Sunday, November 18, 2007

Siri Berdialog Dengan Anjing - I

Gua sedang berjalan, melalui satu lorong kecil, di tepi sebuah gedung runcit. Katanya dulu gedung ini milik seorang warga Taiwan, yang kemudiannya dibeli seorang warga BolehLand.

Gua sendiri sudah lupa dari manakah sumber cerita itu datang. Kemudian lagi, lewat ini gua dengar seorang menteri pula sudah memilikhartakan gedung ini. Buat bekalan anak isteri sudah pasti. Kelak mungkin tidak terpilih lagi. Simpanan hari tua, kata mereka.

“Lu mahu masuk berbelanja di dalam?” gua dikejutkan oleh satu suara.

Seekor anjing yang entah daripada jenis apa sedang berehat di tepi lorong itu. Berdepan pintu yang tertulis “Dilarang Masuk Tanpa Kebenaran”.

“Gua mahu berbelanja, untuk barang rumah, bagi sebulan yang akan datang”

“Memang tempat ini sangat tepat untuk lu. Boleh berbelanja dengan lebih murah di sini” anjing itu menyambung bicara.

“Gua tiada sebarang kongkongan, asal murah gua beli, itu pun kena rajin melihat iklan di suratkhabar”

Gua berhenti seketika sebelum melepasi pintu yang bertulis “Dilarang Masuk Tanpa Kebenaran”. Melihat jauh ke dalam mata anjing itu. Dia seperti mahu menyambung bicara. Mungkin hari ini tidak ramai yang melalui lorong itu. Dan anjing pula kemaruk untuk berkata-kata.

“Lu cukup duit satu sen?” soal anjing itu secara tiba-tiba.

“Mungkin ada. Baki berbelanja bulan lepas”

”Kenapa?” tanya gua semula.

”Duit satu sen sudah tidak digunakan lagi di kaunter kerajaan, sedikit masa lagi”

Gua seperti terpaku. Mengapa pula seekor anjing mahu bercakap tentang duit satu sen. Kepingan yang paling kecil, nilai dan saiz, jarang diambil peduli. Letaknya pula diatas almari atau kadangkala bersepah antara lari-lari tikus dan hamparan kaki.

”Macamana lu boleh tahu dan apa kaitannya dengan gua?”

”Bukan apa, kami menggunakan kaedah 5 sen yang paling hampir. Apabila lu bayar bil, sen akan dikira kepada 5 sen yang paling hampir...”

”Itu gua tahu, gua dah baca dalam suratkhabar pun. Gua dah dengar dalam berita pun” gua lantas mencelah kerana anjing ini seperti tidak tahu bahawa gua seorang manusia, yang berakal, boleh berfikir dan boleh menilai.

“Bukan begitu, sedikit masa lagi lu pun akan berbelanja macam itu di gedung ini. Apabila satu sen sudah tidak digunakan kerajaan, gedung seperti ini juga akan mengambil tindakan yang sama. Kami menurut langkah yang diambil kerajaan, kata mereka”

Aduhai, anjing itu memberitahu gua, seorang manusia, bagaikan gua ini juga dari kumpulannya.

“Lu kena tahu, semua ini dibuat untuk kepentingan rakyat dan negara juga” anjing itu kembali meneruskan kata-katanya selepas melihat gua hanya terdiam seperti kagum dengan maklumat yang dimiliki.

“Kerajaan terpaksa membelanjakan 4.12 sen untuk mengeluarkan sekeping syiling satu sen. Semua itu kos. Bayangkan ada berapa banyak syiling satu sen yang dikeluarkan? Kerajaan membuat langkah penjimatan. Semua itu akan dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan, subsidi dan sebagainya. Bukankah rakyat seperti lu dahagakan pembangunan dan subsidi?”

Gua menghela nafas lalu bersuara.

”Apa lu fikir lu sedang bercakap dengan anjing ? Lu nak tipu gua pasal kos? Apa Bank Negara tu keluarkan syiling satu sen setiap hari? Setiap jam? Apa lu fikir syiling satu sen itu barangan, macam ubat gigi? Yang dinilai kos pengeluarannya sebelum diletakkan label harga?” gua bertanya, dengan niat tidak memberikan langsung ruang untuk si anjing membalas.

”Mereka hanya mahu membuat keuntungan. Mereka hanya mahu terus menyembelih rakyat seperti gua. Jika bil itu berbentuk bulanan, bukankah sepatutnya nilai itu dibawa ke hadapan? Ia pasti bertemu dengan sesuatu yang genap, atau 5 sen yang terdekat. Atau lebih mudah lagi, hapuskan saja nilai 1 sen itu, ambil semula syiling itu dari rakyat, leburkan kembali, dan ambil semula kos 4.12 sen bagi setiap keping itu. Mereka boleh membuat lebih banyak penjimatan.”

”Kenapa lu diam? Lu sudah takda modal untuk menipu gua lagi? Nanti gua adu pada gedung ini, suruh tembak lu yang menyemak di sini mengganggu pelanggannya” gua cuba menakutkan anjing itu sambil bersiap untuk bergerak.

Tiba-tiba pintu yang bertulis ”Dilarang Masuk Tanpa Kebenaran” itu terbuka dan si anjing sedikit mengelak. Dari dalam keluar seorang lelaki menghulur tangan kepada si anjing.

”Mari tuan, waktu makan sudah tiba” kata lelaki itu sebelum membuka pintu dengan lebih luas membawa si anjing masuk. Anjing itu menoleh pada gua.

”Gua lah sebenarnya pemilik gedung ini” katanya sambil tersengih dan berlalu masuk. Sambil ekornya sedikit bergoyang, tanda gembira.

10 comments:

Anonymous said...

Otak lu baguih lah jang. Bergeligo memikir bondo-bondo yg polik-polik. Patut lu dah banyak tulih kitab :)

Bilo gua baco siri berdialog; muqaddimah & siri 1 baru gua perasan yg kito ni selalu di"hanjing-hanjing"kan dulu sebolom kono "semolih".

Yang paling sodih kito di"semolih" oleh anjing

Jorji said...

wah...pastikan jadi buku!

gayour said...

memang banyak 'anjing liar' berkeliaran sekarang ni. bijak menipu,pembongak dan mengelat. tu yang payah nak tangkap! tapi anjing gak digunakan sebagai gembala kambing yang cekap!

LuciusMaximus said...

encik gayour, anjing tu ada banyak jenis. anjing yang baik dan setia menjaga kambing tuannya, anjing yang menyalak dan membaham bila kita lepaskan dari tersepit dan juga anjing kurap yang bawak penyakit.
kat malaysia sekarang nih, yang duduk di atas tu, banyak jenis anjing kurap, bawa penyakit korupsi :)

The.Libyaman said...

next story, anjing yang tinggal di atas bukit. tq everybody.

thinker bell said...

ok ok. hurry up with ur new entry ;)

PoKoK BeSaR KuALa KangSAr said...

saya ada merasa sedikit seram dengan penulisan ni.

macam cerita hantu hasil penulisam Tamar Jalis pun ada.

hidup anjing!erhh...Hidup Blues Orang Jelebu! syok2!

Ejoi said...

hahah....
Kalau pemulisan pasal binatang ini kau perhalusi dan percantikkan bahasanya, boleh ladi tambahan dalam siri Aesop Fables.

Cool said...

aku tak baca blog ko, aku terbaca title.. aku dtg lagi nanti untuk m. Aku baru sampai neh@!~ aku orang jelebu jugak@!~

Anonymous said...

anjing berkurap2&bernajis d atas sana..kebal dr balingan batu!