Memanda Perdana Menteri memasukkan buku yang bakal dibaca itu ke dalam beg. Esoknya pula mesti ada gambar beliau sedang memegang buku yang sama, kali ini menuju ke Parlimen pula. Itu klise.

Apa yang gua ingat juga, selepas belanjawan dibentangkan, esoknya mak gua akan suruh gua gunting suratkhabar. Bukan ambil gambar Mamak Bendahara tetapi gunting senarai harga baru rokok dan tembakau. Kemudian tampal di kaunter kedai runcit mak gua. Kasi tinggi sikit supaya semua orang nampak. Kertas yang gua tampal itu akan terus usang di situ sampailah belanjawan yang akan datang.

Apa yang gua tahu, hanya dua perkara sahaja yang orang ramai ambil peduli setiap kali belanjawan dibentangkan. Pertama, orang kerja gomen menantikan bonus atau kenaikan gaji. Kedua, berapa banyak pula harga rokok akan naik. Itu adalah perspektif bagi orang-orang Kampung Chenor, Jelebu Negeri Sembilan.

Oleh sebab itu, untuk petang ini juga, apa yang dibebelkan, yang ditersasulkan, yang diterbelitkan lidahnya kerana mengantuk, penat dan haus, apa yang dicarutkan yang baru aje berakhir, tidak langsung mendapat tempat di hati gua. Seorang rakyat marhaen yang hanya tahu mengkritik dan menghina tapi tak pandai menghargai. Itu SMS seorang kawan kepada gua malam 31 Ogos lepas. Betul memang hanya itu sahaja yang gua tahu.

Oleh sebab itu, petang ini juga segala angka-angka yang dicarutkan tadi tidak membawa makna kepada gua, seorang rakyat marhaen yang hanya tahu mengkritik. Sekejap angka itu singgah di kepala gua dan ia terus hilang. Sabah dan Sarawak masing-masing dapat 4 billion untuk pembangunan. Gua rasa macam dah pernah dengar tentang itu, 10 tahun lepas. Oh tidak, tiap tiap tahun sejak gua pandai tengok tv mungkin. Tapi 2 negeri itu masih juga tidak membangun. Penipu.

Sebagai seorang marhaen yang hanya tahu mengkritik, angka tadi juga tidak membawa sebarang kesan kepada hidup gua, hidup Makcik Nah di Kampung Chenor, hidup Ali Nayan dan keluarganya di Baling atau pun Mek Som dan suaminya yang baru aje beberapa bulan lepas diserang buaya ketika mengambil wuduk di Sungai Kelantan. Cakaplah apa sahaja angka, bon untuk warga emas, meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar, pembangunan sekolah, hospital, bajet mesra rakyat, penuh kejutan dan macam-macam lagi ia hanya kata-kata kosong.

Kalau babi yang diternak di Alor Gajah itu pandai bercakap dan membaca, gua boleh suruh babi-babi itu sahaja membentangkan bajet. Sebab ia hanya angka. Nombor. Gua, Makcik Nah, Mek Som dan Ali Nayan tidak melihat dan tidak akan melihat duit-duit tersebut. Tahun depan nombor-nombor yang hampir sama akan disebut semula. Bangga dengan yuran sekolah yang dihapuskan termasuk yuran peperiksaan? Oi! Negara Cuba yang hanya menjual tebu, cerut dan pelancongan itu sudah lama memberikan pendidikan percuma untuk rakyatnya. Bahkan menaja pendidikan dalam bidang perubatan untuk rakyat asing. Sejak dulu lagi. Sejak 1959 lagi. Sampai sekarang. Lu nak bagi buku teks percuma pun tak boleh. Aduhai lu nak cakap gua ni muka subsidi. Semua nak percuma?

Mari sini gua cakap. Semua itu perkhidmatan. Pendidikan, kesihatan dan pengangkutan adalah kemudahan yang wajib disediakan kerajaan kepada rakyatnya, bukan diswastakan kepada anak menantu ipar duai. Wajib. Buku teks hanya memerlukan RM90 juta untuk membolehkan semua budak-budak sekolah menikmatinya secara percuma. Lu belanja untuk bunga api pada malam 31 Ogos sebanyak RM50 juta. Bulan kemerdekaan dari 15 Ogos hingga 15 September menelan belanja RM753.6 juta. Itu duit beli bendera, topi, t-shirt dan sebagainya. Ini penjahat dari KekkWa yang cakap bukan gua saja bubuh. Pegi check dengan mereka, ofisnya di Bangunan TH Perdana sebelah Maju Junction.

Jadi apa yang boleh dibanggakan? Angka yang besar kemudian ada “beruk” menepuk meja Parlimen? Bergembira, Pegi mampuslah wahai rakyat-rakyat marhaen yang hanya tahu mengkritik. Mereka itu bergembira menepuk meja sebab mereka tahu poket mereka akan terus tebal dan tebal. Generasi mereka tidak akan miskin. Pembangunan hanya satu penipuan kerajaan kepada rakyat. Kenapa setiap kali bercakap tentang pembangunan dan kemajuan Malaysia, kita disajikan dengan gambar KLCC, KL Tower dan LRT Putra? Kenapa tidak paparkan kepada rakyat Istana Negara yang sudah melebihi kos RM400 juta itu dan tunjukkan pula gambar rumah Mek Som yang suaminya diserang buaya ketika mahu mengambil wuduk di Sungai Kelantan? Gua hanya rakyat marhaen yang tahu mengkritik. Dan sekarang Najib pula sedang bercakap di TV3. Penipu!

Sisi Terang Seorang Lelaki Tidak Bermazhab

Gua tak suka mengecewakan orang. Kalau kita boleh melihat keadaan hati yang kecewa tu, mesti kita tak mahu jadik manusia dah, sebab setiap manusia itu mesti pernah kecewa. Hati itu disiat-siat bagai kita membelah hati ayam kepada potongan yang kecil sebelum digaul garam kunyit dan kemudian digoreng. Aduh pedihnya.
Lagi pun cabaran untuk gua buat benda nie dalam blog besar nilainya. Gua dengar cerita, ganjaran yang bakal diberikan ialah jersey Man United paling baru, original bukan beli kat pasar malam tapi beli kat East Stand Megastore kt Old Trafford. Itu yang buat gua bersemangat. Man United punya pasal, suruh tulis pasal kebaikan UMNO pun gua sanggup. Yang tak paham pegi puasa bulan Syaaban dulu. Here we go.

5 benda dalam bag (bag sandang gua yg sudah lebih 10 kali tampal/jahit)
· Wallet gua dan purse bini gua
· Pampers 3 keping dan Pampers Nite 1 keping
· Bag botol susu
· Baju Zahra’ dan Batoul seorang sepasang.
· Telekung bini gua dan bekas cermin mata gua.

5 benda dalam dompet
· Duit RM174.63 dan sehelai Benjamin yang Arab bagi gua tips July lepas tapi gua sayang nak tukar.
· MyKad dan lesen memandu
· ATM kad dan kad kredit sekeping
· Kad Bonuslink dan Toys r Us
· Gambar gua dengan bini gua dalam salji (I love Jordan)

5 benda favourite dalam bilik istimewa (soalan apakah ini?)
· Katil IKEA
· Tilam empuk IKEA (gua macam nak tido plak)
· Bantal2 IKEA
· Comforter dan quilt cover IKEA (ada orang IKEA nak ambil gua jadi model tak?)
· Pendingin Hawa Panasonic yang membuatkan gua seperti di syurga.

5 perkara yang ingin dilakukan
· Mendapatkan rumah idaman gua
· Membina ramp skateboard kat belakang/tepi rumah tu.
· Sambung semula master gua yang tersadai berkarat di UM tu.
· Bawa family gua ke semua tempat yang gua pegi masa single dulu dan ambik semula gambar exactly on the same location n position i.e Jordan, Egypt, Europe, Mecca and so on.
· Beli sebidang tanah di Mafraq, Jordan dan bina sebuah rumah. Gua nak mati kat sana.

5 perkara yang sedang dilakukan
· Sedang cuba nak siapkan satu projek translation untuk member gua kat TNB (macam dah berkulat)
· Sedang buat satu projek translation yang sangat lumayan upahnya sekaligus menyebabkan projek ngan TNB yang “tolong-tolong kawan” itu tertangguh muahahaha
· Baru lepas hafal jawapan2 phone interview sebab esok ada interview (untuk kali pertama dalam masa 5 tahun)
· Sedang memasuki bulan kedua tidak makan nasi dan tidak minum Coke serta kawan-kawannya.
· Sedang baca 2 buku, Bad Timing tulisan Kate le Vann (untuk dalam toilet) dan ulangtayang kali ke-7 mungkin “Tenggelamnya Kapal Van der Wijck” oleh Dr Hamka (untuk sebelum tidur).

5 orang yang gua mahu tag? Gua memang ada senarai 5 orang itu tapi gua tahu ia tidak mungkin berlaku jadi gua mahu mengakhiri permainan “Smart Tag” itu di sini supaya lepas ini kita akan kembali menulis perkara yang lebih keras dan lebih kasar, lebih Marxist dan lebih Islam. Lebih UMNO dan lebih Jeanne Abdullah. Anyway, tagging people is fun and relaxed.
5 orang itu ialah Karl Heinrich Marx, Ernesto Guevara Lynch de la Serna, Dr Yusuf Qaradawi, Sir Alex Ferguson dan Mawi. Amacam?

Monday, September 03, 2007

Malam Itu Gua Memandu Pulang ke Jelebu

Ramai yang suka ramai yang seronok.
Tangan dihala ke langit Mussolini dan Hitler pasti ketawa dalam kuburnya.
Dulu kau hina aku akhirnya kini kau bersetuju

Ramai yang suka dan seronok pada malam itu
Mari kawan kawan adik kakak abang ayah dan emak
Kita keluar memandu pusing kota hilangkan lelah sekian lama bekerja
Mari kita pandu jentera buatan Malaysia ini keluar dari pondok yang sudah macam kuburan sempit panas dan menyesakkan
Kita mahu lihat langit yang bercahaya tujuh warna pelangi yang pernah ku hafal dalam pelajaran Sains yang dulu itu berbahasa Melayu

Ayuh adik kakak abang emak ayah dan sanak saudara
Keluar kita segera dari kampung dan segenap pelusuk negara kita mahu bergembira
Penuhkan tangki jentera dengan emas hitam yang menjadi kebanggaan negara
Bukan semua yang mampu wahai saudaraku
Hanya kita dan segelintir sahaja yang bertuah memijak emas hitam di tepian pantai yang akhirnya kita susun menjadi bangunan berkembar tertinggi di dunia.
Bukan saudaraku ayah dan ibu ia yang tertinggi di alam maya kerana kita punyai emas hitam punca segala kehidupan

Mari kawan kawan kita tinggalkan Al Quran
Mari kawan kawan kita lupakan sejenak segala pesanan segala ingatan dan segala amaran
Mari kawan kawan kita pijak kita ludah dan kita kencing generasi segala bukti kemurkaan Tuhan pada bangsa yang dulunya bongkak dengan kekayaan dengan kemegahan dan dengan segala kekuatan

Kita kaya kita berkemampuan dan kita bukan lagi budak belasahan
Kita sudah merdeka kawan kawanku sekalian
Kita sudah merdeka wahai datuk nenek ayah ibu abang kakak adik-adik dan anak-anakku sekalian
Mereka kata inilah nikmatnya kita bebas dari penjajahan oleh manusia yang bukan Tuhan oleh manusia yang punya kekuatan dan sejarah kegemilangan tapi akhirnya mereka tunduk kepada kita
Tunduk kepada kita yang dulunya budak belasahan
Kita yang dulunya menjadi tempat untuk menggali sedalam dalamnya bumi dan menanam nun jauh di lapisan ”Inner Core” agar bangsa ini tidak lagi tahu
Mereka sebenarnya sudah lama menanam peluru
Mereka menanam peluru ketakutan peluru kepatuhan dan taat setia pada seorang Tuan yang bukan Tuhan

Mari kawan kawan kita bermegahan dengan segala warna pelangi itu yang kita letupkan kita bakar kita fantasikan akukah itu yang wujud di awangan terbang bagai helang yang diciptakan Tuhan meneroka segenap alam melihat dan memerhati anak-anak ayam kecil yang bergelimpangan menanti masa menjadi habuan

Mari kawan kawan malam ini kita lupakan segala kesusahan segala kemiskinan dan ketidakupayaan
Mari kita lupakan marhaen yang merempat bergelandangan yang berjalan dengan kaki hanya tinggal satu kurniaan Tuhan memohon dan meminta bantuan perubatan
Bantuan kesihatan
Bantuan pembedahan untuk kembali berjalan walau sekurangnya tidak berangan untuk terbang seperti helang

Mari kawan kawan malam ini kita lupakan segala kebuluran segala siput babi yang menjadi makanan segala pucuk meliar di hutan yang terpaksa menjadi santapan
Bukan santapan hidangan Istana Negara yang baru yang kini harganya melonjak di pasaran menjadi rebutan dan habuan para pengampu penjilat dan tukang cuci dubur kerajaan
Ia santapan anak anak kecil yang ibunya mati dibaham Pak Belang dan ayahnya mengambil upah mencuci jamban orang
Merumput di laman orang
Menebar jala di paya orang
Menyusun atap rumbia
Di rumah orang
Rumah orang lain

Mari kawan kawan kita lihat cahaya yang terang
Kita lihat alur alur dubur si cantik manis yang sedang menunggang
Kita lihat bersama dada yang munggil yang bersentuhan
Berasakkan bergomolan saling tekan menekan
Malam ini kita lupakan segala kesucian kita lupakan segala peraturan kita pijak dan kita kencing segala larangan

Aduh malam ini tubuh tubuh munggil itu mahu ditekan
Nenek dan datuk mahukan kebebasan kelonggaran dan keluarbiasaan
Pakcik dan makcik sudah lama keluar dari sifat kekampungan
Biarlah dadaku ditekan atau pakcik itu berkata ”seronok juga zakarku bergeselan”
Malam ini aku mahu pijak segala kebiasaan
Ini adalah malamnya yang mana aku hanya mahu dua nikmat yang patut dikekalkan
Biar tanganku bebas menerawang angkasa dan suaraku gemersik bak katak memanggil hujan
Malam ini inginku laungkan ”merdeka merdeka dan merdeka”
Mussolini dan Hitler pasti ketawa dalam kuburnya
Dulu kau hina aku kini kau semakin bersetuju

Mari kawan kawan kita bersihkan segala kotoran
Kita bersihkan segala sisa buangan kencing najis dan mani yang berteraburan
Kita kutip segala percikan api tujuh warna pelangi kertas kertasnya yang bersepahan
Kita susun kembali untuk pertunjukan tahun depan
Kita kumpulkan untuk buktikan di depan Tuhan yang kita tidak melakukan pembaziran
Kerana tiada siapa yang kebuluran atau kemiskinan