gua pernah mempunyai pengalaman mengundi. bukan semasa di universiti, kerana gua tahu pilihanraya di kampus sudah diatur. bukan di BolehLand ya kawan, pilihanraya kampus yang sudah diatur juga wujud di Jordan. Itu cerita lain.
gua ada pengalaman mengundi, dalam pilihanraya di BolehLand. Pada tahun 2004. Mengundi di Jelebu. Pusat pengundiannya ialah di sekolah rendah gua dahulu, yang mengabadikan nama gua pada salah satu kelas tahun satunya (jangan tak percaya) kerana menghargai ukuran intelektual gua 23 tahun yang lepas. mengundi di sekolah rendah itu, ia haprak.
gua pergi seawal 0830 pagi. hari yang sama gua bekerja tapi gua tetap luangkan masa untuk pulang ke Jelebu. Untuk mengundi. Ada "pondok panas" milik Puteri yang waktu itu masih lagi kuning hingusnya, terkinja-kinja melihat seorang pengundi berpotensi, dan muda seperti gua datang untuk mengundi, lantas mereka menghulurkan sekeping kad yang kalau waktu itu gua tiba-tiba menjadi buta, gua sudah dapat meneka apakah isinya "lambang dacing berwarna putih dengan background biru".
tempat mereka hanya sekitar 25 meter daripada pintu pagar sekolah. betul-betul berdepan dengan mural yang gua lukis pada tahun 1989. sedangkan 2 hari sebelum itu gua sudah membaca di akhbar, milik kerajaan, pondok panas hanya boleh didirikan paling dekat 500 meter daripada pusat pengundian. memang gua lihat ada pondok panas 500 meter dari pintu pagar itu, jauh terpencil dengan di dalamnya sekumpulan warga emas berkopiah sedang bersantai di samping beberapa orang makcik yang bertudung labuh. lu boleh tahu siapa yang bertanding di kampung gua. satu lawan satu.
gua jeling adik-adik puteri yang hingusnya masih kuning yang menyertai kumpulan tersebut hanya untuk berkenalan dengan jantan-jantan Melayu sehitam kulit Khairy Jamaluddin dan mendapat sepasang kurung merah jambu percuma jahitan Za'aba Tailor di pekan Kuala Klawang, yang mendapat kontrak kerana dia sendiri timbalan ketua pemuda Umno cawangan. Persetankan mereka yang ketika gua pertama kali mengikut atuk dan wan gua berkempen di pilihanraya kecil Tambatan, di Johor Baharu, mereka itu masih lagi tidak berbaju di depan rumahnya. mereka hanya menurut arahan. burung kakak tua.
gua masuk melepasi pintu pagar,seorang anggota polis dan seorang pengawal keselamatan bernama Borhan. pengawal keselamatan yang juga ayah kepada rakan sekelas gua di sekolah itu dahulu, menegur gua. mungkin sudah tidak mengecam anak kecil yang kini sudah berjanggut dan bermisai dengan rambut paras bahunya dan dulu adalah pelajar terbaik di sekolah itu sejak darjah satu hingga darjah enam.
"undi dacing ya" kata Borhan pada gua.
kawan-kawan, pujukan itu gua dengar setelah gua melepasi pintu pagar sekolah, ketika gua memasuki barisan bersama beberapa warga emas dan juga dua orang lelaki Cina yang masih dengan pakaian kebunnya. gua masuk dalam, gua daftar nama, gua bagi IC gua pada mamat yang semak daftar pengundi, gua ambik kertas, gua pergi dalam kotak, ambik pensil dan gua tulis pada petak kertas undi "Borhan celaka kempen gua kat pintu pagar sekolah"
gua pasti seorang dua tukang kira undi sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang dapat mengerling membaca dengan pantas apa yang gua tulis pada kertas undi yang mereka akan senaraikan rosak itu. gua terus balik KL, hantar surat pada Malaysiakini yang terus tersiar pada sebelah petangnya. Gua berjanji pada diri sendiri, gua tidak akan mengundi sampai bila bila. Borhan telah merosakkan semangat gua untuk mempraktikkan demokrasi.